Anda di halaman 1dari 2

"PELAJAR CEMERLANG MENCARI JALAN

PELAJAR MALAS MENCIPTA ALASAN"

Dalam keralitan meniti batas-batas hari di bumi Anbiya' ini, tanpa tanpa kita
sedari kita akan menjalani Imtihan Daur Mayu tidak lama lagi. Imtihan yang bakal
kita hadapi umpama 'medan pertempuran kecil' yang akan menentukan sama ada
menatijahkan syahid atau menang. Adakah kita sudah bersedia untuk 'bertempur'
dalam medan ujian ini?

Seorang yang ingin mewarisi kecemerlangan perlu menanamkan sifat-sifat yang


boleh membawanya ke puncak kejayaan. Ingatlah! Demi masa, setiap kehidupan
amat berharga dan tidak sepatutnya dipersiakan begitu sahaja. Hentikanlah
perbuatan sia-sia dan tumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk memasuki
medan juang yang tidak berapa lama lagi.

Masa yang masih berbaki lebih kurang sebulan ini harus dimanfaatkan sebaik-
baiknya untuk mencipta kecemerlangan. Walaupun masing-masing merasakan
waktu yang ada sudah terlalu sempit untuk mengulangkaji, jangan mudah
berputus asa kerana kita belum terlalu lewat untuk meletakkan noktah bidayah
pada hari ini. Ingatlah! Selagi belum melangkah ke dewan peperiksaan, kita masih
mempunyai masa untuk memburu kecemerlangan yang diimpikan.

Dalam merentasi jalan ke arah kecemerlangan, kita sudah pasti dihadapkan


dengan pelbagai cubaan dan rintangan sebagai sunnah perjuangan. Namun, perlu
diingat, halangan yang paling besar ialah halangan yang datang dari dalam diri
kita sendiri. Sikap malas, tiada motivasi, suka menangguhkan kerja, tidak
bersungguh-sungguh dan tidak sanggup berkorban merupakan sikap buruk yang
boleh menghalang kita daripada mencapai kecemerlangan. Jika kita dapat
mengawal dan menguruskan diri sendiri serta berjaya melawan halangan yang
timbul dari dalam diri dengan baik, kita sebenarnya sudah berjaya mengatasi satu
rintangan yang terbesar dalam perjuangan ini.

Setiap perkara yang dilakukan mempunyai prasyarat yang tertentu dan azam yang
kukuh merupakan prasyarat dalam setiap perjuangan. Sikap putus asa, jiwa yang
lemah dan semangat yang mudah luntur tidak pernah wujud dalam kamus hidup
seorang pelajar yang cemerlang. Pelajar yang cemerlang diibaratkan sebagai
seorang juara dalam sebuah pertandingan. Sebagai seorang juara dia tidak mahu
kemenangan yang diperolehi bersifat sementara. Dia tidak akan mengeluh
terhadap kepenatan dan keletihan yang dilalui semasa latihan. Kesusahan yang
dialami hari ini dianggap sebagai pembuka jalan untuk hari esok yang gemilang.

Begitulah seharusnya kita meletakkan diri kita. Jangan rasa jemu membaca,
jangan bosan mengulangkaji dan jangan muak untuk menghafal kerana segala
yang pahit pada hari ini pasti akan menjadi manis apabila kejayaan sudah berada
dalam genggaman. Pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha gigih dan tidak
hanya berserah kepada takdir atau bersandar pada nasib semata-mata. Justeru,
jangan mudah mengaku kalah sebelum mencuba. Kecemerlangan dan
kemenangan adalah milik mereka yang mempunyai keazaman yang kukuh,
matlamat yang jelas dan berani mencuba. Ingatlah! Kita dilahirkan sebagai juara
dan seorang juara sudah pasti tetap mahu bergelar juara!
Ayuh, sahabat-sahabat sekalian, pugarkan kembali semanagat kalian untuk
meraih kejayaan yang paling manis untuk dikenang. Kita berjuang bukan kerana
nama, juga bukan kerana sijil tertera nama sebagai pelaksana tetapi demi
tuntutan taklifan 'pewaris nabi' yang terpundak di bahu masing-masing.
Kenangilah harapan ibu bapa serta keluarga di tanah air. Masyarakat sedang
menanti kepulangan kita untuk melaksanakan tajdid Rabbani di bumi Malaysia.
Ingatlah, kita adalah harapan ummah, jangan kita menjadi fitnah pada amanah
dakwah.

Pohonlah doa restu pada ayah bonda sebelum melangkah ke medan juang ini.
Moga-moga doa mereka memberkati usaha kita untuk mencipta kecemerlangan.
Dalam saat-saat genting ini harapan dan doa pada Pemilik mutlak kejayaan dan
kegagalan mesti dimantapkan lagi. Moga-moga usaha kita diperkenankan dan
dikurniakan kejayaan sebagaimana yang diimpikan. Dalam masa yang sama,
doakanlah seluruh sahabat-sahabat kita, moga kejayaan menjadi milik kita
bersama sebagai penuntut ilmu agama Allah di bumi Anbiya ini. Kejayaan dan
kecemerlangan kita adalah untuk ISLAM.

Anda mungkin juga menyukai