Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN MURID SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 16 MEI 2016

Terima kasih Pengerusi Majlis. Salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Puan Hamidah
Tamit, Guru Besar SK.Long Sebangang, Encik Dundang Bantin, Guru Penolong Kanan Kurikulum, Encik
Jamadil Bin Kassim, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan rakan sekalian. Saya sebagai
wakil murid, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini.
Hadirin sekalian,
Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi mengenang dan
menghargai jasa guru. Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Pada tahun ini, Guru
Pembina Bangsa dipilih sebagai tema Hari Guru. Tema ini amat bertepatan sekali dengan dunia
pendidikan sekarang yang amat mencabar untuk melahirkan murid yang lebih kreatif dan berinovasi.
Segalanya bermula daripada inspirasi seorang guru. Lantaran itu, marilah kita menghargai dan
mengingati jasa guru.
Rakan-rakan sekalian,
Insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat mencapai kejayaan haruslah
kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya. Seharusnya
jasa itu dikenang sepanjang hayat. Guru tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat membaca,
menulis dan mengira.
Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah menghormati guru.
Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala
nasihat dan bimbingan mereka.
Rakan sekalian,
Guru ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar sehingga kita berjaya.
Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan
pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah.
Wahai para guru yang kami sayangi, jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu
mendidik kami dengan sabar. Jasamu sungguh bererti kepada kami semua. Terima kasih, cikgu. Saya
akhiri ucapan saya ini dengan fragmen sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai