Anda di halaman 1dari 8

IDEOLOGI SENI MENJADI IDEOLOGI KAPITALIS

1. Pengenalan

Sebarang bentuk aktiviti manusia sama ada ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan
akan ada unsur kapitalis. Aktiviti seni dan budaya tidak di kesampingkan malah sangat
penting dijadikan agen yang berkembang subur dalam mendokong propaganda
kapitalis. Ideologi kapitalisme yang berpusat di Amerika dalam waktu yang sama
menjadi pusat perkembangan seni telah muncul menjadi pusat kosmopolitan,
membangun, mewah dengan wang ringgit. Di kota New York, perkembangan seni lukis
menampakkan kuasa dan pengaruhnya. Di sini perkembangan seni lukis Abstrak
Ekspresionisme berkembang secara terancang. Antara pertengahan tahun 1940-an
sehingga akhir 1960-an, seni di Amerika berkembang subur. Nama “New York School”
sudah tidak asing lagi dalam keghairahan seni yang memuncak segala idea baru,
bebas, kreatif dan inovatif.

Kota New York telah menjadi tarikan seniman-seniman muda. Penghijrahan


beramai-ramai di kalangan seniman seperti Willem de Kooning, Mark Rothko daripada
Rusia, Arshile Gorky dari Armenia, Jackson Pollock yang tiba dari California dan Frank
Kline serta ramai lagi pendatang seni telah menjadi generasi pertama membawa
semangat Ekspresionisme sehingga tertubuhnya “New York School”.

Seperti penghijrahan yang lain, kehadiran mereka di New York bagi melepaskan diri
daripada keadaan yang tidak diingini untuk mencari kejayaan di tempat yang baru.
Secara prinsipnya ada tiga matlamat penghijrah seni ini iaitu setiakawan, kejujuran dan
pengorbanan. Sebahagiannya memegang kepada semangat setiakawan dalam
menyemarakkan seni dan secara jujur mahu berkorban demi perjuangan seni. Tidak
dinafikan mengikut naluri keinginan ada yang berhasrat untuk mencari tempat baru
dalam memperjuangkan seni yang mampu meningkatkan pendapatan. Khabar-khabar
gembira telah tersebar mengatakan, kolektor-kolektor seni yang kaya sanggup
menawarkan harga yang tinggi dan tawaran ini dapat memenuhi kehendak naluri
manusia untuk makan, pakaian, kediaman dan merasai kemewahan hidup.

Satu kejutan baru melanda perkembangan seni di Amerika apabila artis-artis muda
menolak karya-karya yang berunsurkan penggambaraan realiti dan digantikan dengan
diri mereka sebagai realiti. Dengan timbulnya minat dan perkembangan yang begitu
pesat menyebabkan terhasilnya majalah-majalah yang melaporkan aktiviti seni dengan
sambutan yang baik antaranya daripada Museum of Modern Art yang menganjurkan
berbagai pameran seni.

Berbagai siri pameran major yang membawa masuk seni modenisme Eropah dari
Post-Impresionisme kepada Kubisme dan Bauhaus kepada Dada dan Surealisme telah
menyemarakkan lagi inspirasi dan aspirasi seni. Munculnya kolektor seni seperti
Gallatin Collection bersama karya-karya Neo-Plasticist dan Constructivist telah
dipamerkan di New York University dan Museum of non-Objective Painting.

Manakala Societe Anonyme membuka peluang pembelajaran dalam seni lukis


moden dengan idea-idea yang dibawa oleh Katherine Dreier, Marcel Duchamp dan Man
Ray. Tertubuhnya kumpulan AAA (American Abstract Artist) pada tahun 1936 yang
meletakkan persada seni dalam arus antarabangsa.

Pengaruh kapitalis ke atas perkembangan seni dibantu oleh pelabur, kolektor seni,
pengusaha galeri, tenaga pengajar dan pengelola muzium. Pendokong-pendokong seni
ini membantu menyemarakkan semangat untuk berkarya. Menaikkan lagi keuntungan
pelabur kapitalisme untuk membina tembok ideologi yang semakin tinggi. Sekolah-
sekolah seni disemai dengan semangat yang berprinsipkan seni dan dijadikan satu
agenda penting. Orang ramai mulai memikirkan tentang seni dan berjuang menegakkan
ideologi melalui seni. Melalui seni, orang ramai mulai percaya bahawa seni boleh
mengubah kebajikan sosial yang menjadikan majikan itu adalah pekerja dan pekerja itu
bukan lagi hamba kepada majikan.

2. Penolakan Karya Penggambaran Realiti

Antara blok komunis dan blok liberal, timbul perbezaan yang ketara antaranya dari segi
aspirasi negara yang bertunjangkan politik. Masing-masing mahu memakmurkan
negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat. Perjuangan mendapatkan pengaruh,
kuasa dalam politik dan ekonomi harus disokong oleh kegiatan sosial dan kebudayaan.
Jurang yang membezakannya membawa persaingan propaganda dan peperangan
ideologi. Dalam karya seni penyebaran mesej itu amat penting dan memberi kesan
awal dalam proses menyebarkan ideologi dan propaganda. Di sebalik keindahan seni
itu ada agenda yang lebih penting dan perlu dinyatakan dengan jelas. Seniman yang
berkarya, berhempas pulas memikir untuk mengolah hasil yang indah tetapi di sebalik
itu ada pihak yang berfikiran di sebaliknya. Siapakah mereka ini?

Bagi menjelaskan mesej dalam karya seni, kefahaman yang paling dekat dan mudah
diterima oleh khalayak ialah karya-karya berbentuk penggambaran semula. Sudah
terbukti dalam sejarah seni, unsur dakwah dan dakyah boleh digunakan secara
berkesan melalui lukisan. Sejak dari perkembangan kebangkitan gelombang seni
ataupun disebut seni zaman Renaissance, fungsi imej dan mesej penggambaran
semula secara realiti adalah yang terunggul. Keadaan berubah apabila masuknya era
awal abad ke-20, perubahan dan penilaian nilai estetik bersama falsafah keindahan
mengalami konvensi baru. Imej penggambaran semula berbentuk realiti yang hidup dan
benar terjadi setiap hari dalam kehidupan berubah menjadi seni separuh abstrak.
Karya-karya realiti berbentuk realis yang sangat dikagumi dengan penguasaan kadar
banding yang tepat, perspektif yang menarik, warna dan objek hal bendanya begitu
jelas mengatasi seni foto berada pada kemuncaknya ketika itu.

Hal inilah yang menyakini pemikir kapitalis (siapakah mereka ini?) bahawa bentuk
penyebaran ideologi dan propaganda itu boleh terbantut sekiranya dibiarkan karya-
karya realis menguasai dunia. Dibentang dan dihujah menjadi polimik hingga tercetus
konvensi baharu untuk menolak penerimaan mutlak masyarakat pada karya realis.
Proses ini berkembang secara evolusi dan diasimilasikan ke dalam budaya dan
pemikiran sejagat. Setengah pihak berpendapat polimik dalam seni membawa kebaikan
dalam perkembangan ilmu dan tamadun bangsa. Pendapat ini ada kebenarannya tetapi
maksud yang halus di sebaliknya adalah perancangan oleh golongan lain yang
mahukan sesuatu laba dari kemasyruaran seni itu.

Sememangnya tidak dinafikan mesej yang mudah dapat disampaikan dalam karya-
karya realis. Pemaparan imej visual tentang kesetiaan rakyat kepada negara dilukis
dengan jelas. Menampakkan kelompok-kelompok masyarakat dari riak air muka dan
keazaman yang tinggi untuk mencapai cita-cita negara bangsa. Kemakmuran negara
dibangunkan oleh tangan-tangan yang rajin, diterap dalam komposisi yang menarik.
Kegigihan rakyat bersatu memakmurkan negara tercinta menjadi aspirasi negara
digambarkan semula dari perspektif yang tulin. Penolakan hak milik kekayaan dan harta
kepada golongan tertentu boleh menimbulkan ketidak adilan dalam masyarakat telah
dilukis dengan penuh kesedaran. Inilah agenda yang mahu diubah iaitu suatu agenda
memakmurkan dunia dengan satu sistem sedangkan satu sistem yang lain cuba
merayakan hak dan kebebasan menjadi milik semua. Satu pihak yang dimaksudkan itu
sebenarnya cuba merancang untuk mengangkat nilai seni dari perspektif yang lain.
Menobatkan seni untuk kebebasan dan seni itu boleh menjadi dua sempadan iaitu seni
untuk seni dan seni untuk masyarakat,

3. Faktor yang Menyokong Ideologi Kapitalis

Usaha mempercepatkan penyebaran ideologi kapitalis ke dalam perkembangan seni


dilakukan melalui penghijrahan idea dan penghijrahan beramai-ramai seniman, pemikir
seni dan ahli-ahli faksafah seni. Sekitar tahun 1880-1966 tenaga pengajar seperti Hans
Hofman tiba dari Munich dan membuka sekolah seni berprinsipkan seni Picasso serta
prinsip-prinsip warna daripada anutan Matisse disebar-luaskan.

Pengaruh komunis di Jerman, Rusia dan beberapa buah negara Eropah yang lain
bertarung meluaskan sempadan. Melalui ideologi kapitalis, usaha ini berjaya dan
dilakukan melalui seni secara evolusi. Setengah berpendapat pengaruh kapitalis
berkembang secara revolusi melalui pengaruh seni namun yang pastinya seni telah
dijadikan alat propaganda ideologi kapitalis. Manakala pengaruh Cezanne juga dibawa
masuk dan beliau berpendapat seniman-seniman agung dari Jerman perlu berfikir
sebagai pelukis yang berkeyakinan pada makna dan warna dalam melukis. Suatu
penggambaran itu perlu disudahkan dengan kesan dalaman walaupun hasil karya itu
ditatapi permukaannya menerusi dua dimensi. Warna rataan, dikuatkan dengan nilai
warna yang terang diguna untuk menimbulkan kejituan warna. Apabila ia digubah,
kesan rataan tidak hanya dilihat sebagai suatu struktur dalam penggambaran tetapi
membawa makna dalam falsafah seni yang disebut “penolakan” dan “penarikan”.

Dalam seni lukis abstrak, istilah-istilah seni tampak yang moden menjadi pelaburan
yang membawa makna dan perubahan kepada ideologi kapitalis. Pemikiran baru dalam
makna dan istilah itu ditafsir semula pada permukaan bahan berbentuk tiga dimensi dan
makna itu meninggalkan kesan dinamik dalam karya. Hofmann mengingatkan pelajar-
pelajar tentang formula mereka cipta dalam berkarya, iaitu “gambar harus dihidupkan
dengan perasaan, bukan hanya dengan mengetahui semata-mata”. Hofmann
bergabung tenaga dan idea bersama Kandinsky, turut bersama ialah Mondrian. Ketiga-
tiga mereka menampilkan makna baru dalam seni yang mendekati makna spritual
dalam proses berkarya. Antara nilai spritual dalam seni itu diluahkan melalui kata-kata,
“kualiti dalam hasil karya membawa realiti ke dalam spritual yang asli”.

Beberapa nama yang dinyatakan berpengaruh dengan sokongan karya-karya


berbentuk penulisan telah membantu mempercepatkan idealisme kapitalis dalamseni.
Melalui penulisan buku yang antaranya diusahakan oleh John Graham telah
menjadikan seni sebagai agen perubahan. John Graham dari Rusia (1881-1961) telah
berhijrah ke New York pada tahun 1920. Beliau membawa pengaruh Surealis melalui
pemikiran Jung dan Freud dalam bukunya berjudul, “System and Dialectics of Art”.
Antara kandungan buku ini telah menyatakan bahawa artis harus mengukuhkan diri
dengan tidak mengasingkan diri mereka dengan sesuatu yang di bawah sedar.

Suasana yang menyemarakkan lagi perkembangan seni Abstrak Ekspresionisme


yang berselindung disebaliknya agenda kapitalis telah disokong melalui persekitaran
pembelajaran seni yang sesuai dalam iklim di mana manusia mahukan perubahan.
Sokongan pembelajaran seni melalui perkembangan ilmu pengetahuan dengan
penerbitan jurnal-jurnal seni telah membantu seiring bersama muzium yang
mengadakan pameran demi pameran melalui sokongan kuat American Abstract Artist
atau dikenali dengan singkatan AAA. Hofmann yang dibantu oleh Graham telah berjaya
memperkasakan dunia seni di New York. Cetusan-cetusan pengetahuan melalui idea-
idea baru yang dicetuskan oleh Kandinsky dan Mondrian juga turut membantu dan telah
dijadikan bukti bahawa ideologi itu berkembang bersama pengikut dan pemikir. Turut
sama ialah seorang pemikir modenis estetik yang mengenengahkan falsafah formalistik
iaitu Lee Krasner (1911-1984) yang menunjukkan antara pemikir dan penggiat seni
mampu melahirkan pengikut dalam membangkitkan suasana intelektual.
Pembiayaan pengajian seni yang lumayan telah ditawarkan. Pelaburan yang tinggi
dibuat oleh pemodal-pemodal kapitalis melalui biasiswa Rockerfeller, biasiswa
Colombia dan yayasan seni antarabangsa untuk menarik lebih ramai penghijrah seni
belajar dan bermastautin sebagai “pendatang baru seni” di New York. Seorang
pendatang seni dari Belanda iaitu Willem de Kooning telah muncul dengan gaya
kematangannya. Beliau tergolong sebagai di antara pelukis generasi awal Abstrak
Ekspresionisme menerusi gaya “action painting”. Melalui kekuatan emosi dan falsafah
estetik yang baru beliau memalit sapuan berus hingga menimbulkan perbezaan
kepada suatu kekasaran yang diekspresifkan. Beliau diletakkan pada mercu
kecemerlangan sebagai di antara orang yang terkehadapan membawa semangat baru
Avant-Garde.

Kesan kontemporarinya itu mempengaruhi ramai seniman muda termasuk Malaysia


dan negara-negara sedang membangun yang baru mencapai kemerdekaan. Status
Willem de Kooning dalam lukisan-lukisannya bersemangat baru meneruskan hidup
dalam gaya dramatik. Karya-karya beliau seperti “Excation” (1950), “Woman and
Bicycle” (1952-53) meletakkan suatu prinsip bahawa abstrak tidak terikat secara mutlak
dengan mana-mana prinsip formal.

Menyusul kemudian pelukis yang mencorakkan karya dalam kebebasan asli


antaranya Franz Kline (1910-1962) dan Jackson Pollock (1912-56). Frank Kline dengan
gaya struktur sapuan berus bebas yang berimej dramatik, memalit dan menconteng
pada dinding. Penggunaan warna hitam-putih oleh Kline menghasilkan karya menerusi
kekuatan berus secara pantas dan terus terang. Bentuk-bentuk yang terhasil menarik
perhatian pada satu perhubungan dalam seni Asia iaitu seni kaligrafi.

Kata-kata Kline, “masyarakat berfikir bahawa saya mengambil kanvas putih, lalu
memalitkan warna hitam di atasnya. Ini tidak benar sama sekali. Saya melukis dengan
warna putih seperti sama banyaknya warna hitam yang saya gunakan dan kedua-dua
warnai itu sama penting”. Kline menghasilkan seni yang dilihat sebagai idea gesture,
nampak sempurna bersama aksi dan nilai estetik terserlah dari aksi tersebut.

Manakala Jackson Pollock dalam pameran solonya di “Art of This Century”,


dikatakan membawa mood baru dalam abstrak moden yang menjadi satu agenda.
Dalam pencarian beliau memperkembangkan lukisan sebagai karya penerokaan untuk
mencari makna sendiri. Beliau menonjolkan kesan titisan dan renjisan cat pada
permukaan kanvas yang luas.
4. Impian Kapitalisme

Sebagai pusat kapitalis, Amerika telah menawarkan kebebasan dan kemewahan


kepada pendatang seni dan golongan intelektual untuk menjadikan seni itu suatu yang
unggul. Secara tidak langsung dunia mengetahui bahawa dalam seni lukis
Ekspresionsme itu ada kebebasan dan kebebasan itu ada dalam ideologi kapitalisme.

Semangat dan pengaruh seni Ekspresionisme telah berjaya membawa ramai


pengikut dan menjadi suatu gerakan. Impian kapitalisme untuk menyebar luas
pengaruhnya mengambil masa lebih dari tiga puluh tahun. Tempoh masa ini dianggap
oleh sejarawan seni sebagai suatu perkembangan yang cepat melekakan orang ramai.
Tempoh masa tersebut menyemai sifat menghormati dan menghayati seni itu tertanam
seiring dengan ketamadunan bangsa. Namun begitu perkembangan yang menguji
kekuatan ideologi kapitalisme ini tidak berakhir begitu sahaja. Ada suatu tempoh masa
yang menunggu waktu untuk bangkit sekali lagi dengan pantas dalam fasa baru.
Momentum ini membawa maksud iaitu perkembangan revolusi seni itu boleh terjadi
kerana sejarah revolusi Islam di Iran menjadi bukti ia bermula secara perlahan iaitu
melalui evolusi. Anggapan sejawan seni, menyatakan faktor yang melambatkan
perkembangan seni itu kerana kebebasan untuk mengubah konvensi dari idea-idea
klasik sukar dirempuh apabila penerokaan baru itu sukar difahami oleh golongan
bawahan walaupun dikatakan ada pengaruh dan pengikutnya.

Kejayaan kapitalisme dalam seni terbukti apabila Perang Dunia II berakhir.


Peperangan itu menjadikan ideologi kapitalisme sebagai pengaruh yang berjaya
mengalatkan seni sehingga Ekspresionisme menjadi popular. Peperangan telah
menjadikan Amerika berkuasa dalam ekonomi dan politik dunia. Pemecahan sempadan
dan penjajahan bentuk baru dalam minda masyarakat telah memecahkan masyarakat
dunia mengikut ideologi liberal dan kapitalis. Manakala komunis dan sosialis di bawah
Soviet Rusia.

Impian kapitalis dalam seni dan budaya tidak terhenti. Ianya terus berkembang
menerusi bentuk-bentuk seni yang lain. Antaranya filem yang telah berjaya
dieksploitasikan oleh Amerika sebagai agenda baru dalam “Perang Dingin”
(peperangan psikologi untuk meruntuhkan ideologi komunis Rusia dan lain-lain
pengikutnya). Bentuk penceritaan dalam filem diselitkan unsur fantasi, alam sains,
dunia baru yang hidup bersama robot dan segala adengan yang penuh khayalan untuk
meningkatkan imej Amerika sebagai satu kuasa besar dunia. Apapun perkaitan seni
Ekspresionisme dengan politik dalam Perang Dunia II meninggalkan kesan yang
mendalam.
5. Kesimpulan

Akibat berlakunya penghijrahan beramai-ramai ke Amerika, pendatang-pendatang baru


ini mempengaruhi generasi seterusnya untuk turut serta lari dari kesusahan yang wujud
selepas peperangan. Mesej yang jelas menunjukkan peperangan dan ideologi telah
memaksa penghijrahan berlaku. Penghijrahan akan menjayakan agenda kapitalisme.
Episod yang ditunjukkan dalam filem Avatar merupakan contoh walaupun bukan
peperangan tetapi penghijrahan untuk mencari peluang baru. Namun akan ada nanti
dalam filem-filem lain, penghijrahan sebenar dari ideologi manusia yang ingin berkuasa.
Ada pihak yang berhijrah kerana inginkan kuasa dan ada yang berhijrah kerana
mencari peluang baru.

Peperangan dan ideologi digunakan oleh Amerika melalui seni sebagai senjata
menjatuhkan pengaruh komunis dan sosialis. Motif kebebasan ditunjukkan dalam
sistem kapitalisme. Kebebasan yang sama juga ditunjukkan dalam seni tampak.
Ideologi melalui seni itu dieksport ke Amerika Selatan, Asia Tenggara, India dan
Eropah. Anugerah-anugerah seni yang disalurkan khas untuk artis-artis muda mencipta
nama dan menjadi seniman tersohor dijadikan realiti. Seni telah menjadi aset komoditi,
lambang kemewahan dan dengan jelas seni tampak telah berjaya dialatkan oleh
kapitalis untuk mengukuhkan hegemoni (pengaruh atau dominasi sesebuah negara
atas negara-negara lain) masing-masing yang bersifat ekonomistik, selain cuba
meletakkan seni sebagai objek kewangan.

Selagi ideologi itu untuk kepentingan kuasa yang dilihat sebagai pertaruhan idea
maka akan ada sesuatu yang baru dijadikan alat dan agen. Tidak menghairankan jika
sesuatu polimik itu ditimbulkan akan muncul suatu konvensi yang baru sebagai alat
untuk mengideologikan seni. Akhirnya masyarakat akan tahu baik filem mahupun apa
sahaja naskhah dari karya seni akan mengalami pengaruh-pengaruh ini. Melihat pada
keadaan dunia dalam era globalisasi, mengakibatkan banyak kegiatan seni tampak
terpaksa mengikut rentak dari kekuatan kapitalisme.

Rujukan:

Arnold Hauser, terjemahan oleh Kenneth J. Northcott, The Sociology of Art, New York:
The University of Chicago Press, 1974.

John Naisbitt, Nanan Naisbitt & Douglas Philips, diterjemahkan oleh Azman Ayub,
Teknologi Tinggi Sentuhan Halus, New York: Broadway Books, 1999, Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, 2007.

John Russell, The Meanings of Modern Art, London: Thames & Hudson Ltd., 1981.

Pauline Johnson, Marxist Eesthetics, London: Routledge & Kegan Paul, 1984.

Anda mungkin juga menyukai