Anda di halaman 1dari 22

Book Manuscript

Prinsip Pengurusan Risiko dan Insurans (2nd edition)


Hendon Redzuan & Rubayah Yakob

Bab 4

KONTRAK INSURANS
Objektif Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, anda patut boleh:

Menerangkan kategori kontrak insurans dan tanggung jawab pihak-pihak


yang terlibat di dalam kontrak

Menerangkan syarat-syarat sah kontrak insurans

Menerangkan dokumen-dokumen yang terlibat di dalam kontrak insurans

Menerangkan ciri-ciri kontrak insurans yang membezakannya dengan


kontrak yang lain

Membincangkan bahagian asas polisi insurans

Menerangkan mengenai endorsmen, deduktibel dan koinsurans.

ontrak merupakan satu ikatan dan perjanjian yang sah. Semua perlindungan
insurans melibatkan kontrak. Apabila seseorang individu atau organisasi
memohon perlindungan insurans dan syarikat insurans bersetuju menawarkan
perlindungan, maka terbentuklah kontrak undang-undang antara kedua-dua pihak.
Kontrak insurans amat unik jika dibandingkan dengan kontrak-kontrak urus
niaga yang lain seperti pajakan, sewa beli dan kontrak jual beli barang-barang yang

BAB 4 KONTRAK INSURANS

dari segi aspek pemasarannya boleh disentuh, dilihat, dihidu dan dirasa. Kontrak
insurans melibatkan urus niaga barang yang tidak nyata (intangible). Oleh yang
demikian, prinsip-prinsip yang mendokong kontrak insurans dan ciri-ciri kontrak
insurans agak berlainan dengan kontrak-kontrak lain. Bab ini akan menghuraikan
tentang kontrak insurans secara ringkas. Kefahaman dalam bab ini amat penting
kerana ia merupakan asas dalam memahami konsep insurans.

Takrifan Kontrak Insurans


Kontrak insurans merupakan satu perjanjian undang-undang diantara insured dan
insurer. Di bawah kontrak insurans, insurer berjanji untuk memberikan perlindungan
insurans kepada insured selagi insured mematuhi syarat-syarat kontrak. Insured pula
bersetuju untuk membayar premium sebagai balasan kepada jaminan insurer.
Kedua-dua pihak insured dan insurer mempunyai tanggungjawab masingmasing yang perlu dipenuhi selagi kontrak insurans berkuatkuasa. Insured
dikehendaki memenuhi syarat-syarat kontrak, seperti membayar premium yang
ditetapkan, mematuhi prinsip-prinsip kontrak insurans dan mematuhi lain-lain syarat
dan terma yang ditetapkan di dalam kontrak. Insurer pula dikehendaki memberikan
perlindungan insurans iaitu membayar ganti rugi sekiranya berlaku kerugian yang
diinsuranskan.
Sekiranya ada pihak yang tidak memenuhi tanggungjawab sebagaimana yang
diperuntukkan di dalam kontrak, maka ia dianggap telah memungkiri kontrak.
Andainya pihak insurer memungkiri kontrak insurans, insured dibolehkan untuk
mengambil tindakan undang-undang ke atas insurer. Jika insured melanggari syaratsyarat kontrak, maka insurer pula dibolehkan untuk menolak tuntutan ganti rugi atau
membatalkkan perlindungan yang diberikan kepada insured.

Kategori Kontrak Insurans


Kontak insurans boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu:
Kontrak sah
Kontrak boleh batal
Kontrak batal

1.

Kontrak Sah

Kontrak sah (valid contract) adalah kontrak yang boleh dikuatkuasakan oleh
mahkamah. Mahkamah boleh menuntut pelaksanaan oleh pihak yang terlibat, atau
boleh mengarahkan supaya pihak yang cedera diberikan pampasan bagi kecederaan

BAB 4 KONTRAK INSURANS

yang dialaminya. Kesemua kontak yang sah mestilah mempunyai empat elemen yang
akan dibincangkan nanti iaitu tawaran dan penerimaan, pertimbangan, keupayaan
dan tujuan undang-undang.

2.

Kontrak Boleh Batal

Kontrak boleh batal (voidable contract) ialah kontrak yang memberikan pilihan
kepada satu pihak untuk membatalkan perjanjian disebabkan oleh tindakan pihak
satu lagi. Walau bagaimanapun, pihak yang mempunyai hak untuk membatalkan
kontrak boleh memilih supaya kontak terus dikuatkuasakan. Sebagai contoh, insured
telah cuba untuk menipu insurer dari segi fakta penting berkenaan risiko yang
dilindingi. Andainya penipuan ini diketahui, maka insurer tidak dituntut untuk
memenuhi tanggungjawabnya kerana insured telah melanggar syarat kontrak. Oleh
itu, kontrak ini boleh dibatalkan mengikut kehendak dan pilihan insurer. Maka kita
katakan bahawa kontrak dalam contoh ini adalah kontrak boleh batal.

3.

Kontrak Batal

Kontrak batal (void contract) ialah kontrak yang tidak sah sejak dari permulaan
tempoh kontrak, oleh itu mahkamah tidak akan menguatkuasakannya. Di dalam
bahasa latin kontrak batal diistilahkan sebagai void ab initio yang bermaksud tidak
sah daripada permulaan kontrak lagi. Ini boleh berlaku jika kontrak ini tidak
memenuhi kesemua ciri-ciri kontrak yang sah. Ciri-ciri kontrak yang sah akan
dibincangkan di bawah nanti. Sebagai contoh, jika kontrak insurans telah dibeli untuk
tujuan hal-hal yang melanggar undang-undang, maka kontrak ini adalah kontrak
batal. Begitu juga jika seorang yang diisytiharkan tidak siuman menyertai kontrak
insurans, maka kontrak yang terbentuk juga adalah kontrak batal. Mahkamah tidak
akan menguatkuasakan peruntukan dalam kontrak insurans jika berlaku perkara
yang menyebabkan kontrak tersebut menjadi kontrak batal.

Syarat Bagi Pembentukan Kontrak Insurans


Kontrak insurans dibentuk berasaskan kepada undang-undang kontrak. Untuk
membentuk kontrak insurans yang sah dan boleh dikuatkuasakan, terdapat empat
syarat yang perlu dipenuhi iaitu:
Tawaran dan penerimaan
Balasan
Pihak yang kompeten
Tujuan yang sah

BAB 4 KONTRAK INSURANS


1.

Tawaran Dan Penerimaan

Syarat yang pertama bagi kontrak insurans yang sah disisi undang-undang adalah
wujudnya tawaran dan penerimaan (offer and acceptance) terhadap perlindungan
insurans. Di dalam kontrak insurans, pemohon insurans membuat tawaran melalui
borang cadangan, dan syarikat insurans menerima atau menolak tawaran yang
dikemukakan. Pemohon insurans dikatakan membuat tawaran kepada syarikat
insurans apabila dia mengemukakan borang cadangan. Penerimaan berlaku apabila
insurer mengeluarkan polisi. Bukti penerimaan juga boleh dalam bentuk-bentuk yang
lain seperti surat penerimaan rasmi dan resit penerimaan premium. Terdapat
perbezaan terhadap syarat tawaran dan penerimaan dalam insurans harta dan
insurans hayat.
Dalam insurans harta, pemohon insurans biasanya mengisi borang cadangan
dan membayar premium kepada ejen. Langkah ini merupakan tawaran kepada
syarikat insurans. Dalam insurans harta, ejen biasanya diberi kuasa untuk menerima
tawaran bagi pihak syarikat insurans dan seterusnya menerima risiko yang hendak
dipindahkan oleh pemohon insurans melalui penggunaan pengikat, atau binder.
Binder adalah kontrak perlindungan sementara, dan ia membolehkan pemohon
insurans memindahkan risikonya kepada syarikat insurans walaupun polisi insurans
beum dikeluarkan. Oleh itu, kontrak insurans harta boleh dikuatkuasa dengan segera
kerana ejen boleh menerima tawaran pemohon insurans bagi pihak insurer.
Dalam insurans hayat, ejen tidak mempunyai kuasa untuk menerima tawaran
daripada pemohon insurans bagi pihak syarikat insurans. Oleh itu, permohonan
insurans perlu dipersetujui oleh insurer sebelum kontrak insurans hayat boleh
dikuatkuasakan. Iaitu tawaran daripada pemohon insurans perlu diterima oleh
syarikat insurans sendiri. Pemohon insurans akan mengemukakan borang cadangan
dengan premium pertama kepada ejen. Resit bersyarat (conditional receipt)
kemudiannya akan dikeluarkan kepada pemohon. Jika pemohon memenuhi syarat
kebolehinsuranan yang ditetapkan oleh insurer, maka kontrak insurans hayat
dikuatkuasakan bermula pada tarikh permohonan dikemukakan.

2.

Balasan

Syarat kedua bagi pembentukan kontrak insurans yang sah adalah balasan
(consideration). Balasan merupakan sesuatu nilai yang diberikan oleh setiap pihak
yang terlibat kepada satu sama lain. Balasan insured di dalam kontrak insurans adaah
bayaran premium dan persetujuan untuk emmatuhi semua syarat kontrak insurans.
Balasan yang diberikan oleh insurer dalam kontrak insurans ialah jaminan untuk
membayar ganti rugi sekiranya insured mengalami kerugian yang diinsuranskan.

BAB 4 KONTRAK INSURANS


3.

Pihak yang Kompeten

Untuk menjadikan kontrak insurans sah, setiap pihak yang memasuki kontrak
insurans mestilah kompeten disisi undang-undang. Ini bermaksud setiap pihak perlu
mempunyai kapasiti undang-undang (legal capacity) untuk memasuki kontrak
insurans. Kebanyakan orang dewasa adalah kompeten untuk memasuki kontrak
insurans, kecuali mereka yang di bawah pengaruh dadah atau alkohol, atau mereka
yang menghadapi masalah mental. Anak-anak minor dianggapkan tidak mempunyai
kapasiti undang-undang untuk memasuki kontrak insurans. Umur yang layak bagi
memasuki kontrak insurans ialah pada usia 16 tahun. Sekiranya anak-anak berumur
antara 10 sehingga 15 tahun berhasrat memasuki kontrak insurans, mereka
dikehendaki mendapat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.
Pihak insurer juga dikehendaki memenuhi syarat kompeten disisi undangundang. Syarikat insurans mestilah sebuah syarikat yang didaftar secara sah dan
diberi lesen oleh pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan insurans.

4.

Tujuan yang Sah

Kontrak insurans mestilah dibentuk bagi tujuan yang tidak menyalahi undangundang. Sesuatu kontrak insurans yang mengalakkan perkara-perkara yang
menyalahi undang-undang tidak boleh berkuatkuasa. Dengan perkataan lain,
perlindungan insurans yang diberikan mestilah tidak bertentangan dengan polisi
awam dan undang-undang negara. Sebagai contoh, insurans yang membayar ganti
rugi jika seseorang itu disaman kerana memandu melebihi had laju tidak boleh
dikuatkuasakan kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan undangundang.

Dokumen Yang Membentuk Kontrak Insurans


Kontrak insurans dibentuk oleh dua dokumen iaitu borang cadangan dan polisi
insurans. Kedua-dua dokumen ini akan diserahkan kepada insured sebagai bukti
perlindungan insurans.

1. Borang Cadangan
Borang cadangan (proposal form) adalah borang permohonan insurans. Borang ini
disediakan oleh syarikat insurans untuk dipenuhi oleh pencadang (proposer), iaitu
individu yang berhasrat untuk mendapatkan perlindungan insurans. Setelah diisi oleh
pencadang, borang ini perlu dikemukakan kepada insurer.

BAB 4 KONTRAK INSURANS

Borang cadangan mengandungi maklumat-maklumat tentang diri pencadang,


butir-butir perlindungan yang dipohon dan perkara yang hendak diinsuranskan. Bagi
permohonan insurans hayat, biasanya penjelasan mengenai keadaan kesihatan,
pekerjaan, hobi dan latar belakang kesihatan ibu bapa pencadang perlu dinyatakan
dalam borang tersebut. Bagi insurans harta pula, maklumat yang lengkap mengenai
harta yang bakal diinsuranskan seperti kenderaan, bangunan dan barangan berharga
perlu dimaklumkan kepada syarikat insurans.
Setelah borang cadangan dikemukakan kepada insurer, insurer akan
menjalankan proses pengunderaitan (underwriting) keatas cadangan tersebut.
Proses ini melibatkan pihak insurer membuat penilaian risiko berdasarkan maklumat
yang yang diberikan oleh pencadang. Berdasarkan penilaian yang dibuat, insurer
akan membuat keputusan sama ada perlindungan insurans akan ditawarkan atau
sebaliknya.

2. Polisi
Polisi insurans adalah satu dokumen yang mengandungi segala maklumat mengenai
perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat insurans. Polisi insurans juga merupakan
bukti perlindungan insurans yang diberikan oleh insurer kepada insured. Polisi
insurans menyatakan nama syarikat insurans, jenis perlindungan yang disediakan,
siapakah insured, apakah harta yang dilindungi, jumlah yang diinsuranskan,
premium, tempoh perlindungan dan lain-lain termasuk syarat-syarat dan
pengecualian polisi. Sekiranya insured mengemukakan tuntutan kepada insurer,
maka insured dikehendaki menyerahkan polisi sebagai bukti perlindungan.

Kontrak Insurans Sementara


Polisi insurans akan dikeluarkan setelah permohonan insurans diluluskan oleh
syarikat insurans. Walaubagaimanapun terdapat kes-kes tertentu yang polisi belum
dapat dikeluarkan tetapi perlindungan melalui kontrak sementara telah diberikan
oleh insurer kepada insured. Oleh itu, terdapat dua jenis dokumen yang membentuk
kontrak insurans sementara sebelum polisi dikeluarkan iaitu
Pengikat
Resit bersyarat.
(a) Pengikat
Bagi insurans harta, kontrak sementara sebelum polisi insurans dikeluarkan dikenali
sebagai pengikat (binder). Walaupun ia adalah berbentuk kontrak sementara tetapi

BAB 4 KONTRAK INSURANS

ia mesti memenuhi semua syarat untuk kontrak sah. Setelah borang cadangan
dikemukan dan insurer meluluskan permohonan insurans, maka pengikat akan
dikeluarkan sebagai bukti sementara perlindungan. Dengan perkataan lain, pengikat
merupakan dokumen yang dikeluarkan untuk memberikan perlindungan serta merta
sementara menunggu proses pengeluaran polisi oleh insurer.
Satu contoh pengikat ialah nota lindung (cover note) yang biasanya diberi
tempoh sah selama 30 hari atau kurang. Dalam tempoh ini insurer akan
mengeluarkan polisi. Selepas dari tempoh ini nota lindung sudah dianggap tidah sah
untuk dijadikan bukti perlindungan insurans. Oleh itu, insured perlu mengetahui
kedudukan status nota lindung, sekiranya polisi masih belum diterima selepas
tempoh 30 hari, insured perlu merujuk kepada insurer berkenaan polisi insurannya
bagi mengelakkan sebarang masalah andainya tuntutankerugian perlu dibuat.
Melalui sistem komputer dan electronic data processing yang canggih pada hari ini,
kebanyakan syarikat insurans dapat mengeluarkan polisi dengan segera selepas
borang cadangan dikemukakan.
(b)

Resit Bersyarat

Berbeza dengan insurans harta yang menggunakan pengikat sebagai bukti sementara
perlindungan, insurans hayat menggunakan resit bersyarat (conditional receipt)
sebagai bukti sementara perlindungan. Hal ini sedemikian kerana ejen insurans hayat
tidak mempunyai kuasa untuk mengikat syarikat insurans mereka secara undangundang. Sungguhpun begitu, perlindungan sementara melalui pengeluaran resit
bersyarat ini bergantung kepada keupayaan pemohon insurans untuk memenuhi
syarat boleh insurans yang ditetapkan oleh insurer.
Resit bersyarat dikeluarkan oleh insurer setelah borang permohonan dan
bayaran premium pertama diserahkan oleh pemohon insurans. Resit ini boleh
dikeluarkan melalui kakitangan kaunter atau ejen-ejen insurans. Sebelum resit ini
boleh dikeluarkan, pemohon insurans perlu memastikan segala maklumat yang
terkandung dalam borang cadangan adalah lengkap bagi tujuan pengunderaitan atau
penilaian risiko.
Walau bagaimanapun, pemohon insurans tidak semestinya diberikan
perlindungan insurans walaupun resit bersyarat telah dikeluarkan. Perlindungan
insurans akan hanya diberikan sekiranya pencadang dapat mengemukakan bukti
boleh insurans (evidence of insurability) seperti yang dikehendaki oleh syarikat
insurans. Bukti boleh insurans melibatkan fakta atau bukti bagi membolehkan insurer
bersetuju untuk menawarkan perlindungan insurans. Dalam insurans hayat, bukti
terpenting adalah yang berkaitan dengan keadaan kesihatan pemohon insurans dan
lain-lain bukti seperti status kewangan, pekerjaan, hobi dan sejarah kesihatan ibu
bapa. Sekiranya proses pengunderaitan menunjukkan pencadang memenuhi syarat

BAB 4 KONTRAK INSURANS

bukti boleh insurans yang dikehendaki, barulah polisi akan dikeluarkan, dan
perlindungan berkuatkuasa bermula seperti tarikh resit bersyarat dikeluarkan.
Sebaliknya, jika pencadang gagal mengemukakan bukti boleh insurans, maka polisi
tidak akan dikeluarkan dan premium yang telah dibayar akan dipulangkan semula.

Ciri-Ciri Kontrak Insurans


Kontrak insurans mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dengan
kontrak-kontrak lain. Ciri-ciri utama kontrak insurans adalah
Aleatori
Unilateral
Bersyarat
Peribadi
Kesertaan

1.

Kontrak Aleatori

Kontrak aleatori (aleatory contract) adalah kontrak yang boleh melibatkan


pertukaran nilai kewangan yang tidak sama diantara pihak-pihak yang memasuki
kontrak, bergantung kepada berlakunya sesuatu peristiwa tertentu. Obligasi pihak
yang terlibat seperti yang diyatakan di dalam kontrak hanya perlu dipenuhi jika
berlaku peristiwa tersebut.
Insurans adalah kontrak aleatori yang mana pihak-pihak yang terlibat sedia
maklum dari awal lagi bahawa nilai kewangan yang ditukar diantara mereka tidak
akan sama. Seseorang insured boleh menerima ganti rugi yang lebih tinggi atau lebih
rendah daripada premium yang dibayarnya untuk perlindungan. Dan ganti rugi akan
hanya dibayar oleh insurer jika berlaku peristiwa yang dilindungi oleh insurans,
misalnya kematian atau kerosakan harta. Sebagai contoh, Lim baru membeli polisi
insurans kereta yang bernilai RM80,000 dengan premium RM700. Katalah tidak lama
selepas membayar premium, kereta Lim hilang akibat dicuri. Maka Lim akan
menerima gantirugi yang jauh lebih besar daripada premium yang dibayarnya.
Sebaliknya, Lim mungkin membayar premium untuk tempoh yang lama dan tidak
mengalami kerugian keatas keretanya. Oleh itu dia tidak menerima apa-apa ganti rugi
daripada insurer dan wang premiumnya juga tidak akan dipulangkan. Sungguhpun
tiada ganti rugi dibayar jika tiada kerugian yang diinsuranskan berlaku, insured
sebenarnya menikmati perlindungan dalam bentuk jaminan dari insurer untuk
dibayar gantirugi jika kerugian yang dilindungi berlaku.

BAB 4 KONTRAK INSURANS


2.

Kontrak Unilateral

Kontrak unilateral bermaksud hanya satu pihak sahaja yang membuat janji yang
boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang. Di dalam kontrak insurans, hanya
pihak insurer sahaja yang membuat janji yang boleh dikuatkuasakan secara undangundang (legally enforceable promise). Janji yang dibuat oleh insurer adalah untuk
membayar tuntutan jika berlaku kerugian yang dilindungi atau untuk memberikan
perkhidmatan lain kepada insured. Perlanggaran kontrak (breach of contract) boleh
berlaku jika pihak insurer gagal untuk memenuhi janjinya. Insured dibenarkan untuk
mengambil tindakan undang-undang melalui tuntutan mahkamah jika insurer
mungkir kontrak. Tuntutan mahkamah untuk mungkir kontrak insurans adalah satu
tindakan sivil (civil action) yang dibuat oleh insured keatas insurernya bagi
mendapatkan remedi yang berpatutan.
Selepas insurd membayar premium pertama dan kontrak insurans
dikuatkuasakan, insured tidak boleh dipaksa untuk membayar premium seterusnya
atau untuk mematuhi syarat-syarat kontrak. Walau bagaimanapun, jika insured
meneruskan pembayaran premium dan mematuhi syarat-syarat kontrak, maka
insured akan terus diberikan pelrindungan insurans dan akan dibayar ganti rugi jika
berlaku kerugian yang dilindungi. Namun, insured tidak boleh dipaksa secara undangundang untuk meneruskan pembayaran premium. Jika premium terus dibayar oleh
insured, maka insurer mesti menerimanya dan mesti terus memberikan
perlindungan seperti yang dijanjikan di dalam kontrak insurans. Oleh itu, kontrak
insurans adalah kontrak unilateral kerana hanya pihak insurer saya yang boleh
diambil tindakan mahkamah jika gagal memenuhi obligasinya. Jika insured gagal
memenuhi tanggungjawabnya, contohnya gagal membayar premium, insurer tidak
boleh mengambi ltindakan undang-undang untukmemaksa insured membayar
premium. Insurer hanya sekadar boleh menolak tuntutan atau membatalkan
perlindungan.

3.

Kontrak Bersyarat

Dalam insurans, kontrak bersyarat (conditional contract) bermaksud kontrak yang


mana obligasi insurer untuk membayar tuntutan bergantung kepada insured atau
waris mematuhi syarta-syarat kontrak insurans. Syarat (conditions) adalah
peruntukan tertentu yang dinyatakan di dalam polisi yang perlu dipenuhi oleh
insured sebelum ganti rugi boleh dibayar oleh insurer. Syarat kontrak insurans
biasanya mengenakan tanggungjawab tertentu kepada insured sebelum insurer
membayar ganti rugi. Insurer tidak diwajibkan untuk membayar gantirugi jika syarat
kontrak insurans gagal dipenuhi.

BAB 4 KONTRAK INSURANS

10

Syarat di dalam polisi insurans menetapkan terma untuk perlindungan


insurans terus diberikan oleh insurer. Dalam sesetengah kes, syarat kontrak
mewujudkn tanggungjawab tertentu kepada insured, misalnya perkara-perkara
tertentu perlu dilakukan oleh insured untuk memboleh insurer memproses tuntutan
dengan lebih efisien. Sebagai contoh, insured dikehendaki untuk memaklumkan
kepada insurer dengan segera mengenai kerugian yang berlaku, atau insured
dikehendaki untuk memberikan kerjasama dalam memyediakan maklumat yag
diperlukan untuk menentukan amaun kerugian sebenar yang berlaku.

4.

Kontrak Peribadi

Kontrak insurans adalah kontrak peribadi (personal contract) yang bermaksud


kontrak yang dibentuk jelas melibatkan pihak insured dan insurer yang dinamakan di
dalam kontrak. Oleh itu, kontrak insurans tidak boleh dipindahkan secara bebas
kepada pihak lain. Apabila insured dan insurer memasuki kontrak insurans, salah
satu perkara yang telah mereka persetujui adalah untuk menjalankan urusan
insurans sesama mereka. Setiap pihak telah mempertimbangkan ciri-ciri dan karakter
pihak yang satu lagi. Sudah pasti, kedua-dua pihak tidak mahu ada pihak lain yang
menggantikan mereka dalam kontrak yang telah dibentuk. Jika insured dibenarkan
untuk memindahkan kontrak insurans kepada individu lain secara bebas, ini boleh
mendedahkan insurer kepada risiko yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, katalah Sammy membeli insurans daripada Syarikat A.
Syarikat ini pastinya sudah menilai risiko yang dibawa oleh Sammy dan sudah
membuat keputusan bahawa Sammy memenuhi syarat pengunderaitan yang
ditetapkan. Jika Sammy menjual keretanya kepada Yusof, Sammy tidak boleh secara
automatik juga memindahkan perlindungan insurans keretanya kepada Yusof.
Insurer mahukan hak untuk memilih siapakah yang layak untuk diberikan
perlindungan insurans. Begitu juga, jika Sammy memilih untuk membeli insurans
kereta daripada Syarikat A, ini adalah kerana dia telah menilai reputasi dan kualiti
perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat ini. Sammy pastinya tidak mahu kontrak
insuransnya dipindahkan kepada Syarikat B yang tidak diketahui tentang reputasi dan
kualitinya.
Penyerahan hak (assignment) mengambarkan situasi yang mana satu pihak
memindahkan hak dan tanggungjawabnya di bawah sesuatu kontrak kepada pihak
lain. Penyerahan hak boleh dibuat keatas kontrak insurans hanya jika insurer
memberikan persetujuannya. Insurer mempunyai hak untuk menolak penyerahan
hak jika kepentingan mereka boleh terjejas. Oleh itu, dalam insurans harta,
penyerahan hak hanya boleh dilakukan jika pihak insurer memberikan persetujuan.
Jika sesuatu harta dijual, pemilik yang baru mungkin tidak memenuhi syarat
penguderaitan yang ditetapkan oleh insurer. Oleh itu, persetujuan insurer perlu

BAB 4 KONTRAK INSURANS

11

diperolehi sebelum sesuatu insurans harta dipindahkan kepada orang lain. Berbeza
pula di dalam insurans hayat, polisi insurans hayat boleh diserahkan secara bebas
dengan syarat insurer dimaklumkan dengan jelas. Penyerahan hak dalam insurans
hayat tidak mengubah individu yang dilindungi oleh insurans, hanya mengubah pihak
yang mempunyai hak pemilikan keatas polisi tersebut, misalnya hak untuk membuat
pinjaman polisi atau untuk menamakan waris.

5.

Kontrak Kesertaan

Kontrak kesertaan (contract of adhesion) adalah peraturan yang berkaitan dengan


undang-undang insurans yang menyatakan bahawa sebarang kekaburan di dalam
kontrak insurans akan ditafsirkan secara menentang syarikat insurans (any
ambiguities found in an insurance contract will be construed against the insurer).
Pihak insured perlu menerima kontrak insurans yang dibentuk secara
keseluruhan, termasuk semua syarat dan terma yang dinyatakan di dalam kontrak;
oleh itu jika terdapat kekaburan di dalam kontrak, ia ditafsirkan dengan memihak
kepada insured dan menentang syarikat insurans. Kekaburan di dalam kontrak
bermaksud sebarang perkataan atau ayat yang yang digunakan di dalam kontrak
insurans yang terdedah kepada lebih daripada satu interpretasi.
Kontrak insurans dirangka dan ditulis sepenuhnya oleh pihak insurer. Pakar
undang-undang dan pakar insurans yang bekerja dengan syarikat insurans merangka
kontrak insurans. Biasanya banyak terma-terma dalam polisi insurans yang tidak
mudah difahami oleh orang kebanyakan. Kesemua skop perlindungan, syarat-syarat
serta pengecualian yang terkandung di dalam kontrak telah ditetapkan oleh insurer.
Pihak insured perlu menerima keseluruhan dokumen dan tidak boleh mengubah
sesetengah peruntukan untuk memenuhi keperluan insured. Walaupun kontrak
insurans boleh diubahsuai melalui penggunaan rider dan endorsmen, ia tetap
disediakan oleh pihak insurer tanpa mengambil kira pandangan insured. Oleh itu,
insurer dikatakan mempunyai bargaining power di dalam merangka kontrak
insurans.
Pengetahuan insurans dan bargaining power yang yang dimiliki oleh insurer
dilihat sebagai kelebihan yang ketara berbanding dengan insured. Untuk
menyelaraskan ketidak-seimbangan ini, undang-undang menetapkan bahawa
sebarang kekeliruan atau ketidakpastian di dalam kontrak insurans akan ditafsirkan
secara memihak kepada insured dan menentang insurer. Jika ada kekeliruan dalam
polisi insurans, insured akan mendapat manfaat daripada keraguan yang timbul.
Undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada syarikat insurans untuk
memastikan polisi insurans adalah jelas dan boleh difahami oleh kebanyakan insured.
Sebarang kekeliruan pada ayat atau perkataan di dalam kontrak insurans yang

BAB 4 KONTRAK INSURANS

12

menimbulkan perbalahan antara insured dan insurer akan ditafsirkan oleh


mahkamah menurut kefahaman insured.
Contract of adhesion dikenali juga dengan nama Latin, contra proferentum.
Rasional peraturan ini yang memihak kepada insured adalah untuk menjaga
kepentingan insured yang tidak mempunyai peranan dalam merangka sesuatu polisi
dan kebiasaannya tidak mempunyai kemahiran untuk memahami sesuatu polisi
dengan sepenuhnya. Selain itu, prinsip ini juga bertujuan untuk menghalang insurer
daripada menggunakan kelebihannya memahami kontrak insurans untuk mengelak
daripada membayar ganti rugi kepada insured.
Prinsip Harapan Munasabah
Prinsip harapan munasabah (principle of reasonable expectation) menyatakan
bahawa seseorang insured berhak untuk mendapat perlindungan insurans bagi
kerugian tertentu jika insured mempunyai sebab yang munasabah untuk
mempercayai bahawa kerugian tersebut sepatutnya diberikan perlindungan
berdasarkan kefahamannya terhadap bahasa polisi. Iaitu, jika insured mempunyai
tanggapan bahawa sesuatu perlindungan sepatutnya diberikankan berdasarkan
kefahaman insured terhadap maklumat yang dinyatakan di dalam polisi, maka
harapan munasabah wujud.
Di bawah prinsip ini, jika ada perbalahan mengenai perlindungan, mahkamah
akan mentafsirkan polisi insurans seperti yang difahami oleh kebanyakan pembeli
insurans. Oleh itu, jika insured mempunyai tanggapan atau harapan munasabah
bahawa sesuatu perlindungan sepatutnya diberikankan, maka mahkamah boleh
memerintahkan perlindungan diberikan kepada insured walaupun di dalam polisi
jelas menyatakan bahawa perlindungan tidak diberikan. Apabila prinsip ini
diaplikasikan, tanggapan atau harapan munasabah yang dirasakan oleh insured
menentukan perlindungan yang diberikan di bawah polisi, walaupun peruntukan
kontrak insurans mungkin menolak tanggapan insured tersebut.
Jika ada sebarang kekaburan dalam kontrak insurans, mahkamah biasanya
akan mengaplikasikan doctrine of adhesion terlebih dahulu untuk mentafsirkan polisi
insurans. Kadang-kala, walaupun tidak terdapat kekeliruan dalam bahasa polisi,
mahkamah masih boleh mengarahkan perlindungan insurans diberikan kepada
insured sekiranya insured mempunyai tanggapan bahawa perlindungan sepatutnya
diberikan berdasarkan kefahaman insured ke atas maklumat yang diberikan dalam
polisi. Tanggapan berkaitan perlindungan ini dikatakan sebagai harapan munasabah
oleh insured.
Sebagai contoh, katalah seorang perniaga dilindungi oleh insurans kecurian.
Pada suatu malam, premis perniagaannya telah dimasuki pencuri. Pencuri tersebut
dapat memasuki premis tanpa memecahkan tingkap dari sebelah luar, tetapi

BAB 4 KONTRAK INSURANS

13

memecahkannya dari sebelah dalam. Definisi kecurian yang diberikan di dalam


kontrak menyatakan mesti terdapat forced and violent entry yang menyebabkan
kerosakan kepada bahagian luar premis. Namun dalam kes ini, tidak terdapat
kerosakan pada bahagian luar premis, tetapi terdapat kerosakan pada bahagian
dalam premis. Tuntutan gantirugi telah ditolak oleh insurer kerana kecurian yang
berlaku tidak memenuhi definisi kecurian yang diberikan di dalam polisi. Insured
telah mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat insurans. Pihak
mahkamah percaya bahawa apabila insured membeli perlindungan insurans
kecurian, pastinya dia mempunyai tanggapan bahawa kerugian yang disebabkan oleh
peril kecurian akan dilindungi. Mahkamah berpendapat definisi kecurian yang
dinyatakan di dalam polisi tidak selari dengan apa yang difahami oleh orang
kebanyakan. Prinsip harapan munasabah diaplikasikan, dan makamah mengarahkan
insurer untuk membayar ganti rugi bagi kecurian yang berlaku.

Komponen Polisi Insurans


Polisi insurans mengandungi komponen atau bahagian asas yang serupa bagi
kebanyakan polisi. Komponen ini terdiri daripada pengistiharan, definisi, persetujuan
penginsuranan, syarat dan pengecualian. Selain daripada itu, kebanyakan polisi
insurans juga mengandungi peruntukan endorsmen dan rider, deduktibel, koinsurans
dan peruntukan polisi lain. Topik ini menerangkan setiap satu bahagian polisi
insurans secara ringkas.

1. Pengisytiharan
Pengistiharan (declarations) adalah bahagian pertama dalam polisi insurans.
Pengistiharan adalah kenyataan memberi maklumat berkaitan harta atau aktiviti
tertentu yang diinsuranskan. Maklumat yang terkandung di dalam nahagian
pengisytiharan biasanya digunakan bagi tujuan pengunderaitan (penilaian dan
pemilihan risiko yang hendak diinsuranskan) dan juga penetapan premium insurans.
Dalam insurans harta, bahagian ini mengandungi maklumat berkaitan
syarikat insurans, nama insured, harta yang diinsuranskan, lokasi harta, tempoh
perlindungan, jumlah insurans, amaun premium, maklumat deduktibel dan lain-lain
lagi. Di dalam insurans hayat, bahagianini biasanya mengandungi maklumat insurer
dan insured, umur, jumlah perlindungan insurans, premium, tempoh perlindungan
danlain-lain.

BAB 4 KONTRAK INSURANS

14

2. Definisi
Insurans polisi mengandungi satu bahagian yang mengandungi definisi bagi istilahistilah tertentu. Objektif bahagian ini adalah untuk memberikan takrifan sesuatu
istilah dengan jelas supaya perlindungan yang diberikan boleh difahami oleh insured
dengan lebih baik.
Sebagai contoh, definisi insured diberikan dalam bahagian ini. Kontrak insurans
perlu mengenalpasti siapakah yang dilindungi di bawah sesuatu polisi. Maksud istilah
insured boleh dikelaskan seperti berikut:
Insured yang dinamakan (the named insured) adalah individu yang
dinamakan dalam bahagian perisytiharan kontrak ini.
Insured nama pertama (first named insured) Jika lebih dari seorang individu
dinamakan sebagai insured, maka insured nama pertama adalah individu
yang mana namanya merupakan nama pertama dalam mukasurat
pengisytiharan.
Insured nama pertama bertanggungjawab membayar premium insurans

3. Perjanjian Penginsuranan
Perjanjian penginsuranan (insuring agreement) menyatakan janji dan obligasi insurer
di bawah kontrak yang dibentuk. Janji utama yang diberikan oleh insurer ialah untuk
membayar gantirugi jika berlaku kerugian yang dilindungi oleh polisi dalam tempoh
insurans. Bahagian ini juga menyatakan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak
insurer dan insured. Di dalam insurans harta terdapat dua bentuk perjanjian
penginsuranan, iaitu
Polisi peril-dinamakan (named-perils coverage), dan
Polisi semua-peril (open-perils coverage).
Polisi Peril-Dinamakan
Di bawah polisi ini, hanya peril yang dinamakan secara khusus di dalam polisi akan
diberikan perlindungan insurans. Jika sesuatu peril tidak dinamakan, makaia tidak
dilindungi oleh insurans. Sebagai contoh, bagi insurans kereta, hanya peril yang
dinamakan di dalampolisi akan dilindungi seperti perlanggaran, kebakaran,
letupan,kilat, kecurian, dan lain-lain. Kerugian disebabkan oleh peril yang tidak
dinamakan di dalam polisi, misalnya kerugian akibat serangan binatang buas, tidak
dilindungi oleh insurans ini.

BAB 4 KONTRAK INSURANS

15

Polisi Semua-Peril
Di bawah polisi semua-peril, semua kerugian akan dilindungi kecuali kerugian yang
dikecualikan secara khusus dari perlindungan. Jika sesuatu kerugian tidak
dikecualikan, maka ini bermakna ia dilindungi oleh insurans. Insurans hayat adalah
satu bentuk insurans semua-peril. Polisi insurans hayat biasanya memberi
perlindungan kepada semua peril yang menyebabkan kematian termasuk
kemalangan, penyakit, kecederaan dan lain-lain. Hanya peril yang khusus
dikecualikan tidak akan dilindungi, misalnya bunuh diri dalam tempoh dua tahun
pertama selepas polisi berkuatkuasa. Terdapat sebilangan kecil polisi insurans hayat
yang mengecualikan peril tertentu seperti penerbangan ketenteraan atau
peperangan. Terdapat beberapa jenis insurans harta yang merupakan polisi semuaperil, antaranya insurans kontraktor semua-peril
(open-perils contractors
insurance), dan insurans peralatan semua-peril (open-perils equipment insurance).

4. Syarat
Syarat (conditions) adalah peruntukan yang dinyatakan di dalam polisi yang
menghendaki insurer menunaikan janjinya atau yang membataskan insurer daripada
menunaikan janjinya. Syarat polisi insurans biasanya menyatakan tanggungjawab
tertentu yang perlu dilaksanakan oleh insured. Jika insured gagal memenuhi
tanggungjawab tersebut, insurer boleh menolak tuntutan yang dikemukakan oleh
insured.
Sebagai contoh, sebuah polisi insurans harta menyatakan bahawa tuntutan
hanya akan dibayar oleh insurer jika insured memenuhi syarat-syarat yang
dinyatakan di dalam kontrak, antaranya seperti berikut: Memaklumkan kepada
insurer dengan segera mengenai kerugian yang berlaku, tiada penyembunyian
maklumat atau penipuan, polisi mestilah berkuatkuasa, tiada insurans lain yang
melindungi kerugian yang sama atau kerugian akan dikongsi, mematuhi prosedur
penilaian kerugian dan melihara keselamatan harta selepas kerugian berlaku
(salvage).

5.

Pengecualian

Pengecualian (exclusions) merupakan bahagian polisi insurans yang sangat penting.


Terdapat tiga jenis pengecualian dalam kontrak insurans

BAB 4 KONTRAK INSURANS

16

Peril yang dikecualikan


Kerugian yng dikecualikan
Harta yang dikecualikan

Peril Yang Dikecualikan


Kontrak insurans biasanya mengecualikan sesetengah peril atau penyebab kerugian.
Di dalam insurans kereta misalnya, kerugian akibat impak objek jatuh diberikan
perlindungan, kecuali objek jatuh yang disebabkan oleh peril banjir, ribut, taufan,
letupan gunung berapi, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain lagi seperti yang
dinyatakan di dalam polisi. Bagi insurans kebakaran, contoh peril yang dikecualikan
adalah peril semula jadi seperti banjir, ribut, gempabumi dan peril sosial seperti
rusuhan dan mogok.
Kerugian Yang Dikecualikan
Sesetengah jenis kerugian mungkin dikecualikan daripada perlindungan. Sebagai
contoh, bagi insurans kebakaran, beberapa kerugian berkaitan dengan kebakaran
tidak dilindungi, antaranya ialah kerugian kerana kecurian semasa atau selepas
berlaku kebakaran, kerugian disebabkan pembakaran spontan atau kebakaran
bawah tanah. Bagi insurans kereta, kerugian turutan akibat kerosakan kereta,
kehilangan kegunaan kereta, kerosakan pada tayar adalah antara kerugian yang
dikecualikan dari perlindungan.
Harta Yang Dikecualikan
Kontrak insurans mungkin mengecualikan atau menghadkan sesetengah jenis harta
daripada perlindungan insurans. Sebagai contoh, insurans isi rumah (householders
atau home contents insurance) tidak melindungi harta benda seperti bon, nota janji,
cek, dokumen, wang tunai, , nota bank, kenderaan dan haiwan ternakan.
Kepentingan Pengecualian Dalam Kontrak insurans
Terdapat banyak sebab mengapakan pengecualian perlu dimasukkan ke dalam polisi
insurans. Pertamanya, sesetengah jenis peril dianggap tidak sesuai untuk diberi
perlindungan insurans oleh syarikat insurans swasta kerana ia boleh menyebabkan
kerugian katastrofi. Peril seperti peperangan, pendedahan nuclear dan bencana alam

BAB 4 KONTRAK INSURANS

17

biasanya dikecualikan daripada insurans harta kerana kerugian sedemikian boleh


menjejaskan kedudukan kewangan syarikat insurans.
Sebab kedua adalah untuk mengelakkan hazad yang terlalu besar. Sebagai
contoh, perlindungan insurans kereta persendirian mengecualikan kerugian akibat
kenderaan yang diinsuranskan digunakan bagi tujuan komersil, misalnya bagi tujuan
mengangkut penumpang. Kebarangkalian kemalangan dan tuntutan liability bagi
kenderaan yang digunakan bagi tujuan komersil adalah jauh lebih besar berbanding
dengan bagi tujuan persendirian. Oleh itu, kerugian yang sebegini patut dikecualikan
daripada perlindungan insurans persendirian memandangkan premium yang
dikenakan adalah sesuai bagi risiko yang dihadapi oleh kenderaan persendirian.
Sesetengah pengecualian dikenakan kerana bagi risiko tertentu, perlindungan
boleh diberikan dengan lebih baik oleh polisi lain. Sebagai contoh, kenderaan
dikecualikan daripolisi isi rumah kerana ia dilindungi di bawah insurans motor.
Pengecualian juga bertujuan untuk mengurangkan hazad morel dan moral.
Sesetengah insured menjadi semakin cuai apabila dilindungi oleh insurans kerana
menyedari jika berlaku kerugian, insurer akan membayar ganti rugi. Oleh itu,
kerugian akibat kecuaian insured boleh dikecualikan dari perlindungan supaya
insured terpaksa menanggung sendiri kerugian yang disebabkan oleh kecuaiannya
sendiri. Sesetengah insured pula mungkin cenderung untuk membuat tuntutan palsu
dengan niat untuk memperolehi pampasan. Sesetengah kontrak memasukkan
pengecualian untuk kerugian yang melebihi amaun tertentu bagi mengurangkan
hazad moral.
Selain daripada bahagian asas kontrak insurans seperti yang telah dibincangkan,
polisi insurans juga mengandungi beberapa perkara lain seperti endorsmen dan rider,
deduktibel dan koinsurans.

Endorsemen and Rider


Dalam insurans harta, endorsmen adalah peruntukan bertulis yang digunakan untuk
menambah, mengurangkan atau mengubahsuai peruntukan yang ada dalam polisi
asal. Dalam insurans hayat pula, rider adalah peruntukan yang digunakan untuk
menukar atau mengubahsuai perlindungan insurans. Sebagai contoh, insurans isi
rumah mengecualikan peril gempabumi. Tetapi endorsmen gempabumi boleh

BAB 4 KONTRAK INSURANS

18

ditambah yang akan melindungi kerugian yang disebabkan peril ini. Biasanya
endorsmen yang melibatkan penambahan perlindungan akan mengenakan bayaran
premium tambahan kerana risiko yang semakin meningkat.
Dalam insurans hayat terdapat beberapa rider yang boleh ditambahkan
kepada polisi asal. Antaranya peruntukan waiver-of-premium, yang akan
mengetepikan semua premium depan jika insured mengalami hilang upaya
menyeluruh, untuk selama tempoh insured terus hilang upaya. Rider accidental
death benefit akan menggandakan amaun muka polisi jika kematian berlaku akibat
kemalangan manakala. Rider guaranteed purchase option membenarkan insured
untuk membeli amaun insurans tambahan pada waktu yang ditetapkan dimasa
depan tanpa perlu mengemukakan bukti boleh insurans.

Deduktibel
Deduktibel adalah peruntukan kontrak insurans yang menghendaki insured untuk
menanggung sebahagian kecil daripada kerugian yng berlaku. Di bawah peruntukan
ini, satu amaun tertentu yang telah ditetapkan akan ditolakkan daripada jumlah ganti
rugi yang sepatutnya dibayar oleh insurer. Deduktibel biasanya digunakan dalam
kontrak insurans harta dan perubatan, tetapi tidak dalam insurans hayat.
Tujuan peruntukan deduktibel diadakan adalah untuk menghapuskan
tuntutan kecil. Tuntutan sebegini melibatkan kos yang tinggi untuk diuruskan.
Melalui deduktibel, kerugian kecil akan ditanggung sendiri oleh insured oleh itu
proses tuntutan tidak perlu dilakukan. Deduktibel juga boleh mengurangkan
premium yang perlu dibayar oleh insured. Dengan menghapuskan tuntutan kecil, kos
yang ditimbulkan oleh insurer boleh dikurangkan, oleh itu premium yang dikenakan
kepada insured juga boleh dikurangkan. Deduktibel juga digunakan untuk
mengurangkan hazad moral dan morel. Sesetengah insured mungkin menyebabkan
kerugian dengan sengaja atau sering berlaku cuai. Dengan adanya deduktibel,
insured akan kurang cenderung untukmenyebabkan kerugian dengan sengaja atau
berlaku cuai kerana mereka perlu menanggung sendirisebahagian daripada kerugian
yang berlaku.

Deduktibel Dalam Insurans Harta


Dalam insurans harta, deduktibel juga dikenali sebagai ekses (excess). Deduktibel
yang digunakan adalah deduktibel lurus (straight deductible) atau deduktibel
terkumpul (aggregate deductible).

BAB 4 KONTRAK INSURANS

19

Deduktibel Lurus
Di bawah kaedah ini, insured dikehendaki menanggung sejumlah kerugian yang
ditetapkan dahulu sebelum insurer dikehendaki membuat bayaran ganti rugi.
Sebagai contoh, deduktibel bagi insurans kereta adalah RM400. Jika berlaku kerugian
berjumlah RM3,000, maka insured akan menanggung sendiri kerugian sebanyak
RM400 dan insurer akan membayar gantirugi kepada insured sebanyak RM2,600.
Deduktibel Terkumpul
Sesetengah insurans perdagangan mengandungi peruntukan deduktibel terkumpul.
Di bawah kaedah ini, semua kerugian yang berlaku dalam tempoh polisi akan
ditanggung oleh insured dahulu sehingga had deduktibel insured dipenuhi. Kerugian
yang berlaku selepas itu akan ditanggung oleh insurer. Sebagai contoh, katalah
sebuah polisi mengandungi peruntukan deduktibel terkumpul sebanyak RM10,000.
Katalah berlaku kerugian berjumlah RM2,000 dan RM5,000 dalam sesuatu tahun
polisi. Kedua-dua kerugian ini akan ditanggung oleh insured kerana ia belum
mencapai had deduktibel terkumpul yang ditetapkan. Katalah berlaku kerugian
ketiga berjumlah RM12,000 dalam tahun polisi yang sama. Maka insured akan
membayar RM3,000 daripada kerugian ini dan insurer pula akan membayar
RM9,000. Kerugian seterusnya yang berlaku dalam tahun polisi yang sama akan
dibayar sepenuhnya oleh insurer.

Deduktibel Dalam Insurans Perubatan


Dalam insurans perubatan, deduktibel boleh dinyatakan dari segi wang atau masa. Ia
dinamakan deduktibel tahun-kelendar dan deduktibel tempoh-menunggu.
Deduktibel Tahun-Kalendar
Deduktibel tahun-kalendar (calendar-year deductible) adalah kaedah deduktibel
terkumpul yang biasa digunakan dalam kontrak insurans perubatan. Semua
perbelanjaan perubatan yang dilindungi akan dikumpulkan dalam sesuatu tahun
polisi. Mula-mula insured perlu membayar perbelanjaan perubatan sehingga had
deduktibelnya dipenuhi. Setelah itu insurer akan membayar faedah yang dijanjikan
di bawah kontrak insurans.

Tempoh Menunggu
Deduktibel boleh juga dinyatakan sebagai tempoh menunggu (elimination or waiting
period). Tempoh ini merupakan tempoh tertentu pada permulaan kerugian yang
mana tiada faedah insurans yang akan dibayar dalam tempoh ini. Kaedah ini sesuai

BAB 4 KONTRAK INSURANS

20

digunakan bagi kerugian yang melibatkan jangkamasa yang panjang, misalnya hilang
upaya yang melibatkan kehilangan pendapatan kepada insured. Tempoh menunggu
digunakan dengan meluas dalam insurans hilang upaya yang membayar faedah
insurans untuk menggantikan sebahagian pendapatan insured yang hilang akibat
ketidakupayaan untuk bekerja. Tempoh menunggu bagi insurans hilang upaya boleh
jadi 30, 60 atau 90 hari atau mungkin lebih panjang lagi.

Koinsurans
Peruntukan koinsurans boleh didapati di dalam insurans harta dan perubatan.
Koinsurans merupakan keperluan yang mana insured akan berkongsi kerugian
dengan insurer dalam kes tertentu.

Koinsurans Dalam Insurans Harta


Koinsurans adalah peruntukan di dalam polisi insurans harta yang memerlukan
insured membayar sebahagian kerugian yang berlaku jika insured membeli amaun
perlindungan insurans yang tidak mencukupi. Fasal koinsurans menggalakkan
insured untuk menginsurankan sesuatu harta pada peratusan tertentu daripada nilai
yang boleh diinsuranskan. Jika syarat keperluan koinsurans tidak dipenuhi sewaktu
kerugian berlaku, maka insured perlu berkongsi kerugian dengna insurer sebagai koinsurer.
Formula koinsurans digunakan untuk menentukan amaun ganti rugi yang
akan dibayar oleh insurer bagi sesuatu kerugian. Formula tersebut adalah seperti
berikut:
Jumlah insurans yang dibeli
X Kerugian = Jumlah Ganti Rugi
Jumlah insurans yang dikehendaki

Sebagai contoh, katalah nilai tunai sebenar (actual cash value) bagi sebuah mesin
disebuah kilang adalah M500,000. Pemilik kilang membeli perlindungan insurans
bernilai RM300,000 keatas mesin ini. Jika polisi yang dibeli mengandungi keperluan
koinsurans 80%, jumlah insurans yang sepatutnya dibeli ialah RM400,000 (80% x
RM500,000). Jika kerugian yang berlaku bernilai RM100,000, maka jumlah ganti rugi
yang akan dibayar oleh insurer adalah seperti berikut:
RM300,000
RM400,000

x RM100,000 = RM75,000

BAB 4 KONTRAK INSURANS

21

Oleh itu, jika kerugian yang berlaku adalah RM100,000, insurer akan membayar
setakat RM75,000 sahaja. Kerugian selebihnya perlu ditanggung sendiri oleh insured.
Katalah bagi contoh yang sama, insured menginsuranskan mesinnya pada nilai yang
diperlukan oleh koinsurans iaitu RM400,000. Jika kerugian RM100,000 berlaku, maka
insurer akan menanggung sepenuhnya kerugian itu (RM400,00/RM400,000 x
RM100,000 = RM100,000). Oleh itu, jika insured membeli jumlah insurans yang
sepatutnya mengikut keperluan koinsurans, maka keseluruhan kerugian yang berlaku
akan ditanggung oleh insurer. Jika insured membeli jumlah insurans yang kurang
daripada itu, maka insured perlu menanggung sebahagian daripada kerugian.

Koinsurans Dalam Insurans Perubatan


Biasanya perlindungan insurans perubatan mengandungi peruntukan koinsurans
yang menghendaki insured membayar peratusan tertentu perbelanjaan perubatan
yang dilindungi yang melebihi jumlah deduktibel. Sebagai contoh, insurans
perubatan yang dikeluarkan oelh sebuah syarikat insurans menetapkan kadar
koinsurans sebanyak 90% -10%. Iaitu insurer akan membayar 90% daripada
perbelanjaan perubatan yang dilindungi yang melebihi amaun deduktibel, dan
insured akan membayar 10% daripada perbelanjaan tersebut.
Katalah jumlah perbelanjaan perubatan Faris selepas menjalani surgeri adalah
RM20,500. Polisi insurans perubatannya mengenakan deduktibel sebanyak RM500.
Maka insurer akan membayar 90% daripada belanja perubatan yang melebihi amaun
deduktibel iaitu RM18,000 (80% x RM20,000 = RM18,000) dan Faris akan membayar
10% atau RM2,000 dan dicampur dengan deduktibel RM500.

Peruntukan Insurans-Lain
Peruntukan insurans-lain (other-insurance provisions) juga merupakan salah satu
peruntukan yang biasanya dimasukkan di dalam kontrak insurans harta. Peruntukan
ini menyatakan bahawa jika sesuatu kerugian dilindungi oleh lebih daripada satu
polisi insurans, maka insurer-insurer yang terlibat akan berkongsi pembayaran
kerugian untuk mengelakkan insured daripada menerima ganti rugi yang lebih besar
daripada kerugian yang berlaku. Peruntukan ini memboleh prinsip indemniti
dipenuhi. Peruntukan insurans-lain dan prinsip indemniti akan dibincangkan dalam
Bab 5 buku ini.

BAB 4 KONTRAK INSURANS

22

Rujukan
1.

Black, K. & Skipper, H.D. 2000. Life and Health Insurance. 13th edition.
Prentice-Hall, New Jersey, USA.

2.

Dorfman, M. S. & Cather, D. A. 2013. Introduction to Risk Management &


Insurance. 10th edition. Pearson Education Limited. New Jersey, USA.

3.

Hendon Redzuan, Rubayah Yakob & Mohamad Abdul Hamid. 2006. Prinsip
Pengurusan Risiko dan Insurans. Pearson Prentice-Hall. Kuala Lumpur.

4.

Redja, G. E. & McNamara, M. J. 2014. Principles of Risk Management &


Insurance. 12th edition. Pearson Education Limited. Global Edition.

5.

Vaughan, E.J & Vaughan, T. 2003. Fundamentals of Risk and Insurance. 9th
edition. John Wiley & Sons, Inc, USA.

6.

Zuriah Abdul Rahman & Hendon Redzuan. 2009. Takaful: The 21st Century
Insurance Innovation. McGraw-Hill. Kuala Lumpur.