Anda di halaman 1dari 14

PENGHAYATAN NILAI DAN ETIKA KERJA BERTERASKAN ISLAM DI

JABATAN-JABATAN KERAJAAN

1. Pendahuluan

1.1 Kertas ini bertujuan mengimbas kembali peranan pelbagai jabatan


kerajaan dalam menyuburkan nilai dan etika berteraskan Islam dalam
semua aktiviti latihan dan amalan pengurusannya. Pada masa yang
sama, berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang berlaku dalam
pelaksanaan aspek ini, beberapa cadangan akan dikemukakan bagi
membolehkan program pemantapan dan penyuburan nilai dan etika ini
dapat diteruskan dengan jayanya.

1.2 Kertas ini juga secara ringkasnya akan cuba menjawab persoalan-
persoalan berikut:
- Adakah jabatan-jabatan kerajaan pada masa kini telah mempunyai
satu garis panduan nilai dan etika berteraskan Islam yang
bersepadu yang dapat difahami dan dihayati secara bersepadu
juga oleh semua lapisan ahli organisasi dalam semua bidang
tanggung jawab?
- Adakah garis panduan nilai itu berteraskan gabungan antara dua
ilmu penting iaitu Ilmu Naqli dan Aqli? Atau adakah ianya dibentuk
atas dasar kepentingan untuk menjaga nama dan imej semata-
mata?
- Apakah matlamat sebenarnya di sebalik program penerapan nilai
dan etika itu: adakah sekadar untuk memenuhi kehendak
Pekeliling-Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam/kehendak
Stakeholder/kehendak politik dan ekonomi semasa, atau memang
secara ikhlas menuju ke arah memenuhi kehendak Islam yang
begitu jelas menekankan aspek pemupukan setiap individu sebagai
manusia yang beradab dan berakhlak tanpa melalui peraturan yang
rigid atau paksaan?
- Apakah faktor sebenar yang menyumbang ke arah pemantapan
aspek nilai itu: pola kepemimpinan jabatan(terutama dari segi
teladan dan komitmen yang ditunjukkan), persekitaran, peraturan
dan pengawasan, atau program nilai itu sendiri?

2. Senario Pelaksanaan Program Pemantapan Nilai & Etika Berteraskan Islam


di Jabatan-jabatan Kerajaan
2.1 Dalam proses bagi membangunkan sistem pengurusan integriti di negara
ini, usaha murni kerajaan dalam hal tersebut telah bermula semenjak
daripada tahun 1979 lagi apabila terbitnya buku Panduan Perkhidmatan
Cemerlang, sambil pada masa yang sama, cogan kata “Berkhidmat
Untuk Negara” turut diperkenalkan. Beberapa dasar serta program yang
menyusul selepas itu adalah:

- Penggubalan Perintah Am (Kelakuan dan Tatatertib) Bab “D”


(1980);
- Arahan menggunakan kad perakam waktu (1981);
1
- Pelancaran Dasar Bersih, Cekap dan Amanah (1982);
- Pengenalan Dasar Pandang Ke Timur (1982);
- Kempen Kepimpinan Melalui Teladan (1983);
- Pelancaran Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran
(1985);
- Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang bertemakan “Kualiti Teras
Kejayaan” (1989);
- Pengenalan Sistem Belanjawan Diubahsuai (1990);
- Penggubalan Pekeliling-pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam
(bermula daripada tahun 1991 hingga kini);
- Penerbitan buku panduan bertajuk Amalan-amalan yang Tidak
Produktif ;
- Penetapan tarikh rasmi sambutan Hari Q Perkhidmatan Awam iaitu
pada 31 Oktober setiap tahun;
- Pemberian Anugerah Kualiti Perdana Menteri;
- Pemberian Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam;
- Pemberian Anugerah Khas Perkhidmatan Awam;
- Pemberian Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (1991);
- Penubuhan Sistem Inspektorat dalam Perkhimatan Awam (1991);
- Pelaksanaan Sistaem Saraan Baru (1992);
- Penggubalan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan
Tatatertib) 1993 bagi menggantikan Bab D;
- Penggubalan Piagam Pelanggan (1993);
- Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran
Kerajaan Malaysia (2001);
- Garis Panduan bagi Mengadakan Ceramah Penerapan Nilai-nilai
Islam dalam Perkhidmatan Awam (2001);
- Penerbitan buku/majalah/buletin menyentuh soal etika pengurusan;
dan
- Penganjuran beberapa siri seminar/bengkel/kursus mengenai
aspek nilai dan etika dalam Perkhidmatan Awam.

2.2 Sebagai reaksi terhadap usaha ini, pelbagai jabatan kerajaan telah
melaksanakan usaha yang sejajar dengan arahan yang digariskan di
samping menjalankan usaha-usaha tambahan sebagai nilai tambah
terhadap arahan tersebut, contohnya:

- Menerbitkan buku-buku rujukan penting berkaitan dengan aspek


nilai dan etika seperti buku koleksi ucapan Perdana Menteri
Malaysia, buku koleksi ucapan Ketua Setiausaha Negara, dan
pelbagai buletin atau newsletter jabatan yang memuatkan amanat
ketua jabatan masing-masing dan amanat pemimpin tertinggi
negara dalam mana-mana majlis yang penting;
- Mengadakan beberapa siri seminar kebangsaan yang secara
khusus membicarakan tentang nilai dan etika;
- Beberapa siri kursus nilai dan etika serta kursus pemantapan nilai
Islam dalam pengurusan;

2
- Wacana ilmu yang diadakan di peringkat eksekutif oleh sesetengah
jabatan;
- Perhimpunan bulanan;
- Sesi gotong-royong;
- Minggu Q;
- Penerbitan poster-poster;
- Aktiviti sukan;
- Penulisan artikel dalam buletin, jurnal dan Newsletter jabatan;
- Aktiviti keagamaan seperti tahlil,kelas agama dan majlis korban;
dan
- Penerbitan dokumen yang menjelaskan tentang nilai seperti risalah
kecil yang berkaitan etika kepegawaian , piagam pelanggan,
manual prosedur kerja, fail meja, pelan risiko jabatan, dan buku
panduan kualiti.

3. Masalah Pelaksanaan Program Pemantapan Nilai dan Etika


Walaupun usaha ke arah memantapkan aspek nilai dan etika dilaksanakan oleh
pelbagai jabatan kerajaan, namun ada kelemahan-kelemahan tertentu yang
patut difikirkan semula oleh semua ketua jabatan sebagaimana yang
disenaraikan di bawah:

3.1 Program ini dilaksanakan sekadar melepaskan batuk di tangga, tidak


ditangani secara istiqamah, kurangnya kesungguhan dalam pelaksanaan
program ini, dan hanya dilaksanakan semata-mata untuk memenuhi
laporan tertentu. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh Y.Bhg. Tan Sri
Samsudin Kasim, Ketua Setiausaha Negara, dalam pertemuannya
dengan pegawai kanan kerajaan dalam Majlis Khas Fasilitator Islam yang
diadakan di INTAN pada 5 Mac 2004;

3.2 Masih berlaku pendekatan penduaan (dualistic approach) dalam


pelaksanaan program ini, yakni tidak ada pendekatan yang bersepadu
dalam aspek nilai bagi semua aktiviti utama di kebanyakan jabatan
kerajaan. Contohnya, dalam proses membuat keputusan, kita belum ada
satu piawai nilai yang boleh digunakan dalam hal tersebut bagi
menunjukkan sesuatu ketetapan itu dibuat berdasarkan keutamaan yang
telah sedia digariskan dalam agama. Oleh itu, ada perancangan yang
dibuat dengan tergesa-gesa dan mengakibatkan pembaziran. Begitu juga
dalam bidang latihan yang didapati aspek nilai kurang disepadukan dalam
setiap subjek yang diketengahkan;

3.3 Aktiviti agama hanya bersifat ritual tanpa difikirkan bagaimana ia boleh
dijadikan teras dalam semua bidang tanggung jawab utama di jabatan-
jabatan kerajaan;

3.4 Program pemantapan nilai ini dilaksanakan dalam keadaan yang bersifat
berat sebelah, yakni lebih banyak tertumpu kepada staf bawahan akibat
lahirnya prasangka dan buruk sangka terhadap mereka oleh pengurusan
3
atasan. Oleh itu, kebanyakan program agama dan nilai hanya ditekankan
terhadap staf bawahan semata-mata dan hanya mereka sahajalah yang
diminta untuk menghadirinya;

3.5 Kurangnya contoh melalui teladan yang ditunjukkan oleh pengurusan


atasan, misalnya ada pegawai atasan yang tidak menjawab salam ketika
diberi salam, ego, menunjukkan muka masam semasa bekerja, takabbur
dengan kedudukan, dan mementingkan diri sendiri. Ini mengakibatkan
program pemantapan nilai tidak dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya
kerana lahirnya keadaan “cakap tak serupa bikin”;

3.6 Semangat kekeluargaan berdasarkan prinsip persaudaraan yang


berkisarkan aspek musyawarah-muafakat-gotong-royong semakin
luntur di sesetengah jabatan. Sebaliknya yang mula mengambil alih
adalah aspek perhubungan yang hanya berlandaskan fungsi (functional-
relationship) dan lebih bertumpukan aspek kuasa, kekananan, menjaga
kedudukan masing-masing tanpa menghiraukan kebajikan orang lain
(non-caring), dan unsur mengampu;

3.7 Pengurusan atasan di sesetengah jabatan lebih banyak menghebahkan


dan berbangga dengan kecemerlangannya yang bersifat rethorik tanpa
sedar bahawa ada kelemahan utama yang sedang berlaku di jabatan
masing-masing, misalnya aspek pentadbiran yang kelam-kelibut,
penurunan tahap motivasi staf yang berlaku dengan tiba-tiba, keadaan
syak-wasangka antara staf dengan pengurusan, perancanaan
pengurusan jabatan yang semakin tidak teratur dan aspek perancangan
yang terlalu bersifat keduniaan tanpa dihubungkaitkan dengan aspek
akhirat. Perkara ini mestilah diperakui dengan jujur dan ikhlas oleh pihak
pengurusan di sesetengah jabatan tanpa sebarang prejudis;

3.8 Kurangnya usaha yang proaktif dalam aspek pemantapan nilai dan etika.
Apa yang ada hanyalah program yang menyusul setelah sesuatu arahan
dikeluarkan oleh pihak atasan; dan

3.9 Warga sesetengah jabatan kurang dibimbing untuk memahami secara


mendalam tentang apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai nilai
dalam erti kata yang mutlak berlandaskan Ilmu Wahyu. Ini disebabkan
nilai yang sering diperkatakan itu sering difahami dalam konteks yang
bersifat nisbi yakni semata-mata untuk memenuhi tuntutan dan keperluan
hidup beroganisasi. Walaupun segala nilai itu diambil dari sumber yang
mutlak tetapi pengertian terhadap setiap nilai itu diolah serta dibentuk
berdasarkan pengalaman keduniaan dan rasional semata-mata.

4. Faktor Kekuatan Yang Membantu Sesetengah Jabatan Dalam Program


Pemantapan Nilai dan Etika Berteraskan Islam
Walaupun lahirnya kelemahan-kelemahan tertentu yang sebahagiannya telah
dinyatakan di atas, sebahagian daripada jabatan kerajaan sebenarnya
mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri yang dapat dimanfaatkan untuk

4
menyubur dan memantapkan nilai dalam setiap fungsi utamanya. Kekuatan
yang ada pada jabatan tersebut adalah seperti berikut:
4.1 Faktor ketrampilan yang perlu terus dipertahankan dari segi mengatur
urusan pentadbiran yang kemudiannya dapat dimanfaatkan untuk
membangunkan tradisi pembudayaan ilmu di kalangan ahli organisasi.
Jika ini dilakukan, ia akan dapat memberi sumbangan yang amat
bermakna dalam aspek penyuburan nilai;

4.2 Terbukanya peluang yang luas kepada ahli organisasi untuk


meningkatkan diri melalui program perancangan latihan dan pengayaan
kerja (job enrichment) yang telah di atur oleh sesetengah jabatan;

4.3 Telah lahir banyak mekanisme rangkain (networking mechanism) yang


memudahkan proses interaksi antara organisasi. Keadaan ini sebenarnya
dapat membantu kita memahami senario dan fenomena nilai dalam
konteks yang lebih luas;

4.4 Lahirnya sifat keterbukaan di kalangan pengurusan jabatan untuk


menerima teknik dan kaedah baru pengurusan terutamanya yang bersifat
proteknologi yang dapat membantu dan memantapkan proses pembinaan
nilai; dan

4.5 Telah ada di pelbagai jabatan kerajaan satu sistem pendokumentasian


hasil maklumat dan sistem perpustakaan yang baik yang boleh terus
dipertingkatkan untuk dijadikan sebagai pusat rujukan utama dalam
bidang nilai dan etika.

5. Perancangan Strategi Penyuburan dan Pemantapan Nilai dan Etika


Berteraskan Islam di Jabatan-jabatan Kerajaan
Setelah melihat kepada faktor kelemahan dan kekuatan di atas, kita harus sedar
bahawa jabatan kerajaan kini kian menjadi sebuah organisasi yang kompleks
dan kadang kala sukar diurus sehingga melahirkan dilema nilai yang payah
diselesaikan kerana ia melibatkan pelanggaran prinsip adab dan akhlak yang
berlaku secara halus (subtle) tanpa disedari. Lantas kita perlu renungkan semula
secara mendalam sambil memohon petunjuk Illahi tentang bagaimana untuk
mengembalikan semula satu bentuk pengarahan yang kental untuk mencapai
matlamat sebenar dan sepenuhnya bagi sesebuah organisasi kerajaan,
bagaimana falsafah kerja dan hakikat organisasi dapat diperdalami dan dihayati
sebaik-baiknya, bagaimana budaya kerja berteraskan ilmu serta kebenaran
dapat dibangunkan dengan lebih sempurna, dan bagaimana semangat
kekeluargaan dan kepentingan permuafakatan dapat disuburkan.
Sehubungan dengan perkara ini, berikut digariskan perencanaan strategi am
yang boleh digunakan sebagai panduan untuk memperhalusi lagi program
pemantapan nilai dan etika pada masa-masa yang akan datang. Strategi am ini
meliputi beberapa perkara dasar seperti berikut:

5.1 Membentuk falsafah pekerjaan berteraskan prinsip nilai agama.


Semua warga organisasi awam perlu diperjelaskan bahawa pekerjaan
serta kedudukan atau habuan yang dicapai hasil daripada pekerjaan yang
5
dilakukan bukanlah satu kemegahan atau tanda kemuliaan (tasrif) tetapi ia
merupakan amanah yang rapat kaitannya dengan prinsip
pertanggungjawaban (taklif). Oleh itu, ia perlu dilakukan dengan penuh
rasa tanggung jawab dan kesedaran tentang maksud pengabadian
sehingga membolehkan unsur fasad tidak berlaku dalam setiap fungsi
pekerjaan yang dilaksanakan.

Sehubungan dengan perkara ini, dicadangkan supaya setiap jabatan


kerajaan berusaha menampilkan satu falsafah pekerjaan yang perlu
sentiasa dihayati berdasarkan kesedaran berikut:

i. mencari rezeki yang halal untuk hidup sempurna dalam konteks


melaksanakan haq sebagai hamba Allah (‘ubudiyyah) ;
ii. mendapat keredhaan Allah supaya semua yang dikerjakan itu
diterima sebagai ibadat dalam konteks melaksanakan haq pada diri
dan pekerjaan (ihsan); dan
iii. membina tamaddun dan membentuk keadilan dalam masyarakat
berasaskan ilmu dan kebenaran dalam konteks melaksanakan haq
pada masyarakat dan semua manusia lain (‘adalah) serta haq
pada alam dan makhluk lain (tidak melakukan fasad).

Jika falsafah ini dihayati dengan ikhlas dan penuh keazaman, ia akan
melahirkan ketenangan dan keharmonian dalam organisasi kerana setiap
daripada kita akan melaksanakan tugas masing-masing dengan perasaan
redha dan bersyukur kerana tidak terikat dengan keinginan nafsu untuk
mencari nama, kedudukan, dan puji- pujian yang menjadi sebahagian
daripada punca yang mengakibatkan kecurigaan, iri-hati, dengki, hasad,
dendam, dan khianat di kalangan ahli organisasi. Atas kesedaran dan
penghayatan falsafah ini, barulah kerja dapat beralih menjadi ibadat
apabila keikhlasan kerana Allah menjadi “mahkota” pada setiap
pekerjaan yang dilakukan.

5.2 Mengemaskinikan kurikulum latihan.


Institusi latihan awam yang ditubuhkan bawah kementerian-kementerian
tertentu hendaklah memastikan supaya setiap kurikulum yang digubal dan
sesuatu perkara yang diajar mestilah dilihat dari tiga perhubungan yang
penting iaitu alam – manusia – Pencipta. Ini bagi membolehkan
tercapainya matlamat penyucian aqal serta roh dan pembangunan daya
jasmani.
Di samping itu, asas-asas universal mengenai manusia dari segi hakikat
kejadiannya, peranannya dan kesudahannya serta prinsip mutlak nilai
yang mesti dipeganginya hendaklah turut disajikan kepada setiap pegawai
yang menghadiri kursus.
Bagi membolehkan perkara ini direalisasikan dengan jayanya, mana-
mana organisasi latihan awam bolehlah memikirkan untuk menubuhkan
satu badan penilai dan penasihat bebas di peringkat organisasi masing-
masing yang diwakili oleh kelompok agamawan, ilmuan dan para
profesional dan orang-perorangan yang terbukti jujur dan mulia akhlaknya
di sisi masyarakat. Fungsi badan ini adalah:
6
i. memberi nasihat dan maklum balas dalam hal yang berkaitan
dengan isu nilai dan etika serta pada masa yang sama, mengambil
langkah yang proaktif dalam mengemas kini kaedah penerapannya
dalam semua kurikulum dan pendekatan latihan;
ii. bertukar pendapat serta pengalaman sambil menentukan strategi-
strategi ke arah meningkatkan keberkesanan sistem integriti
pengurusan;
iii. membentuk satu usaha secara bergandingan dengan institusi-
institusi latihan atau pengajian tinggi sama ada dalam dan luar
negeri dalam bidang penyelidikan yang menyentuh permasalahan
nilai dan etika;
iv. menerbitkan satu jurnal atau buletin yang bersifat jaringan dalam
bidang tersebut;
v. berperanan secara tidak langsung sebagai jawatankuasa integriti
dalam usaha meningkatkan sakhsiah dan profesionalisme warga
organisasi; dan
vi. mengambil inisiatif yang berterusan dalam mendokumentasikan
kajian-kajian kes dalam bidang tersebut . Kajian kes ini hendaklah
meliputi organisasi yang berjaya dan juga yang gagal, bukan
sahaja pada masa kini tetapi juga pada masa lalu.

5.3 Melahirkan corak kepemimpinan dan pengurusan yang beradab dan


berbudaya ilmu.
Sebagai memastikan suburnya nilai-nilai dan amalan baik dalam
organisasi, pengurusan atasan dan kepemimpinan di setiap jabatan
hendaklah melalui satu proses penataran ilmu abadi (perennial
knowledge) secara berterusan, bukan saja diasyikkan dengan ilmu alat
(recipe knowledge) seperti pengurusan. Ini bagi membolehkan sesuatu
yang diputuskan dan dilaksanakan itu sejajar dengan tuntutan agama,
mengambil kira kesan jangka panjang tanpa dibataskan dengan tekanan
atau kehendak semasa, dan tidak terikat dengan kehendak amarah dan
hawa nafsu. Para ulama Islam yang mu’tabar seperti Ibn Hazm pernah
mengingatkan kita bahawa jika pengetahuan itu hanya digunakan untuk
maksud kebendaan, keduniaan, mencapai kedudukan yang bersifat
sementara, atau mencari nama maka kita bakal dihidapi oleh penyakit
kerohanian yang teruk dan tidak terubat sehingga sampai ke peringkat
boleh menghancurkan jiwa kita.
Ilmu yang sepatutnya diperdalami sepanjang masa oleh barisan
kepimpinan di organisasi awam, selain daripada pengetahuan mengenai
pengurusan, adalah ilmu yang meliputi hakikat ketuhanan, hakikat
manusia, hakikat akhirat, hakikat kematian, sejarah bangsa dan tamaddun
dunia, falsafah pemikiran, dan kesusasteraan. Ilmu yang sebegini tidak
akan menjadikan kita “miskin “ dari segi skop pemikiran.
Penataran dan pengayaan pada aspek ilmu ini bolehlah dilakukan secara
diskusi, pembahasan, usrah, muzakarah dan pewacanaan yang dilakukan
secara tidak formal melalui interaksi secara aktif dengan para ilmuan dan
pemikir ulung.

7
Selain itu, kita perlu memikirkan untuk menampilkan satu aturan adab dan
akhlak kepemimpinan pengurusan atasan yang antaranya meliputi
perkara-perkara berikut:

i. Berusaha menjadikan sesuatu organisasi itu seolah-olah sebuah


rumah tangga berteraskan semangat kekeluargaan, musyawarah,
muwafakah, dan saling bantu-membantu dengan jujur/ikhlas tanpa
diungkit atau mengharapkan apa-apa balasan;
ii. Tidak dipengaruhi oleh sifat sombong, takabbur, suka menunjuk-
nunjuk kuasa, dan berfikiran sempit;
iii. Menanam sikap cintakan ilmu dan kebenaran serta sentiasa
menghormati ahli ilmu;
iv. Berpegang kepada konsep mengasuh, membimbing dan
mendokong, bukannya mengarah;
v. Bertindak atas dasar ilmu, bukannya atas dasar kuasa atau marah;
vi. Menanamkan sifat sabar yang tinggi terhadap karenah staf
bawahan, berkongsi masalah dan tidak mengambil tindakan
sesuka hati terhadap mereka, tawadhu’, mesra dan hormat-
menghormati antara setiap ahli organisasi;
vii. Banyakkan muhasabah dan lebih banyak menyalahkan diri sendiri
apabila berlaku sesuatu kepincangan dalam organisasi;
viii. Menerima secara positif segala teguran walaupun dari staf
bawahan;
ix. Melahirkan suasana berfikir dan bertukar-tukar pendapat secara
bebas sehingga orang merasa selesa ketika membincangkan
perkara yang mendatangkan kepentingan bersama;
x. Segala keputusan, cadangan, dan tindakan yang baik yang
dilakukan oleh peringkat staf atau pegawai yang lebih rendah
kedudukannya hendaklah didokong serta diiktiraf, bukan dibatalkan
atau diketepikan begitu sahaja; dan
xi. Tidak mempunyai sikap buruk sangka terhadap staf di samping
sanggup berkorban dalam mempertahankan hak dan kebajikan
mereka.

5.4 Meningkatkan galakan ke arah pembacaan bermutu.


Pembacaan bahan-bahan bermutu tinggi mestilah digalakkan kepada
seluruh warga organisasi awam melalui pelbagai cara. Gerakan ini boleh
dimulakan dengan azam untuk menepati slogan “satu halaman satu
pemkiran” atau “buku sumber pembangunan negara”. Kegemaran
membaca hendaklah ditanam dengan segala daya agar kegiatan ini
menjadi cinta yang mendalam lalu secara tidak langsung dapat memupuk
nilai yang baik di kalangan warga organisasi awam.
Sehubungan dengan ini, beberapa cadangan di bawah bolehlah
dipertimbangkan jika difikirkan wajar:
i. Perpustakaan atau pusat sumber yang dibangunkan di sesetengah
jabatan hendaklah lebih membanyakkan koleksi dalam bidang
pemikiran atau buku-buku yang menampilkan idea agung yang
meliputi bidang sastera, sejarah, falsafah sains atau kemanusiaan,
dan pemikiran bertunjangkan agama. Buku-buku seperti ini
8
hendaklah dijadikan bahan asas kepada para pegawai sama ada
untuk dianalisis atau rujukan dalam penyiapan sebarang penulisan
kertas konsep bagi sesuatu projek yang hendak dilaksanakan;
ii. Buku hendaklah dijadikan perkara pokok dalam semua bentuk
hadiah dan cendaramata sama ada dalam majlis atau seminar
yang diadakan oleh sesuatu jabatan itu;
iii. Pengurusan atasan organisasi awam hendaklah menunjukkan
teladan sebagai pembaca, penulis, dan pencinta ilmu yang serius;
iv. Setiap jabatan atau unit-unit bawahnya mestilah menghasilkan satu
projek penulisan yang membahaskan ilmu dan pemikiran dalam
bidang-bidang yang ditangani, bukan sekadar buku yang bersifat
manual;
v. Program “bedah buku” secara mingguan perlu diadakan yang
menghendaki setiap warga jabatan tersebut dari segenap lapisan
jawatan diberi tugasan membahaskan buku yang dibacanya sama
ada di kalangan warga unitnya (mungkin selama 15 minit pada hari
Isnin) atau dalam majlis khas yang dianjurkan oleh jabatan itu,
mahupun sebelum satu-satu mesyuarat di peringkat jabatan
dimulakan;
vi. Sudut-sudut bacaan terbuka bolehlah di adakan di setiap jabatan
kerajaan. Walau bagaimanapun, elakkan daripada meletakkan
majalah hiburan dan surat khabar;
vii. Mana-mana jabatan bolehlah memikirkan untuk menubuhkan satu
sudut yang memuatkan buku-buku second-hand untuk dipinjam-
sewa yang secara tak langsung mendatangkan hasil tambahan
kepada jabatan tersebut;
viii. Satu penerbitan khas perlulah difikirkan untuk membolehkan para
staf di sesuatu jabatan bebas tetapi beradab dalam menampilkan
kebolehan menulis mereka dalam apa jua aspek sama ada
memberi komentar, membangkitkan isu, pojok, kesusasteraan,
cerita pendek, dan cadangan;
ix. Perpustakaan yang ada di sesuatu jabatan atau unit perhubungan
awamnya bolehlah menjalinkan kerjasama dengan mana-mana
penerbit dan kedai buku ternama di Malaysia atau di luar Malaysia
dalam melaksanakan beberapa siri kempen pembacaan dan
beberapa aktiviti sampingan yang berkaitan dengannya (seperti
seminar atau bengkel pembacaan) di samping memberi diskaun
istimewa pembelian buku;
x. Rancangan pembangunan buku dan penghasilan ilmu
pengetahuan hendaklah sentiasa diberi keutamaan yang sama
dengan keutamaan yang diberikan kepada perancangan
pembangunan yang lain; dan
xi. Setiap kursus di selaraskan oleh mana-mana jabatan hendaklah
memasukkan satu slot khas yang berkaitan dengan pewacanaan
buku.

5.5 Melaksanakan beberapa siri program pembangunan sakhsiah warga


organisasi.

9
Demi memastikan nilai-nilai kerohanian dan akhlak berteraskan agama
diajar dan diamal secara berhikmah, berani dan sederhana, beberapa
usul berikut dikemukakan sebagai pertimbangan:
i. mengadakan siri Imbasan dan Iktibar yang meliputi pengisahan
tentang negara yang mengalami kehancuran akibat keruntuhan
nilai dan juga negara yang mengecapi keharmonian disebabkan
pemerintahannya yang adil. Siri ini juga akan turut mengenang
tokoh-tokoh ulung dunia dan Tanah Melayu yang menyumbang
makna yang besar dalam segenap kehidupan insani seperti
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda, Imam al-Ghazali,
Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Za’ba.
ii. Komunikasi antara pihak pengurusan dengan staf bawahan melalui
amalan dasar komunikasi dua hala yang terbuka perlu
dipertingkatkan;
iii. Bagi membolehkan berlakunya keakraban, semangat muhibbah,
dan saling faham-memahami antara satu sama lain, satu bentuk
latihan yang bersifat partisipatif yang disertai oleh semua lapisan
jawatan di jabatan tersebut hendaklah diadakan dari semasa ke
semasa;
iv. Sebagai tanda keperihatinan, pengurusan atasan di sesuatu
jabatan jika berupaya, memperuntukkan satu pertiga daripada
elaun keraian mereka untuk tujuan memenuhi tabung pendidikan
bagi mengurangkan beban staf sokongan yang melanjutkan
pelajaran di peringkat yang lebih tinggi secara sambilan;
v. Staf bawahan yang terbukti kecemerlangan dari segi peribadi dan
kerja hendaklah diberi insentif dihantar berkursus pendek atau
attachment di luar negeri;
vi. Setiap jabatan mestilah memastikan warganya mengikuti kursus
yang bercorak multi-disiplin yang menuju ke arah membentuk
ketinggian peribadi dan kecermelangan dalam pekerjaan;
vii. Pengurusan atasan di sesuatu jabatan perlu menggalakkan
penubuhan satu jawatankuasa khas yang diwakili dan diterajui oleh
individu dari staf sokongan sebagai jurucakap dengan pihak
pengurusan (dalam pertemuan yang diadakan secara berkala)
terhadap sebarang masalah yang berbangkit berkaitan dengan
kebajikan dan hak kumpulan sokongan. Mereka hendaklah diasuh
untuk mengenengahkan sesuatu isu secara teliti dan adil tanpa
dipengaruhi oleh hawa nafsu sendiri atau kepentingan kelompok
yang tidak berasas;
viii. Program gotong-royong yang melibatkan semua lapisan jawatan
hendaklah diadakan dengan kerap sama ada di dalam atau di luar
jabatan tersebut seperti Program Bersama Penduduk Kampung
(dalam hal ini, pengurusan atasan janganlah sekadar bertindak
menjenguk muka sahaja);
ix. Sukan dalam erti kata riadah (bukan untuk bertanding dan
menunjuk kuat) perlulah dipertingkatkan lagi mutunya, dan
x. Setiap warga di setiap jabatan tanpa mengira pangkat dan agama,
hendaklah ditugaskan secara bergilir-gilir membaca renungan pagi
selama lima minit selepas pembacaan doa.
10
5.6 Membina suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap
pembentukan nilai.
Setiap organisasi awam hendaklah sentiasa memastikan lahirnya satu
citra organisasi yang menampakkan penekanan dan penyuburan terhadap
aspek adab dan akhlak. Dalam hal ini, beberapa perkara yang dinyatakan
di bawah perlu diberi perhatian yang wajar:
i. Dalam aspek pembangunan lahiriah di mana-mana jabatan, kita
mesti pastikan supaya setiap pembangunan tersebut tidak
menggambarkan pembaziran atau satu projek yang lahir tanpa
perancangan yang rapi;
ii. Sesuatu program pembangunan itu mestilah tidak dibuat hanya
sekadar ingin menunjukkan kehebatan jabatan tersebut atau
kehebatan penerajunya;
iii. Setiap ahli organisasi awam mestilah diasuh memastikan
kebersihan dan kekemasan pejabat masing-masing walaupun
tanpa bantuan kakitangan pencuci luar. Pemeriksaan dan teguran
dalam hal ini perlu dilakukan dengan giat oleh pengarah jabatan itu
sendiri;
iv. Bilik-bilik pejabat dan sudut-sudut tertentu yang dilalui oleh ramai
klien hendaklah memaparkan slogan-slogan yang menarik
berkaitan dengan nilai dan etika. Pihak pengurusan bagi sesuatu
jabatan pula perlulah, semasa taklimat bagi mana-mana majlis
yang diadakan, mengambil kesempatan mengungkapkan semula
slogan itu, dan memberi tafsiran ringkas dalam hal yang berkaitan.
Slogan-slogan tersebut adalah seperti berikut:
o akal bersih, jiwa gigih, ni’mat diraih
o qalbu suci menagih ridha Illahi
o musyawarah - muwafakah membawa barakah
o ilmu luhur, jahil berkubur, adab tumbuh subur
o jernih hati, ikhlas budi asas peribadi
o telaah, tafakkur serta tadabbur , amanah tidak kan luntur
o bakti ditabur, ikhlas nan jujur, teras peribadi tersohor
o anugerah Tuhan disyukuri, keduniaan tidak dituhani, ni’mat
kejayaan abadi
o Islah hati dan perbuatan, daki puncak sa’adah keredhaan
Tuhan.
(Slogan-slogan ini juga boleh dijadikan tema dalam setiap majlis
perhimpunan bulanan jabatan dengan sedikit pengubahsuaian)
v. Segala bentuk perjalanan pengurusan di sesuatu jabatan dan citra
organisasinya mestilah menggambarkan satu manifestasi daripada
nilai-nilai berikut:
o ikhlas (kebersihan rohani tertinggi yang terhindar dari sebarang
kecenderungan syirik dan riya’);
o taqwa (disiplin diri tertinggi dalam pengabadian kepada Allah);
o adil (keberanian untuk menilai diri sendiri dan fenomena
persekitaran organisasi secara tegas berasaskan ilmu yang
benar dan kebijaksanaan);
o ihsan (kesempurnaan amal dari segi cara dan alat);
11
o sabar (keupayaan menerima cabaran dan dugaan dengan
penuh kecekalan jiwa tanpa melakukan tindakan susulan yang
bersifat semberono);
o syukur (kerendahan diri dalam mengiktiraf pemberian Allah);
o taat (keazaman dan kesungguhan dalam melaksanakan
ketetapan Allah);
o pemurah (kepekaan dan keprihatinan terhadap kekurangan
orang lain);
o pemaaf (keinsafan tertinggi terhadap kelemahan manusia);
o redha (penyerahan yang sempurna dan tawakkal kepada taqdir
Ilahi);
o bercakap benar (keberanian tertinggi dalam menegakkan
keadilan dan perkara ma’ruf di samping mencegah unsur-unsur
yang menghancurkan maruah manusia); dan
o amanah (cekal dan berkorban dalam melaksanakan sesuatu
kebaikan dan tanggungjawab tanpa sebarang niat untuk
berkhianat).
vi. Bagi melahirkan budaya kerja yang cekap dan mapan, birokrasi
dalam urusan perolehan teknologi dan peralatan pejabat atau
latihan hendaklah dikurangkan, contohnya melalui tatacara
pengurusan kewangan yang fleksibel; dan
vii. Setiap warga organisasi awam hendaklah digalakkan untuk
berusaha menghayati konsep sihat yang menyeluruh yakni sihat
jasmani, aqal, dan roh.

5.7 Mengukuhkan sistem dan tata kaedah latihan yang menyumbang ke


arah penyuburan nilai.
Bagi membolehkan terhasilnya nilai-tambah terhadap pengurusan latihan
di setiap institusi latihan awam, beberapa perkara di bawah dikemukakan
untuk difikirkan secara mendalam oleh ahli-ahli lembaga pengurusan
jabatan yang berkaitan:
i. Pewacanaan ilmu secara aktif melalui kuliah, ceramah, tutoran,
seminar, persidangan, forum, diskusi, atau penulisan, dan konsep
“pembelajaran semula” patut dijadikan satu perkara yang
dibiasakan atas para peneraju latihan;
ii. Para jurulatih di mana-mana institusi latihan awam juga hendaklah
ditanam dengan budaya membaca yang meluas di luar bidangnya
seperti buku-buku pemikiran di samping membuat peninjauan ilmu
secara kritis. Ini bagi membolehkan mereka berfungsi dengan
sebaik-baiknya sebagai pengasuh aqal dan jiwa kepada para
peserta kursus;
iii. Berkaitan dengan kaedah latihan, mereka mestilah berupaya
menampilkan satu kaedah pengajaran yang menggabungkan
kaedah empiric (kaedah kemusykilan) dan penghayatan ilmu
wahyu di samping membentangkan aliran pemikiran yang pelbagai
dalam subjek yang dibincangkan;

12
iv. Para jurulatih juga mestilah mempunyai komitmen yang tinggi dan
usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyuburkan ilmu dan
nilai keagamaan melalui setiap latihan yang dilaksanakan;
v. Setiap kurikulum yang dibangunkan mestilah bersifat
pembangunan diri (development of manhood) dan
pembaikan/pembangunan daya kerja (remedial/development of
human potentiality);
vi. Para peserta kursus pula hendaklah sentiasa diasuh untuk
berdialog dan sering didedahkan teknik latihan yang menekankan
analisis senario yang memberi manfaat kelak kepada mereka
dalam mendiagnos dan menghuraikan segala permasalahan yang
berkaitan jika ianya timbul dalam organisasi masing-masing;
vii. Memastikan bahawa seluruh kegiatan kokurikulum dalam mana-
mana kursus yang diadakan memberi sumbangan membina ke
arah pembinaan adab dan akhlak. Oleh itu, sebarang kegiatan
yang berbentuk hiburan yang membuang masa hendaklah
dielakkan;
viii. Suasana keiltizaman peserta hendaklah dihidupkan dengan cara
yang sihat tanpa timbulnya rasa terhina atau rasa megah di
kalangan mereka. Oleh itu, penilaian terhadap peserta kursus
hendaklah dilakukan dalam bentuk yang meyakinkan misalnya
melalui perbahasan, kajian lapangan, projek kumpulan, penulisan
dan latihan berfikir; dan
ix. Dalam perkaitan perkara di atas, modul latihan di setiap institusi
latihan awam mestilah berasaskan konsep penyertaan menyeluruh
di samping mengelakkan aspek persaingan tidak sihat. Oleh itu,
hakikat diri dan maruah manusia, peranannya terhadap makhluk di
sekitarnya, dan hakikat Penciptanya hendaklah dijadikan mesej
asas setiap program latihan supaya para peserta kursus mendapat
manfaat yang sebenar dan enlightened terhadap perkara yang
diajarkan

6. Kesimpulan dan Rumusan


6.1 Kita semua patut ingat bahawa penyuburan dan pemantapan nilai, jika
dilakukan tanpa kesedaran agama yang tinggi (semata-mata kerana ia
merupakan tuntutan Ilahi), atau dilaksanakan sekadar untuk memenuhi
laporan dan diperhebah-hebahkan, nescaya tidak akan mencapai
matlamat sebenar.

6.2 Apa yang penting dalam hal ini ialah bukan organisasi per se, tetapi
manusia yang menganggotainya. Oleh itu, tumpuan utama dalam aspek
pemantapan nilai dan etika ini bukan semata-mata menjadikan seseorang
ahli organisasi atau peserta kursus itu baik sebagai seorang pekerja tetapi
baik sebagai seorang manusia yang sebenarnya yang sentiasa sedar
tentang kehadiran Tuhan di sepanjang perjalanan hidupnya.

6.3 Cadangan-cadangan yang dikemukakan di atas janganlah kiranya


dianggap sebagai rethoric semata-mata, tetapi diharapkan setiap
cadangan tersebut dapat dihalusi dan dinilai manfaatnya.
13
6.4 Segala cadangan di atas dikemukakan atas kesedaran untuk melihat
lahirnya semangat setiakawan di kalangan warga organisasi awam
berlandaskan sifat amanah, pengorbanan serta pembelaan tanpa mengira
kedudukan, warna kulit, dan agama. Pengorbanan yang sebegini patut
diiktiraf walaupun pengiktirafan itu tidak dipinta.

6.5 Segala cadangan ini hendaklah dilaksanakan mengikut tertib dan


keutamaan dari segi memenuhi hak atas agama, aqal, diri, keturunan
(maslahah kepada generasi akan datang), dan ekonomi. Oleh itu, segala
tuntutan untuk semata-mata memenuhi kepentingan peribadi yang
berteraskan nafsu, memenuhi kepentingan kelompok kecil yang berkuasa,
dan penampakan imej luaran sahaja, hendaklah dielakkan sebagai intipati
niat dalam perencanaan cadangan ini.

6.6 Apa yang diketengahkan ini bukanlah khayalan kosong tetapi ia


merupakan idea yang telahpun dilaksanakan dan diamalkan di peringkat
diri peribadi dan institusi Islam yang terdahulu. Mungkin kita terperangkap
dengan konsep ideal Barat yang menganggap sesuatu yang pernah
berlaku pada zaman kegemilangan Islam sebenarnya tidak lagi releven
dan hanya peninggalan sejarah untuk semata-mata ditatapi.

6.7 Sebagai mengakhiri kertas cadangan ini, saya menyeru diri saya sendiri
dan semua peringkat pengurusan organisasi awam untuk merenung
dengan sepenuh hati-budi akan syair berikut yang dinukilkan oleh seorang
ulama Islam tersohor, Sheikh Abdul Samad al-Falembani (rahimullahu
‘anhu) dalam kitab terjemahannya Hidayat al-Salikin yang berbunyi
sedemikian:

Seseorang, manakala hati dia,


dengan angan-angannya tertipu dia;
Dan bergaduh-gundah dengan loba akan,
kaya dunia yang bukannya tempat kaya;
Dan terkelam-kabut dengan asap jahil,
serta ‘ujub, sum’ah, takabbur, dan riya’;
Mempersidir ia akan ‘amal ‘ibadat,
Dan meng’asi melekas akan dia;
Lupa ia hari haru-hara mati,
padanya yang tidak ia bersedia.

14

Anda mungkin juga menyukai