Anda di halaman 1dari 4

Sepi Seorang Tua

Sejak engkau tiada, Milah, hidup ini terasa begitu sepi. Terasa apa juga yang dibuat tidak
menjadi. Duduk terasa bosan. Baring pula terasa payah untuk melelapkan mata. Masa silam
sering menjengah ingatan. Ah, cepatnya masa berlalu. Sedar tidak sedar, usia mencecah 81
tahun.
Leha, sepuluh tahun kahwin, anak dah masuk sembilan. Untung ya anak ramai.
Kata-katamu, bulan pertama perkahwinan menyapa gegendang telinga. Terasa masih baru.
Bagaikan engkau ada di depan mata.
Anak dua tiga orang cukuplah. Anak ramai susah jaganya.
Hiss abang ni! Setiap anak bukankah ada rezekinya! Anak seorang dua, lebih-lebih
lagi perempuan, sudah kahwin ikut suami. Tua kelak, tinggallah kita macam pengantin baru.
Takdir menentukan anak kita seramai tujuh orang; empat lelaki dan tiga perempuan.
Semua anak kita berjaya menjejakkan kaki hingga ke university dan kini semuanya berjaya
dalam bidang masing-masing. Ada yang menjadi doktor, pensyarah, guru, pegawai bank,
peniaga, diplomat, dan pemaju perumahan. Walaupun ada anak ramai, sudah tua begini,
akhirnya aku tinggal bersendirian.
Anak-anak mengajak aku tinggal bersama mereka, tetapi aku yang tidak betah
tinggal di kota. Mereka sibuk bekerja; dari pagi hingga malam, tinggalkan aku bersendirian di
rumah. Aku merindu suasana yang menghijau, bendang yang terbentang luas, cengkerik
yang berbunyi, atau melihat keindahan burung camar di angkasa.
Kini, tinggallah aku di sini mengusung tua bagaikan senja yang melambai kedatangan
malam. Tetapi jika engkau tidak pergi, sejak tiga tahun lalu, hidup ini tidaklah terasa begitu
sepi. Mengapa engkau pergi dulu, Milah? Ah, pertanyaan itu tidak wajar saya ungkapkan,
bagaikan melawan takdir.
Aku berusaha bingkas bangun. Terasa kaki ini menggigil untuk menahan badan yang
memberat. Aku melangkah lambat menuju tingkap yang sudah terbuka. Angin bertiup masuk.
Aku terus melangkah. Sebelum tubuh ini tumbang, aku telah dapat mencapai kayu palang
pintu. Untuk seketika aku termengah.
Aku selalu memanjatkan doa kepada Tuhan supaya hidup dan matiku dalam keadaan
tenang. Aku tidak pernah berdoa dipanjangkan usia kelak menyusahkan orang yang hidup.
Susah atau senang biarlah aku tanggung sendiri.

Tiba-tiba deruan enjin kereta memasuki kawasan rumah. Terdengar bunyi hon.
Siapa? Terdengar bunyi orang memberi salam. Kalau tidak silap itu suara Zahid? Tidak salah
lagi. Sudah tiga tahun Zahid tidak pulang. Anak ketigaku itu memberi alasan sibuk dengan
perniagaan menghalangnya pulang menjengukku yang tua ini. Dulu pulang pun sewaktu
ibunya sudah hampir dimasukkan ke liang lahad. Sibuk sangatkah berniaga sehinggakan
lupa ayahnya yang masih hidup?
Dengan keadaan terketar-ketar aku melangkah ke pintu. Apabila pintu dibuka, Zahid
segera menghulurkan tangannya. Diikuti isterinya Sofia, yang kelihatan acuh tidak acuh. Dua
anaknya, kedua-duanya lelaki juga mencium tanganku.
Ayah sihat?
Aku mengangguk.
Atukkami nak mandi sungai boleh tak? tanya salah seorang cucuku itu. Aku tidak
tahu namanya, maklum cucu sudah lebih 30 orang.
Jangan mengada-ngada! Tak tahu air sungai kotor! tempelak si Sofia. Ah,
menantuku ini, engkau tidak tahu air sungai itulah yang membesarkan suamimu! Mahu
sahaja kuluahkan ungkapan itu, tetapi terasa tidak wajar.
Malam itu kami bersembang di anjung. Zahid menerangkan perniagaannya yang
memaksa dirinya pergi merata dunia. Aku hanya mengangguk bagai orang bodoh. Di dapur
Sofia dengan dibantu orang gajinya memasak. Zahid meminta maaf kerana lama tidak
menjengukku. Katanya, dia mahu sehari dua di sini. Lagi lama, lagi aku suka.
Tetapi keesokkannya aku dikejutkan pertengkaran suami isteri itu di bilik depan. Tidak
lama kemudian Zahdi masuk ke bilikku mendapatkanku yang masing terbaring. Mulutnya
terketar-ketar untuk mengucapkan sesuatu.
Kamu mahu balik?
Ayah dengar kami bertengkar?
Tak ada apa-apa yang menarik di sini. Engkau datang ayah tak jemput, engkau nak
balik pun ayah tak boleh larang.
Kalau ada masa, Zahid akan pulang, ayah. Sebenarnya Zahid sedih melihat ayah
tinggal bersendirian di sini. Terjadi apa-apa susah.

Jiran tetangga ada, janganlah fikirkan sangat fasal ayah. Makan minum, anak Pak
Dolah akan hantar. Malah kadang-kadang anak Pak Dolah menemani ayah.
Belum sampai 24 jam, rumah ini sepi kembali. Anak-anak sekarang memang tidak
betah untuk pulang ke kampung. Milah, engkau kata jika anak ramai sewaktu tua kelak tidak
keseorangan. Tetapi ketujuh-tujuh anak kita semuanya sibuk dan mungkin aku yang tua ini
dianggap membebankan.
Jika anak kita tidak cemerlang dalam pelajaran, mungkin mereka tidak akan ke
mana-mana. Akan sibuk menguruskan kelapa sawit dan berkahwin dengan penduduk
tempatan. Boleh selalu menjengukku, atau paling tidak anak-anak mereka akan
menghabiskan masa di belakang rumah. Cemerlang dalam pelajaran menyebabkan mereka
bekerja di kota. Menyesalkah aku? Tidak! Aku bangga anakku berjaya dalam pelajaran dan
kini berjaya yang diceburi.
Menghabiskan usia tua, aku banyak isi dengan berdoa. Walaupun masa diisi dengan
aktiviti berfaedah, tetapi ingatan terhadapmu, Milah menguasai segenap perasaan.
Damaikah engkau di alam lain? Aku hanya ada doa untukmu. Dan aku amat merindui anakanak kita, Milah; Taufik, Tahir, Zahid, Riduan, Normah, Salmah, dan Zainah. Apakah khabar
engkau sekarang?
Bagaikan ada suara yang menyuruh aku menghubungi anak-anakku, termasuk Zahid
yang masih di dalam kereta menuju Kuala Lumpur.
Apa hal ayah? Itulah pertanyaan daripada mereka. Aku tahu mereka sibuk dan
masa amat berharga. Tetapi naluri dari dalam diri memaksaku memanggil mereka pulang.
Ada hal penting. Mesti pulang.
Dengan kuasa Tuhan, kesemua anak kita dapat berkumpul, Milah. Ada yang pulang
bersendirian dan ada yang pulang membawa keluarga. Mereka tertanya-tanya mengapa aku
memanggil mereka pulang. Soal harta pusaka sudah diselesaikan sejak engkau masih ada
lagi, Milah. Tetapi kini soal apa?
Setelah mereka berkumpul, aku meluahkan apa yang ingin kuucapkan.
Kamu tujuh adik beradik berpakat-pakatlah selalu. Ingatlah Tuhan. Jika aku tiada,
jangan lupa menjenguk saudara mara yang banyak di kampung ini.
Mereka terpinga-pinga mendengar kalimat itu. Cuma itukah yang ingin ayah
sampaikan? Barangkali pertanyaan itu bermain di hati mereka. Tetapi hatiku puas, Milah,

kerana dapat menemui dan menatap wajah mereka. Aku kemudian bingkas bangun, lalu
melangkah ke bilik.
Aku membaringkan tubuh di katil. Dan aku mahu tidurku kali ini lena dan tenang,
seperti kamu, Milah!