Anda di halaman 1dari 2

Beberapa tahun ini, kadar kecelakaan jalan raya yang berlaku di Negara kita semakin meningkat.

Mengikut statistic
pihak berkuasa, kemalangan jalan raya biasanya berlaku di kawasan Bandar yang menjadi tumpuan orang ramai,
terutamanya semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina yang disambut meriah kebelakangan ini. Lebih
membimbangkan lagi, pelbagai usaha pihak kerajaan dan media massa tidak kelihatan hasilnya kerana kurang
kerjasama daripada pengguna jalan raya.

Sebenarnya, perubahan sikap dan tindakan yang positif daripada para pengguna jalan raya amat diperlukan dalam
memerangi masalah ini. Mematuhi peraturan jalan raya merupakan langkah yang paling asas bagi mengelakkan
kemalangan. Sekiranya kita memandu mengikut peraturan, sudah tentunya lalu lintas jalan raya akan menjadi
sistematik dan teratur. Hal ini penting kerana jalan raya yang penuh dengan pelbagai jenis kenderaan akan menjadi
kelam-kabut jikalau penggunanya memandu mengikut kesukaan hati sendiri. Antara contoh-contoh peraturan yang
wajib kita patuhi termasuklah tidak memandu melebihi had laju 120 km/j semasa berada di lebuh raya, mematuhi
lampu isyarat ketika berada di simpang jalan, dan sebagainya.

Di samping itu, kita mesti memastikan kenderaan sendiri berada dalam keadaan yang baik dan dapat dikawal dari
semasa ke semasa. Enjin, tayar, dan bahagian lain perlu diberi penjagaan yang baik dan sesuai agar menjamin
kenderaan kita dapat dipandu dengan selamat. Selain itu, air di dalam enjin dan minyak pelincir hendaklah
senantiasa dipastikan tidak bermasalah. Sekiranya hal ini diabaikan, kita mungkin ditimpa kemalangan. Misalnya,
memandu di kawasan licir dengan menggunakan tayar yang cengkamannya kurang berfungsi akan mengakibatkan
kecelakaan.

Tumpuan dan perhatian yang sepenuhnya semasa memandu juga tidak patut diabaikan. Menurut pihak berkuasa
sesetengah kecelakaan jalan raya berlaku semasa pemandu itu sedang menelefon, asyik berbual-bual dengan
penumpang lain, ataupun dalam keadaan mabuk. Apabila mereka membuat dua perkara dalam masa yang sama,
sudah tentunya mereka tidak dapat memerhatikan kenderaan di sekelilingnya, terutama bagi mereka yang baru
mendapat lesen memandu. Mereka beranggapan bahawa kemahiran memandu mereka adalah mantap tetapi
sebenarnya itulah yang meragut nyawa mereka.

Selain itu, penggunaan kenderaan awam turut merupakan salah satu kaedah yang harus diambil berat. Hal ini
demikian kerana terdapat banyak kemalangan jalan raya yang berlaku kerana kesesakan lalu lintas. Apabila kita
menggunakan kenderaan awam seperti bas, komuter, dan sebagainya, masalah kesesakan lalu lintas dapat
ditangani kerana bilangan kenderaan di jalan raya telah dikurangkan. Secara tidak langsung, kecelakaan jalan raya
dapat dielakkan. Dewasa ini, pihak kerajaan turut menitikberatkan langkah ini terutamanya di kawasan Lembah
Klang dan Kota Raya Kuala Lumpur.

Kemalangan jalan raya yang berlaku saban hari ini bukan sekadar melibatkan pemandu kereta dan penunggang
motosikal, malah melibatkan mereka yang sedang menyeberangi jalan, misalnya murid-murid yang ingin pergi
bersekolah. Dalam hal ini, para pejalan kaki sewajarnya memanfaatkan kemudahan- kemudahan awam yang sedia
ada seperti lintasan pejalan kaki dan jejantas. Persepsi sebahagian besar daripada kita bahawa menggunakan
jejantas ataupun lintasan pejalan kaki merupakan tindakan yang membuang masa harus diubah bagi menjamin
keselamatan diri sendiri. Sehubungan itu, para pemandu turut patut memperlahankan had laju sekiranya mendapati
ada pajalan kaki yang sedang menggunakan lintasan pejalan kaki.

Walau bagaimanapun, amalan sikap toleransi dan saling menghormati di jalan raya merupakan kaedah yang paling
mudah dan berkesan bagi menyelesaikan masalah ini. Namun begitu, sikapp dan amalan murni ini telah semakin
terhakis dalam kalangan pengguna jalan raya akibat sosialisasi kehidupan bandar yang agak individualistik.
Lebanyakan pemandu kereta selalu memotong kenderaan sesuka hati semasa mengejar masa ataupun semata-
mata untuk menunjukkan kehebatannya, terutamanya golongan remaja. Ada juga mereka yang berebut untuk
memasuki jalan sehala yang sempit. Natijahnya, berlakulah kecelakaan yang menyayat hati. Lantaran itu, sikap
bertolak-ansur harus disemai dalam sanubari setiap pengguna jalan raya agar ketenteraman jalan raya tidak terjejas.

Secara tuntasnya, perubahan sikap para pengguna jalan raya merupakan “penawar” bagi kekangan ini. Pihak
kerajaan dan pihak swasta harus terus berusaha dengan mengambil inisiatif-inisiatif yang lebih berkesan dan
menyeluruh. Bagi pengguna jalan raya pula, kita mesti ingat bahwa sikap individualistik harus diketepikan semasa
memandu, bak kata pepatah, “biar lambat, asalkan selamat”. Seperti mesej yang senantiasa diutarakan dalam iklan
televisyen, hanya sikap dan tindakan kita sendiri mampu mengubah statistik kecelakaan jalan raya di negara kita
setiap tahun.

Anda mungkin juga menyukai