Anda di halaman 1dari 6

Muqaddimah

Palestin dan Al-Aqsa tidak dapat dipisahkan dari jiwa umat Islam walau dimana mereka berada. Dari
ummah bumi suci Mekah dan Madinah, bumi kering kontang di Sahara, bumi hutan belantara di
selatan Amerika, bumi beku di kutub selatan dan utara sehinggalah kita, ummah di bumi bertuah
milik bersama, Malaysia.

Palestin adalah tanah suci ketiga umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Ia tempat bermulanya
mikraj Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha bagi menerima perintah untuk melaksanakan ibadah
paling utama kita yakni perintah menunaikan solah lima waktu. Bumi suci ini menempatkan Masjid
Al-Aqsa, qiblat pertama umat Islam untuk selama lebih kurang 18 bulan seusai peristiwa yang
menakjubkan di malam Israk dan Mikraj itu.

Palestin adalah Bumi Anbia. Tidak ada walau seinci pun bumi lain yang terdapat di seluruh alam ini
yang telah menerima kehadiran lebih ramai para nabi dan rasul berbanding bumi suci ini. Palestin
bumi muqaddas juga dikenali sebagai Ardh Ribath – bumi pertahanan jihad, di mana sesiapa sahaja
yang tinggal di sini kerana Allah diibaratkan sebagai seorang yang sedang berjihad di jalan Allah.

Hanya terdapat 3 buah masjid sahaja yakni Masjid Haram di Mekah, Masjid Nabi di Madinah serta
Masjid Al-Aqsa di Palestin yang dianjur sangat-sangat oleh Rasulullah SAW untuk setiap umat Islam
menziarahinya.

Bersama Mekah dan Madinah, Palestin adalah nadi dan jantung umat Islam.

Namun bumi suci ini telah sekian lama berada di tangan penjajah. Bukan sebarang penjajah tetapi
penjajah yang paling zalim yang pernah disaksikan oleh dunia moden. Dan bersama kedatangan
penjajah zalim ini, bermulalah penderitaan yang berpanjangan kepada umat Palestin, berterusan
sehingga ke saat ini.

Masihkah ada Palestin di hati Kita?

Adakah kita semakin kurang sensitif dengan apa yang berlaku di Palestin serta terhadap nasib
pelarian-pelarian dari Palestin yang bertaburan di negara-negara jiran. Kekejaman demi kekejaman
telah dilakukan hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun malah telah menjangkau lebih
60 tahun jika diambil dari tarikh kelahiran negara haram Israel yang telah diistiharkan pada 14hb Mei
1948 itu.

Siri-siri kekejaman ini telah berlanjutan begitu lama sehinggakan masyarakat mungkin telah menjadi
semakin lali terhadapnya dan menerimanya berita-berita demikian sebagai sesuatu yang biasa. Jika
tersiar berita berkaitan Palestin, sebahagian anggota masyarakat mungkin akan membaca,
mendengar atau menonton berkaitannya. Paling hebat pun, mungkin ada yang mengeluh dan
mungkin mengutuk zionis. Namun dalam satu helaan nafas yang sama kebanyakkan anggota
masyarakat ini kemudiannya akan terus kembali kepada kegiatan hariannya.

Sewaktu serangan ganas rejim Israel terhadap Gaza di penghujung tahun 2008 lalu, seluruh dunia
bangkit menyatakan bantahan. Ceramah demi ceramah dianjurkan. Kempen Selamatkan Gaza
menjadi antara agenda utama masyarakat Malaysia. Ribuan malah jutaan ringgit dikumpul bagi
disalurkan ke Palestin. Malah ada anggota masyarakat yang mencari-cari tempat untuk
mendaftarkan diri sebagai sukarelawan untuk dihantar berjihad ke Palestin.

Kini keadaan kembali tenang!!!!???

Palestin kembali dilupakan. Dan Palestin terus menderita.


Kita ditipu untuk kesekian kalinya!!

Usai pengunduran tentera zionis dari Gaza maka isu Palestin semakin kurang dibicarakan.
Sebahagian anggota masyarakat kita menyangka keadaan di Palestin telah menjadi semakin baik.
Itulah gambaran yang dapat kita simpulkan jika kita mengambil keadaan di mana semakin kurangnya
perbicaraan berkaitan Palestin di kalangan masyarakat serta kurangnya berita-berita berkaitan
Palestin yang disiarkan oleh media saban hari sebagai kayu pengukur.

Hakikatnya keadaan di Palestin tidak sekali-kali kembali menjadi lebih tenang selepas pengunduran
tentera ganas zionis dari Gaza awal tahun ini. Pengunduran itu hanya mengembalikan Gaza dan
Tebing Barat kepada keadaan sebelum serangan ganas Disember 2008.

Tiada apa yang berubah di Palestin!

Hakikatnya Gaza masih terus dikepong rejim zionis secara mutlak dari darat, laut dan udara
sebagaimana sebelum serangan. Kepungan yang melanjutkan bencana kemanusiaan.

Hakikatnya Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa terus terkepung oleh Tembok Keselamatan yang telah
memisahkan dari Tebing Barat sebagaimana sebelum serangan.

Hakikatnya tanah-tanah milik umat Islam terus dirampas dan mereka berterusan dihalau dari
kampung halaman masing-masing yang akan kemudiannya dijadikan kawasan penempatan
pendatang haram Yahudi.

Hakikatnya umat Islam di Palestin serta saudara-saudara mereka yang telah menjadi pelarian dalam
Negara sendiri atau di negara-negara jiran sejak puluhan tahun lalu terus dizalimi.

Dari mana sumber maklumat kita?

Turun naiknya perhatian umat Islam terhadap nasib saudara-saudara mereka di Palestin banyak
dicorakkan oleh paparan-paparan berita yang mereka baca, dengar atau tonton setiap hari.

Selagi umat Islam masih mengharapkan berita dan maklumat berkaitan Palestin dari sumber-
sumber asing terutama dari agensi berita yang kita maklumi dikuasai oleh pihak yang menjadi musuh
kepada perjuangan membebaskan Palestin itu sendiri, maka selama itulah kita akan kecewa. Kita
tidak akan dibekalkan dengan maklumat yang menceritakan secara jujur apa yang telah , sedang
mahu pun apa yang akan berlaku.

Sebagai mengambil satu contoh, berapa ramaikah diantara umat Islam di Malaysia ini yang maklum
atau menyedari berkaitan satu peristiwa besar, tragis dan amat menyayat hati yang telah berlaku
kepada umat Palestin dalam bulan September 1982?

Lebih tepat lagi, apakah yang telah berlaku kepada umat Islam Palestin pada tarikh 16hb September
1982?

16hb September Hari Bersejarah

16hb September 1963 adalah tarikh bersejarah, hari pembentukan Malaysia - Hari Malaysia.

Jika tarikh 16hb September menjadi sumber kegembiraan rakyat Malaysia namun tarikh yang sama
sekitar 20 tahun kemudiannya telah mencatatkan sejarah sebagai hari bermulanya peristiwa yang
amat tragis dan menyayat hati yang berlaku ke atas umat Islam Palestin khasnya dan seluruh umat
Islam amnya.

16hb September 1982 menyaksikan peristiwa pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di kem
pelarian Sabra dan Shatila.

Untuk memudahkan ingatan kita, peristiwa ini telah dirakamkan dalam bentuk lagu puisi oleh
Almarhum Zubir Ali untuk menjadi kenangan sepanjang zaman.

Balada Seorang Gadis Kecil

Gadis kecil itu telah bertahun


Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita

Munir tak mengenal erti cinta


Telah kering airmata
Menangisi kematian
Ayahbonda dan saudara

Pada suatu senja


Langit Syatila
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita

Munir ditembak
Penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia

Peristiwa hitam 17 September


Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Suatu bangsa yang sombong dan hina

(Dendangan Zubir Ali)


Latarbelakang Peistiwa

Sabra dan Shatila

Sabra adalah nama sebuah penempatan rakyat Lebanon di bahagian selatan Beirut Barat. Shatila
pula adalah tempat perlindungan untuk pelarian Palestin. Shatila adalah di bawah kelolalaan salah
sebuah agensi Bangsa-Bangsa Bersatu yang khusus untuk pelarian Palestin, UNRWA (United Nations
Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East). Kem pelarian Shatila telah ujud
sejak tahun 1949 lagi kesan dari kempen keganasan yang dilaksanakan oleh zionis Israel selepas
pembentukannya pada tahun 1948. Menjelang 1949 lebih dari 100,000 pelarian Palestin berada di
Lebanon termasuk di Shatila.

Sabra dan Shatila berjiranan.

Terdapat interaksi yang rapat antara penduduk di kedua-dua kawasan penempatan miskin ini.
Secara tidak rasmi kedua-dua kejiranan itu akhirnya dikenali sebagai “Kem Sabra dan Shatila”.

Palestine Liberation Organisation (PLO)

PLO telah ditubuhkan pada tahun 1964. Ia sebenarnya adalah sebuah badan induk yang memayungi
beberapa pertubuhan lain termasuk Al-Fatah yang sebenarnya menguasai PLO. Al-Fatah (dan PLO)
dibawah pimpinan Yasser Arafat . Kesemua pertubuhan ini bergabung untuk satu tujuan yakni untuk
membebaskan keseluruhan bumi Palestin dari cengkaman zionis Israel.

Pada tahun 1969 dalam satu pertemuan di Kaherah Mesir. Perdana Menteri Lebanon telah memberi
kebenaran kepada pihak PLO untuk menggunakan bumi Lebanon sebagai pengkalan operasinya
menentang Israel. Kekuatan PLO di Lebanon bertambah dengan kemasukan ramai pejuang PLO yang
telah diusir dari Jordan di awal 70’an.

Kehadiran ramai pejuang PLO di Lebanon bukan sahaja membawa masalah kepada Israel tetapi telah
juga menimbulkan pertelingkahan dengan penduduk serta kumpulan militia tempatan termasuk
pertentangan dengan kumpulan Phalangists yang didokong oleh pihak Kristian Maronite.

Dari selatan Lebanon, pejuang PLO melancarkan serangan secara berterusan terhadap negara haram
Israel.

Serangan Israel terhadap Lebanon

Bagi menghentikan serangan terhadap Israel dari selatan Lebanon terutama dari pihak PLO, Israel
telah melancarkan beberapa siri serangan.

Akhirnya pada pada 6hb Jun 1982, Israel telah melancarkan satu serangan besar-besaran terhadap
Lebanon. Serangan ini didakwa Israel sebagai tindak balas terhadap satu percubaaan untuk
membunuh dutanya di London dua hari sebelumnya. Dianggarkan sekitar 60,00 orang tentera rejim
haram Israel memasuki Lebanon walau pun telah menerima kecaman dari Majlis Keselamatan PBB.

Tujuan utama serangan ini adalah untuk menghapuskan PLO dari bumi Lebanon. Untuk mencapai
tujuan ini pihak Israel telah dibantu oleh beberapa kumpulan Kristian tempatan termasuk pihak
Phalangists.
Menjelang 18hb Jun, tentera Israel Berjaya mengepung pejuang PLO di bahagian barat Beirut.
Bencana kemanusia yang besar dijangka akan berlaku terhadap pejuang PLO serta penduduk-
penduduk setempat sekiranya Israel melancarkan serangan terakhir

Gencatan Senjata dan Pengkianatan

Kepungan berterusan. Dua bulan kemudian yakni dipertengan bulan Ogos 1982, atas perantaraan
wakil kerajaan Amerika Syarikat, Philip Habib, satu gencatan senjata telah dipersetujui diantara
Israel dan PLO.

Melalui “Habib Roadmap”, pejuang dan pegawai-pegawai PLO bersetuju untuk meletakkan senjata
dan meninggalkan bumi Lebanon. Mereka juga dikehendaki menutup dan menghentikan semua
operasi pejabat dan prasarana PLO. Proses pengunduran (atau lebih tepat lagi, pengusiran) ini
dilaksanakan di bawah pengawasan pasukan tentera antarabangsa yang terdiri dari pasukan Itali,
Perancis dan Amerika Syarikat. Pasukan ini dijadualkan untuk berada di lapangan selama 30 hari dari
tarikh ketibaan mereka. Mereka juga bertanggung-jawab terhadap keselamatan penghuni kedua-
dua kem tersebut termasuk keselamatan ahli keluarga pejuang yang ditinggalkan di Sabra dan
Shatila. Di pihak Israel mereka berjanji untuk tidak meneruskan kemaraan ke Beirut.

Pengunduran yang bermula pada 24hb Ogos itu selesai sepenuhnya menjelang 1hb September 1982.
Dua hari kemudian, tentera rejim zionis mula menempatkan tentera-tenteranya di sekeliling kedua-
dua kem tersebut.

Tidak lama selepas itu, pasukan tentera antarabangsa mula meninggalkan kawasan tersebut, lebih
awal dari yang dijanjikan!

Pembunuhan Beramai-ramai

Pada 11hb September 1982, Ariel Sharon, Menteri Pertahanan Israel yang bertanggung-jawab
terhadap serangan keatas Lebanon, mengistiharkan bahawa terdapat seramai 2,000 “pengganas”
Palestin bersembunyi di kalangan pelarian di kemah-kemah pelarian sekitar Beirut. Pada hari Rabu
15hb September 1982 yakni sehari selepas pembunuhan bakal Presiden Lebanon yang menjadi
sekutu Israel-Phalangists, Bashir Gemayil, tentera Israel mara dan memasuki Beirut Barat dan
mengepung kem pelarian Sabra dan Shatila. Menjelang tengahari 15hb itu, seluruh penempatan
terkepung oleh tentera dan kereta-kereta kebal Israel. Mereka mendirikan pos-pos kawalan tentera
di tempat-tempat strategik bagi memantau setiap pergerakan.

Pada petang yang sama, kedua-dua kem tersebut mula dibedil.

Pada tengahari Khamis 16hb September 1982, sepasukan sekitar 150 orang anggota Phalangists,
sekutu Israel, mula bergerak memasuki kem. Dengan disaksikan oleh dunia, untuk tempoh 40 jam
berikutnya anggota-anggota militia Phalangist ini telah merogol, membunuh dan mencederakan
begitu ramai orang awam yang tidak bersenjata. Kebanyakkan mangsa terdiri dari wanita, kanak-
kanak serta orang-orang tua. Tiada jalan untuk melarikan diri kerana semua jalan keluar telah
dikepong kukuh oleh tentera Israel.

Amukan anggota Phalangist berterusan hingga 18hb Sepetember 1982.

Jumlah angka korban adalah diantara 700 orang (angka rasmi pihak Israel) hingga 3500 orang.
Laporan rasmi Palang Merah Antarabangsa pula menyebutkan angka 2,400.
Sehingga kini tiada sesiapa pun telah dihukum atas satu tindakan keganasan melampau yang tidak
pernah terbayang akan dilakukan oleh manusia yang berakal, apatah lagi mendapat sokongan dan
kerjasama sebuah kerajaan.

Penutup - Sikap Dunia

Dengan 4000 angka kematian sebagaimana yang dilaungkan akibat serangan 11 September, Amerika
Syarikat telah melancarkan apa yang disebut sebagai kempen peperangan menentang keganasan.
Melalui kempen ini mereka telah pun memusnahkan dua buah negara – Afghanistan dan Iraq.
Kempen ini masih berterusan.

Bandingkan pula sikap Amerika Syarikat dan dunia terhadap pembunuhan 16hb September. Telah
jelas bahawa yang terkorban adalah terdiri dari orang awam yang tidak bersenjata, wanita dan
kanak-kanak yang lemah serta orang-orang tua yang tidak berdaya. Yang lebih dahsyat lagi mereka
dibunuh semasa mereka sepatutnya mendapat perlindungan pasukan tentera antarabangsa melalui
satu jaminan dan perjanjian yang ditaja oleh Amerika Syarikat. Namun akhirnya mereka dibunuh di
sekitar rumah dan kawasan kediaman masing-masing.

Yang jelas penghuni Sabra dan Shatila telah dikianati, dikepung dan kemudian dibunuh.

Yang jelas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terus mempamirkan sikap baculnya sehingga ke saat
ini.

Yang lebih jelas, seluruh pemimpin negara-negara umat Islam walau pun dengan keujudan OIC sejak
1969, terus tidak berdaya melindungi umat Islam dari keganasan walau di mana mereka berada
terutama di Palestin.

Dan dunia akan terus mengenang 11 September dan melupakan 16 September. Itu lebih mudah dan
selamat!

Hj Ridzuan Harun

Felo Kanan

PACE

Anda mungkin juga menyukai