Malam itu, Along berjaga sepanjang malam.. Entah mengapa matanya tidak
dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang
tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua
sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan
memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya.
Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah..
Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua
kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua
itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along
mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya.
Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada
bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi.
Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya.
Walaupun sudah biasa dirotan,
namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba
memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu
menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat
mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM,
kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di
wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along
sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat
keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati
dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti
hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada
walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf.
Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan
perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan
melayani perasaan, Along terlelap juga.
“ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?”
Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan
yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu
yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak
bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan
mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu
boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah
Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik
atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along
menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak
kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah
dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak
dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas
menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk
banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik,
ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih.
Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan
hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk
asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak
penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya
sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui
kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan
dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya.
“Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah
dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih
mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan.
Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along.
Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa
yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di
sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang
perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke
Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di
satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada
sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung
bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog
sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia
membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia
segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa
kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan
Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat
sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok
baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus
la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?”
Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul
ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk
kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz
meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit
sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya
sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit.”
Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia
tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi
silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”,
soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along
menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang
semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah,
aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”,
pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.
Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along
tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu.
Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum
menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II.
Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira
yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan
terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat
perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan
mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar
yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along
membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu
dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang
tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan
kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar
dari
hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya
berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan
itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang
berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang
wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali
apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada
ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih
memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari
kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan
semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih
digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk… .ibu………” ucapnya sambil
berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat
dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil
dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat
ditahan lagi. Pandangan Along semakin
kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang
menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan
dia pergi untuk selama-lamanya.
SETIAP KESABARAN AKAN DIGANTI DENGAN KEMENANGAN
SETIAP KEDUKAAN AKAN BERGANTI DENGAN KEBAHAGIAAN
SETIAP PERPISAHAN PASTI BERMULA DENGAN SATU PERTEMUAN
SETIAP YANG BERAKHIR AKAN BERTUKAR DENGAN SUATU PERMULAAN
SETIAP KEJADIAN TUHAN PASTI ADA HIKMAHNYA... ......... .