Anda di halaman 1dari 3

Peta pelancongan dunia sudah membuka mata dan meletakkan nama Malaysia sebagai salah

satu destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi. Sejak tahun 1985 sehingga kini ,
Malaysia telah menjadi buah mulut pelancong asing mahupun tempatan. Saban tahun
kehadiran pelancong dari luar negara sentiasa bertambah. Sehubungan dengan itu, pihak
kerajaan dan pihak swasta sentiasa giat mempromosikan Malaysia diseluruh dunia termasuk ke
negara China, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah untuk merancakkan
lagi perkembangannya. Usaha ini untuk memastikan pelancong mendapat info yang sebenar
berkenaan produk dan kemudahan pelancongan yang disediakan secara lebih dekat. Antara
produk pelancongan Malaysia termasuklah landskap bentuk muka bumi yang menarik, berbagai
persembahan kesenian dan kebudayan yang unik, pelancongan sukan dan bangunan warisan
sejarah peninggalan penjajah yang sentiasa terpelihara. Ini menjelaskan bahawa, usaha
memperkembangkan industri pelancongan membawa banyak faedah kepada sesebuah negara.

Antaranya, Pelancongan dapat menyumbangkan pendapatan negara. Datuk Seri Mohamed


Nazri Aziz, Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa
pihak kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 29 juta pelancong dengan
pendapatan RM89 billion pada tahun 2015 sempena penganjuran Tahun Festival (MyFest
2015). Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui
kedatangan pelancong asing, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran
wang asing dengan mudah dan banyak. Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk
berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi.
Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan,
minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara.
Seterusnya, wang yang diperolehi oleh kerajaan dapat digunakan untuk pembangunan
ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara.
Selain itu, pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor
tersebut. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti
pekerja hotel, pemandu pelancongan, pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai
kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini
meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada
peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu,
industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat.
Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti
sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan
penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa
sama , taraf hidup rakyat juga akan meningkat.
Seterusnya, pelancongan dapat memaparkan ketamadunan atau sejarah sesebuah
negara yang memberi seribu satu makna. Warisan kebangsaan merupakan khazanah

penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas seperti A-Famosa, bangunan stesen keretapi Kuala Lumpur, dan Stadium Merdeka.
Pengekalan bahan-bahan tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong dari dalam
atau luar negara untuk melihat sendiri tentang keunikan seni bina ciptaan masyarakat
terdahulu untuk dijadikan sumber inspirasi arkitek pada masa kini. Pelancong generasi muda
juga dapat merasai semangat juang pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah
air yang tercinta. Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk
tatapan semua. Justeru, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan
kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang dalam
mempertahankan negara. Oleh itu, pemeliharaan warisan negara membolehkan pelancong
mempelajari dan mengenali sejarah asal-usul sesebuah negara dan penduduknya serta
melahirkan generasi yang berjiwa patriotik, cinta akan tanah air .
Selanjutnya, pelancongan turut menarik pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif
memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini.
Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan
seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya
malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang tiada kaitan dengan pelancongan
seperti pengangkutan dan pembinaan. Kerajaan dapat mengelakkan pembaziran wang negara
digunakan untuk mengindahkan kawasan-kawasan pelancongan yang menelan kos terlalu
tinggi. Sebagai contohnya, Pulau Langkawi yang dibangunkan sebagai pusat pelancongan
bertaraf dunia, pihak kerajaan dan swasta terpaksa melabur sebanyak RM4.5 bilion. Adalah
lebih bermanfaat kos yang terlalu tinggi disalurkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang
lebih mendesak dengan membina lebih banyak rumah kos rendah untuk mereka yang masih
tidak berumah. Jelaslah, kehadiran pelabur asing yang ramai dapat membantu kehidupan
masyarakat kita, terutamanya di kalangan mereka yang miskin dan terabai akan lebih terjamin.
Pelancongan juga dapat dijadikan agen perpaduan antarabangsa. Manusia di dunia ini
disekat oleh sempadan politik. Dalam setiap negara pula mereka dikumpulkan mengikut
bangsa, agama dan warisan etnik. Apabila ahli-ahli daripada satu kumpulan mengunjungi
kumpulan-kumpulan yang lain, maka proses perpaduan akan wujud. Lama-kelamaan
sempadan yang menyekat kumpulan-kumpulan tersebut akan hilang dan berkurangan. Selain
itu, penganjuran pelancongan antarabangsa dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama
dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat.
Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah
negara di Asia Tengah, China dan Eropah bagi memajukan pelancongan di Malaysia. Hal ini
dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan
penutupan sesuatu program pelancongan yang diadakan. Dengan cara itu, sudah pasti para
pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik
antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara
Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan

daripada pelbagai aspek.Melalui pendedahan ini akan wujudlah kehidupan yang harmoni
dalam kalangan manusia di dunia walaupun berlainan politik, bangsa dan agama.

Konklusinya, pelancongan terbukti mendatangkan pelbagai faedah kepada pembangunan


negara. Semua pihak perlu bahu-membahu bagi memastikan impian negara untuk menjadi
destinasi pelancongan utama di dunia dan rantau ini terus subur. Pihak kerajaan terutamanya
haruslah sentiasa melipatkan gandakan usaha mempromosikan Malaysia secara kerap agar
negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, pelancongan juga mampu menjana ekonomi
negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti serampang
dua mata. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi destinasi
pelancongan antarabangsa akan berterusan. jelaslah bahawa pelancongan adalah satu industri
yang sangat penting untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

Anda mungkin juga menyukai