Anda di halaman 1dari 8

IDEALISME KEINDAHAN DALAM SENI TAMPAK

1. Pendahuluan

Untuk mendapatkan gambaran yang adil berhubung idealisme keindahan dalam seni
tampak, perbincangan akan menjurus pada perkembangan seni kontemporari dengan
nilai estetik hasil seni tampak berbentuk ekspresif. Secara ringkasnya hasil seni
berbentuk ekspresif mengambil rujukan dari seni Abstrak dan Abstrak Ekspresionisme.
Tinjauan menunjukkan di awal abad ke-21 kemunculan idealisme keindahan
meletakkan semua lapangan seni sebagai suatu ekspresi perasaan.

Dalam kerja-kerja penghasilan seni, dinyatakan ada dua imej iaitu imaginasi dan
perasaan. Mainan perasaan yang lahir bersama imaginasi menjadi rapat dan sebati.
Imej-imej tampak yang digelar sebagai “imejan di bawah sedar”, yang bercelaru dan
tidak jelas menjadi paparan dalam karya-karya ekspresif. Walaupun begitu kesan emosi
yang melahirkan bentuk dapat membantu menyempurnakan imej-imej yang juga
membuka laluan untuk idea-idea intelektual berkembang. Keadaan ini dikatakan
sebagai “identity of intuition and expression”.

Perbezaan kedua-duanya antara mainan emosi dan gerak rasa hanya pada apa yang
tersurat yang menekankan emosi untuk melahirkan suatu perasaan. Gerak rasa yang
sedia untuk diekspresifkan telah difikirkan dalam suasana idealisme, menunggu untuk
diluahkan. Bentuk komunikasi tampak ini lebih kepada luahan yang ditunjuk dan
dizahirkan melalui imej tampak yang terpapar pada kanvas, kertas dan berbagai
bahantara lain.

2. Nilai Estetik Adalah Nilai Keindahan

Beberapa pendapat yang turut dikongsi antaranya oleh Croce dan Collingwood
menyimpulkan bahawa teori keindahan boleh diperhalusi dan mampu untuk pergi lebih
jauh lagi. Begitu sukar untuk dikembangkan sebarang teori tanpa dikaitkan dengan
teori-teori lain. Manakala bagi Kennick dan rakan-rakannya berpendapat nilai estetik
sebagai idealisme keindahan adalah sebahagian teori fundamental (lebih bersifat
dasar) yang berada dekat dengan kehidupan seharian. Sama ada ianya munasabah
dan berguna hanya boleh terjawab apabila timbulnya persoalan-persoalan yang
seumpamanya seperti apakah itu seni? Mengapakah ianya dikatakan seni? Untuk
apakah dan kepada siapakah yang layak untuk dinyatakan tentang seni?

Hal yang dijangka menjadi isu dan boleh disalahertikan ialah nilai estetik dalam seni
tradisional akan berbeza tafsiran apabila idealisme baru muncul. Merujuk pandangan
Kennick, Parkewr dan Bell nilai indah dalam seni tradisional merupakan tanggapan
awal yang berbeza pendapat dengan idealisme baru. Istilah dan nilai seni tradisional
yang dihujahkan oleh Kennick adalah diguna ke atas karya-karya seni bersandarkan
1
pengalaman semulajadi. Apabila seni tampak berkembang dalam arus zaman,
pendekatan, gaya dan idealisme telah berubah. Nilai idealisme keindahan yang
dikatakan berkait dengan gerak rasa ekspresif diri mulai disemarakkan oleh pendokong-
pendokong baharu dalam dunia seni.

Kennick bersandarkan imaginasi dengan banyaknya objek tampak yang berbentuk


mimpi di bawah sedar, khayalan, tafsiran makna yang lebih ke arah tersirat, main-
mainan bentuk yang misteri dizahirkan dalam kerja-kerja seni. Kesukaran dalam
meletakkan imaginasi tersebut sudah dikesan sejak tahun 1950-an. Keadaan yang
mengelirukan orang ramai dalam membuat definasi telah berpanjangan dengan satu
demi satu tafsiran definasi dibahaskan. Sebagai suatu istilah berbagai konotasi
kalaupun tidak mengelirukan tetapi mungkin membuntukan.

Merujuk kepada pandangan Bell yang terkenal dengan penemuan kaedah ekspresi seni
melalui istilah “significant form” dan penemuan ini boleh membantu menyempurnakan
definasi seni. Dijelaskan “significant form” dan “expression” dianggap oleh setengah
pihak sebagai jalan tengah dalam menyempurnakan definasi seni antara seni
tradisional dan seni era kontemporari. Orang ramai tidak begitu jelas tentang istilah seni
itu sendiri. Istilah dan definasi seni itu perlu difahami dan dilihat dalam hubungan seni
dan budaya.

Manakala Susanne Langer mengkaji pergerakan falsafah estetik bersama idealisme


bentuk yang menglahirkan nilai estetik. Beliau menampilkan bentuk sebagai analisis
awal dalam idealisme keindahan. Melalui bentuk-bentuk, bidang seni akan ada
perkaitannya dengan kehidupan masyarakat.

3. Idealisme Seni Tampak Suatu Perkongsian

Masalahnya ialah tidak ada yang boleh membantu untuk menyokong tafsiran seni itu
sekiranya ianya tidak mewakili sesuatu zaman di mana pengaruh seni itu berkembang.
Salah faham ini boleh diperbetulkan supaya kefahaman tentang seni harus dianggap
sebagai suatu bahasa alam yang membawa makna umum berdasarkan pengalaman
dan boleh dikongsi oleh semua pihak. Perkongsian pengalaman ke atas objek-objek
seni yang estetik ini berkembang dalam satu zaman dan era tertentu.

Wittgenstein merujuk masalah ini sebagai suatu permainan yang berkait dengan
mencari makna. Dengan kepelbagaian perkataan, seni itu boleh dikongsi dalam semua
karya-karya seni untuk dipersetujui sebagai suatu bahasa alam. Perkongsian
pengalaman itu mempunyai kesinambungan dan memperkayakan lagi istilah keindahan
yang ada dalam alam semulajadi. Idealisme keindahan adalah idealisme alam
semulajadi yang dicipta begitu cantik untuk dikongsi dan dipelihara.

2
Namun jika kita terus bersetuju bahawa seni itu berkait dengan “ekspresi” yang telah
ditolak oleh setengah pihak kerana percubaannya untuk menjawab persoalan apresiasi
tidak menepati sasaran. Jawapan yang diberi tidak memenuhi kehendak sesuatu pihak
dan jawapan lain yang diekspresi sebagai seni pula yang diketengahkan. Hal ini
menyebabkan perbahasan tentang seni telah tidak menarik minat ramai. Analisis estetik
diandaikan sebagai seni yang mengelirukan sehingga ada dua pihak yang tertarik dan
tidak tertarik dengan seni. Penilaian yang indah dan hodoh telah menjadikan definasi
apa itu seni tidak dapat dicari maknanya yang tepat.

Persolannya adakah seni suatu yang lahir secara ekspresif? Soalan-soalan lain akan
menyusul seperti, apakah maknanya yang dapat difahami dari hasil-hasil seni yang
diekspresifkan? Adakah ianya dapat menyempurnakan luahan emosi? Kesimpulannya
secara langsung boleh mengubah keadaan analisis estetik yang cuba dilakukan oleh
Croce yang dianggap suatu usaha ideal yang meletakkan seni begitu ekstrim. Usaha ini
telah menarik minat masyarakat untuk dikaitkan dengan pelbagai persoalan yang
berhubungkait dengan persoalan ekspresif estetik dengan tumpuan arah kepada kesan
emosi. Maka setiap persoalan nilai indah dan estetik dari sejarah awal berkembang
menjadi seni ekspresif merupakan suatu perkongsian emosi.

Susanne Langer yang mengkaji pergerakan falsafah estetik melihat dari segi karya-
karya yang menampilkan bentuk. Beliau mengandaikan semua jenis seni mempunyai
sesuatu penampilan bentuk yang berkait langsung dengan hal ehwal masyarakat.
Akhirnya pendapat beliau telah diterima dengan kenyataan untuk mencari kesatuan
perlu diyakini bahawa dalam setiap bidang seni akan ada perkaitannya dengan
kehidupan masyarakat dan terdorong merangsang minda masyarakat ke arah positif.
Dari perkaitan ini sudah membuktikan idealisme keindahan adalah suatu perkongsian.
Jelas dari pandangan ini definasi seni yang ditemui secara ilmiahnya boleh menerima
bahawa seni menampilkan bentuk ialah penglahiran idea melalui gerak rasa ekspresif.
“Karya seni adalah hasil ciptaan kreatif yang ekspresif ke atas bentuk-bentuk. Ciptaan
kreatif yang dizahirkan mengikut persepsi masing-masing melalui imaginasi dan kesan
rasa dari kehidupan manusia”.

Susanne Langer begitu berhati-hati meletakkan makna dan kesan maknanya ke atas
hasil seni itu. Bagaimana seni itu dapat mendorong manusia meluahkan kesan rasa
masing-masing. Dalam teori ekspresi seni dirujuk pada simbol yang terdapat dari
bentuk yang diekspresifkan. Simbol yang berkait dari bahagian ke bahagian lain secara
simbolisme. Hasil seni menjadi satu simbol kepada perasaan. Dengan melahirkan
sesuatu yang nampak dan tidak nampak yang berada dalam bentuk dan perasaan
maka seni itu mudah difahami melalui simbol tertentu. Hujah ini diterima ramai kerana
dalam seni kontemporari kewujudan simbol yang disejagatkan membawa makna dan
kefahaman bagi semua orang secara universal.

3
Stephen Davies membawa ke depan perkara yang rumit ini. Seni sebagai suatu bahasa
emosi maknanya boleh difahami melalui pendengaran, penglihatan, sentuhan (muzik,
filem, seni tampak, arca). Sebagai pendengar, pemerhati dan penikmat seni akan
menerima maknanya secara formal melalui gerak rasa. Untuk memahaminya akan
dicari sama ada melalui pendengaran, penglihatan dan sentuhan. Pencarian ini akan
menemui jawapannya kepada maknanya yang dapat dikaitkan dengan kehidupan.

Secara semulajadinya disebalik seni itu mengandungi makna yang tersendiri dan
menyentuh perasaan. Kesan yang dapat dilihat seperti sedih tanpa menghadirkan
kesedihan. Seni yang dihasil dan digubah itu berdasarkan pengalaman dan emosi akan
berada dekat dengan diri manusia.

Pihak yang masih menegakkan nilai ekspresi dalam karya seni telah
mengeksploitasikan objek-objek yang diambil dari bahan organik dan bukan organik.
Ada yang menampilkan nilai seni yang ekspresif sehingga dikutip objek yang sudah
tidak bernyawa diawet dan dijadikan karya seni. Nilai ekspresi seni bersama fungsi-
fungsinya menggambarkan secara semulajadi dalam bentuk kemampuan atau
kecenderungan minat untuk menampilkan imej dan bentuk sebagai simbol.

Simbol telah dijadikan suatu penggambaran semula sehingga bertahap tinggi. Karya
seni dikatakan berkemampuan membuka ruang kebebasan untuk tatapan umum. Nilai
ekspresi sebagai bentuk yang kompleks akan dirujuk dan diberi makna berdasarkan
simbol.

Dalam karya Cezanne yang menggambarkan semula “Mont Sainte Victoire”


menunjukkan nilai semantik (kajian tentang makna perkataan) sebagai fakta yang
menunjukkan gunung di Perancis. Dalam beberapa edisi lukisan-lukisan tersebut ianya
menonjolkan dominasi warna biru. Keutamaan warna kebiruan yang disederhanakan
sehingga melahirkan berbagai mood. Elemen seni dalam bentuk warna ini bukan
sekadar menonjolkan kesan jalinan malah mainan warna menampilkan kekuatan
bentuk, saiz dan diterima sebagai simbol. Karya-karya lain juga akan terikut apabila
suatu sudut atau elemen seni itu diutamakan sebagai tumpuan. Dengan penggunaan
warna biru bukanlah suatu titik pengenalan kepada lukisan Cezanne kerana lukisan
beliau dari segi lain perlu dirujuk berasaskan pokok pangkal pengalaman dan emosi
yang pernah dilalui. Warna biru itu hanya elemen simbol yang menjadi petanda untuk
mendapatkan titik perkongsian apabila penilaian semantik digabungkan dalam
idealisme keindahan.

Beberapa contoh karya seni tampak berbentuk ekspresi diubahsuai dan dinilai kembali.
Perbezaaan antara nilai ekspresi dengan bentuk-bentuk yang telah diubahsuai
melahirkan nilai ekspresi baharu dalam bentuk metafora (pemakaian kata-kata yang
menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna sebenar). Nilai
4
metafora itu berbeza tanggapannya dan kesimpulan maknanya juga turut berubah.
Pengubahsuaian dalam menggunakan elemen-elemen seni ini diterokai dalam seni
kontemporari dan dizahirkan secara ekspresif bagi mengajak khalayak berkongsi
idealisme keindahan yang disarankan.

Walaubagaimanapun mood yang hendak dilahirkan dalam karya-karya seni tampak itu
tidak boleh menjadi sama erti secara literal dengan lain-lain karya seni. Bahasa
komunikasi tampak dalam karya seni yang sebelum ini menunjukkan jurang telah cuba
didekatkan melalui bentuk metafora.

Apabila karya-karya seni tampak yang mengekspresifkan mood kesedihan,


pengalaman dan emosi itu boleh menjadi kebenaran bukan bererti ia dengan mudah
boleh memaksa orang bersedih. Karya-karya seni selain seni tampak yang menjadikan
hal bendanya menerusi objek-objek metafora yang boleh menghadirkan berbagai
pengalaman emosi dari kesan literal ini dapat memaksa orang lain merasai mood
kesedihan itu tetapi tidak dalam karya-karya seni tampak. Contoh dalam filem, lambang
dan objek-objek metafora dalam berbagai mood boleh mengajak audiens bersama
menghayati mood tersebut. Begitu juga dalam penulisan novel dan cerpen yang mampu
mengajak pembaca menjadi sebak, sedu, sayu, gembira dan sebagainya.

Secara tidak langsung pembuat seni tampak mempunyai pilihan dalam mereka cipta
karya berdasarkan pengalaman sebagai pemerhati. Bahasa seni tampak itu boleh
menyambut dan menerima luahan perasaan dalam karya-karya seni tanpa bantuan
makna-makna literal. Namun untuk turut menangis tidak mungkin terjadi. Hanya yang
uniknya perkongsian idealisme keindahan itu berada di puncak apabila mainan warna,
jalinan dan elemen-elemen seni yang dilain dieksploitasi dengan bijak. Hanya dengan
sapuan berus yang spontan boleh dinilai sebagai suatu karya berbentuk protes, agresif,
marah atau sebaliknya namun untuk mengajak audiens menjadi marah tidak akan
kesampaian. Akhirnya karya seni tampak dinilai dan diberi apresiasi dari sudut
kekuatan mengolah, kematangan bermain dengan teknik dan ekspresif diri pembuat
seni.

Karya ekspresi adalah suatu kebenaran dan tidak mengelirukan untuk dikenalpasti.
Melalui mainan perasaan sebagai pengalaman sebenar dalam kehidupan boleh dirasai
dan dikongsi. Pendapat lain juga bersandarkan nilai ekspresi yang dimasukkan dari
pengalaman berkaitan dengan objek-objek semulajadi yang pernah dilihat. Karya seni
yang bernilai ekspresi dapat difahami secara mudah apabila diperjelaskan secara
deskriptif (pernyataan berbentuk karangan) dan ungkapan verbal (berbentuk lisan)
dalam strukturnya yang tersendiri melalui sesi apresiasi akan membantu menonjolkan
objek-objek yang ada dalam pengalaman dan perasaan.

5
Kerja-kerja seni yang telah dibangkitkan kembali dengan segala kekuatan berasaskan
pengalaman emosi dapat berdiri sendiri walaupun diterima sebagai tidak logik. Karya-
karya sebegini dilebih dan diberatkan dengan elemen seni seperti mainan warna hingga
ke tahap kemabukan warna, kesan jalinan yang terlalu ekspresif melalui pelbagai media
jenis mudah lentur, digital, keras seperti logam bersama campuran pelbagai media,
garis kontur yang dinamik menjadikan pemerhati terpukau, unsur-unsur harmoni yang
silih berganti berupa mainan psikologi dan kesan kontra yang di luar kebiasaan sebagai
kriteria-kriteria yang menjadi intipati kepada karya-karya yang dihasilkan.

Sebagai karya yang memaparkan kesan tingkahlaku, tempias dari persekitaran


semulajadi dijelmakan melalui cerminan emosi walaupun secara tidak logik masih dapat
diterima berasaskan pengalaman. Kesesuaian nilai ekspresif itu tidak ditunjukkan
melalui air muka sebagai gambaran kesedihan, kepenatan atau tekanan. Fakta yang
jelas ialah sumber estetik itu indah dan penting dalam seni. Namun asas-asas nilai
ekspresif itu boleh difahami dan mudah ditafsir sekiranya karya seni itu ditampilkan
dalam stail tertentu sama ada ianya realis atau abstrak.

Kesukaran ini dapat diatasi melalui intuisi dan gerak hati. Hal ini telah dinyatakan dalam
beberapa teori persepsi tampak yang membantu khalayak mengamati seni secara
bebas melalui intuisi atau gerak hati.

Beberapa pihak yang menyokong isu ini dari sudut kognetif dan psikologi juga turut
bersetuju bahawa idealisme keindahan dalam seni tampak boleh dikongsi oleh
khalayak untuk menghayati nilai indah walaupun ianya berbentuk karya ekspresif.
Antaranya seperti maklumat tentang proses berkarya, dokumentasi sejarah seni,
himpunan catatan, lakaran idea, perlakuan tabiat pengkarya dari aspek psikoanalisis
dalam bentuk surat/catatan/memo dan koleksi mentah sebelum tercetusnya idea adalah
bahan yang boleh mencelik senikan masyarakat. Selain itu kesani gaya atau stail
melalui sapuan berus, mainan warna, jalinan dan olahan bentuk merupakan antara
persepsi kognetif yang boleh dikongsi. Perbandingan dengan karya-karya sezaman dan
gaya yang dianuti menjadi rujukan sejarah seni dan teori keindahan estetik merupakan
bahan penting menyelesaikan masalah yang berkisar dalam dunia seni ekspresif.
Segala dokumentasi diri peribadi pembuat seni dari aspek kognetif dan psikologi boleh
diterima menjadi suatu perkongsian dalam memahami idealisme keindahan.

6
4. Idealisme Keindahan: Pencarian Seni yang Indah dan Benar

Doktrinasi nilai estetik meletakkan keyakinan bahawa seni itu suatu yang indah. Di
sebalik keindahan itu suatu kebenaran yang diperkatakan sebagai nilai estetik.
Beberapa pemikiran cuba dikumpulkan dalam menyatakan definasi seni. Antaranya
Claude Levi-Strauss, Ferdinand de Saussure, Roland Berthes, Noam Chomsky dan
Jean Piaget. Nama-nama pemikir ynag disenaraikan ini lebih memahami seni sebagai
bentuk-bentuk logikal dalam pencarian seni yang indah dan benar.

Sebagai contoh salah seorang daripadanya iaitu Claude Levi-Strauss menyatakan


segala bentuk budaya diserap ke dalam struktur aktiviti sosial. Seni dalam budaya
menjadi sebahagian darinya dan berfungsi dalam aktiviti sosial yang saling melengkapi.

Levi-Strauss menyandarkan pendekatan beliau pada teori komunikasi, dialektif


Hegelian, linguistik struktural dan sedar kedudukan keindahan seni itu berubah dari
pengalaman sehingga kekal menjadi konvensi sosial.

Apa yang difikirkan dalam masyarakat tentang diri dan persekitaran menjadi suatu
kegiatan dalam mencetuskan idea. Jelmaan secara logikal idea-idea ini digambarkan
dalam pencarian seni. Dalam pencarian itu, seni ditimbulkan menjadi indah dan benar.
Aktiviti sosial dijadikan objek dan ditunjukkan dalam lukisan, arca dan lain-lain artifak
seni. Warna-warna dalam lukisan ditafsir sebagai idealisme keindahan yang dikatakan
muncul secara semulajadi. Begitu juga unsur-unsur alam diserapkan dengan sifat
semulajadi dalam pengolahan bahan bagi menegakkan bahawa seni itu indah dan
benar.

Apabila Abstrak Ekspresionisme mulai berkembang idealisme keindahan turut ditafsir


kembali. Levi-Strauss merumuskan bahawa lukisan Abstrak terus berkembang dengan
mengambil alih fungsi dekorasi yang membawa idea keindahan ditafsir secara semiotik
(kajian tentang tanda dan lambang, hubungan dengan idea yang dimaksudkan).
Dengan satu bahasa tampak ianya tidak dapat disembunyikan dan boleh wujud dalam
semua bahagian. Antara makna keindahan dalam alam semulajadi silih berganti dalam
budaya. Akhirnya Levi-Strauss melihat bahawa kebenaran seni yang indah dalam
semua budaya akan berubah dalam bentuk pemikiran dan konvensi. Masa yang
menyebabkan berubahnya budaya dan berubahnya pencarian seni namun
idealismenya masih tetap indah dan benar.

Penutup
7
Persoalan berhubung idealisme keindahan telah menemukan kita dengan beberapa
perbahasan. Dari jalur sejarah dan pemikiran tentang nilai keindahan, persoalan
idealisime ekspresif dalam seni tampak bukan mudah untuk ditolak. Idealisme ekspresif
sebenarnya memudahkan kita untuk mendekati beberapa teori seni lain yang secara
umumnya menjadikan seni itu sedia berkembang menempuh cabaran. Teori-teori seni
secara semulajadinya akan sedia berkembang menjadi lebih kompleks, mencabar dan
menarik minat untuk dibahaskan namun dalam ruang yang sempit. Disebabkan lebih
banyak persoalan lain yang diuruskan dari sudut falsafah yang berkait dengan
idealisme dalam kebenaran kerja-kerja artistik maka isu yang sama, kandungan yang
serupa akan dibangkitkan lagi untuk perkembangan seni artistik dilahirkan semula.

Rujukan:

Contemporary Philosophy of Art. Reading In analytic Aesthetics. Edited by John W.


Bender, Ohio University, New Jersey: Prentice Hall, englewood cliffs, 1993.

James O. Young, Art and Knowledge, London: Routledge Taylor & Francis Group,
2001.

Jack Burnham, The Structure of Art, New York: George Braziller, 1973.

Langer, Susanne K., Philosophy in a New Key, Cambridge, Mass., Harvard University
Press, 1951.

Tilghman, Benjamin, Wittgenstein, Ethics and Aesthetics, Basingstoke, Macmillan,


1991. Walsh, Dorothy, “The Cognitive Content of Art”, Philosophical Review, 1943, vol.
52, 433-51

___, ‘Art, Knowledge, and Exemplification’, British Journal of Aesthetics, 1999, vol.39,
126-37

Anda mungkin juga menyukai