Anda di halaman 1dari 9

Yang Berhormat Datuk Speaker,

1. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan


terima kasih kerana mendapat kesempatan untuk turut serta menzahirkan
sembah setia di atas pemashyuran Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim
ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan dan Yang DiPertuan bagi Jegeri
Johor Darul Ta'zim dan jajahan takluknya serta peluang untuk turut serta dalam
perbahasan usul menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

2. BismillahirRahmanirRahim. Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya,


memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kita berlindung kepada Allah
dari kejahatan diri kita dan keburukan amalan-amalan kita, barangsiapa yang
Allah tunjuki maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barang siapa
yang Allah sesatkan maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah. Saya
bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya
kecuali Allah, dan saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw. adalah hamba
dan utusan Allah swt.

3. Secara keseluruhannya, dari 10 perkara yang menjadi intipati Titah Duli


Yang Maha Mulia Tuanku, dapat kita rumuskan bahawa KeBawah Duli Yang
Maha Mulia Tuanku amat berpuashati dengan pentadbiran Kerajaan Barisan
Nasional Negeri Johor Darul Ta'zim yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat
Datuk Hj. Abdul Ghani Othman. Namun begitu, saya percaya bahawa Kerajaan
Barisan Nasional yang telah terbukti dan luas pengalamannya dalam
mentadbirkan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat Negeri Johor ini tidak
sekali-kali akan mudah selesa, apatah lagi terleka seperti yang telah berlaku
kepada beberapa Kerajaan Negeri yang baru setahun jagung mendapat kuasa.
Setiap Titah dan saranan yang penuh kebijaksanaan KeBawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku akan sentiasa dijunjung ke arah menambahbaikkan lagi
pentadbiran Kerajaan Negeri dan keselesaan rakyat jelata Negeri Johor. Dan
yang amat penting sekali, marilah kita menyahut seruan Duli Yang Maha Mulia
Tuanku supaya semua pihak termasuk Parti Pembangkang dapat sentiasa
menjunjung sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 yang

1
berasaskan prinsip 'Muafakat itu Berkat' seterusnya mengelakkan perbalahan
berterusan yang akan membawa perpecahan yang tentunya akan merugikan
rakyat keseluruhannya.

4. Yang Berhormat Datuk Speaker, Titah Duli Yang Maha Tuanku bahawa
“Pegangan agama adalah sumber kekuatan untuk kita berhadapan dengan apa
jua suasana dan cabaran di peringkat individu mahupun masyarakat”,
sesungguhnya adalah benar dan bertepatan dengan cabaran yang sedang
dihadapai oleh masyarakat khususnya masyarakat Islam hari ini.
Sesungguhnya Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini sewajarnya diberikan
perhatian yang serius selain menunjukkan betapa besarnya peranan dan
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh institusi agama khususnya
Jabatan Agama Islam Johor dan Majlis Agama Islam Johor di dalam memastikan
apa yang disebut sebagai 'sumber kekuatan' oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku
akan sentiasa dapat terus terpelihara dan diperkukuhkan lagi di kalangan
rakyat jelata. Untuk tujuan itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor haruslah
sentiasa lebih peka dan bersedia membuat perancangan yang lebih sesuai dan
berkesan mengikut cabaran dan persekitaran serta permasalahan semasa
umat Islam pada ketika ini termasuk melakukan pengubah-suaian di mana
yang perlu di dalam melaksanakan tanggungjawab yang sesungguhnya amat
berat ini.

5. Juateru itu saya mencadangkan agar Jabatan Agama Islam Johor dan
Majlis Agama Islam Johor bersedia melakukan beberapa perubahan khususnya
bagi mempercepatkan proses dan prosedur sesuatu permohonan yang
dikemukakan kepada institusi ini. Kelambatan proses dan kelulusan sesuatu
permohonan yang menjadi rungutan dan telah banyak kali dibangkitkan di
dewan yang mulia ini sesungguhnya memberikan kesan yang tidak baik bukan
sahaja kepada nama baik institusi Islam ini sendiri, sebaliknya amat
menjejaskan kepada pihak yang terjejas yang memerlukan bantuan dari
institusi ini. Di DUN Sedili sebagai contoh, terdapat pelajar sekolah agama yang
belajar dengan hanya duduk di atas lantai simen sahaja sedangkan
permohonan untuk mendapatkan kemudahan yang sewajarnya telah dibuat

2
sejak sekian lama. Begitu juga dengan permohonan membina surau di
Perumahan Tersusun Kampung Tuan Sheh dan Kampung Baru Pasak yang telah
18 tahun wujud juga masih tiada khabar beritanya. Saya juga suka ingin
menyarankan agar Majlis Agama Islam Johor mengkaji semula jumlah elaun
yang diberikan kepada Imam dan Bilal surau yang pada ketika ini hanya
berjumlah sebanyak RM600 setahun manakala bagi Bilal hanya berjumlah
RM240 setahun. Berdasarkan jumlah sekecil ini, bagaimana kita dapat
berharap apalagi memastikan hasrat murni Kerajaan untuk melihat masjid dan
surau di-imarahkan dapat mencapai matlamatnya.

6. Berdasarkan keadaan semasa pula, Majlis Agama Islam Johor juga wajar
memberikan perhatian kepada golongan mudah miskin yang terlibat dengan
bencana seperti banjir dan kebakaran. Apakah mereka ini tidak boleh diberikan
bantuan kerana tidak termasuk asnaf kerana bukan dari kategori miskin?
Bukankah golongan mudah miskin yang ditimpa bencana seperti yang saya
sebutkan tadi juga merupakan golongan yang berhak untuk menerima bantuan
dari Baitulmal kerana agihan wang tersebut lebih umum dan untuk kebajikan
orang Islam dan tidak semestinya untuk orang-orang miskin sahaja? Justeru itu
saya mencadangkan agar bantuan untuk golongan mudah miskin yang terlibat
dengan bencana seperti kebakaran diberikan bantuan segera berjumlah
RM10,000 bagi meringankan kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh
keluarga yang terlibat. Selaras dengan itu, saya sekali lagi mohon
mencadangkan di dewan yang mulia ini agar kuasa menyalurkan bantuan oleh
Pegawai Qadhi Daerah ditingkat juga dari RM1,000 kepada RM10,000. Ini
bertujuan untuk mempastikan bantuan dapat segera disalurkan kepada
mangsa yang pada ketika ini terpaksa menunggu terlalu lama kerana
keputusannya terpaksa diperolehi dari peringkat negeri.

7. Masih berkaitan Majlis Agama Islam Johor. Usaha untuk meningkatkan


ekonomi umat Islam juga merupakan suatu jihad yang tidak boleh dipandang
ringan oleh MAIJ. Umat Islam yang mempunyai kerajinan dan semangat yang
tinggi untuk mengusahakan sesuatu perniagaan yang berdaya maju wajarlah
diberikan kemudahan dan bantuan yang sesuai. Pada ketika ini permohonan

3
untuk mengusaha dan memajukan tanah-tanah waqaf mengambil masa yang
terlalu lama untuk diberikan kelulusan. Ini sekali lagi menunjukkan masih
terdapat sistem penyampaian MAIJ yang tidak selaras dengan hasrat Kerajaan
yang dilaung-laungkan selama ini. Bagi mengatasi permasalahan ini, suka saya
mencadangkan agar dasar sediada dipermudahkan. Sekali lagi saya
mencadangkan agar peranan Pegawai Qadhi di peringkat daerah
dipertingkatkan dengan memberikan kuasa untuk meluluskan sesuatu
permohonan untuk memajukan mana-mana tanah waqaf yang keluasannya di
bawah 5 ekar. Saya percaya, sekiranya cadangan ini digunapakai, lebih banyak
tanah-tanah waqaf akan dapat dimajukan yang sudah tentu akhirnya akan
memberikan keuntungan kepada rakyat dan Kerajaan.

8. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperkara lagi yang ingin saya bawakan
di dalam dewan yang mulia ini buat kali yang kedua adalah berkenaan dengan
tanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menjaga kemurnian
aqidah dan pematuhan terhadap ajaran Islam di kalangan umat Islam. Ini soal
penguatkuasaan. Tanpa penguatkuasaan sesuatu undang-undang mahupun
peraturan akan tidak dapat mencapai matlamat kewujudannya. Apa yang saya
maksudkan adalah berkenaan dengan masalah kekurangan anggota
penguatkuasa, iaitu hanya berjumlah 3 orang, yang ditempatkan bagi daerah
Kota Tinggi yang mempunyai jumlah umat Islam lebih kurang 171,000 orang
meliputi 3 kawasan Parlimen iaitu Kota Tinggi, Tenggara dan Pengerang.
Kekangan yang terpaksa dihadapi ini, tentunya menyebabkan usaha
penguatkuasaan dan respon terhadap aduan masyarakat oleh Pejabat Agama
Daerah menjadi begitu terhad dan lambat sekali. Saya khuatir, sekiranya
keadaan ini dibiarkan berlarutan akan menyebabkan masyarakat terkeliru dan
memandang negatif terhadap keberkesanan Majlis Agama Islam Daerah
didalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

9. Harapan dan hasrat kita untuk mengukuhkan aqidah dan ajaran agama di
kalangan masyarakat tidak mampu dicapai hanya dengan slogan sahaja.
Sebaliknya ianya memerlukan perancangan strategik termasuk menyediakan
peruntukan yang memadai. Kita merasa hairan, mengapa cadangan dan

4
permohonan kita agar anggota penguatkuasa segera ditambah tidak dapat
dilaksanakan segera sedangkan MAIJ mempunyai kewangan yang besar
sehingga terpaksa disimpan dalam bentuk simpanan tetap. Justeru, sebagai
menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang menyeru agar “... Kita
bersama-sama memperkukuhkan aqidah dan amalan hidup kita berpandukan
kepada ajaran agama”, maka suka saya mencadangkan supaya aspek
penguatkuasaan diberikan perhatian yang lebih serius oleh MAIJ dengan
bertindak untuk segera menambahkan jumlah anggota penguatkuasa di setiap
Pejabat Qadhi Daerah. Sekiranya aspek kewangan atau gaji yang menjadi
halangan kepada usaha penambahan anggota penguatkuasa selama ini, saya
juga mencadangkan agar MAIJ membayar kakitangan penguatkuasa ini atas
Dasar Fi'sabilillah. Saya yakin dan percaya, sekiranya cadangan ini dapat
dilaksanakan, usaha untuk membanteras kes-kes salah laku umat Islam akan
dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi. Bilangan anggota
penguatkuasa yang mencukupi juga akan membolehkan pasukan siang dan
malam dapat diwujudkan. Respon terhadap aduan dari masyarakat juga dapat
dilakukan dengan cepat dan tersusun. Dengan itu, matlamat untuk memelihara
aqidah dan memastikan masyarakat mengamalkan ajaran Islam seperti yang
menjadi seruan dalam Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku itu akan dapat
dicapai, insyaAllah.

10. Yang Berhormat Datuk Speaker, ketika Kerajaan berhasrat untuk


mempertingkatkan pengeluaran hasil makanan suatu ketika dahulu, Projek
Bumi Hijau telah dilaksanakan dengan memberikan kawasan-kawasan
pertanian dengan jumlah keluasan yang besar kepada pihak yang berminat
dan mempunyai perancangan hanya dengan bayaran RM1. Terdapat juga pihak
yang mendapat peluang ini telah mengalibabakan Projek Bumi Hijau ini.
Terdapat juga kawasan-kawasan yang tidak diusahakan sepenuhnya. Keadaan
ini menyebabkan peluang rakyat khususnya golongan muda dan
berpendapatan rendah untuk memiliki tanah menjadi amat terhad. Sebagai
contoh, di Kota Tinggi baru-baru ini, apabila Pejabat Tanah Daerah membuka
permohonan untuk mengisi 85 lot yang telah diluluskan untuk dibuka kepada
umum, seramai lebih 5,000 orang yang telah mengisi borang permohonan. Ini

5
menunjukkan bahawa begitu ramai rakyat biasa khususnya golongan muda
dan berpendapatan rendah yang masih belum berpeluang memiliki tanah
sendiri. Justeru itu, sesuai dengan matlamat 'Rakyat didahulukan – Pencapaian
diutamakan', saya mencadangkan agar Kerajaan menimbangkan untuk
memansuhkan Program Buku Hijau seterusnya membuka kawasan-kawasan
yang terlibat untuk dikurniakan kepada rakyat yang layak dan memerlukan.
Sesungguhnya, begitu ramai rakyat yang akan merasa bersyukur dan
berterima kasih kepada Kerajaan kerana mendapat peluang untuk
mengusahakan tanah sendiri.

11. Berkaitan dengan isu tanah ini juga, suka saya maklumkan bahawa
terdapat 9 buah FELDA yang berada di dalam DUN Sedili. Hampir kesemuanya
telah selesai membuat bayaran kembali dan telah pun mendapat geran. Dari
kesemua 9 buah FELDA tersebut, dianggarkan terdapat kira-kira 400 ekar lot-
lot kosong yang boleh dimohon oleh generasi ke2 yang layak. Seperti yang kita
maklum, beberapa buah FELDA sebagai contoh di FELDA Air Tawar 2 dalam
DUN Johor Lama dan FELDA Air Tawar 1 dalam DUN Penawar, proses
permohonan dan temuduga telah pun dilakukan oleh Pejabat Tanah Daerah
meskipun sehingga kini belum selesai dan mendapat keputusan. Selaku wakil
rakyat, saya sering ditanya akan bilakah pula lot-lot kosong yang terdapat di
dalam 9 buah FELDA dalam DUN Sedili akan dibuka kepada generasi ke2 di
FELDA-FELDA yang terlibat untuk proses permohonan dan temuduga seperti di
kawasan-kawasan FELDA yang lain. Saya memohon agar perkara ini mendapat
perhatian segera dari pihak Kerajaan. Sekiranya tiada halangan, saya
memohon untuk mencadangkan agar Kerajaan segera membuka untuk
permohonan dan mudah-mudahan dapat diproses bersama-sama permohonan
sediada dari kawasan FELDA yang telah melakukan proses temuduga seperti
yang saya sebutkan tadi. Dengan ini, hasrat Kerajaan untuk mengaktifkan dan
memeriahkan semula kawasan FELDA akan dapat dijayakan. Sebahagian dari
masalah perumahan di kalangan generasi ke2 FELDA juga akan dapat diatasi.
Sekali lagi, generasi muda akan merasa bersyukur dengan tindakan Kerajaan
yang memahami masalah, keperluan dan kebajikan generasi muda di kawasan-
kawasan FELDA.

6
12. Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili selain terkenal sebagai kawasan
nelayan, ianya juga adalah sebuah kawasan pertanian yang luas dan
melibatkan kawasan dan kampung-kampung pedalaman. Oleh kerana terdapat
beberapa kampung yang mempunyai kedudukan hampir dengan kawasan
hutan seperti Kampung Gembut dan Kampung Telok, maka kawasan pertanian
yang diusahakan oleh penduduk kampung seringkali diganggu dan
dimusnahkan oleh gajah-gajah liar. Masalah ini sebenarnya telah berlarutan
sejak sekian lama. Petani dan penduduk yang hidup dengan hasil pertanian
seringkali mengalami kerugian kerana tanaman mereka dimusnahkan oleh
gajah-gajah liar. Para petani dan penduduk sering menyuarakan permasalahan
ini setiap kali wakil rakyat berkunjung ke kampung mereka. Gangguan gajah ini
juga sudah dimaklumkan kepada pihak yang berkaitan seperti PERHILITAN
namun belum ada sebarang usaha dan tindakan yang diambil untuk mengatasi
masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama ini. Saya sendiri telah
membawa perkara ini sebanyak dua kali untuk makluman dewan yang mulia
ini. Selagi tidak ada tindakan, selagi itulah para petani dan penduduk kampung
yang menjadikan pertanian sebagai perniagaannya akan mengalami kerugian
yang berterusan. Dari lawatan-lawatan yang saya lakukan ke kawasan yang
terlibat, dari wajah-wajah suram petani yang saya temui, saya dapat
memahami bahawa mereka menaruhkan harapan yang tinggi agar sesuatu
dapat dilakukan oleh pihak Kerajaan untuk mengatasi mesalah mereka itu.
Memandangkan masalah ini telah berlaku dan berulangkali begitu lama, saya
ingin memohon Kerajaan memberikan pertimbangan untuk segera mengambil
tindakan jangka panjang untuk memindahkan gajah-gajah liar tersebut ke
kawasan lain. Sekiranya kerja-kerja pemindahan tidak dapat dilakukan dengan
segera, saya memohon pihak PERHILITAN dan agensi yang terlibat dapat
memikir dan merancangkan sesuatu tindakan yang bersifat jangka pendek
untuk mengatasi masalah ini seperti membina pagar dan sebagainya.

13. Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini terdapat pihak yang
memang suka dan menjadi amalan dan tabiatnya suka membuat fitnah dan
berita-berita palsu telah memfitnah FELDA sebagai sebuah agensi yang

7
bangkrup. Selaku anak peneroka FELDA yang mewakili generasi ke2 FELDA,
saya merasakan dan ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini
bahawa bahawa pihak yang membuat fitnah ini sebenarnya adalah golongan
yang telah dibutakan hati mereka oleh Allah swt. Kerana mempunyai niat yang
jahat dan menafikan hakikat bahawa FELDA adalah sebuah agensi yang telah
menempa kejayaan yang cemerlang dari segi pencapaian matlamat utamanya
iaitu untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sejak penubuhannya
lebih 50 tahun yang lalu.

14. Pergilah ke ke kawasan FELDA. Tanyakanlah kepada para peneroka


bagaimanakah keadaan mereka pada ketika ini berbanding adik-beradik,
keluarga dan rakan-rakan sekampung mereka dahulu yang tidak dapat
bersama-sama menyertai FELDA? Tanya kepada mereka, agensi manakah
selain FELDA yang ditubuhkan oleh Kerajaan, yang apabila pokok kelapa sawit
sudah tua dan telah ditebang untuk ditanam semula, para peneroka akan
diberikan elaun sara hidup sebanyak RM1,500 sebulan sedangkan para
peneroka yang telah uzur itu tidak perlu pun mengerjakan kebun mereka
sendiri. Tanyakan kepada mereka tentang pinjaman perumahan untuk
membina dan membaiki rumah yang disediakan oleh FELDA. Juga tanyakan
tentang pinjaman yang disediakan oleh FELDA kepada para peneroka yang
berminat untuk mengusahakan apa-apa perusahaan yang menguntungkan
peneroka. Tanyakan juga kepada mereka tentang senyum lebar para peneroka
setiapkali jumlah dividen saham mereka di Koperasi Permodalan FELDA
diumumkan. Berapakah wang perbelanjaan untuk kematian yang
disumbangkan oleh FELDA kepada setiap peneroka setiap kali berlaku
kematian. Tanyalah lagi apa sahaja soalan-soalan yang terfikir di fikiran.

15. Yang Berhormat Datuk Speaker, Apalah hebatnya FELDA di mata


pembuat fitnah dan berita palsu ini jika 'cashflow' FELDA berada pada
kedudukan tinggi mahupun rendah. Tidak lain kerana terpengaruh dengan
angan-angan Mat Jenin yang memegang keyakinan palsu untuk memerintah
negara. Mereka khuatir jika mereka menang, sumber khazanah kekayaan
FELDA yang telah dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional yang mereka idam-

8
idamkan itu telah tiada lagi. Inilah perbezaan di antara Kerajaan Barisan
Nasional dengan Parti Pembangkang. Kerajaan Barisan Nasional adalah
Kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat. Biarlah cashflow FELDA rendah
asalkan kebajikan para peneroka dan keluarga mereka sentiasa terbela. FELDA
tahu setiap tindakan yang akan mereka buat haruslah menguntungkan
peneroka. Soal membina dan mengukuhkan perniagaan FELDA adalah urusan
FELDA dan Kerajaan. Mereka telah melakukannya dengan baik sejak lebih 50
tahun yang lalu. FELDA akan terus melangkah kehadapan. Hanya
Pembangkang dan rakan-rakan mereka di sini sahaja yang akan terus
berkhayal dan berangan-angan.

16. Yang Berhormat Dato' Speaker, akhir sekali, dalam kesungguhan kita
melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang terpikul di bahu kita, marilah
kita terus berdoa, mudah-mudahan, Allah yang Maha Kuasa dan Maha
Pemimpin, yang memimpin dan membimbing semua niat, yang memimpin dan
membimbing semua gerak, yang memimpin dan membimbing semua rasa,
yang memimpin dan membimbing semua fikir. Memimpin dan membimbing
fikiran dan perasaan kita semua tetap sentiasa di jalan yang benar, tetap
dijalan yang diredhainya dan sentiasa bermuafakat. InsyaAllah rakyat dan
Negeri Johor akan terus selamat, aman, makmur dan maju. Yang Berhormat
Dato' Speaker, saya mohon menyokong rundingan Junjungan Kasih Titah Duli
Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Johor yang dibawa oleh Bukit Naning.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.