Anda di halaman 1dari 3

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perayaan membawa maksud pesta untuk

merayakan sesuatu peristiwa, keramaian, perjamuan dan lain-lain. Tradisi pula bererti sesuatu yang

sudah sebati dengan sesuatu masyarakat yang telah menjadi adat sejak turun-temurun. Secara umunya,

perayaan tradisi di Malaysia bermaksud suatu pesta untuk merayakan sesuatu peristiwa sejak turun-

temurun yang telah menjadi adat dalam sesebuah masyarakat. Contohnya, masyarakat Melayu

menyambut perayaan Hari Raya setiap tahun, begitu juga dengan masyarakat Cina yang menyambut

perayaan 'Cap Goh Mei' dan masyarakat India yang menyambut perayaan 'Deepavali'.

Kesemua perayaan yang disambut di Malaysia telah mewujudkan perpaduan. Oleh itu,

sebagai warganegara Malaysia, kita perlu mengukuhkan perpaduan yang terjalin dan mengekalkannya.

Dengan mewujudkan interaksi atau perkongsian tentang uniknya sesuatu perayaan, perpaduan dapat

dieratkan. Antara sedar atau tidak, amalan ziarah-menziarahi telah menjadi amalan masyarakat

Malaysia kini. Jika diperhalusi, amalan ini membawa banyak kebaikan. Hal ini keranan semasa kita

sedang menziarahi jiran yang sedang menyambut sesuatu perayaan, secara tidak langsung, semangat

masyarakat atau semangat muhibah akan terjalin. Kita juga akan lebih kenal dengan keunikan

masyarakat lain, terutamanya apabila kita berkunjung ke rumah jiran yang berbangsa lain. Amalan ini

juga akan menghakis sikap prejudis kita terhadap kaum lain. Dengan mengamalkan amalan ziarah-

menziarahi, persefahaman dan permuafakatan antara kaum dapat dikukuhkan. Peristiwa 13 Mei

jelas membuktikan betapa pentingnya perpaduan dan diharapkan pisang tidak akan berbuah dua kali.

Bertitik tolak dari situ, kita juga perlu memahami latar dan norma budaya kaum lain.

Apa yang dimaksudkan ialah kita jangan memndang enteng pada budaya kaum lain. Sebagai contoh,

dari segi pakaian. Kita sebagai warga Malaysia yang bernaung di bawah gagasan Satu Malaysia,

digalakkan menyambut perayaan kaum lain. Kita boleh membeli pakaian dan makanan yang berkaitan

dengan perayaan tersebut, selagi semua yang kita lakukan tidak bercanggah dengan syariat atau hukum

agama. Dengan memahami norma budaya kaum lain, kita juga akan meminati dan menghormati

budaya dan amalan tradisi kaum lain. Intihannya, kita akan menghargai dan terus mengamalkan
tradisi budaya bangsa. Kesannya, tradisi budaya kita tak akan hilang ditelan zaman bak kata pepatah,

tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Untuk mengukuhkan lagi tali perpaduan, semangat bantu-membantu dalam sesuatu

perayaan perlu diwujudkan. Sikap ini dapat dipupuk melalui aktiviti bergotong-royong dan tolong-

menolong serta bekerjasama antara jiran tetangga. Sebagai contoh, dalam perayaan Hari Raya Aidilfitri

dan Deepavali, tuan rumah biasanya akan membersihkan rumah dengan menukar cadar kusyen, langsir

dan membuat kuih. Jiran yang berbangsa lain seharusnya membantu mereka yang sedang membuat

persiapan untuk menyambut perayaan yang menjelang tiba. Para jiran boleh membantu membersihkan

halaman rumah dan memasang hiasan. Hal ini bukan sahaja dapat mengeratkan perpaduan, malah dapat

menceriakan suasana pada ketika itu. Para jiran yang saling membantu bagai aur dengan tebing akan

dapat menimba pengalaman dan pengetahuan yang baru tentang persediaan untuk perayaan masyarakat

lain. Scara tidak sedar, sikap bekerjasama dan tolong-menolong dapat disemai.

Bukan itu sahaja, denagn mengadakan rumah terbuka juga, perpaduan dapat diperkukuh.

Dengan mengadakan rumah terbuka, seperti rumah terbuka semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, kita

akan dapat menimba ilmu tentang perayaan itu. Apa yang dimaksudkan ialah, dengan mengadakan

rumah terbuka, segala juadah dan hiasan akan berkait rapat dengan perayaan yang disambut.

Contohnya, dalam perayaan Hari Raya Aidilfitri, ketupat dan lemang merupakan juadah yang wajib

dihidangkan di kebanyakan rumah. Oleh itu, masyarakat lain yang belum mengetahui tentang

hidangan-hidangan yang perlu disediakan dalam sesuatu perayaan, akan dapat menimba pengetahuan

yang baru. Konsep rumah terbuka ini juga akan mengeratkan hubungan sillaturrahim antara kaum.

Hal ini dapat dilihat pada jiran-jiran, terutamanya jiran yang berbangsa lain dijemput untuk

memeriahkan lagi rumah terbuka. Konsep rumah terbuka ini jelas menolak peribahasa enggang sama

enggang, pipit sama pipit. Semangat muhibah dan semangat masyarakat dapat dipupuk.

Dengan mewujudkan perasaan sayang pada semua kaum, perpaduan dapat dieratkan.

Hal ini dapat diwujudkan apabila kita mengasihi dan menyayangi antara satu sama lain. Contohnya,
kita perlu melayan mereka yang berlainan bangsa dengan adil. Sikap pilih kasih dan berat sebelah harus

dielakkan. Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Bangsa, warna kulit, keturunan dan budaya

tidak harus dijadikan alasan untuk kita meminggirkan mereka. Biarpun berlainan banmgsa, kita harus

menghormati dan mengasihi mereka kerana sepakat membawa berkat. Seiring dengan konsep Satu

Malaysia, kita harus bersatu-padu dan berharmoni sesama sendiri. Jika dilihat dari aspek negara,

keamanan bergantung pada kesepakatan dan kesatuan kaum di Malaysia. Dengan menghormati budaya

dan tradisi mereka, kita akan dapat membina satu perpaduan yang utuh di persada zaman globalisasi

ini.

Pihak kerajaan atau wakil taman perumahan juga memainkan peranan penting dalam

memperkukuh perpaduan. Pertunjukkan kebudayaan boleh diadakan bagi melambangkan keunikan

budaya di Malaysia. Sebagai contoh, tarian 'Singa' dan 'Bharatanatyam' yang diadakan semasa perayaan

Tahun Baru Cina dan Deepavali. Tarian ini boleh diadakan secara besar-besaran di pertunjukkan

kebudayaan. Hal ini bukan sahaja dapat mengeratkan perpaduan, malah dapat menarik minat para

pelancong untuk singgah di Malaysia. Mereka akan menjadi tertarik dengan keunikan dan kebudayaan

Malaysia yang meliputi semua kaum di sini. Dengan adanya pertunjukkan ini, kita akan berasa bangga

dan bersyukur menjadi warganegara Malaysia yang mempunyai aneka kaum. Para pelancong juga

akan menghormati Malaysia yang mempunyai citra masyarakat yang berwajah kebangsaan.

Tuntasnya, perpaduan merupakan tunjang utama kepada keamanan negara. Dengan

wujudnya perpaduan, harapan Perdana Menteri Malaysia yang keenam dapat dicapai dan aspirasi Satu

Malaysia dapat dilaksanakan. Perpaduan, yang merupakan asas pembentukan Malaysia harus disemai

dan dipupuk, terutamanya pada pewaris negara sejak mereka di bangku sekolah lagi kerana melentur

buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, perpaduan harus dipelihara dan dimanfaatkan dalam kehidupan

seharian.

Anda mungkin juga menyukai