Anda di halaman 1dari 2

FAKTOR-FAKTOR PENENTANGAN

Faktor-faktor yang mencetus kebangkitan Dato’ Bahaman menentang British di


Pahang adalah disebabkan oleh kehilangan hak untuk memungut cukai. Sejak
pertengahan tahun 1889, jentera pentadbiran Inggeris telah berjalan berdampingan
dengan pentadbiran tradisi. Collector dan Magistrate diberikan tugas untuk memungut
cukai dari hasil rakyat tempatan yang menjadi hak Orang-orang Besar tradisi. Kini kuasa
Orang-orang Besar dalam hal pengutipan cukai telah ditarik dan mereka sebaliknya diberi
sara hidup. Rakyat tidak lagi dibenarkan mengutip hasil hutan dengan bebas. Kegiatan
mereka yang lampau seperti memungut hasil hutan dan melombong hanya dapat
dijalankan dengan menggunakan lesen-lesen yang dikeluarkan oleh Pegawai Inggeris.
Tanah mereka terpaksa dijual dan dikenakan cukai 40 sen satu ekar. Orang Kaya
Bahaman yang dipandang tinggi dan sangat berpengaruh telah didesak oleh Orang-Orang
Besar Negeri untuk mencari penyelesaian. Oleh sebab Dato Bahaman telah kehilangan
hak istimewanya untuk mengutip cukai di daerah kekuasaanya, Semantan, maka Dato
Bahaman telah merancang untuk menentang penjajah Inggeris. Misalnya, beliau
menentang pelantikan I. A Wise sebagai Pegawai Majistret dan Pemungut Hasil di
Temerloh. Kerajaan Inggeris belum lagi menyelesaikan tuntutan Orang-orang Besar
Pahang, Orang Kaya Bahaman meneruskan kegiatannya mengutip cukai dan
membenarkan panglima-panglimanya berbuat begitu untuk membiayai pekerjaan dan
tanggungjawab mereka. Pihak Inggeris telah berkali-kali mengingatkan Orang Kaya
Bahaman bahawa beliau tidak lagi berhak mengutip cukai atau memberi kebenaran pada
orang lain berbuat demikian. Tetapi menuru satu sumber, Bahaman dan Clifford telah
bersetuju untuk membahagi dua hasil Semantan, sementara menanti jawapan yang
muktamad dari Gabenor tentang masalah sara hidup.
Selain itu, pembinaan balai polis juga merupakan salah satu faktor Dato’
Bahaman mencetus kebangkitan untuk menentang penjajah Inggeris di Pahang. I.A Wise
telah mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua tanpa berunding dengan Orang Kaya
Bahaman. Tindakan British itu dianggap menceroboh dan mengancam kedudukan Dato’
Bahaman. Perkara ini menyebabkan konflik antara Orang Kaya Bahaman dan British
bertambah serius. Dato’ Bahaman berasa marah dan menentang penjajah British di
Pahang.
Di samping itu, perlucutan gelaran Orang Kaya Bahaman juga merupakan
perencah kepada kebangkitannya untuk menentang penjajah orang Inggeris di Pahang
Darul Makmur. Bahaman mempunyai pendirian yang tegas dan berpegang teguh kepada
prinsip hidupnya. Tanah airnya tidak boleh dipelbagaikan oleh orang asing. Apa yang
difikirkan sesuai dipraktikkan, diteruskannya. Melihatkan kedegilan Dato Bahaman, J.P
Rodger mendesak Tengku Mahmud untuk melucutkan jawatan Orang Kaya Bahaman.
Usul ini telah disampaikan kepada Sultan Ahmad untuk dipertimbangkan tetapi tidak
diluluskan kerana kasih baginda kepada Bahaman. Menurut laporan Clifford , dalam
bulan Disember 1890, Bahaman telah menulis sepucuk surat kepada Magistrate
Temerloh, Mr. Wise, menyatakan beliau tidak bersetuju dengan rancangan British hendak
mendirikan balai polis di Lubuk Terua. Surat ini juga telah menyatakan bahawa Orang-
orang Besar Pahang telah belot, cuma beliau sahaja yang belum menyerah kepada
Inggeris. Sultan telah memerintahkan Bahaman ke Pekan untuk diadili, tetapi Bahaman
tak hadir kerana beliau tidak mengaku menulis surat itu. Dalam bulan Februari 1891,
Datuk Maharaja Purba Jelai telah dititahkan untuk membawa Orang Kaya Bahaman ke
Pulau Tawar bertemu dengan Sultan tetapi apabila Tok Raja sampai ke Semantan
Bahaman telah pergi ke Kelantan.