Anda di halaman 1dari 2

Nur Tuhan

www.iluvilslam.com
Dihantar oleh:ana_ huda
Editor: fazly_90

Apabila hati itu sedang menangis, merintih seribu kesedihan. Entah kenapa hati itu sedih
pada hari ini. Segala di hadapannya tidak menjanjikan sebuah senyuman kepadanya hanya
kesedihan. Dia mula bosan dengan apa yang terpantul di matanya. Dia mulai bosan.
Mengapa di sekelilingnya semuanya bagai cukup lengkap namun masih ada cahaya yang
tertinggal. Walhal lampu yang terang benderang dengan harga yang beratus-ratus tidak
dapat menembusi hatinya yang gelisah. Mengapa ? Mengapa masih ada kurang ?

Dia mengambil keputusan untuk melarikan diri sebentar dari suasana mewah itu. Dia ingin
sekali hatinya girang sekali lagi dengan nikmat yang tidak kekal ini. Dia sudah bersiap sedia
walau dia tahu dia akan merasai lelah namun dia rela agar hatinya kembali ceria. Dia
mulakan langkah. Dia tempuhi danau dan bukit-bukau. Mencari yang apa tercicir dalam
dirinya. Hatta lautan seluas mana pun dia sanggup untuk redah biar bahaya di hadapannya.
Dilihatnya terik mentari dan peluh mula mengalir. Dia teruskan lagi perjuangan yang belum
tentu dapat menghadiahkan kegembiraan.

Suatu hari dia terjumpa sebuah pondok usang dan kecil. Namun dia hairan mengapa
pondok itu seakan-akan miliki cahaya yang dapat menembusi hatinya. Kalah lampu-lampu
mahalnya ! Dia bagai terpanggil untuk mendekati pondok buruk itu. Kakinya membawa
dirinya semakin hampir kepada pondok tersebut. Di dinding pondok itu terdapat sebuah
lubang dan dia mengintai dari lubang itu kerana begitu ingin tahu ada apa pada pondok itu.
Dia melihat seorang lelaki sedang khusyuk bertafakur. Sesekali ternampak air matanya
mengalir sambil mengalunkan zikir. Lelaki itu berhenti lalu bangun. Dilihat wajah lelaki itu
penuh tenang dan bercahaya.
Lalu, dia mengambil keputusan untuk menumpang sebentar di rumah lelaki, entah dia
sendiri hairan mengapa ingin sekali dia ingin kenali lelaki itu. Dia memberi salam dan
salamnya dijawab. Diperkenalkan dirinya sebagai musafir dan ingin mohon izin untuk
menumpangi di pondok tersebut. Lelaki itu tersenyum dan menyambutnya dengan gembira
walau dalam keadaan sederhana.

Setelah beberapa hari di sana, dia begitu tertarik untuk mengetahui rahsia lelaki itu.
Mengapa kamu tenang ? Mengapa kamu bahagia ? Mengapa kamu sentiasa menampakkan
muka redha walhal hanya berhartakan sebuah pondok usang ? Mengapa ?

Tiada yang dapat memberikan aku bahagia melainkan izinNya hatta andai hartaku tinggi
menggunung dan kekayaanku tiada tandingannya, aku tak boleh menikmati bahagia
sekiranya Tuhan tidak mengizinkannya. Andai aku cari juga namun tidak kembali
kepadaNya, apa yang kutemukan hanyalah kebahagiaan sementara. Bukan kebahagiaan
abadi. Rahsianya ialah sentiasalah berusaha untuk dekat padaNya. Andai lautan gelora
datang pun tidakkan ku takuti kerana aku ada Tuhan untukku sandarkan diri setelah aku
berusaha dan bertawakkal. Andai hujan badai berturut-turut menimpa diri takkan ku gentar
kerana Dia mengajarku tentang sebaik-baik tempat kembali iaitu syurgaNya. Apa yang
penting…..aku ada Dia.

Terkedu dia mendengar kata-kata lelaki itu. Tertunduk malu pada lelaki itu malah lebih
malu pada dirinya sendiri ! Itulah jawapan kepada soalan kegelisahannya. Dia tidak pernah
menikmati hidup bertuhankan Dia sehingga dia berhambakan dunia. Air matanya menitis
jua akhirnya dan lelaki itu menggosok-gosok badannya.
Semoga nur Tuhan melimpahi kita semua…..

Anda mungkin juga menyukai