Anda di halaman 1dari 4

RAJA BADARIYAH

Cendekiawan Istana Riau


Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RAJA Badariyah binti Raja Muhammad Tahir bin Tengku Abdullah, Yang Dipertuan
Muda Riau ke IX adalah seorang pengarang, yang menulis karya berjudul Adab al-Fatah,
tahun selesai penulisannya tidak dinyatakan. Cetakan pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah,
Singapura 1344 H/1925 M. Raja Badariyah adalah adik dan murid Raja Muhammad Sa'id
bin Raja Muhammad Tahir. Beliau berkahwin dengan saudara sepupunya, Raja
Ali/Tengku Selat. Daripada perkahwinan itu beliau dikurniakan anak, Raja Fatimah.
Keturunannya ramai di Singapura dan Malaysia. Mengenai Raja Ali/Tengku Selat dapat
dirujuk dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 29 November 2004,
Seksyen 3 halaman 9. Mengenai orang tuanya, Raja Muhammad Tahir dapat dirujuk
dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 25 Oktober 2004, Seksyen 3,
halaman 10.
Sumber asli
Raja Badariyah adalah seorang 'alimah, termasuk tokoh perempuan Riau-Lingga yang
penting. Ketika beliau akan meninggal dunia, Raja 'Umar bin Raja Hasan, saudara
sepupunya dari sebelah ibunya, mencatat dengan lengkap riwayatnya, yang dimuatnya
dalam satu jurnal. Kemudian jurnal tersebut disalin oleh Raja Ali/Tengku Selat. Di bawah
ini saya transliterasikan daripada salinan Raja Ali/Tengku Selat itu, sebagai berikut:
"Disalin daripada jurnal almarhum Raja Umar, dengan khatnya sendiri. Pada 10
Rabiulawal, malam Ahad 71/2 (7.30, pen:) 1347 (Hijrah) bersamaan 26 Ogos 1928
(Masihi), datang Husein bin Raja Abdullah disuruh Tengku Ali memberi khabar kepada
hamba menyatakan Raja Badariyah uzur benar. "Jika hendak berjumpa segeralah
datang !". Padahal alhaqir di dalam sakit dada dan belikat, belum dapat bangun.
Maka telah dijawab, "Baiklah!". Sejurus hamba pun berkhabar kepada ahli hamba Raja
Khazanah, "Baik kita naik ke darat bawa sekali anak-anak, dan tidur di sana sekali kerana
Encik Badariyah itu berat sakitnya." Jawabnya, "Baiklah!" Terus mencari motokar. Pukul
8 datang lagi Husein berkhabar bertambah uzur Raja Badariyah. Maka hamba pun turun
ke motokar serta anak-anak isteri. Kami ke rumah besar Batu Lima . Hamba lihat Raja
Badariyah terlantar sakit di sebelah luar majlis rumah itu dihadapi oleh suaminya Tengku
Ali, dan bondanya, Raja Maimunah, dan bonda saudaranya, Raja Putri, dan kerabatkerabat lelaki dan perempuan, dan isi rumah hadir semuanya. Iaitu hal keadaan ingat dan
kenal akan hamba datang dan yang datang kemudian daripada hamba daripada kerabat
dan lain-lainnya, dan di dalam berkata memberi nasihat kepada sekalian yang hadir.
"Kalau ia mati janganlah ia ditangiskan kerana semua yang bernafas merasai mati."
Hutang
Dan mana-mana hutangnya terutama hutang beras disuruhnya Tengku Ali membayarnya.
Dan berulang-ulang meminta ampunkan segala dosanya kepada suaminya, Tengku Ali

dan ibunya, Raja Maimunah, dan ibu saudaranya, Raja Putri dan Raja Umar, Raja Andi,
Raja Manshur dan kepada sekalian yang hadir. Maka semuanya mengaku memaafkan.
Dan hamba berkhabar kepadanya, "Ingat-ingatlah, kita di dalam sihat dilebihkan takut
daripada harap. Tetapi di dalam sakit lebihkan harap kepada Allah dan taubat daripada
sekalian dosa." Jawabnya, "Patik turutlah dan harap tempat patik di dalam jannah.
Doakan patik!"
Dan dibacakan Yasin oleh suaminya, Tengku Ali dengan hafaz, maka diikutinya. Dan
mana tersalah baca oleh Tengku Ali diperbetulkannya hingga akhirnya. Kemudian
berulang-ulang mengucap ia berpuluh-puluh kali "Asyhadu an la ilaha illallah wa
asyhadu anna Muhammadar Rasulullah" dengan maknanya. Dan bertanya pula,
"Betul(kah) tidak?"
Apabila sudah dijawab betulnya, berulanglah ia mengucap pula. Kemudian meminta
ampunkan segala dosanya dan beberapa kali pula. Ingat sangat ia akan kerabat-kerabat
hampir, jauh. Dipintanya Tengku Ali memeliharakan baginya yang telah lalu jua, jangan
berubah-ubah apa lagi ibunya dan ibu saudaranya, Raja Putri, dan isi rumah semuanya.
Jawab Tengku Ali, "Insya-Allah Taala, mana-mana sekuasanya. Dan tolonglah awak
doakan, mohonkan kepada Allah Taala akan keselamatan sekalian kerabat-kerabat kita
semuanya!"
Maka ia pun mengangkatkan kedua-dua belah tangannya dengan membaca doa yang
panjang dengan bahasa Arab memohonkan keselamatan dirinya dan segala kerabatnya
semuanya. Kemudian ia memberi selamat tinggal kepada yang hadir, istimewa kepada
Tengku Ali, Raja Andi, Raja Umar, ketiga-tiganya diakui sahabat padanya. Dan
mengingatkan, "Masa kita semua di dalam senang, sentosa semuanya di Riau, kemudian
ditakdirkan (oleh) Allah Taala keluar kita semua ke Singapura ini di dalam faqir dan
dagang. Sekarang alhamdulillah dengan sebab sabar kita, dapat kita semua keluasan."
Demikianlah, semalam-malaman ia tidur-tidur sebentar-sebentar kemudian mengucap
pula dan bercakap pula, "Janganlah susah-susah!" Nampak-nampaknya sahaja dia sakit,
tetapi tidak ada sakit apa-apa hanyalah pada pandangan ramai sahaja. Kemudian tidur
sebentar, bangun mengucap dan bercakap-cakap dan berpesan dengan suaminya,
(bahawa) apabila ia telah mati bila cukup setahun-setahun hendaklah ingat akan dia dan
mintakan ampun sekalian dosanya. Dan jangan memberat-beratkan diri menjamu orang
ramai atau memanggil orang-orang ramai bertahlil. "Memadailah dengan abang Ali
sahaja."
Kemudian mengucap dia dengan berulang-ulang. Akhirnya sehingga pukul 4.30, terlena
ia dengan tersenyum, maka diajar oleh Tengku Ali dengan talkin. Maka diturutnya
dengan fashahatnya tiada telor-telor, (ialah) "La ilaha illallah" sambil ia memalingkan
badannya dan mukanya ke sebelah kiblat dengan meletakkan tangannya ke atas paha
Tengku Ali. Maka inilah akhir ucapannya tiada ia berkata-kata lagi. Lebih kurang lima
minit kemudian, tersenyum mukanya, melayanglah rohnya mengadap hadrat Tuhan Yang
Maha Tinggi dengan nyatanya 'husnul khatimah'nya, insya-Allah Taala."

Raja 'Ali/Tengku Selat menutup catatannya dengan katanya, "Dan pada 27 Rabiulawal
1347 berbetulan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen:) pukul 121/4 waktu itulah
berlaku kudrat Allah Taala atas Raja 'Umar bin al-Marhum Raja Hasan Riau kembali ke
rahmatullah Taala. Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah,
Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap."
Petikan pemikiran
Raja Badariyah termasuk pemikir dalam usaha menerbitkan penulisan-penulisan Kerabat
Diraja Riau-Lingga, sewaktu mula-mula diasaskan Mathba'ah al-Usrah dan Mathba'ah
Al-Ahmadiah yang kedua-duanya di Singapura. Raja Badariyah bersama-sama Raja
Ali/Tengku Selat (suaminya) dan Raja 'Umar bin Raja Hasan (saudara sepupu keduaduanya) dengan mengambil tempat berfikir dan bekerja keras di nombor 50 Minto Road,
Singapura, iaitulah Mathba'ah Al-Ahmadiah.
Pada mukadimah Adab al-Fatah mengawali tulisannya, "Manakala telah menterjemahkan
oleh guruku dan saudaraku, yang aku kasihi akan kitab Adab al-Fata, dan dithaba' akan
dia akan thaba' yang pertama di dalam Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road,
Singapura, maka tergeraklah pula khatirku pada menterjemah Adab al-Fatah dan
menthaba' akan dia di dalam mathba'ah yang tersebut jua." Yang dimaksudkan dengan
perkataannya "guruku dan saudaraku" ialah Raja Muhammad Sa'id. Dari sini dapat
diketahui pendidikannya bahawa Raja Badariyah mendapat pendidikan sama dengan
golongan para putera dan puteri Diraja Riau-Lingga lainnya. Diriwayatkan bahawa Raja
Badariyah juga mendapat pendidikan langsung daripada ayahnya Raja Muhammad Tahir
bin al-Marhum Mursyid yang terkenal itu.
Kalimat Raja Badariyah dalam Adab al-Fatah sebahagian bertujuan ke arah pendidikan
akhlak, pada mukadimah beliau tulis ".Kehendakku menterjemahkan kitab ini kerana
anak-anak bangsaku yang dikasihi, dan tanah airku yang disayangi, istimewa pula
memelihara, dan mengajar, dan melatih, dan membiasakan kanak-kanak pada semula
jadinya dengan perangai yang elok dan tingkah laku yang baik. Itu adalah wajib
dipersungguhkan lebih daripada mengajar ilmu pengetahuan. "
Memperhatikan perkembangan zaman kita sekarang, bahawa sangat ramai orang berilmu
pengetahuan, tetapi tidak sedikit ilmu pengetahuan itu tidak bermanfaat pada dirinya dan
masyarakat disebabkan akhlaknya bejat atau tidak senonoh. Jalan pemikiran Raja
Badariyah mengenai yang tersebut patut diambil iktibar, oleh itu salinan kalimat beliau
selanjutnya perlu diperkenalkan.
Kata beliau, "Maka ilmu pengetahuan dengan tiada beserta perangai kepujian itu tiadalah
boleh diharap mendapat kejayaan di dalam tubuh perhimpunan manusia ini kerana selalu
kedapatan orang yang berilmu yang tiada baginya adab dan perangai yang baik.
Terkadang dengan ilmu yang semata-mata itulah yang menolong ia berbuat kejahatan."
Pandangan
Selanjutnya Raja Badariyah mengemukakan pandangan untuk saudara-saudara, dan

secara umum ditujukan kepada putera dan puteri bangsa Melayu, katanya, "Wahai segala
saudara-saudaraku dan segala anak bangsaku, belajarlah kamu dengan bersungguhsungguh, supaya tertanamlah perangai yang baik itu di dalam hati kita. Maka pengajaran
perangai itu atasnyalah peredaran ketuahan dan manfaat yang sebenar."
Ketepatan pandangan Raja Badariyah yang beliau tulis tahun 1344 H/1925 M, dapat kita
saksikan pada masa kini (1426 H/ 2005 M), yang mana pada zaman kita orang berlumbalumba dengan pelbagai kepandaian dan diakui banyak keberhasilannya. Walau
bagaimanapun ramai orang yang sedar akan kegagalan memperbaiki akhlak generasi
muda yang terlibat dalam banyak hal yang merosakkan diri sendiri dan masyarakat,
apatah lagi ditinjau dari sudut hukum syarak boleh dikatakan mengalami kegagalan.
Persoalan kecanduan atau ketagihan dadah, pergaulan remaja lelaki dan perempuan
secara bebas tanpa batas termasuk yang masih sukar dibendung. Apa yang disebut di atas
adalah sebagai cemeti untuk kita belajar, berfikir dan melaksanakan ajaran agama Islam
yang sangat menekankan supaya pelajaran akhlak atau berperangai elok didahulukan
sejak kanak-kanak masih kecil lagi. Kita belum terlambat, oleh itu marilah berjuang ke
arah berperangai yang baik demi menyelamatkan Islam yang dianut, bangsa dan negara
yang dicintai.

Anda mungkin juga menyukai