Anda di halaman 1dari 4

Hampir gila ditinggal suami

2010/08/06

RAIHANA Ahmad (bukan nama sebenar) mungkin sudah berhenti menagih simpati bekas
suaminya terhadap tiga anak yang sudah tidak dipedulikan lebih 20 tahun lalu.
Namun, dia yakin Allah sentiasa bersama orang yang beriman, malah dia terus cekal menempuh
ujian yang dianggap trauma sepanjang membesarkan anak-anak beberapa tahun dulu.

Ibu tunggal berusia 53 tahun itu tidak menafikan keperitan yang terpaksa ditempuhinya dulu memang
sukar digambarkan. Ketika masalah melanda dirinya dulu, dia seorang eksekutif di sebuah syarikat
swasta tetapi ketika pergolakan rumah tangga berlaku, dia berkongsi dengan sahabat baiknya
menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan memandangkan dia sedikit tertekan dengan masalah yang
melanda.

Pun begitu, dia bersyukur anak-anak sudah besar dan kini masing-masing sedang menuntut di
institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Anak bongsu pula di kolej menjalani persediaan ke
luar negara, membuatkan hatinya semakin reda dengan apa yang berlaku.

“Tidak dinafikan masa mula-mula bercerai dulu memang saya susah. Oleh kerana diceraikan
suami yang tergila-gilakan perempuan lain, saya seolah-olah tidak boleh terima hakikat
diceraikan tanpa sebab.

“Daripada rakan baik suami, saya mendapat tahu yang dia sudah lama berkahwin secara diam-
diam dengan setiausahanya tetapi dia tidak pernah mengaku sudah berkahwin. “Tetapi apabila
saya sendiri memerangkapnya di sebuah kondominium apabila diberitahu rakan baiknya
mengenai sikap suami yang suka berfoya-foya, barulah tahu saya memang ditipu hidup-hidup
selama ini.

“Kalau balik lewat atau tidak balik langsung untuk seminggu dua, alasan yang diberikan adalah
kerja di luar daerah. Sebagai isteri, saya sebenarnya bodoh kerana percaya 100 peratus kepada
suami.

“Apabila perkahwinan keduanya terbongkar dan dia berbohong di mahkamah dengan meniru
tanda tangan saya konon membenarkan dia berkahwin lain, lalu perkara itu menjadi isu besar
setiap kali kami bergaduh. “Dia suka memutarbelitkan fakta sehingga kadang-kadang hakim
meminta dia bersumpah di mahkamah, dia mengatakan sanggup menjunjung al-Quran dan tidak
mengaku yang dia berbohong dalam banyak perkara,” katanya.

Bagi wanita ini, sebaik dia mengetahui yang suaminya berkahwin lagi, dia jadi pendiam, tidak
lagi seperti dulu. Sepatah ditanya sepatah jua yang dijawab. Makan pakai suami langsung sudah
tidak dipedulikan kerana yakin suaminya memperoleh segalanya daripada isteri baru dan hatinya
seolah-olah terkilan dengan perlakuan suami.

Kadang-kadang suaminya tidak pulang dan jika balik ke rumah, hanya untuk bertengkar dan
selepas itu suami keluar rumah untuk tempoh yang lama.

Oleh kerana anak-anak melihat sendiri bagaimana ibu mereka diabaikan, anaknya yang sulung
menasihati ibunya supaya menyelesaikan masalah itu di mahkamah. Raihana pula ketika itu
bagaikan hilang arah, menjadi pemurung dan tidak banyak bercakap. Bukan hanya dengan
suami, bahkan dengan anak-anak dia menjadi kurang mesra. Lama-kelamaan fikirannya semakin
meracau sehingga memaksanya mengambil cuti selama enam bulan daripada majikannya
semata-mata untuk menenangkan jiwanya.

“Saya hampir-hampir dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana fikiran saya semakin teruk.
Setiap kali mendapat kaunseling, saya selalu memikirkan hidup ini sudah tidak berguna lagi.
Entah mengapa hati ini terlalu sedih memikirkan saya anak yatim piatu, kini saya kehilangan
suami dan semua itu mengganggu jiwa saya.

“Akhirnya saya hilang pertimbangan dan berhenti kerja. Apabila berhenti kerja, sudah tentu
nasib diri bertambah buruk sehingga suami menggunakan semua itu untuk mencerca, menghina
serta memburukkan saya kepada keluarganya konon saya „perempuan gila‟ antara punca dia
berkahwin lain.

“Tidak cukup dengan itu, dia menghina saya di mahkamah dengan mengatakan saya gila dan
atas dasar itu saya diceraikan. Keadaan saya bertambah parah kerana terpaksa turun naik
mahkamah hampir lima tahun untuk menuntut hak.

“Mulanya anak-anak di bawah jagaan dia tetapi saya berjaya membuktikan yang saya hanya
mengalami sedikit masalah kejiwaan tetapi masih terkawal. Ini kerana doktor yang merawat saya
tahu tahap kemurungan saya bukannya gila seperti yang didakwa bekas suami,” katanya sambil
sesekali mengesat air mata.
Sepanjang tempoh perceraian sejak 2005, dia penat turun naik mahkamah tetapi banyak masalah
terpaksa ditempuh. Antaranya, penangguhan kes yang berkali-kali misalnya peguam bekas suami
tidak dapat hadir ke mahkamah dan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Dia tidak berserah kepada takdir semata-mata, sebaliknya turut menjalani rawatan secara Islam
untuk memulihkan keadaan. Ditambah pula dia memperoleh kebenaran mahkamah untuk
menjaga anak-anaknya apabila mendapati salah seorang anaknya didera ibu tiri mereka.

“Kalau diikutkan hati, memang saya sangat kecewa. Duit yang habis untuk turun naik mahkamah
memang banyak sedangkan sehingga sekarang kes ini tidak juga selesai.

“Tetapi apabila diperhatikan, perkara ini tidak boleh disalahkan pada mahkamah atau hakim
semata-mata. Bagi saya, puncanya disebabkan bekas suami yang selalu berpindah-randah dan
liat membayar nafkah,” katanya.

Padanya, anak-anak terutama anak sulung menjadi sumber rujukan dan orang kanan dalam
memandu arah kehidupannya dengan keadaan kesihatannya yang kurang baik kini.

“Saya bersyukur kerana anak-anak tidak terpengaruh dengan keadaan saya dan bapa mereka.
Pembelajaran anak-anak jarang terganggu, lagipun sejak dulu mereka rapat dengan saya. Ini
membuatkan diri terfikir apa yang saya perjuangkan ini adalah untuk hidup dan masa depan
mereka.

“Begitu juga dengan kawan baik yang banyak memberi dorongan bahawa perjuangan ini adalah
menuntut keadilan untuk anak-anak saya. “Lagipun selepas berhenti kerja dulu, dengan
pengalaman saya dan saya juga mempunyai ijazah dalam perbankan, sudah tentu saya
manfaatkan semua kemahiran itu untuk menjana semula masa depan saya.

“Mungkin nasib menyebelahi saya apabila bertemu dengan peguam yang baik dan tidak berkira
walaupun saya membayarnya atas kemampuan yang ada kerana hasratnya untuk membantu saya.
“Apa yang paling saya utamakan kini bagaimana mendapatkan nafkah saraan untuk anak-anak
kerana itu hak mereka yang diabaikan bapa kandung.

“Saya tidak putus-putus berdoa supaya terbuka pintu hati bekas suami kerana semua itu bukan
untuk saya tetapi buat anak-anaknya. “Kalau ditanya, memang serik pernah bersuamikan lelaki
sebegitu tetapi mungkin itulah cara Allah menguji ketabahan, semua ini membuatkan saya tabah
dan reda. Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dalam tahun ini,” kata wanita cekal yang
berasal dari utara tanah air ini.