Anda di halaman 1dari 10

Wednesday, March 12, 2008

Zaman Kegemilangan Islam

Semasa Zaman Keemasan Islam (750 - 1250: zaman Kerajaan Abbasiyah), para ahli
falsafah dan ahli sains, serta jurutera-jurutera dari dunia Islam banyak menyumbang
kepada teknologi. Mereka melakukan ini dengan dua cara, iaitu dengan mengekalkan
tradisi-tradisi yang awal, serta dengan menambahkan rekaan-rekaan dan
pembaharuan-pembaharuan mereka sendiri. Pencapaian-pencapaian saintifik dan
intelektual mekar pada zaman keemasan itu.

Kerajaan Islam mewarisi "pengetahuan dan kemahiran Timur Tengah kuno, Yunani,
Parsi dan India. Mereka menambah pembaharuan penting dari luar, contohnya seperti
penomboran kedudukan dari India," tulis Bernard Lewis dalam bukunya What Went
Wrong? (Apakah Silapnya?).

Satu lagi pembaharuan ialah kertas - asalnya rahsia yang dijaga ketat orang Cina. Seni
pembuatan kertas diperolehi daripada dua tawanan di Pertempuran Talas (751), hingga
kilang kertas dapat dibina di Samarkand dan Baghdad. Orang Arab memperbaiki teknik
orang Cina dengan menggunakan kain linen berbanding kulit pokok mulberi.

Kebanyakan pembelajaran dan kemajuan ini dapat dikaitkan dengan geografi. Sebelum
kedatangan Islam lagi, bandar Makkah telah menjadi pusat perdagangan di
Semenanjung Arab dan Nabi Muhammad juga merupakan saudagar. Tradisi
mengerjakan haji ke Mekah menyebabkannya menjadi pusat pertukaran idea dan
barangan. Pengaruh yang dimiliki saudagar Muslim ke atas jalan perdagangan Afrika-
Arab dan Arab-Asia amat besar. Hasilnya, tamadun Islam tumbuh dan berkembang di
atas ekonomi saudagarnya, berbeza dengan tamadun Kristian, China dan India yang
masyarakatnya berasaskan kepemilikan tanah pertanian oleh bangsawan. Para
saudagar membawa barangan dan kepercayaan mereka ke China (menyebabkan
ramai Cina Muslim ~ 37 juta, sebahagian besarnya orang Uyghur Turki yang tanahnya
dirampas China), India, Asia Tenggara, dan kerajaan di barat Afrika dan kembali
dengan pembaharuan baru. Saudagar-saudagar ini menggunakan kekayaan mereka
untuk melabur dalam industri tekstil dan perladangan.
Mukadimah (http://protajdid.blogspot.com/2008/09/kedatangan-islam-dan-
pembudayaan-alam.html)

Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan. Kedatangan Islam telah mengubah dan
merobah kehidupan keagamaan yang sebelum itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh
kepercayaan Hindu-Buddha. Dalam tempoh hampir 15 abad dari awal Masihi sehingga
permulaan abad ke-15, turun naiknya Kerajaan-Kerajaan Melayu boleh ditelusuri dari Zaman
Funan, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan-kerajaan wilayah seperti di Kediri,
Singosari, Kutai Kartanegara.

Sungguh pun disebut hubungan Tanah Melayu dengan dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9
Masihi mungkin kerana dagang, tetapi kesan terbesar terjadi hanya sesudah terbentuknya
Kerajaan Melayu Melaka dengan kekuatan sistem pemerintahan dalam bidang siasah, ekonomi,
sosial dan kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam
Melayu.

Kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu Kesultanan Brunei, Sulu, Banjar, Makassar, Pontianak,


Sambas, Mindanao dan keluasan pengaruh kuasa Empayar Melayu Melaka itu melebar dari
seluruh Tanah Melayu sehingga ke Pattani di selatan Thai, menguasai sebahagian besar timur
Sumatera [kota-kota pelabuhan seperti Siak, Kampar, Inderagiri dan sebagainya], menjadikannya
sebuah pemerintahan yang disegani timur dan barat.

Tegaknya Kesultanan Melayu-Islam di Acheh (Perlak), Medang Bhumi (Kelantan), Champa,


Terengganu, Jawa dan kemudiannya pengaruh Melaka dalam konteks hubungan serantau dan
dengan Dinasti China, India, Rom dan Eropah - kekuatannya yang dibentuk oleh Islam itu -
menandakan telah wujud pengembangan Warisan Nabawi yang luar biasa dalam konteks
keserumpunan dan keserantauan yang tersendiri.

Kedatangan Islam

Setelah kedatangan Islam, kehidupan baru manusia Alam Melayu atau Nusantara dalam
keserumpunan itu bertukar daripada kepercayaan tahyul kepada suatu keyakinan yang
berpaksikan aqidah yang didasari intelektualisme dan rasionalisme. Islam telah membawa kesan
yang meluas dan mendalam terhadap kehidupan sosio-budaya massa dan membentuk corak
kerajaan-kerajaan Melayu di Dunia Melayu dengan memperkenalkan pelbagai sistem, serta
memperkenal dan meninggalkan tradisi keilmuan.

Islam dalam kebudayaan Melayu dikatakan denyut nadi dan degup jantung kepada
kesinambungan sejarah rantau, kemajuan bahasa, persuratan dan budaya dalam suatu bahagian
tamadun manusia di bahagian timur dunia sejak berabad-abad yang lalu.

Yang paling penting lagi Alam Melayu seolah-olah menjadi penyambut kepada kejatuhan Islam
di Andalusia yang mencapai kegemilangannya pada abad 7 hingga 14 Masihi dan Empayar
Melaka muncul sewaktu Barat memulakan penerokaan dunia baru dan bertarung dalam Perang
Salib. Barat telah menggerakkan Zaman Pembaharuan (Renaissance) yang bertujuan mengubah
dan menukar segala kemajuan ilmu dan pengetahuan termasuk sains Islam mengikut kehendak
dan kaca mata mereka.

Mungkin Alam Melayu tidak menerima keseluruhan isi peradaban Zaman Andalusia, tetapi
hakikat penerimaan aqidah Islamiyyah dan tradisi keilmuan sudah cukup bagi mewarnai corak
keperibadian baru dan pedoman hala tuju sebuah peradaban di timur.

Kesan kedatangan Islam terhadap kehidupan sosial dan kebudayaan Melayu dan sistem
berkerajaan merupakan suatu proses pembudayaan yang boleh dikaji dari pelbagai sudut seperti
pendidikan dan pengembangan ilmu, bahasa dan persuratan, kebudayaan dan kesenian, gerakan
kesedaran politik dan pentadbiran, pembaharuan pemikiran, ketatanegaraan, soal hukum hakam,
sejarah wilayah, sistem sosial, aspek nilai dan sebagainya.

Paksi kehidupan umat Melayu dan sejarah kebudayaannya menuju ke suatu sinar zaman baharu
yang mendukung ciri-ciri rasionalisme, intelektualisme, keadilan dan menempatkan kemuliaan
serta keperibadian insan pada tempatnya yang layak dan wajar. Suatu macam transformasi sosial
dan transformasi budaya yang mengagumkan telah terjadi.

Dilihat secara menyeluruh, sejak zaman-berzaman umat Melayu mungkin dapat digolongkan
sebagai umat yang taat beragama. Setidak-tidaknya penghayatan syiar-syiar agama masih
bersemarak. Setiap tahun jemaah haji dari rantau ini terutamanya dari Malaysia dan Indonesia
adalah antara yang terbesar jumlahnya. Sebahagian besar umat Melayu masih menghormati
hukum-hakam agama. Yang paling jelas orang Melayu atau umat serumpunnya – betapa pun
lemah penghayatan Islam mereka – masih menghormati ajaran-ajaran Islam tertentu seperti
larangan makan babi dan binatang-binatang lain yang diharamkan, termasuk juga binatang-
binatang halal yang tidak disembelih secara Islam.

Selain itu, fenomena bertukar agama atau keluar dari Islam boleh dikatakan jarang sekali terjadi.
Lebih-lebih lagi di Malaysia, di mana Melayu telah begitu menyatu dengan Islam sehingga
kejadian Melayu keluar dari Islam pasti menimbulkan kegemparan besar.

Islam: Kesannya Terhadap Sosio-Budaya dan Pemerintahan

Dalam konteks kesan kedatangan Islam terhadap perubahan sosio budaya ini, saya ingin
menyentuh beberapa aspek penting yang berhubung dengan:

 (a) Pendidikan dan pengembangan ilmu;


 (b) Bahasa dan persuratan;
 (c) Kebudayaan dan kesenian;
 (d) Politik dan pentadbiran;
 (e) Isu dan cabaran semasa kehidupan sosial umat.

(a) Pendidikan Dan Pengembangan Ilmu

Pendidikan dan pengembangan ilmu adalah warisan Nabawi yang sangat utama. Firman Allah
yang pertama disampaikan melalui Jibril kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah
kewajipan terhadap pencarian ilmu dengan perintah:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia
dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia)
dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya". Al
‘Alaq (Segumpal Darah) 96:1-5.

Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukup besar terhadap perubahan sosio-budaya
umat Melayu sesudah kedatangan Islam. Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada
mulanya dengan menadah kitab di surau, langgar dan masjid atau di kalangan istana, sehingga
kemudiannya terdirinya pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu.
Ilmu adalah alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan pembentukan
akhlak.

Proses pembudayaan rantau Melayu banyak sekali dimainkan peranannya oleh para ulama yang
bermula dari pusat-pusat pemerintahan Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa,
Pasai, Acheh, Palembang dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan–Patani, Banten dan
Minangkabau.

Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya pengaruh kebudayaan Islam di Alam Melayu dari
Semenanjung sehingga ke kepulauan Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau
kegiatan dakwah seperti yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan
wilayah geopolitik baharu seperti Aceh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama abad
ke-20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak pernah surut.

Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan pusat-pusat kebudayaan Islam di al-
Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki, juga India dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri
khusus terhadap sebuah tamadun Islam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban
Melayu-Islam sebagaimana kita kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam
dan Turki-Islam. Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam Melayu.

Di pelbagai wilayah Alam Melayu luas, selain dari pusat-pusat kebudayaan Islam di atas tadi,
terdapat cukup ramai para ulama yang berjasa besar dan terserlah sumbangan mereka dalam
pembangunan tamadun Melayu. Nama-nama ulama besar itu termasuklah ulama-ulama dari
Kelantan-Pattani, Terengganu, Pontianak, Sambas, Sumbawa, Makasar, Minangkabau, Kedah,
Lingga dan sebagainya, bahkan tidak terkecuali, pada abad ke-19, Banten dengan tokoh besarnya
– Syeikh Nawawie al-Bantaniy.

Penerimaan terhadap ajaran Islam dan kebudayaannya menyebabkan kebudayaan Melayu


disejajarkan dengan Islam. Maka Islam itu tidak sukar diterima oleh sebahagian besar umat
serumpun Melayu itu.

Kalau diteliti lanjut, ulama-ulama tadi cukup aktif menghasilkan karya tulis dalam pelbagai
bidang ilmu pengetahuan agama. Dengan kedatangan Islam dan tersebar ajarannya di Nusantara
atau Alam Melayu, maka telah tumbuh dan berkembang ilmu-ilmu yang menentukan ciri-ciri
kebudayaan Melayu besar serantau itu. Antaranya, yang paling awal, tentu sahaja ilmu-ilmu
yang membahaskan tentang ketuhanan dan tasawwur (world view) Islam, iaitu ilmu yang
menghuraikan dasar-dasar aqidah Islam.

Dalam bidang karya tulis, kita lihat tradisi yang sangat penting ini yang boleh disebut pada abad
ke 16 dan 17, dengan tokoh-tokoh di Acheh seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Rauf
Singkel, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Shamsuddin al-Sumatrani, berlanjut di Banjar dengan
tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dan Muhammad Nafis al-Banjari.
Kemudian Terengganu dengan Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis, penulis kitab Syarh
Hikam yang terkenal itu, Palembang dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembani, dan kemudian
Patani dan Kelantan dengan tokoh-tokohnya dikenal seperti Syeikh Abdul Rahman Pauh Bok,
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-
Fatani, Tuan Minal, Tuk Wan Ali Kutan, Haji Mohd Yusoff Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali),
Tuan Tabal dan lain-lain, lebih awal lagi di Jawa dengan Wali Songo dan ulama-ulama besar
Minangkabau yang bergerak secara langsung dalam gerakan bahasa, persuratan, kesenian dan
kebudayan selain dari keagamaan.

Hasil karya para ulama Melayu itu, antara lain, menghuraikan dasar-dasar pandangan hidup
Islam dengan menerangkan hakikat ketuhanan dan hubungannya dengan kenyataan-kenyataan
yang perlu diketahui dan direalisasi dalam kehidupan seorang Muslim, sehingga dengan
demikian, dasar-dasar pandangan hidup Muslim menjadi lebih jelas dan tidak hanya sekadar
menjadi suatu rukun daripada rukun-rukun iman yang dihafal dalam kepala sahaja.

Beberapa peribadi Islam yang dikenal masyhur dalam menghuraikan ilmu ini seperti al-Ash’ari,
al-Maturidi dan al-Ghazaliy, antara lainnya, mempunyai penerjemah-penerjemah dan penghurai-
penghurainya di Nusantara.

Selepas ilmu tentang ketuhanan dan world view, maka ilmu yang paling dekat selepasnya ialah
ilmu-ilmu tentang ibadat dan hukum-hakam atau fiqh, iaitu ilmu yang mengatur cara berhubung
antara manusia sesama manusia dan manusia dengan Tuhannya. Hubungan antara manusia
dengan manusia itu telah membentuk kebudayaan dan tata kehidupan sehingga proses penciptaan
mereka tetap berpaut kepada aqidah dan tauhid.

Manusia membentuk kebudayaan dan tamadun mereka tetapi terasnya adalah agama yang
datangnya dari Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Esa. Kemudian, terhurai juga ilmu-ilmu yang
menyangkut bidang etika dalam kerangka syariat yang syumul dan meliputi. Dalam bidang ini
sifat-sifat utama yang merupakan nilai-nilai baik atau al-Mahmudah dan sifat-sifat tercela keji
yang menjadi lawannya atau al-Mazmumah, dihurai dengan jelas dengan cara
menghubungkannya dengan kehidupan sosial dan kehidupan seseorang.

Malah, tidak jarang perbahasan tentang ilmu ini dikaitkan dengan soal-soal metafizika dan
ketuhanan. Antara nama-nama yang sangat terkemuka dalam bidang ini ialah Syeikh Abdul
Samad al-Palembani dengan karya besarnya Siyar al-Salikin dan Syeikh Muhammad Nafis al-
Banjari dengan karya kontroversinya – al-Durr al-Nafis. Dengan berdasar kepada pemahaman
doktrin dalam bidang ini serta pelaksanaannya dalam kehidupan perseorangan dan jamaah, maka
terbentuklah suatu sistem nilai dan etika Islam di Nusantara, yang kemudiannya menjadi wadah
dan acuan kepada sistem moral dan akhlak yang sekarang kita anuti sebagai nilai-nilai bersama.
Dari segi budaya intelektual, Dunia Melayu mempunyai sejarah dan tradisi intelektualismenya
sendiri. Kedatangan Islam ke rantau ini telah memulakan tamadun keilmuan dan melibatkan para
ilmuwan Melayu dalam perkembangan intelektualisme Dunia Islam. Memang rantau ini belum
pernah melahirkan seorang ash-Shafiy atau al-Ghazaliy, tetapi setidak-tidaknya rantau ini
memang sentiasa terdedah kepada pemikiran para ilmuwan besar Dunia Islam.

Khazanah intelektualisme Melayu tidak cuma mengandungi sastera lipur lara, tetapi meliputi
juga terjemahan dan saduran karya-karya besar al-Baydawiy, al-Mawardiy, al-Ghazaliy dan lain-
lain di samping karya-karya asli ulama Melayu. Tradisi pengajian pondok (pesantren) yang
dianggap oleh setengah kalangan peneliti sebagai bersifat indigenous itu telah memainkan
peranan besar sebagai jambatan budaya yang menghubungkan tradisi keilmuan rantau ini dengan
tradisi keilmuan Dunia Islam terutama yang berpusat di Asia Barat.

Para ilmuwan Melayu tidak hanya menterjemah dan menyadur karya-karya dari luar, tetapi ada
juga yang menghasilkan karya-karya asli termasuk karya-karya dalam bahasa Arab. Ash-Syeikh
Nawawiy al-Bantaniy (Banten) misalnya telah menghasilkan beberapa buah kitab dalam bahasa
Arab yang menjadi rujukan para ulama Hijaz.

Sejarah intelektualisme rantau ini juga mencatatkan adanya polemik-polemik intelektual yang
menyegarkan budaya berfikir. Pada zaman tamadun Aceh telah terjadi polemik di sekitar faham
wujudiyyah dan pada zaman kebelakangan ini lebih banyak lagi polemik-polemik tentang
pelbagai isu termasuklah polemik Islam dan adat tentang pembahagian harta pusaka dalam
sistem adat perpatih, polemik politik tentang Islam dan kenegaraan (antara Soekarno dengan
Natsir) polemik Kaum Tua-Kaum Muda (tentang pembaharuan Islam), polemik di sekitar faham
sekular, reaktualisasi Islam dan sebagainya.

Perkembangan-perkembangan mutakhir dalam bidang pendidikan di rantau ini telah membuka


kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan ISTAC (Institut
Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa) di Malaysia umpamanya telah menjadikan rantau
ini sebagai salah satu pusat tumpuan para ilmuwan dunia. Sekarang ini pun kita sudah
menyaksikan semakin ramainya para pelajar dari pelbagai rantau dunia termasuk Dunia Arab
yang datang untuk belajar di kampus-kampus kita.

Dari segi tradisi kerohanian pula, memang sejarah pengislaman rantau ini berkait erat dengan
peranan kaum sufi. Kerana itu hingga sekarang rantau Melayu adalah termasuk daerah yang
paling subur dengan tradisi kesufian. Ilmu Tasawwuf adalah merupakan antara jenis ilmu yang
popular dalam masyarakat Melayu. Karya-karya al-Ghazaliy khususnya kitab ihya’ Ulumi ‘d-
Din telah sejak lama diterjemah dan tersebar luas. Tradisi kerohanian masyarakat Melayu pernah
membuktikan peranan positifnya sebagai salah satu kekuatan umat.

Sejarah zaman penjajahan di Indonesia mencatatkan bahawa antara kekuatan yang paling
ditakuti oleh Belanda ialah kumpulan-kumpulan tarekat pimpinan ulama-ulama rohaniah yang
sangat berkarisma.
(b) Bahasa dan persuratan
Bahagian ini tercicir

(c) Kebudayaan dan kesenian


Bahagian ini tercicir

(d) Politik dan pentadbiran


Bahagian ini tercicir

(e) Isu dan cabaran semasa kehidupan sosial umat.

Peredaran sejarah seperti telah membawa kembali unsur-unsur imperialisme budaya baru dalam
konteks sezaman. Kebudayaan asing terutama budaya hedonisme Amerika dan Barat diterima
tanpa ukuran moral atau akhlak dalam perspektif budaya dan agama sendiri lagi.

Maraknya gejala sosial dan budaya hedonisme di kalangan generasi muda terutama di kalangan
anak-anak remaja dan penyakit rakus serta gila kuasa di kalangan orang dewasa dan para
pemimpin, adalah bukti jelas daripada tindak tanduk penyimpangan daripada pola yang diterima
turun temurun ini, suatu akibat daripada kecuaian dan kelalaian yang membawa kepada
terhakisnya pendidikan agama dan nilai budaya.

Cabaran pada abad ke 21, mahu tidak mahu umat serumpun Melayu sama ada yang beragama
Islam atau beragama lain akan menghadapi suatu zaman kemajuan yang luar biasa khususnya
pengaruh teknologi moden. Pencapaian manusia dalam ilmu sains ini menjadikan kita
berhadapan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, sehingga sesuatu yang tidak
dapat kita bayangkan. Manusia kadangkala terjebak oleh akal dengan pengaruh pemikiran dan
falsafah atau berasaskan kepercayaan ciptaan manusia sendiri.

Manusia mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap agama wahyu. Pengaruh


globalisasi, pascamodenisme dan liberalisasi menuntut gerakan agama dan para ulamanya perlu
bersama melibatkan diri menghuraikan kekusutan konflik peradaban corak baharu yang
mengasak kesejahteraan dan kebahagian manusia. Ada suatu macam penolakan tentang the
grand narrative yang ditanzilkan dari langit itu.

Namun begitu dengan kepakaran dan pencapaian manusia sehebat itu pun, manusia belum dapat
atau tidak berjaya sepenuhnya memberikan ketenangan kepada manusia sendiri. Mereka
mengadu takut, luntur kebahagiaan, resah gelisah, berduka cita dan sakit jiwa. Di Eropah dan
Amerika atau di kalangan penganut agama falsafah ciptaan manusia itu, ada penyakit rohani
yang sukar diubati lagi. Mereka sendiri oleh kurangnya penghayatan dan gagalnya menghayati
panduan sebenar terus tidak berdaya mengubatinya hatta dengan menggunakan unsur-unsur
kemajuan dan kecanggihan teknologi baru yang dicipta itu.

Kini kerana pengaruh asing yang tidak terkawal dan salah tafsiran dalam kesepaduan ilmu antara
tuntutan duniawi dan ukhrawi, maka perlumbaan memperoleh ilmu dibataskan kepada
kemakmuran duniawi semata-mata. Matlamat keilmuan demi keimanan, ketakwaan, keikhlasan,
warak dan tawadhuk dengan keunggulan akhlak mulia hilang daripada sahsiah para ilmuwan
sendiri.

Krisis aqidah dan lunturnya teladan Islam daripada para ilmuwan tadi mengakibatkan timbulnya
aneka masalah keruntuhan akhlak umat Islam zaman moden ini. Jalan penyelesaian gagal dicari
dan umat kekal terbelenggu dalam kemelut yang tidak menentu. Tujuan keseimbangan
kehidupan antara duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat,
manusia dan alam tabii, umat dan negara, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan
kreativiti terlihat kehilangan konsep ‘al-hikmah’ dan ‘al-mizan’. Manusia dibelenggui belitan
syaitan dengan kegilaan kepada kekayaan harta benda dan ketinggian darjat serta terpinggirnya
upaya memperjuangkan ‘ketinggian kalimatullah’ dalam pendidikan manusia.

Di kalangan umat Islam global juga mula dibimbangi bahawa pengaruh-pengaruh sedemikian
akan mula menyelinap masuk mempengaruhi kehidupan kebudayaan sejahtera yang mereka
miliki. Ancaman pengaruh itu tersebar melalui media elektronik seperti televisyen, radio, CD
Rom dan internet atau banyak juga melalui filem Hollywood dan Bollywood.

Negara-negara Islam dijebak oleh agenda perangkap persaingan agama atau perancangan
strategik global yang dipasang oleh Yahudi dan Nasrani. Sesuatu perlu dilakukan bertujuan
membetulkan kembali konflik budaya dan isu akidah umat masa kini.

Umpamanya sudah ada tendensi di kalangan belia Islam bukan sahaja di rantau Melayu bahkan
di seluruh dunia Islam mengambil bahagian dan merayakan Hari Memperingati Kekasih
(Valentine’s Day) pada 14 Februari setiap tahun, sesuatu yang mirip dengan agama asal perayaan
itu, Kristian. Perayaan zaman pertengahan di Perancis dan England itu mengaitkan tarikh
memperingati peristiwa Saint Valentine, seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah
Rom, Claudius II, kerana mengahwinkan seorang askar secara rahsia yang ditegah oleh undang-
undang Rom ketika itu, sebagai hari mencari pasangan atau jodoh, anggapan ‘hari burung-
burung mencari pasangan’.

Hal ini ternyata bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana Islam menganjurkan kasih sayang
sepanjang masa dengan keutamaan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan
sesama manusia.

Musuh-musuh Islam di mana-mana telah memulakan agenda dan menggunakan segala macam
alasan bagi mensahihkan sesuatu tindakan termasuk pencerobohan, penaklukan dan peperangan.
Peperangan dan pencerobohan di Afghanistan dan Iraq atau isu-isu kemanusiaan di Kosova,
Bosnia-Herzevogina dan Chechen sukar sekali untuk dirasionalisasikan kebenaran dan keadilan
tindakan oleh sesuatu adikuasa asing yang terlibat.

Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh mengubah keadaan ini. Kelihatan benar
bahawa tiada risalah lain lagi kecuali Islam. Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah
yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala
kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan (hablunminallah) dan
hubungan yang saling membantu sesama manusia (hablunminannas).

Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah
Taurat, Zabur dan Injil itu terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya
ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan mencorengkan arang
fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu diberikan penjelasan secara ilmu dan
hakikat kebenaran.

Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat Islam dan umat manusia sejagat. Umat Islam
pula sebagai suatu umat pilihan tidak harus terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh
arah pandu musuh dan semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan
tanpa mengambil kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fiqh mengikut
keutamaan (fiqh al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran dan al-
Hadith.

Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati.
Kekuatan rohani dan risalah Islamiah yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang
teristimewa berbanding dengan mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya
berada sama di barisan hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung
kehidupan berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang
menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai dengan
tuntutan Islam.

Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan meletakkan kepentingan diri sebagai
agenda utama, tetapi bertindak membawa kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya
menuntut perseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara
iman, ilmu dan amal, mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu
dengan kepentingan umum.

Sesungguhnya kita ingin melihat suatu kesegaran baru kebangkitan semula umat Islam di Dunia
Melayu melalui dorongan keikhlasan para ulama di serata wilayah dan kota-kota penting dalam
gerakan intelektualisme bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan tinggi dan mengisi
segala sumber kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar dan insaf serta kembali kepada
kesedaran aqidah yang lebih mendasari berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Krisis umat
Islam hari ini adalah krisis aqidah sehingga tidak tahu lagi membezakan halal haram atau buruk
baik.

Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan melampaui batas agama dan fitrah
kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan
mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu,
terutama televisyen memaparkan segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu
tindakan mesti dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan
mendalam.

Kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia,
Brunei, Thailand dan Filipina tidak boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan keagamaan
dan nilai budaya. Sistem politik sebagai teras kepemimpinan yang menentukan dasar-dasar
sesebuah negara tadi tidak terlepas bebas dari keperluan kepada panduan Islam.

Penutup

Sesungguhnya citra Islam adalah citra ilmu, citra dakwah dan jihad, juga citra hidup bersih dan
benar. Semoga kita pada hari ini mampu sedikit sebanyak memulihkan citra ini, atau setidak-
tidaknya menyingkap kembali citra yang pernah dimainkan para ulama terdahulu dalam
usahanya membimbing umat ke jalan hidup yang benar, disamping sekaligus membentuk budaya
hidup dan pola berfikir masyarakatnya.

Kita ingin melihat satu suasana ilmu dan budaya berfikir kembali cemerlang dan mendapat
tempatnya yang layak dalam era globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme sekarang ini, di
samping tentunya, tanpa mengabaikan kemudahan kebendaan dan kesenangan hidup demi
hasanah dunia dan hasanah akhirat.

Manusia akan menghadapi krisis tamadun atau pertembungan peradaban, seandainya tidak
berpegang kepada keagamaan kerana ternyata gelombang baru peradaban manusia dalam konsep
pascamodenismenya itu terang-terang menolak kehidupan yang berdasarkan kepada agama
wahyu, apa lagi Islam.

Label: andalusia, budaya, kertas kerja, nusantara, sejarah tanah melayu, ulama sufi

Anda mungkin juga menyukai