Anda di halaman 1dari 5

Perpaduan Teras Dalam Usaha Menjayakan Gagasan Satu Malaysia

Memori tanggal 31 Ogos 1957 menggamit kenangan yang tidak


mungkin dilupakan oleh seluruh anak watan yang sememangnya amat
mengimpikan kebebasan mutlak sekian lamanya. Laungan MERDEKA,
MERDEKA, MERDEKA, oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama,
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj , membuatkan diri kita seolah – olah dibawa
mmerentasi masa kembali semula ke saat yang penuh dramatik itu. Laungan
kebanggaan itu memberikan sebuah isyarat bahawa kita akhirnya telah terlepas
daripada suatu siri penjajahan perit oleh kuasa Barat selama 446 tahun. Episod
penjajahan yang menyaksikan kita menjadi bangsa suruhan akhirnya berlalu
hasil jerih payah tokoh – tokoh pejuang tanah air yang sanggup bermandikan
darah demi melindungi maruah bangsa daripada tercalar. Namun kini, setelah
hampir melewati separuh abad kemerdekaan yang dikecapi, semangat patriotik
semakin terpancar pada wajah generasi kini yang mengamalkan kesepaduan
dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini bertepatan dengan konsep gagasan
Satu Malaysia yang direncanakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kelima,
Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ‘Satu Malaysia’ yang berteraskan
kepada perpaduan di antara kaum di Malaysia bertujuan mewujudkan
kesefahaman dan secara tidak langsung memantapkan kesejahteraan yang
telah dikecapi sejak sekian lamanya.

Satu Malaysia adalah penerusan agenda membina negara bangsa.


Untuk mencapai kemajuan bagi negara, maka rakyat perlu dimajukan terlebih
dahulu, dan ianya dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum
yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka
urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Inilah yang
digelar sebagai mana dicanangkan iaitu “rakyat didahulukan, pencapaian
diutamakan”. Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai sesuatu keadaan yang
bersatu atau berpadu. Perpaduan bukanlah lagi perkara yang asing lagi
terahadap kita, malahan frasa tersebut telah sebati dan menjadi darah daging
buat setiap anak watan . Barangkali kita sudah ditakdirkan hidup dalam sebuah
masyarakat majmuk dengan keragaman pelbagai budaya dan agama. Dengan
struktur sosial yang amat kompleks, kita hendaklah memeliharanya agar tidak
dicemari oleh angkara salah faham, pertelingkahan, dan perbalahan antara
kaum. Kita juga perlu insaf dan sedar bahawa tiada sebuah negara pun di
seantero dunia ini yang mampu mengekalkan keamanan selagi ketenteraman
sosial tidak mampu dipertahakan . Kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 yang
tragis serta meruntun hati berulang kembali. Peristiwa yang berpunca kepada
persilisihan kaum itu telah mengakibatkan ramai nyawa yang terkorban dan
nyawa individu menjadi tidak bernilai lagi. Kita seharusnya menjadikan peristiwa
berdarah ini sebagai iktibar yang amat berharga dan biarlah terus tersimpan di
dalam diari lama. Sekiranya hal ini berlaku lagi, mustahil gagasan Satu Malaysia
yang diharapkan tercapai dan hanya akan menjadi mimpi di siang hari sahaja.
Oleh itu, bagi memastikan hal ini tidak mungkin terjadi, semua kaum perlulah
sedar bahawa tiada sedikit pun kelebihan jika kita bertelingkah. Kita perlulah
belajar menerima perbezaan dan menangkis perasaan ketidakpuasan hati
sesama masyarakat. Sudah terang lagi bersuluh, peristiwa rusuhan kaum yang
berlaku telah membuktikan bahawa hakikat “menang jadi arang, kalah jadi abu”.

Kata – kata mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat ,Tun


Dr. Mahathir Mohamad iaitu “Melayu Mudah Lupa” bertepatan dengan situasi
semasa. Sekalipun generasi terdahulu pernah terseksa hidup dalam cengkaman
penjajah, namun peristiwa itu telah lama berlalu. Kini, segala kesusahan dan
keperitan telah bertukar ganti dengan kesenangan. Lantas kesenangan yang
diperoleh itulah menyebabkan generasi kini mula alpa akan kebebasan dan
keharmonian yang dinikmati. Kealpaan di sebalik kesenangan ini membuatkan
kita leka dibuai angan – angan dan tamak akan kekuasaan. Pertelingkahan di
antara pemimpin- pemimpin telah menggugat keutuhan perpaduan justeru
menggoyahkan kesepaduan masyarakat. Misalnya, peristiwa perebutan
kedudukan sebagai Menteri Besar Perak yang berlaku tidak lama dahulu telah
menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai bentuk demostrasi yang
sememangnya menimbulkan kekecohan dan hal ini seterusnya menimbulkan
keadaan yang tidak tenteram terhadap anggota masyarakat. Hilangnya
kesepaduan antara pemimpin ini turut memberikan gambaran buruk kepada
rakyat dan hal ini menyukarkan hasrat merealisasikan gagasan Satu Malaysia.
Hal ini, memberikan peringatan jelas bahawa gagasan ini sememangnya
memerlukan kesatuan hati dan suara pemimpin – pemimpin untuk dilaksanakan
dengan jayanya. “Pemimpin merupakan akar, rakyat pula rantingnya”, oleh yang
demikian pemimpin-pemimpin perlulah bersama-sama bersatu hati dalam
membuat sebarang keputusan kerana “gajah sama gajah berjuang, pelanduk
mati di tengah- tengah”. Sekiranya hal ini diamalkan sepenuhnya, tidak mustahil
perpaduan hakiki mampu dimiliki dan gagasan Satu Malaysia berjaya dicapai
dengan cemerlang dan gemilangnya.

Kita hidup dalam sebuah masyarakat “ibarat aur dengan tebing”. Hidup
yang sering membantu “sedikit tanda ada, banyak tanda ingat”. Amalan lama
seperti bergotong-royong hendaklah terus disuburkan dalam kalangan
masyarakat. Amalan seperti ini persis dapat mengikat dan menyatukan
masyarakat dalam pelbagai lapisan untuk turun padang dan bersama- sama
menyumbangkan tenaga demi kebaikan masyarakat setempat. “Hidup bersama
serumpun bak serai, sejunjung bak sirih”, inilah prinsip yang menjadi pegangan
untuk kita terus kekal menjadi juara perpaduan dalam kalangan masyarakat
majmuk. Kita bersatu dan bersama menghormati doktrin Rukun Negara yang
menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang
kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukan-peruntukan undang-
undang yang menyentuh sensitiviti kaum. Natijahnya keamanan dan
keharmonian terjana. Di Malaysia, kita dapat melihat pelbagai jenis perayaan,
adab resam, kebudayaan dan juga cara hidup yang berlainan. Dalam konteks
sosial, norma-norma masyrakat yang berasakan perkara – perkara ini perlulah
dihormati . Masyarakat seperti ini mampu membentuk interaksi sosial yang
dinamik . Keunikan-keunikan ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada
kita untuk mencapai perpaduan yang sejajar dengan konsep Satu Malaysia,
malah kita sewajarnya menjadikan keunikan ini sebagai salah satu wahana bagi
mengeratkan hubungan antara kaum. Keharmonian inilah yang memantapkan
kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang cukup disegani hasil daripada
perpaduan yang dimiliki. Hal ini sudah tentunya membolehkan gagasan Satu
Malaysia yang direncana tidak hanya menjadi bicara kosong malah menjadi
sebuah gagasan yang akan kekal dalam lipatan sejarah suatu masa nanti.

Rasa rendah hati ataupun tawadhuk, kesederhanaan serta berbudi


bahasa merupakan salah satu pekara yang mendokongi teras perpaduan
berdasarkan kepada gagasan Satu Malaysia. Rasa rendah hati atau Tawadhuk
adalah perasaan insaf bahawa kita semua adalah rakyat dalam satu negara
yang sama dan kita perlu hidup bersama secara harmoni. Ia juga merangkumi
pengertian bahawa setiap kaum, malah setiap individu ada kelemahan dan
kelebihannya yang sendiri, dan seharusnya kita memanfaatkan kelebihan
masing - masing demi memperkukuhkan masyarakat dan negara. Melalui aspek
ini, perpaduan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan efektif.
Persefahaman dapat dicapai dan pertelingkahan kaum dapat diatasi.
Kesederhanaan pula ialah pendekatan sederhana dalam apa jua isu yang
berbangkit. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan
atau tutur kata bersifat ekstrem tidak sama sekali boleh diterima kerana ia boleh
membawa kepada masalah ketidakstabilan sosial yang lebih parah. Hal ini akan
menjadi barah kepada perpaduan masyarakat sekiranya tidak diatasi dari awal
lagi. Budi-bahasa pula ialah tuturkata dan tingkahlaku yang tertib dan
berpaksikan kesantunan dalam segala interaksi dan perhubungan dengan pihak
lain bagi menjana kerjasama dan permuafakatan yang lebih erat. Ini bertepatan
dengan konsep Satu Malaysia yang ingin diterapkan ke dalam setiap aspek
hidup masyarakat Malaysia tidak kira lapisan kaum , bangsa mahupun agama.

Seterusnya, perpaduan sememangnya penting dalam usaha


melaksanakan gagasan Satu Malaysia ini. Tanpa wujudnya perpaduan dan
keharmonian, masyarakat semestinya hidup dalam keadaan terumbang ambing
tanpa hala tuju yang kukuh. Namun realitinya, kehidupan masyarakat di Malaysia
kini lebih bersatu dan berpadu berbanding dengan negara-negara asing yang
lain. Hal ini, membolehkan kita hidup umpama aur dengan tebing dengan rasa
saling hormat- menghormati antara masyarakat yang bervariasi latar belakang,
kaum mahupun agama sekali pun. Malah, negara kita sendiri dikagumi oleh
pelancong-pelancong asing yang melihat perpaduan Satu Malaysia ini sebagai
sesuatu yang cukup unik dan sememangnya jarang-jarang sekali untuk ditemui
di negara - negara lain. Keamanan ini secara tidak langsung berjaya memajukan
ekonomi dan meningkatkan pelaburan – pelaburan asing di Malaysia ini lalu
berjaya mengangkat Malaysia hampir standing dengan kuasa – kuasa besar di
rantau dunia. Oleh yang demikian , perpaduan haruslah sentiasa dipelihara dan
dikekalkan dari generasi ke generasi dan dari abad ke abad agar segala yang
telah kita kecapi selama ini tidak terus lenyap terpadam serta hanya menjadi
lipatan sejarah sahaja. Jelaslah bahawa, perpaduan memainkan watak utama
dalam usaha untuk merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang bertepatan
dengan frasa ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Sebagai anak watan kita seharusnya sedar dan bangkit dari mimpi di
siang hari. Kita perlu sedar bahawa keamanan dan keharmonian yang lahir ini
mudah sahaja dihancurkan jika perpaduan rakyat terus rapuh dan terus
diabaikan begitu sahaja. Perbezaan dan kelainan yang ada haruslah dianggap
sebagai suatu keunikan negara, Oleh yang demikian , masyarakat perlulah,
bersama , bersatu dan berpadu untuk menjayakan gagasan Satu Malaysia yang
merupakan hasrat murni Perdana Menteri bagi menjamin kedamaian Malaysia
tidak goyah dan tidak mungkin sesekali tegugat dengan sebarang ancaman dari
luar mahupun dalam . Tidak mustahil dan bukanlah angan-angan kosong,
Malaysia akan dipandang tinggi serta dijadikan idola oleh negara – negara di
seantero dunia.

Anda mungkin juga menyukai