Anda di halaman 1dari 4

PIDATO PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu bersengketa, kerana
dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu. Dan bersabarlah
sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (Surah Al-Anfal, ayat 46).
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera dan salam 1
Malaysia. Sekalung apreasasi kepada saudara/saudari pengerusi majlis, panel hakim yang
arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tetap dengan jam randiknya serta warga dewan yang
dikasihi dan disanjungi sekalian. Hadirin, sebentar tadi, sebagai pembuka kata, telah saya
alunkan ayat Al-Quran, Surah Al-Anfal, Ayat 46. Ayat Al-Quran ini menekankan betapa
kekuatan kita terletak pada perpaduan, jika perpaduan hilang digantikan pula dengan
persengketaan, maka hilanglah kekuatan kita. Ayat inilah yang menjadi inspirasi untuk saya
berdiri di sini bagi menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk Perpaduan Nadi
Transformasi Negara.
Sebelum tirai syarahan dibuka, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, perpaduan bermaksud perihal berpadu, bergabung menjadi
satu. Nadi pula ialah nyawa. Manakala, transformasi negara ialah perubahan sesuatu ke
arah membangunkan negara. Kesimpulannya, Perpaduan Nadi Transformasi Negara
berkehendakkan kita untuk sama-sama mencerna idea betapa soal perpaduan rakyat dan
transformasi negara ialah saling bergantungan dan memerlukan. Ibarat isi dan kuku. Ibarat
aur dengan tebing. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menyuburkan perpaduan ini?
Usah bercakap soal transformasi, soal perubahan, soal pembangunan, soal kemajuan, jika
soal perpaduan pun dipandang enteng, jika persoalan bagaimana untuk menyuburkan
perpaduan pun tidak mampu kita jawab. Fikir-fikirkan. Oleh itu hadirin sekalian, hari ini, saya
ingin bawa hadirin semua untuk menelusuri bagaimana aspek politik, ekonomi dan sosial
mampu menjadi cara yang ampuh untuk menyuburkan perpaduan seterusnya menjadi nadi
transformasi negara.
Warga dewan dirahmati Allah,
Ufuk minda saya yang pertama di bawah kata kunci PENTADBIRAN CEKAP
PERPADUAN MANTAP. Segala unsur transformasi diteliti dan didekati, demi pentabiran
negara yang berintegriti. Kesepakatan dalam menjana idea dalam kepimpinan negara
menjadikan dasar negara dapat dilaksanakan tanpa halangan. Allah sendiri pernah
berfirman dalam Al-Quran dengan menekankan betapa pentingnya kesepakatan atau
mesyuarat dalam urusan pentadbiran. Buktinya, dalam surah Surah Ash-Shuraa Ayat 38
yang bermaksud dan lebih baik bagi orang-orang yang menyambut perintah Tuhan mereka
serta solat dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama
mereka, dan mereka mendermakan sebahagian dari apa yang Kamu beri kepadanya. Saya
yakin kesepakatan akan menjadikan urusan pentadbiran negara lebih cekap seterusnya
menarik 29 juta rakyat Malaysia untuk bersatu menyahut cabaran dan rintangan.

Wacana fitrah saya yang kedua, KESELAMATAN DICAKNA HIDUP BERMAKNA.


Perpaduan rakyat Malaysia sememangnya tersohor seantero dunia. Usia 59 tahun
kemerdekaan menjadi bukti betapa kaum Melayu, Cina dan India mampu duduk semeja
mencerna idea berkongsi kuasa tanpa prasangka. Seiring dengan itu, keselamatan negara
terus diperkasa lantaran dasar kerajaan yang cakna akan keselamatan rakyatnya. Detik
hitam 13 Mei 1969 yang menyaksikan kaum-kaum di Malaysia saling berbunuhan, menjadi
pengajaran untuk mengekalkan keamanan. Ini mengingatkan saya tentang satu hadis oleh
Rasulullah, "Janganlah kamu bersengketa; kerana umat sebelum kamu telah bersengketa
lalu mereka binasa."
Sidang pendengar sekalian,
Fokus bicara yang ketiga, EKONOMI DIPACU, RAKYAT BERSATU. Kemakmuran
ekonomi negara mampu dikecapi bersama biarpun pernah dilanda kegawatan era 90-an,
namun Malaysia mampu bangkit dari kesukaran. Program Transformasi Ekonomi mampu
melonjakkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7% dengan izin Capital Economy dan People
Economy menjadi satu simbiosis kepada negara. Kepentingan rakyat seperti kos sara hidup,
pendidikan, pekerjaan dan lain-lain cuba ditangani melalui pelbagai transformasi. Melalui
dasar transformasi nasional, korupsi berjaya dikurangkan sehingga mampu menarik
sokongan rakyat sekutu untuk setuju dan bersatu ke arah negara maju. Menyentuh soal
korupsi, teringat saya kepada firman Allah yang bermaksud Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu makan harta kamu antara kamu dengan jalan yang salah seperti
judi, tipu dan sebagainya (Surah An Nisa, ayat 29).
Kata kunci saya yang keempat, EKONOMI MANTAP, PRASARANA HEBAT. Dari
Perlis hingga ke Sabah, prasarana yang ada terus bertambah. Berdiri megah Putrajaya,
Cyberjaya dan segala kemudahan menjadi lambang ekonomi negara dapat diatur dengan
jayanya. Ternyata perpaduan yang mantap dapat melonjakkan prasarana hasil transformasi
yang rapi.

Cantik sungguh sang puteri di sana,


Lesung pipit di muka manis bak delima,
Kini tiba waktu saya laksana,
Ufuk minda syarahan yang kelima.

Ufuk minda yang kelima, AGAMA DIJUNJUNG, RAKYAT BERUNTUNG. Hidup


berteraskan pegangan agama menjadi tunjang kehidupan rakyat Malaysia. Surah Al-Imran,
ayat 103,

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai;
Biarpun Islam menjadi agama rasmi namun agama lain masih boleh dianuti selagi Tuhan
tetap diyakini berteraskan prinsip pertama Rukun Negara. Transformasi terus diterokai
dengan sikap saling memahami dengan agama yang dianuti tanpa provokasi. Perbezaan
agama bukan halangan untuk mencipta persafahaman. Yakinlah bahawa Islam jambatan
duniawi dan ukhrawi.
Fokus bicara yang terakhir, BUDAYA DIPELIHARA, RAKYAT SEJAHTERA.
Kepelbagaian seni dan budaya Malaysia sememangnya aset yang cukup berharga. Kaum
Melayu, Cina, India dan bumiputra mempunyai seni dan budaya yang menjadi identiti yang
cukup bererti. Tarian inang dan zapin sudah tidak asing. Tarian ponggal dan singa sudah
biasa. Semuanya berlindung di bawah Dasar Kebudayaan Kebangsaan untuk mengukuhkan
perpaduan. Transformasi disanjung, budaya disantuni dan rakyat bersatu dalam lingkungan
seni. Seni dan budaya menjadi warisan bangsa dan menjadi tarikan pelancong di negara
kita. Melihat keunikan kepelbagaian budaya dan kaum ini mengingatkan saya kepada satu
firman Allah

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya. (Surah Al-Hujurat, ayat: 13)

Sidang warga bervisi,


Kesimpulannya, begitulah hebatnya Perpaduan Nadi Transformasi Negara berasaskan
tiga aspek utama politik, ekonomi dan sosial yang meletakkan Malaysia di ufuk pandang
yang membanggakan di serata dunia. Saya akhiri syarahan saya dengan wabillahitaufik
walhidayah wassalamualaikum b.b.t.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai