Anda di halaman 1dari 3

Malam Ketetapan (Lailatul Qadr)

Manusia yang berkesempatan melalui bulan Ramadhan adalah manusia yang sangat beruntung. Bulan
Ramadhan ialah bulan yang melimpah-limpah di dalamnya keberkatan. Apakah yang menyebabkan
bulan Ramadhan ini menjadi begitu istimewa?
Dalam bulan ini terdapat suatu keistimewaan yang diberikan khas kepada Umat Nabi Muhammad
s.a.w. Ia tidak dikurniakan kepada umat-umat yang sebelumnya. Ia adalah hadiah Allah s.w.t, sebagai
tanda kasih dan sayang-Nya kepada para hamba-Nya di akhir zaman yang penuh dengan ujian dan
cabaran. Ia adalah satu waktu yang dipilih khas oleh Yang Maha Tinggi, untuk direbut oleh semua
manusia di bumi.
Ia adalah Malam Al-Qadr, atau selalu disebut sebagai Lailatul Qadr.
Pengertian Lailatul Qadr
Dalam Bahasa Arab, perkataan Lailah ( )bermakna malam. Manakala perkataan Al-Qadr ( )
pula membawa beberapa makna seperti ketetapan dan penentuan. Menurut Syeikh Ibnu Uthaimin,
orang Arab juga menggunakan perkataan Qadr dengan makna kemuliaan. Sayyid Qutb turut
menyebut bahawa Qadr membawa makna nilai dan kedudukan yang tinggi.
Dalam Tafsir Fi Zilal Al-Quran, Sayyid Qutb membawa satu perspektif yang menarik dalam
memahami makna ketetapan dan penentuan yang terkandung pada nama Lailatul Qadr. Kata Sayyid
Qutb, Lailatul Qadr adalah malam di mana wahyu Allah mula diturunkan dari langit ke bumi. Ini
termaktub di dalam Surah Al-Qadr ayat 1 yang berbunyi; Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(Al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadr. Peristiwa penurunan wahyu Allah ke muka bumi melalui
Rasulullah s.a.w adalah suatu peristiwa yang agung, bukan sahaja kerana ia adalah satu proses
perhubungan antara langit dengan bumi, tetapi ia adalah suatu detik di mana manusia seluruhnya telah
dikeluarkan daripada kegelapan pekat yang menyelubungi mereka.
Menurut Sayyid Qutb, penurunan Al-Quran pada hakikatnya adalah suatu penurunan ketetapan dan
ketentuan ke atas aqidah, nilai, dan sistem yang dipegang oleh manusia dalam melalui kehidupan
mereka di dunia. Dengan ketetapan dan ketentuan yang diturunkan dalam Al-Quran ini, manusia
mampu merasai cahaya panduan Ilahi dalam segenap urusan mereka, sehingga mampu menjadikan
dunia ini jambatan mereka kepada kebahagian yang hakiki dan kekal di akhirat nanti.
Oleh yang demikian, amat benarlah malam yang penuh gemilang ini dinamakan sebagai malam
ketetapan atau Lailatul Qadr.
Persediaan bertemu Lailatul Qadr
Keistimewaan dan kemuliaan Lailatul Qadr sememangnya tiada tandingan, jika dibandingkan
dengan malam-malam yang lain hatta di bulan Ramadhan sekalipun. Oleh itu, sebagaimana kita
melakukan persediaan yang begitu rapi dan teliti untuk satu-satu hari yang istimewa bagi kita, seperti
hari pernikahan misalnya, maka sedemikian juga harus kita lakukan agar Allah s.w.t mengizinkan kita
menjadi tetamu-Nya di malam yang penuh dengan limpahan rahmat dan kurnia-Nya.
Perkara pertama yang amat penting dalam melakukan persediaan ialah dengan mengetahui bilakah
berlakunya malam tersebut. Daripada ayat dalam Surah Al-Qadr, dapat kita fahami bahawa Lailatul
Qadr hanya berlaku pada satu malam sahaja. Bilakah berlakunya malam yang terpilih ini?
Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kepada kita tentang persoalan bilakah jatuhnya malam
yang istimewa ini. Hadis daripada Abu Said Al-Khudri r.a mengkhabarkan bahawa Rasulullah
memberitahu kepada para Sahabat Lailatul Qadr itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan.
Manakala hadis daripada Aishah r.a menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh untuk kita

mencari Lailatul Qadr di malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan. Dan ada hadis
daripada Abdullah Ibn Abbas r.a yang menceritakan bahawa seorang lelaki tua bertanya kepada
Rasulullah apakah satu malam yang perlu dihidupkan (kerana dia tidak mampu menghidupkan semua
10 malam terakhir), lalu Rasulullah s.a.w menjawab malam yang ke-dua puluh tujuh.
Daripada himpunan hadis-hadis ini, dapat kita keluarkan satu kesimpulan; Lailatul Qadr berlaku
pada salah satu malam di 10 malam terakhir Ramadhan, dan kemungkinan besar pada malam ke-27.
Oleh itu sebagai hamba Allah yang tidak mahu terlepas ganjaran istimewa di malam itu, kita haruslah
bersiap dan bersedia untuk menghidupkan kesemua 10 malam terakhir di bulan Ramadhan.
Terdapat beberapa ibadah utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w untuk memburu Lailatul
Qadr. Ibadah yang pertama ialah solat sunat tarawih. Ulama bersepakat bahawa menghidupkan
malam Ramadhan dengan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid adalah lebih afdhal daripada
mendirikannya secara bersendirian di rumah. Oleh itu, kita harus menguatkan semula azam yang
mungkin semakin kendur setelah lebih 20 malam berlalu semenjak solat sunat tarawih kita di malam
pertama Ramadhan.
Ibadah yang kedua pula ialah melakukan qiamullail. Ibadah qiamullail ialah ibadah yang amat dicintai
oleh Rasulullah s.a.w lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w pernah melakukan
qiamullail sehingga bengkak kedua-dua kakinya kerana terlalu lama berdiri. Qiamullail umpama
menghimpunkan keberkatan waktu yang terdapat pada sepertiga malam terakhir dengan keberkatan
Lailatul Qadr jika kita berterusan melakukannya di sepanjang 10 terakhir Ramadhan. Ketika
qiamullail, ibadah yang perlu kita lakukan ialah solat sunat, tilawah Al-Quran, dan zikir.
Ibadah yang terakhir yang menghimpunkan kesemua ibadah-ibadah di atas ialah iktikaf. Di dalam
pelbagai hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat akan menghabiskan
keseluruhan masa mereka beriktikaf di masjid pada 10 akhir Ramadhan. Jika kita berniat iktikaf di
masjid, masa yang kita luangkan walaupun untuk berehat tetap akan diganjari pahala oleh Allah s.w.t.
Jika tidak dapat untuk menghabiskan keseluruhan 10 hari di masjid, sekurang-kurangnya kita
berusaha agar dapat memperbanyakkan waktu untuk duduk dan berada di masjid khususnya pada
waktu malam dengan niat iktikaf.
Kesemua ibadah-ibadah ini jika dilakukan dengan penuh keimanan dan pengharapan, insha-Allah kita
pasti akan mendapat peluang dipertemukan dengan Lailatul Qadr.
Doa mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadr
Pemilihan Lailatul Qadr adalah salah satu daripada rahsia Allah s.w.t. Ada di kalangan hamba-Nya
yang terpilih untuk mengetahui bilakah berlakunya Lailatul Qadr dengan izin Allah s.w.t.
Tiada sebarang doa yang mathur (dibaca sendiri oleh Nabi s.a.w) untuk meminta dipertemukan
dengan Lailatul Qadr. Rasulullah s.a.w dan para sahabat dahulu menempah tempat untuk malam
istimewa itu melalui kesungguhan amalan dan ibadah yang dimulakan sejak hari pertama Ramadhan.
Walau bagaimanapun terdapat satu doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w agar dibaca setiap kali kita
inginkan bantuan Allah s.w.t dalam mempermudahkan kita melakukan ibadah dengan sebaik-baiknya.
Rasulullah s.a.w berpesan kepada Muaz bin Jabal r.a agar sentiasa membaca doa Ya Allah, bantulah
kami dalam mengingati-Mu, mensyukuri-Mu, dan melakukan sebaik-baik ibadah kepada-Mu setiap
kali selepas solat. Dengan memperbanyakkan doa ini daripada awal Ramadhan, moga-moga Allah
s.w.t memberi kurnia kepada kita bertemu dengan Lailatul Qadr.
Jika kita merasakan satu-satu malam itu seperti terdapat tanda-tanda Lailatul Qadr (seperti
ketenangan suasana yang ketara), maka kita perlu banyak membaca doa yang diajar oleh Rasulullah
s.a.w kepada Aishah r.a seperti berikut; Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi
Maha Mulia, Engkau suka memberi pengampunan, maka ampunkanlah daku. Sabda Rasulullah
s.a.w; barangsiapa yang terlepas daripada kebaikan pada Lailatul Qadr maka dia telah terlepas

daripada segala jenis kebaikan. Oleh itu, doa di atas harus kita baca sebanyaknya dengan penuh
pengharapan.
Renungan terhadap Surah Al-Qadr
Surah Al-Qadr meskipun ringkas sekadar 5 ayat, ianya memperihalkan suatu peristiwa yang sangat
besar. Ia adalah batu tanda bermulanya suatu sejarah baru bagi manusia dengan turunnya panduan
hidup kepada mereka. Tiada lagi kesesatan dan meraba-raba dalam melalui hidup di dunia.
Kerana itu dinyatakan dalam surah ini bahawa malam itu lebih baik daripada seribu bulan. Menurut
Sayyid Qutb, seribu itu sebagai metafora kepada suatu angka yang amat banyak, tidak terhad kepada
angka seribu sahaja. Ertinya ibadah kita yang dilakukan pada malam itu adalah lebih baik daripada
1000 bulan malah lebih lagi daripada itu, hanya Allah s.w.t yang tahu perkiraannya.
Disebutkan dalam ayat terakhir; Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar!. Di antara nama Allah
s.w.t ialah As-Salam (Yang Maha Sejahtera). Disebut Lailatul Qadr itu sebagai malam yang sejahtera
kerana pada malam itu kata-kata Allah diturunkan ke bumi, menjadi permulaan kepada satu
kesejahteraan baru di muka bumi, yang terkandung dalam risalah Islam.
Daripada keseluruhan ayat surah Al-Qadr ini, dapat kita fahami bahawa malam itu bukanlah satu
malam yang istimewa hanya kerana ibadah di kala itu berganda-ganda ganjarannya. Lailatul Qadr
menjadi istimewa kerana ia seumpama suatu majlis pengurniaan dari langit kepada bumi. Oleh itu,
menghidupkan malam ini bererti menghayati kurniaan Al-Quran yang menjadi panduan hidup kita
dalam segenap urusan. Sesiapa yang mampu menghayati perkara ini pada malam tersebut, pastinya
akan mampu menghayati nilai dan ketinggian ketetapan yang Allah s.w.t letakkan dalam Al-Quran di
sepanjang waktu, meskipun Lailatul Qadr itu berlalu.

Anda mungkin juga menyukai