Anda di halaman 1dari 5

Kajian Cadangan Model Baru Rekabentuk Konsep Taman

Melayu Yang Beridentitikan Kaum Melayu Di Malaysia

Oleh

AHMAD ZAMIL BIN ZAKARIA


Jabatan Senibina Landskap
Universiti Teknologi Mara
Kampus Seri Iskandar, Perak
e-mail: zamil227@perak.uitm.edu.my
mellx2004@yahoo.com

Penyelidikan ini dihasilkan di atas kesedaran penyelidik tentang perlunya bangsa


Melayu yakni pribumi Malaysia untuk mempunyai suatu model dalam menghasilkan
rekabentuk landskap Taman Melayu yang dapat menaikkan martabat bangsa di mata
dunia. Penyelidikan ini akan lebih merujuk kepada perlandskapan rumah Melayu
tradisional kerana disinilah kita dapat melihat corak landskap Melayu yang sebenar
kerana landskapnya tidak mungkin di campur adukkan dengan konsep senibina
landskap yang lain.

Menurut Scott VanDyke (1990), rekabentuk adalah jalan penyelesaian kepada masalah
dan ia melibatkan proses di mana penilaian, sintesis dan mengenalpasti idea-idea dapat
diterjemahkan di dalam rekabentuk yang sesuai. Menurut B. K. Norman (1991), proses
merekabentuk adalah seperti persoalan berikut iaitu bermula dengan..., selepas itu...,
selepas itu pula..., apabila ia berhasil... dan yang terakhir adalah apakah yang dapat
sumbangkannya. Menurut Nur Huzeima, Suriati (2010), perlandskapan persekitaran
rumah tradisional Melayu mempunyai hubungkait dengan aktiviti-aktiviti di dalam rumah.

Metodologi kajian bagi penyelidikan ini melibatkan pembentukan objektif, pengumpulan


data, rumusan dan penemuan dan akhir sekali ialah cadangan dan kesimpulan.
Pengumpulan data primer dan sekunder perlu dilakukan pada penyelidikan ini.
Penganalisaan data adalah penting bagi membolehkan penyelidik menghuraikan
senario terkini dan juga bagi memudahkan pembuatan cadangan model rekabentuk
Taman Melayu pada akhir penyelidikan. Kaedah menganalisa data akan menggunakan
pensampelan rawak mudah, teknik SWOT dan aplikasi perisian komputer SPSS.
Objektif kajian ini adalah adalah untuk mengenalpasti melalui pemerhatian model
rekabentuk landskapTaman Melayu sedia ada di dalam negara kita. Melalui model sedia
ada tersebut penyelidik akan mengukur imej kemelayuan Malaysia yang diterapkan di
dalam prinsip rekabentuk Taman Melayu ketika ini. Dan akhir sekali objektif kajian juga
adalah untuk mengemukakan cadangan model rekabentuk landskap Taman Melayu
yang beridentitikan Melayu Malaysia.

Pada masa kini terdapat pelbagai konsep rekabentuk di dalam aliran senibina landskap.
Antara konsep yang terkenal adalah konsep Taman Jepun, Taman Bali dan juga Taman
Inggeris. Melalui konsep senibina landskap ini seni budaya masyarakat tersebut dapat
dipromosikan kepada masyarakat luar. Di Malaysia, senario senibina landskap pada
masa kini lebih kepada rekabentuk kontemporari. Ini bermakna masyarakat di Malaysia
tidak mempunyai suatu identiti rekabentuk landskap yang boleh dibanggakan
terutamanya masyarakat peribumi iaitu kaum Melayu. Kaum Melayu adalah suatu kaum
yang istimewa dan terdapat pelbagai elemen menarik melalui daya kreativiti seperti
tenunan, ukiran, anyaman, seni kraftangan dan seni binaan yang boleh diketengahkan
untuk menjadi suatu model kepada konsep Taman Melayu. Pengaruh besar ajaran
Islam dalam masyarakat Melayu turut memberikan kesan terhadap rekabentuk landskap
kediaman. Pengaruh ajaran Islam jugalah yang membezakan antara Taman Melayu dan
Taman Jepun serta Taman Bali yang lebih dipengaruhi oleh ajaran Chinese Buddha dan
juga Hindu.

Penyelidik telah menggariskan beberapa kepentingan kajian iaitu antaranya ialah nilai
budaya masyarakat Melayu dapat dipromosikan di peringkat antarabangsa. Selain dari
itu dengan adanya konsep Taman Melayu yang beridentitikan Melayu Malaysia ini dapat
menggalakkan lagi pembangunan landskap terutamanya bagi kawasan-kawasan tarikan
pelancong di dalam mempamerkan keunikan Malaysia itu sendiri. Dan akhir sekali ia
akan memupuk masyarakat terutamanya kaum Melayu agar berbangga dengan bangsa
sendiri yang pada suatu ketika dulu jika mengikut sejarah Melaka, bangsa Melayu
adalah suatu bangsa yang maju dan berupaya menjadi pusat perdagangan maritim
antarabangsa serta dikenali di seluruh dunia. Dengan adanya Taman Melayu ini
diharapkan dapat menjadi warisan budaya kebangsaan dan digunakan secara meluas di
dalam pembinaan taman-taman awam di Malaysia.
Berdasarkan objektif penyelidikan yang telah diutarakan maka terhasillah persoalan
penyelidikan antaranya ialah apakah yang dimaksudkan dengan masyarakat Melayu
Malaysia, bagaimanakah rekabentuk Taman Melayu pada masa kini, apakah elemen-
elemen tradisional orang Melayu yang boleh diketengahkan di dalam rekabentuk Taman
Melayu, dan yang terakhir adalah bagaimanakah caranya untuk mempromosikan
Taman Melayu kepada masyarakat luar. Persoalan-persoalan ini perlu dijawab bagi
membolehkan penghasilan suatu model rekabentuk landskap Taman Melayu yang baik.

Istilah Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 160 (2) ialah
seseorang Melayu itu mestilah beragama Islam, mestilah bertutur dalam bahasa
Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan seseorang yang lahir sebelum merdeka
sama ada di Persekutuan atau Singapura atau pada hari merdeka, dia adalah
pemastautin di Persekutuan atau di Singapura. Menurut Lim Jee Yuan (1997), elemen
laman bagi rumah orang Melayu tradisional adalah seperti kawasan penanaman pokok
dan juga kawasan beriadah yang dijadikan sebagai kawasan untuk aktiviti sosial
masyarakat kampung. Bagaimanapun rumah orang Melayu tradisional persekitaran
mereka adalah berkaitan dengan budaya dan alam sekitar mereka.

Menurut Made Wijaya (2002), beliau sangat menyukai alam tropika kerana
dipersekitarannya penuh dengan tumbuhan. Menurutnya lagi di dalam mewujudkan
sesuatu taman yang berkonsepkan Taman Bali ia mestilah memikirkan tentang misteri
dan juga persekitaran yang romantik. Menurut Isao Yoshikawa (1996), walaupun hanya
mempunyai laman yang bersaiz kecil, kita tetap boleh menjadikannya suatu kawasan
yang menarik dengan mengimplimentasikan konsep Taman Jepun. Konsep Taman Bali
dan Taman Jepun ini akan menjadi rujukan utama bagi penyelidikan ini kerana selain
ianya turut menampilkan keindahan alam tropika, penyelidik mendapati suatu
persamaan yang boleh diterapkan di dalam memastikan suatu model rekabentuk
landskap yang dapat mewakili masyarakat Melayu Malaysia pula dapat dihasilkan.

Merujuk kepada V.F. Chen (2005), dikebanyakan kampung di Malaysia, pokok kelapa
tidak hanya membekalkan makanan tetapi ianya juga memberikan teduhan kepada
rumah penduduk kampung. Menurutnya lagi orang Melayu menanam pokok kelapa bagi
menandakan kelahiran anak. Chen berkata setiap rumah dibatasi dengan pokok dan
kebiasaannya pokok kelapa atau pokok buah-buahan di sudut sempadan. Keistimewaan
imej Taman Melayu ialah ia mudah dikesan sebagai sebuah taman yang membawa
unsur suasana kedesaan (www.mytaman.com). Menurut Abdul Halim Nasir (1985),
pemerhatian terhadap alam sekitar adalah satu unsur yang sangat besar mempengaruhi
bentuk senibina rumah-rumah tradisional Melayu.

Di akhir kajian ini penyelidik berharap suatu penemuan model baru rekabentuk landskap
Taman Melayu yang beridentitikan Melayu Malaysia dapat dihasilkan. Dengan adanya
model ini diharapkan juga akan ada suatu kajian yang lebih menyeluruh bagi
merealisasikan konsep Taman Melayu di negara kita.

Rujukan:
1) Made Wijaya (2002), “Tropical Garden Design”, Archipelago Press, Singapore.
2) VanDyke, Scott (1990), “From Line To Design: Design Graphics Communication”,
Van Nostrand Reinhold, New York, USA.
3) B.K. Norman, E.H. James (1991), “Residential Landscape Architecture: Design
Process for The Private Residence”, Pearson Education Inc., New Jersey.
4) Lim Jee Yuan (1997), “The Malay House : Rediscovering Malaysia’s Indigenous
Shelter System”, Institut Masyarakat, Malaysia.
5) McHarg, Ian L. (1967), “Design With Nature”, John Wiley & Sons, Inc., New York, USA.
6) Laurie. M. (1986), “An Introduction to Landcsape Architecture”, Elsevier Science
Publishing Co. Inc., New York, USA.
7) Muhammad Afandi Yahya (1995), “Simbolisme dalam Senibina Rumah Melayu”,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
8) Ervin H.Zube (1975), “Landscape Assessment : Values, Perceptions, and
Resources”, Dowden, Hutchingson & Ross, Inc., Stroudsburg, Pennsylvania.
9) M.H. Nur Huzeima, A. Suriati (2010), “Rekabentuk Perlandskapan Rumah Orang
Melayu Kontemporari Di Desa Wawasan”, RMI UiTM, Malaysia.
10) F. Gianni, I.T. Luca (2002), “Bali Modern: The Art of Tropical Living”, Periplus Edition
Ltd, Hong Kong.
11) Y. Isao (1998), “Japanese Gardening In Small Space: Step By Step Illustration”, Joie
Inc, Japan.
12) Abdul Halim Nasir & Wan Hashim Wan Teh (1997), “Warisan Senibina Melayu”,
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
13) Abdul Halim Nasir (1985), “Pengenalan Rumah Tradisional Melayu Semenanjung
Malaysia”, Darulfikir, Kuala Lumpur.

Sumber Internet:
1) Dewan Bahasa dan Pustaka (2008), ‘Kamus Dewan’, [Online] http://prpm.dbp.gov.my
[dicapai pada 20 Jun 2010]
2) Terra Garden (2008), [Online] http://www.terragarden.com.my/malaysian-garden-
concept.php [dicapai pada 20 Jun 2010]
3) Terra Garden (2008), [Online] http://www.terragarden.com.my/from-concept-to-
product.php [dicapai pada 20 Jun 2010]
4) Malaysian Business (2007) [Online]
http://www.findarticles.com/p/articles/mi_qn6207/is_20070301/
ai_n24910809/ [dicapai pada 21 Jun 2010]
5) Rimbun Dahan (2005) [Online] http://www.rimbundahan.org/environment/index.htm
[dicapai pada 21 Jun 2010)
6) Mytaman (2009) [Online] http://www.mytaman.com-
TamanMelayu.htm?lang=my&act=5&content=
18&id=10&mnu=10 [dicapai pada 21 Jun 2010]
7) C.Skinner: Transitional Malay Literature Part 1 (1978) [Online] http://www.kitlv-journals.ni
[dicapai pada 21 Jun 2010]
8) Nilai Estetika Landskap Melayu (2009) [Online]
http://www.scribd.com/doc/26660958/Nilai-Estetika-Landskap-Melayu [dicapai pada 21
Jun 2010)
9) M.Y. Norakmah : Laman Sebagai Terapi Ketenangan (2009) [Online]
http://www.panduanlanskap.blogspot.com/search/label/Landscape%20-
Laman%20sebagai%terapi%
20ketenangan [dicapai pada 21 Jun 2010)