Anda di halaman 1dari 2

Kebanjiran pekerja asing di 

Malaysia
Posted on 23 Julai, 2008 by admin

Isu pendatang asing bukanlah satu perkara baru di negara kita. Kebanjiran pendatang asing
semakin meningkat dari hari ke hari dan menjadi satu masalah kepada negara. Pekerja asing
kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah dalaman seperti Indonesia,
Filipina, Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China.

Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun 2007 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, jumlah
pekerja asing mencecah 1.91 juta. Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang
dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.

Pertambahan pekerja asing dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan


pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Statistik
unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini
akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk negara ini dijangka meningkat unjuran
kepada 28.306 juta. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata
pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang
memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan
lancar.

Antara faktor pekerja asing lebih berminat dengan negara kita ialah kemakmuran dan
kestabilan ekonominya. Kekurangan tenaga kerja tempatan juga membuka peluang kepada
penduduk negara- negara luar untuk mencari rezeki di sini. Walau apa pun ramai penduduk
tempatan berpendapat bahawa masalah pekerja asing ini perlu dikawal agar ia tidak menjadi
lebih serius.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menguatkuasakan undang-undang dengan
lebih tegas. Hal ini kerana banyak pekerja asing adalah pendatang haram yang menyusup masuk
dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram
ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa
untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut.

Tidak dapat dinafikan, kadangkala pekerja asing dapat mengatasi masalah kekurangan
pekerja tetapi hal yang berlaku di Nilai baru-baru ini menyedarkan negara bahawa mereka juga
boleh bertindak ganas. Kita tidak mahu negara yang cukup aman ini akan menjadi kacau bilau
kerana kemasukan pekerja asing yang tidak dikawal.

Sesetengah pihak juga sering menyalahkan belia kerana terlalu memilih pekerjaan tetapi
pernahkah mereka cuba untuk memahami masalah belia itu sendiri? Sebagai contoh walaupun
belia itu tidak memilih pekerjaan tetapi adakah majikan akan mengambil pekerja tempatan dan
dibayar dengan gaji yang berpatutan. Sudah tentu tidak. Majikan lebih rela mengambil pekerja
asing dengan bayaran yang murah dan tidak dikenakan caruman EPF atau SOCSO. Bukankah itu
lebih menguntungkan? Begitu juga sekiranya belia itu mendapat pekerjaan yang dimintanya
tetapi hidup dalam sua sana di kalangan pekerja asing. Dapatkah belia itu menyesuaikan diri
dalam keadaan sebegitu?

Penduduk tempatan kadangkala tidak menghiraukan sangat dengan kebanjiran pekerja


asing. Apatah lagi jika kedatangan pekerja asing ini melancarkan lagi urusan harian mereka
dengan bekerja sebagai pembantu rumah, menjaga anak, atau tukang kebun. Tetapi jika
kehadiran pekerja asing ini menimbulkan pelbagai kes-kes jenayah seperti membunuh, samun
bersenjata api, merogol, pecah rumah, ragut dan banyak lagi maka inilah yang menyedarkan
mereka tentang keburukan pekerja asing. Menurut Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan
Polis, sehingga 30 Jun 2006 bilangan pendatang asing yang telah ditahan dan diusir di seluruh
Malaysia ialah seramai 362,958 kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini.

Walau apa jua pendapat masyarakat tentang isu ini, kedatangan pekerja asing ini tetap
ada keburukan dan kebaikannya. Terpulanglah kepada polisi kerajaan sama ada ingin kebaikan
atau menghadapi masalah dengan isu ini. Untuk mencapai yang terbaik, kerajaan haruslah
mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial agar kedatangan pandatang asing ini
dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Difailkan dalam: PMR | Tagged: kebanjiran, pekerja asing

Anda mungkin juga menyukai