Sebaik sahaja melangkah masuk ke kelas 2 A 2, saya merasa agak gugup dan sering memikirkan respon murid-murid terhadap kehadiran saya di kelas tersebut. Namun, semangat untuk mencurahkan ilmu tetap berkobar dan saya memberanikan diri berhadapan dengan murid-murid dengan memberikan salam sejahtera kepada mereka sambil memberikan senyuman yang menyakinkan. Semasa sesi pengajaran hendak dimulakan, terdapat beberapak orang murid yang berada di bahagian belakang kelas yang masih lagi tidak menunjukkan kesediaan untuk belajar walaupun saya sudah berada di hadapan kelas. Mereka masih lagi berbual dan berbisik-bisik dengan perlahan yang jelas menunjukkan mereka tidak memberi sepenuh perhatian terhadap saya. Saya menegur mereka dengan lembut sambil bertanyakan kepada mereka sekiranya terdapat masalah yang boleh dikongsi bersama. Lantas mereka berhenti berbisik-bisik dan hanya menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mempunyai sebarang masalah. Kemudian, murid-murid mula mengeluarkan buku nota masing-masing sebaik sahaja saya mencatat topik pembelajaran pada hari tersebut di papan putih. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung, mereka hanya mendengar penerangan saya tanpa sebarang soalan. Saya meneruskan sesi dengan aktiviti pertama iaitu lakonan. Semasa aktiviti ini sedang dijalankan, murid-murid mula bertindak balas dengan arahan yang dikeluarkan oleh saya. Namun, lama-kelamaan suasana kelas mulai hingar-bingar. Hal ini demikian, kerana respon mereka terhadap rakan sekelas yang sedang berlakon amat menggalakkan tetapi mereka tidak mengawal nada suara. Akibatnya, pengawalan kelas agak tidak terkawal. Beberapa teguran sudahpun diberikan namun mereka tidak mengendahkan teguran tersebut. Lama-kelamaan, saya mulai sedar bahawa saya tidak mengeluarkan arahan dengan menggunakan suara yang lantang. Saya juga tidak begitu tegas dalam memberikan arahan kepada mereka. Oleh itu, saya meneruskan aktiviti seterusnya dengan menayangkan beberapa gambar yang berkaitan dengan topik pembelajaran pada hari tersebut. Saya meminta mereka untuk memberi fokus kepada gambar-gambar tersebut supaya mereka dapat membuat perkaitan dengan topik pembelajaran. Melalui cara ini, ternyata keadaan kelas mulai reda kerana mereka menumpukan perhatian kepada gambar tersebut.
Tahap Refleksi
Refleksi Deskriptif
Refleksi Dialog
Refleksi Kritikal (Kefahaman baharu)
Pada sesi pengajaran makro seterusnya, saya sudahpun
menetapkan sasaran untuk mengajar murid-murid karangan dengan memasukkan sekurang-kurangnya satu peribahasa bagi setiap perenggan. Saya juga akan mempelbagaikan lagi aktiviti yang melibatkan setiap murid, khususnya kepada aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal supaya mereka sentiasa peka dan mematuhi arahan guru. Saya juga akan memberikan beberapa tips penting dalam langkah membuat karangan. Saya berharap agar mereka dapat memberi sepenuh perhatian kepada guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang akan datang.