Anda di halaman 1dari 2

www.irsyadbalok.musleh.edu.

my

KESIHATAN
ANCAMAN PLASTiK
Pada zaman sekarang, antara bahan yang paling banyak dan selalu digunakan oleh manusia dalam kehidupan
seharian mereka adalah barang yang diperbuat daripada plastik. Lihat sendiri perkakas di dalam rumah, bermula
daripada dapur, bilik air hinggalah ke kawasan ruang tamu dan halaman di luar rumah, hampir kebanyakannya
dihasilkan daripada plastik kerana ia adalah bahan yang murah lagi mudah digunakan. Namun, di sebalik dua
keistimewaan plastik itu, tersembunyi ancaman yang kita tidak ketahui. Contoh yang paling mudah, iaitu botol air
mineral. Selain daripada ringan, senang dibawa ke mana-mana dan mudah digunakan dengan berulang kali, ianya juga
akan menjimatkan wang para pengguna apatah lagi di kala kemelesetan ekonomi sekarang, jalan mudah untuk
penjimatan adalah menggunakan botol ini berulang kali. Meskipun amalan mengelakkan pembaziran adalah perkara
yang dituntut oleh Islam, tetapi adakah kita mengetahui akan kesan buruk seandainya kita suka menggunakan botol air
mineral ini secara kerap untuk suatu tempoh masa yang lama? Hal ini adalah kerana botol air mineral diperbuat daripada
Polyethylene Terephtalate atau lebih sinonim dengan singkatan PET. Bahan ini mempunyai beberapa kekurangan yang
boleh memudharatkan kesihatan pengguna apabila digunakan dengan berulang kali, terutama sekali jika terdedah
kepada suhu panas. Menurut sejarah, ia digunakan dalam industri pembuatan botol minuman secara meluas selepas
dipatenkan pada tahun 1973.
Beberapa tahun kemudian, timbul isu bahawa bahan kandungan PET berupaya untuk larut resap ke dalam air mineral
dan seterusnya mencemarkan air mineral itu sendiri. Semua bahan plastik di pasaran sekarang secara asasnya adalah
berdasarkan petroleum. Dalam proses pembuatan botol air mineral misalnya, peringkat pertama melibatkan proses
tindak balas kimia untuk menukarkan petroleum kepada bahan asas dengan menggunakan pemangkin seperti antimoni.
Selanjutnya, peringkat kedua pula membabitkan bahan kimia seperti Dimetil Tereftalat (DMT) dan Etilena Glikol (EG)
dengan penggunaan pemangkin tertentu. Kemudian, bahan campuran kimia lain seperti Di-2-ethyl-Hexyl-Adipote
(DEHA) juga ditambah kepada bahan asas untuk menghasilkan botol mengikut reka bentuk yang dikehendaki.
Antimoni yang digunakan sebenarnya boleh menyebabkan penyakit barah dan sepatutnya tidak digunakan dalam proses
membuat botol. Begitu juga dengan penggunaan DEHA yang dikatakan boleh larut resap dalam air, tetapi sehingga kini
tiada fakta saintifik untuk menyokong dakwaan itu. Selain itu, dua faktor yang menyebabkan penggunaan botol plastik air
mineral secara kerap kali yang membhaayakan kesihatan pengguna ialah perubahan sifat kimia akibat haba dan juga
kesan penuaan. PET hanya tahan haba hingga 60 celsius dan jika lebih tinggi, botol tidak akan cair tetapi menjadi
lembut. Walaubagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah proses larut resap yang mungkin boleh berlaku. Namun,
kenyataan ini juga tiada sokongan dengan bukti saintifik yang kukuh.
Sehubungan itu, kalau kita ingin menggunakan bekas botol air dengan berulang kali, elakkan daripada menggunakan
botol plastik PET, sebaliknya gunakan botol plastik yang dihasilkan daripada polikarbonat yang lebih tahan haba, iaitu
hingga 130 atau 140 celsius. Dari segi kesan penuaan pula, botol plastik terdedah kepada perubahan sifat apabila
digunakan berulang kali seperti kemek dan pecah, di mana proses larut resap juga mungkin boleh berlaku dan hal ini
memungkinkan terjadinya pembiakan bakteria. Pencemaran terhadap alam sekitar turut berlaku akibat daripada
penggunaan plastik selain daripada menjejaskan kesihatan. Contohnya, satu kajian telah mendapati bahawa lebih
kurang 100 bilion tan beg plastik telah mencemari lautan seluruh dunia dan meragut nyawa hidupan laut seperti penyu,
burung-burung dan ikan paus.
Dianggarkan juga sejuta burung cedera dan mati setiap tahun kerana termakan dan terjerat beg plastik serta banyak
penyu mati akibat termakan beg plastik yang terapung hanyut di permukaan laut yang menyerupai makanan asasi
penyu, iaitu ubur-ubur. Plastik-plastik yang dibuang ini tidak akan hancur dalam masa yang singkat kerana jangka
hayatnya sangat panjang hingga mencapai lebih kurang 10 abad untuk hancur atau terurai. Selain itu, plastik-plastik
yang dibuang juga boleh menyekat pengaliran air sehingga boleh menyebabkan air parit dan sungai membanjiri
kawasan berhampiran apabila hujan lebat. Disebabkan oleh faktor tempoh reput yang agak panjang, maka ia akan
memenuhi sebahagian besar dari kawasan tapak pelupusan sampah. Lebih merisaukan lagi, plastik boleh mengeluarkan
kompaun toksik dan berbahaya apabila ia reput. Sekiranya hal ini berlaku, pencemaran tanah, sungai dan sumber air di
bawah permukaan tanah tidak mustahil akan terjadi.
Akibatnya, kualiti alam sekitar, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat akan terjejas. Berikutan keburukan plastik
terhadap kesihatan manusia dan persekitaran, beberapa negara telah mengambil langkah untuk mengelakkan
pembungkusan dengan plastik secara berleluasa. Terdapat sebilangan negara telah menghentikannya melalui undangundang penggunaan beg plastik di kedai dan pasar raya. Sebahagian negara lagi telah mengenakan bayaran ke atas
sisa beg plastik. Maka dengan itu, tidak hairanlah jika tema bagi sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun lepas
ialah ‘Kick The Habit- Reduce The Use of Plastic Bags, Towards A Low Carbon Economy’ (Ubah Sikap!
Kurangkan Penggunaan Beg Plastik Bagi Menjana Ekonomi Yang Berkarbon Rendah). Tujuan kempen ini diadakan
adalah mengajak kita untuk mengubah sikap terhadap penggunaan plastik.
Di samping itu, sebagai pengguna, kita juga perlu mengetahui kebaikan-kebaikan dari segi alam sekitar daripada
pengurangan penggunaan bahan-bahan daripada plastik khususnya beg plastik.
Antaranya:
http://www.irsyadbalok.musleh.edu.my

Powered by Joomla!

Generated: 26 April, 2012, 23:24

www.irsyadbalok.musleh.edu.my

1. Jumlah sisa buangan yang perlu dilupuskan akan berkurangan lantas mengurangkan penggunaan kawasan tanah
bagi tujuan pelupusan seterusnya menipiskan risiko berlakunya pencemaran.
2. Penggunaan semula (kitar semula) pembungkus atau beg plastik akan menjimatkan penggunaan sumber tambahan
bagi penghasilan beg plastik baru. Kajian oleh Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat yang dijalankan
bersama Konsultan ICF, Konsultan Owen-Illinous dan Univesiti Florida pada September 2006 menunjukkan kitar semula
satu tan plastik akan menjimatkan penggunaan tenaga sebanyak 51 hingga 56 juta Btu (satu Btu bersamaan dengan
tenaga yang boleh dihasilkan oleh 8 gelen gasolin).
Oleh yang demikan, wajarlah bagi kita selaku pengguna menyambut baik dan menyokong penuh kempen
mengurangkan penggunaan plastik dan beg plastik. Sebagai alternatifnya, menggunakan bahan lain selain daripada
bahan tersebut adalah sangat-sangat digalakkan terutamanya dalam menyelamatkan alam ini daripada tercemar dan
mengekalkan kesihatan kita sepanjang masa.
Justeru, hayatilah pesanan junjungan besar nabi kita, Muhammad saw dalam hadith baginda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara..mudamu sebelum tuamu, kayamu sebelum miskinmu, sihatmu
sebelum sakitmu, lapangmu sebelum sempitmu dan hidupmu sebelum matimu”.
Ingatlah bahawa bumi ini dan kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah antara amanah yang perlu dijaga dan
dipelihara oleh kita dengan sebaik-baiknya selama mana kita hidup di dalam alam yang bersifat sementara dan
fana’ ini. Amatlah pedih azab yang bakal kita terima di akhirat kelak seandainya kita gagal dalam memikul
tanggungjawab berkenaan.

http://www.irsyadbalok.musleh.edu.my

Powered by Joomla!

Generated: 26 April, 2012, 23:24