Anda di halaman 1dari 2

Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak

belakangan ini. Setiap hari terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini
telah menyebabkan pelbagai pihak berasa bimbang akan gejala tersebut. Pihak kerajaan
dengan pertubuhan bukan kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan
alam sekitar terpelihara. Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam masih lagi
berleluasa seolah-olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan mendalam, terdapat
beberapa langkah yang konkrit untuk menangani gejala ini.
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak
berwajib menghukum individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan
alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar
menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang
berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit
mencemarkan alam. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah
dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti
melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya
tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini
jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang
sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda
tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan
denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan
hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.
Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada muridmurid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah
pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar
pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam
mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan
untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang
belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar
dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka
akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti.
Langkah ini akan mengatasi gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata
pepatah melentur bulu biarlah dari rebungnya. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di
peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam.
Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu
melaksanakan kempen dengan lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling
berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat tentang pelbagai perkara. Pelbagai media
massa dapat digunakan untuk menjadi wadah penyampaian maklumat melalui kempen.
Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat dengan masyarakat. Pada

umumnya setiap rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu televisyen wajar
digunakan sebaik-baiknya untuk menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah
mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat khabar dan radio juga wajar
digunakan sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama ini
kempen yang dilaksanakan tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan
kempen tidak ubah seperti pahat dengan penukul. Adakalannya kempen yang dilaksanakan
bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang demikian, kempen yang lebih berkesan dan dijalankan
dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat mengatasi masalah
pencemaran alam sekitar jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua
pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat
dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke
pangkal lengan. Jika alam sekitar terus terabai, generasi akan datang pasti menghadapi
masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak
menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat mengatasi gejala pencemaran alam dengan
lebih berkesan kerana kelestarian alam tanggungjawab kita semua.

http://stpm-study.blogspot.com/2013/11/langkah-langkah-untuk-mengatasi.html

Anda mungkin juga menyukai