Anda di halaman 1dari 15

TAJUK 5: KEMAHIRAN MEMBACA

PENGENALAN

Selain daripada kemahiran lisan, kemahiran membaca adalah kemahiran bahasa


yang penting dikuasai oleh seseorang individu. Kita mungkin tidak dapat bersama-
sama dengan orang lain sepanjang masa, oleh itu melalui bacaan kita dapat
memahami mesej yang disampaikan oleh orang lain melalui tulisan. Pengertian
bacaan adalah luas iaitu tidak hanya terhad kepada maksud membunyikan tulisan
atau “barking at words” semata-mata. Membaca secara senyap dengan memberi
penekanan kepada memahami apa yang dibaca adalah sangat penting.

Bagi seseorang pelajar, membaca merupakan kunci kejayaan akademiknya, sumber


kepada penambahan ilmu pengetahuan, dan kunci kepada keupayaan menikmati
hasil penulisan untuk mengisi masa lapangnya. Pengajaran kemahiran membaca
kepada kanak-kanak memerlukan kaedah dan teknik tertentu supaya mereka dapat
menguasai kemahiran membaca dengan baik sama ada membaca secara nyaring
atau membaca secara senyap. Bagi kanak-kanak masalah pembelajaran pula,
mereka memerlukan kaedah dan teknik mengajar yang lebih khusus sesuai
keupayaan dan kebolehan mereka.

Tajuk ini akan membincangkan tentang bacaan yang merangkumi proses membaca
dan model-model bacaan, pendekatan dalam pemulihan bacaan, dan kemahiran
membaca di peringkat sekolah rendah.

OBJEKTIF

Pada akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan beberapa definisi bacaan

2. menghuraikan proses membaca

3. menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca

4. menghuraikan pelaksanaan ujian bacaan nyaring

5. menjelaskan prinsip-prinsip pemulihan bacaan

6. menghuraikan komponenp-komponen pengajaran pemulihan bacaan

GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK

KEMAHIRAN MEMBACA
Membaca Faktor-faktor yang berkaitan Pemulihan 
dengan membaca bacaan

Definisi Kesediaan membaca Pendekatan bacaan


Proses membaca Faktor-faktor yang Prinsip pemulihan
Mempengaruhi kebolehan bacaan
membaca Pendekatan 
pemulihan bacaan

5.1 Membaca

5.1.1 Definisi

Membaca adalah salah satu masalah utama yang dihadapi oleh kanak-kanak
masalah pembelajaran. Bacaan juga merupakan sebagai punca utama kegagalan
kanak-kanak di sekolah. Malah dikatakan juga bahawa kegagalan membaca akan
membawa kepada perlakuan salah laku, cemas, kurang motivasi, dan perasaan
rendah diri (Mercer, 1992). Membaca adalah kemahiran yang kompleks dan banyak
definisi diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan. Secara asasnya, membaca
mengandungi dua proses asas, iaitu ”nyah kod” (decode) dan pemahaman. Proses
nyah kod melibatkan pemahaman tentang hubungan antara huruf-huruf dan
menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama dengan bahasa lisan.
Oleh itu, kemahiran nyah kod membolehkan seseorang menyebut perkataan yang
ditulis dengan betul. Manakala poroses pemahaman pula membolehkan seseorang
memahami makna sesuatu perkataan atau makna perkataan mengikut konteks.

Terdapat banyak definisi yang diberikan untuk menjelaskan maksud bacaan. Harris
dan Sipay (1980) menyifatkan proses membaca sebagai proses untuk memperoleh
tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis.
Manakala Kenedy (1981) pula mendefinisikan bacaan sebagai keupayaan seseorang
untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa
atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah
diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan
mentafsirkan maksudnya (Marohaini Yusoff, 1999). Dua definisi yang diberikan ini
sudah cukup untuk menjelaskan bahawa kemahiran membaca adalah satu proses
yang kompleks.

Berdasarkan definisi-definisi membaca yang ditelitinya, Marohaini Yusoff (1989)


telah merumuskan proses membaca seperti berikut:

1. Perlakuan membaca adalah perlakuan yang kompleks dan tidak dapat


diperhatikan. Cuma dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud
dalam kemahiran membaca iaitu kemahiran mengenal atau mengecam perkataan
dan kemahiran memahami apa yang dibaca.

2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan pemahaman 


selain pengecaman dan penyebutan perkataan-perkataan. Maksudnya, 
untuk menjadi pembaca yang berkesan, seseorang itu tidak perlu dapat 
menyebut perkataan dengan betul dan lancar asalkan dia tahu makna 
perkataan-perkataan yang dibacanya.

3. Semasa membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai, dan membayangkan apa
yang dibaca.

Seseorang murid itu mempunyai tujuan, jangkaan, pengetahuan, dan pengalaman


lalu yang akan mempengaruhi apa yang akan dibacanya.

Dalam sesuatu proses bacaan, terdapat susun atur tugasan seperti


berikut:

a) mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat..


b) mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi atau makna.
c) menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkannya dengan apa yang
sedia ada di kepala.
d) mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan,dan ayat sehingga menjadi
sebuah idea yang kengkap.
e) mencuba menghuraikan idea kepada orang lain.

4. Melihat kepada susun tugas dalam proses membaca, dapatlah dikatakan bahawa
membaca adalah satu proses yang memerlukan pemikiran yang aktif.

Berdasarkan definisi membaca dan rumusan yang dibuat berkaitan dengan proses
membaca, dapatlah dimengerti bahawa membaca adalah kemahiran yang kompleks
yang melibatkan beberapa kemahiran lain.

Latihan:

Bincangkan bagaimana caranya hendak mengubah kebiasaan membaca nyaring


kepada bacaan senyap di kalangan kanak-kanak?

5.1.2 Proses Membaca

Daripada definisi-definisi yang dibincangkan di atas, ternyata bahawa membaca


adalah proses yang kompleks yang yang terdiri daripada gabungan beberapa proses
yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan), proses pengamatan, proses bahasa
(linguistik), dan proses kognitif. Setiap proses memainkan peranan penting dalam
proses membaca secara keseluruhan.

i. Membaca sebagai proses sensori (kederiaan)

Deria atau panca indera adalah pintu masuk berbagai rangsangan ke otak untuk
diproses. Dua deria yang terlibat secara aktif dalam proses membaca adalah
penglihatan dan pendengaran. Kedua-dua deria ini berhubung rapat antara satu
sama lain dalam proses membaca.

a) Deria penglihatan

Proses membaca berlaku apabila lambang-lambang dilihat dan disalurkan ke otak


untuk diproses bagi mendapat makna sebenar. Bagi individu yang bermasalah
penglihatan (buta) deria penglihatan akan digantikan dengan deria sentuhan.

b) Deria pendengaran

Seseorang memerlukan pendengaran yang baik untuk membolehkannya membaca


dengan baik. Seseorang perlu mendengar dengan baik mesej yang diterima supaya
ia dapat menghasilkan semula mesej itu dengan jelas dan tepat. Keadaan ini tidak
berlaku kepada individu yang mengalami masalah pendengatan.

ii. Membaca sebagai proses pengamatan

Pengamatan adalah satu proses menimbulkan makna kepada tugas-tugas panca


indera berdasarkan pengalaman lalu dan pengamatan ini berhubung rapat dengan
pemikiran. Dalam bacaan, pengamatan membolehkan seseorang mengenal dengan
tepat lambang-lambang dan mengaitkannya dengan bunyi-bunyi dan juga makna.
Pengamatan dalam bacaan adalah seperti (1) mendiskriminasi iaitu mengecam dan
juga membezakan, (2) “figure ground” iaitu mengenal objek-objek, bentuk, atau
corak-corak, (3) ingatan, iaitu mengingat kembali apa yang dilihat atau didengar,
dan (4) turutan, iaitu seperti memahami giliran dan urutan.

iii. Membaca sebagai satu proses bahasa

Bacaan adalah sebagaian daripada kemahiran bahasa (language arts) iaitu yang
bermula daripada mendengar, bertutur, membaca, dan seterusnya menulis.
Membaca dapat membantu manusia berkomunikasi dan berhubung sesama mereka
melalui sistem lambang-lambang tulisan yang mereka cipta.

iv. Membaca adalah satu proses kognitif

Membaca bukan hanya melibatkan proses mekanis tetapi juga melibatkan proses
kognitif atau berfikir pada semua peringkat membaca seperti mengecam,
mendiskriminasi, dan memaham. Oleh itu kecerdasan seseorang akan
mempengaruhi kemajuannya dalam membaca.

Latihan:

Membaca adalah merupakan proses kederiaan. Jelaskan bagaimana guru


memanipulasikan penggunaan deria untuk mengajar kanak-kanak membaca?

5.2 Faktor-faktor yang Berkaitan Dengan Membaca

5.2.1 Kesediaan Membaca

Kesediaan adalah faktor penting sebelum seseorang kanak-kanak menguasai


sesuatu kemahiran. Seorang kanak-kanak tidak boleh terus berjalan sekiranya otot-
otot anggota kakinya cukup kuat untuk berdiri dan seterusnya berjalan. Oleh itu
bagi menyediakan kanak-kanak berjalan, dia akan memulakan dengan merangkak,
duduk, bangun, berdiri, bertatih, dan barulah berjalan. Begitu juga
dengan membaca, seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan
perkembangan yang diperlukan terlebih dahulu sebelum kemahiran membaca
diperkenalkan diajar kepadanya.

Kebolehan membaca kanak-kanak wujud sekiranya kanak-kanak itu memahami dan


bertindak secara bersesuaian apabila melihat perkataan-perkataan yang ditulis.
Maksudnya kanak-kanak mesti berkeupayaan memahami konsep iaitu (1) semua
“benda” mempunyai nama, (2) nama benda boleh ditulis dalam perkataan, (3) ,
kedua-duanya saling bertukar, dan (4) simbol-simbol perkataan boleh dibaca
(Mechado, 1985).

Kanak-kanak boleh cepat membaca sekiranya mereka hidup dalam persekitaran


yang intelektual yang sentiasa berfaedah dengan tulisan seperti buku, surat
khabar, dan sebagainya, kanak-kanak yang kaya dengan pengalaman persekitaran
seperti ke pasar raya, ke pameran atau ke pusat-pusat peranginan, dan juga
kanak-kanak mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi dengan orang lain.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca kanak-kanak adalah:

i. keadaan fizikal
ii. pengalaman dan persekitaran
iii. emosi, motivasi, dan sahsiah
iv. kecerdasan
v. pengamatan
vi. penguasaan bahasa

Keadaan fizikal merujuk kepada keadaan mata, telinga, dan organ pertuturan yang
sempurna.

Persekitaran yang intelektual yang memberi pengalaman-pengalaman bermakna


akan dapat merangsang otak dan menimbulkan minat membaca. misalnya
mendengar cerita, lawatan ke perpustakaan atau ke kedai buku, ibu bapa yang
kerap berbual dengan anak mereka, dan sebagainya.

Keadaan rumah tangga yang dan cara asuhan akan mempengaruhi perkembangan
emosi, motivasi, dan sahsiah kanak-kanak. Dorongan yang diberikan oleh ibu bapa
boleh mempengaruhi sikap membaca kanak-kanak.

Kecerdasan dan perkembangan kognitif kanak-kanak sangat mempengaruhi


kemahiran membaca kanak-kanak. Kanak-kanak yang cerdas akan dapat menguasai
kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lain yang
sebaya dengannya.

Kemahiran membaca memerlukan keupayaan pengamatan yang kuat, iaitu daya


diskriminasi penglihatan dan diskriminasi pendengaran. Semasa membaca kanak-
kanak perlu mendiskriminasi huruf dan juga mendiskriminasi bunyi-bunyi huruf.

Kanak-kanak yang menguasai bahasa dengan baik akan dapat belajar kemahiran
membaca dengan cepat dan dapat membaca dengan baik kerana bahasa adalah
alat manusia melahirkan fikiran, perasaan, kehendak ,dan sebagainya semasa
berkomunikasi.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan juga guru untuk memastikan
kanak-kanak sudah mempunyai kesediaan membaca yang mencukupi sebelum mula
mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak.

Latihan:

Bincangkan cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membina kesediaan
membaca kanak–kanak?

5.2.2 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kebolehan Membaca

Kemahiran membaca adalah satu proses kognitif yang kompleks. Oleh itu faktor-
faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca juga adalah rumit dan saling
mempengaruhi. Kesedaran tentang faktor-faktor yang mempengaruhi bacaan ini
akan dapat membantu guru merancang pengajaran bacaan untuk murid-muridnya.
Menurut Marohaini Yusoff (1999) faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi
kepada dua kategori besar, iaitu:

i. faktor yang ada pada diri murid atau pembaca


ii. faktor yang ada pada bahan bacaan.

Latihan:
Bincangkan setiap aspek yang dinyatakan dalam rajah di atas di dalam kelas
dengan memberi contoh-contoh yang sesuai.

5.2.3 Peringkat-peringkat Mengajar Bacaan

Pengajaran bacaan yang dijalankan boleh guru bahasa tertumpu kepada dua
kemahiran iaitu bacaan secara kuat (bacaan mekanis) dan bacaan secara senyap
(bacaan mentalis/akaliah). Kemahiran membaca kuat lebih menumpukan kepada
kemahiran sebutan, intonasi, dan gaya membaca (membaca berita). Manakala
bacaan senyap merupakan kemahiran membaca untuk memaham dan juga
kepantasan membaca petikan sesuatu bahan.

Mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak hendaklah dibuat secara


berperingkat-peringkat supaya mereka dapat menguasai kemahiran membaca
dengan baik. Kamarudin Hj. Husin (1988) membahagikan pengajaran bacaan
kepada lima peringkat:

i. peringkat menyediakan murid


ii. peringkat mendirikan asas
iii. peringkat melatih membaca dan memaham
iv. peringkat melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat
v. peringkat membina dan mengukuhkan sikap gemar membaca.

Apabila kanak-kanak memasuki tahun satu persekolahan, guru perlu menyiasat


terlebih dahulu tahap kesediaan murid terutamanya penguasaan bahasa dan juga
emosi murid. Pengetahuan guru tentang tahap kesediaan membaca murid dan juga
kemahiran sedia ada murid akan dapat membantu guru untuk menyediakan murid
bagi pelajaran membaca. 

Peringkat mendirikan asas bacaan sangat penting dalam pengajaran kemahiran


membaca kepada murid-murid. Pada peringkat ini guru perlu menggunakan
pelbagai alat bantu mengajar dan juga bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan
yang digunakan hendaklah ringkas, menarik, dan bermakna. Kemahiran asas
bacaan bermula dengan mengenal abjad, suku kata, perkataan, frasa, dan
seterusnya ayat. Pada peringkat ini juga galakan dan dorongan perlu diberikan
kepada murid secara berterusan.

Peringkat seterusnya adalah melatih membaca dan memaham. Pada peringkat ini
bahan bacaan yang digunakan hendaklah dipilih dengan baik. Selain menekankan
aspek sebutan dan kelancaran, guru juga mula menekankan aspek pemahaman.
Kebiasaan murid membaca nyaring boleh dikurangkan kepada bacaan senyap
secara beransur-ansur. Soalan-soalan guru berkaitan bahan yang dibaca akan
membantu murid membina kemahiran memaham.

Setelah kanak-kanak sudah boleh membaca dengan lancar dan seterusnya


memahami isi bahan yang dibaca, mereka akan menggunakan kemahiran ini untuk
memilih bahan bacaan lain untuk mencari maklumat dan juga untuk mengisi masa
lapang. Guru boleh membantu kanak-kanak dengan mengajar mereka kemahiran
mencari maklumat di pusat sumber dan juga internet.

Akhir sekali adalah peringkat membina sikap suka membaca. Sikap suka membaca
hendaklah dipupuk di peringkat sekolah lagi supaya sebati dengan jiwa kanak-
kanak. Kebiasaannya sekolah kerap mengadakan pertandingan membaca, pameran
buku, peraduan mengarang, dan sebagainya.

Latihan:

Sebelum gvuru mula mengajar bacaan kepada murid-muridnya, ia perlu menyiasat


dulu kesediaan membaca mereka. Jelaskan apakah kaedah yang boleh guru
gunakan untuk mengetahui tahap kesediaan membaca murid-muridnya?

5.3 Pemulihan Bacaan

5.3.1 Menguji Kemahiran Membaca

Membaca adalah salah satu kemahiran bahasa yang penting dikuasai oleh kanak-
kanak supaya mereka dapat mencapai kemajuan dalam pelajaran dan juga kualiti
kehidupan mereka. Sebab itulah sekiranya seorang murid gagal membaca dengan
baik selalunya dikaitkan dengan kegagalan pengajaran guru dan juga pendidikan di
sekolah berkenaan. Sebab itu guru perlu didedahkan kepada alat, kaedah dan
teknik menguji kemahiran bacaan terutamanya ujian bacaan secara diagnostik.
Ujian diagnostik bacaan akan dapat membantu guru mengesan kesukaran-
kesukaran khusus bacaan murid.

Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan secara
objektif kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh murid dalam proses membaca.
Bermula dari sinilah guru akan dapat merancang aktiviti-aktiviti pengajaran
pemulihan bacaan. Murid yang bermasalah dalam bacaan tidak boleh dibiarkan
berterusan dengan masalah membacanya kerana akan memberi kesan terhadap
pencapaiannya dalam pelajaran secara keseluruhan.

Ujian bacaan hendaklah dijalankan secara berterusan supaya maklumat yang


diperolehi dapat memberi gambaran sebenar kelemahan murid. Masalah bacaan
sebenar murid penting supaya guru dapat menilai semula rancangan pemulihan
bacaan dan boleh membantu guru menentukan objektif pengajaran bacaan
seterusnya. Kaedah dan teknik mengajar membaca perlu dipelbagaikan bagi
mengelak kebosanan.

5.3.2 Ujian Bacaan Nyaring

Terdapat berbagai-bagai jenis ujian bacaan yang boleh dilaksanakan guru kepada
murid-muridnya. Namun begitu ujian bacaan nyaring merupakan langkah pertama
untuk mengesan kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara
diagnostik. Berdasarkan kajian-kajian lepas, Abdul Aziz Talib (1989) telah
menyenaraikan kesukaran-kesukaran dalam kawasan-kawasan yang perlu
ditubuhkan dalam sesebuah ujian bacaan:

1. Peringkat huruf (abjad)

a) Huruf kecil (a-z)

i. mengenal bentuk huruf


ii. mengenal nama huruf
iii. mengenal bunyi huruf

b) Huruf besar (A-Z)

i. mengenal bentuk huruf


ii. mengenal nama huruf
iii. mengenal bunyi huruf

c) memadan huruf besar-huruf kecil

d) Diskriminasi penglihatan

i. huruf-huruf yang berdekatan bentuk


ii. huruf besar dalam perkataan
iii. huruf-huruf kecil dalam perkataan

e) Diskriminasi pendengaran

Huruf-huruf yang berdekatan bunyi foniknya

f) Pembalikan huruf (reversals)

i. huruf besar
ii. huruf kecil

2. Peringkat Perkataan

a) membatang suku kata terbuka


b) membatang suku kata tertutup
c) membatang suku kata yang mempunyai gugusan konsonan

3. Peringkat Perkataan

a) pembalikan perkataan
b) membezakan bunyi fonem /e/ dan /a/ dalam perkataan
c) membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata terbuka dalam
perkataan
c) Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata tertutup dalam
perkataan
d) Membatang dan mencantumkan suku kata-suku kata yang
mengandungi gugusan konsonan dalam perkataan
f) Kekeliruan antara ejaan dan sistem bunyi Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris dalam perkataan
g) Menyebut perkataan dasar dan perkataan berimbuhan

4. Peringkat Frasa

Membaca frasa-frasa sebagai satu unit makna/pemikiran.

5. Peringkat Ayat

a) Membaca ayat-ayat pendek


b) membaca ayat-ayat panjang

Daerah-daerah kesukaran yang disenaraikan di atas hendaklah diuji melalui item-


item soalan yang dibina oleh guru yang dibina secara berasingan. Guru boleh
menggunakan kad-kad ujian bagi setiap daerah kesukaran yang hendak diuji dan
tidak perlu dijalankan serentak bagi kesemua tajuk.

Dalam ujian bacaan nyaring, murid diminta membaca petikan dengan kuat dan
guru merekod kesalahan –kesalahan yang dilakukan murid. Abdul Aziz Talib (1989)
menyenaraikan jenis kesilapan yang perlu direkod seperti berikut:

a) membuang/meninggalkan (omission) – bunyi huruf/perkataan /imbuhan yang


ditinggalkan
b) Ulangan (repetition) - mengulang-ulang perkataan/suku kata
c) Gantian (substitute) - bunyi huruf/perkataan diubahgantikan
d) Tambahan (insertion) – bunyi huruf/imbuhan/perkataan ditambah
e) Pembalikan (reversals) - huruf/perkataan/frasa dibaca secara
terbalik/songsang.

Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau ayat yang


dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk mengatasinya. Selain itu, guru
juga perlu merekodkan masalah-masalah atau tingkah laku yang ditunjukkan
semasa murid membaca, iaitu:

a) membatang suku kata terlebih dahulu


b) bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan
c) membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda bacaan
d) membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak
e) tidak boleh membaca langsung.

Maklumat lain yang perlu direkodkan guru adalah sekiranya murid mempunyai
kecacatan yang boleh menjejas bacaannya seperti gagap, sengau, pelat, telor,
masalah penglihatan, dan masalah pendengaran.

Latihan:
Bincanhgkan bagaimana bacaan ujian nyaring boleh membantu guru mengetahui
tahap penguasaan lisan kanak-kanak?

5.3.3 Prinsip-prinsip pengajaran Pemulihan Bacaan

Segala maklumat yang guru perolehi membolehkannnya merancang rancangan


pengajaran pemulihan bacaan untuk muridnya. Margaret et.al., 1989) telah
menyarankan beberapa prinsip pengajaran pemulihan bacaan yang boleh dijadikan
pegangan oleh guru dalam membantu muridnya membaca.

Guru haruslah memulakan pengajaran pada tahap yang sesuai. Keputusan ujian
diagnostik bacaan dapat membantu guru mengenal pasti daerah kelemahan dan
tahap bacaan murid. 

Murid perlu diberi tangungjawab terhadap pembelajaran mereka. Murid akan dapat
belajar dengan lebih baik sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.

Gunakan bacaan nyaring dan bacaan senyap mengikut kesesuaian. Gunakan setiap
jenis bacaan ini mengikut keperluan murid. Bacaan senyap sangat berkesan untuk
mengajar murid mengawal proses bacaan mereka sendiri. Manakala bacaan nyaring
pula sangat berkesan untuk meningkatkan kemahiran sebutan dan kelancaran
bacaan.

Latihan:

Guru dapat mengesan kelemahan bacaan muridnya melalui pemerhatiannya di


dalam proses pengajaran bacaan di dalam kelas. Jelaskan petunjukp-petunjuk yang
guru perhatikan untuk mengetahui kelemahan bacaan muridnya?

5.3.4 Komponen Pengajaran Pemulihan Bacaan

Sepanjang sesi pengajaran bacaan guru disarankan mengikut langkah-langkah


pengajaran yang meliputi komponen-komponen bacaan berikut:

Komponen-komponen
Pengajaran Bacaan

Bacaan peringkat Pengajaran Menyemak Bacaan


pengajaran berfokus semula bebas

Bacaan peringkat pengajaran bermaksud murid membaca bahan bacaan mengikut


tahap pembelajaran mereka. Di sini mereka akan menjumpai perkataan-perkataan
baru dan juga konsep-konsep baru di bawah bimbingan guru yang akan membantu
menyelesaikan masalah dan juga membantu mereka menguasai bahan bacaan
dengan baik.

Pengajaran berfokus dilaksanakan bergantung kepada keperluan murid. Guru


mungkin akan memperuntukkan sedikit masa untuk membantiu murid tertentu
membaca dengan memberi fokus kepada aspek tertentu dalam bacaan. Cara ini
akan membantu murid memfokus kepada aspek bacaan yang mereka hadapi
kesukaran.

Menyemak atau meneliti semula dilakukan untuk membantu murid untuk


mengingat semula perkara yang telah dipelajarinya. Sedikit masa yang
diperuntukkan digunakan untuk mengingat semula seperti makna perkataan dan
bahan bacaan yang telah dipelajari sebelum itu.

Bacaan bebas adalah untuk membentuk sikap membaca yang kekal, iaitu murid
mendapati membaca dapat memberi maklumat, dan menyeronokkan. Pada
peringkat ini murid digalakkan memilih bahan bacaan mereka mengikut tahap
bacaan bebas mereka iaitu dapat membaca sendiri tanpa bimbingan guru.

Latihan:

Pada pendapat anda apakah aktiviti pengajaran bacaan yang sesuai digunakan oleh
guru bagi setiap peringkat bacaan?

5.4 Kesimpulan

Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui


pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran,
meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang
diperlukan dan lain-lain lagi. Guru memainkan peranan penting dalam mengajar
kanak-kanak kemahiran membaca. Oleh itu guru perlu nmenggunakan pelbagai
kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai
dengan baik. Ujian-ujian pemahaman bacaan perlu dijalankan secara berterusan
bagi mengetahui dan mamantau pencapaian murid dalam bacaan.

Rumusan

1. Secara asasnya, membaca mengandungi dua proses asas, iaitu ”nyah kod” 
(decode) dan pemahaman.
2. Proses nyah kod melibatkan pemahaman tentang hubungan antara huruf-
huruf dan menterjemahkan perkataan tulisan kepada bentuk yang sama
dengan bahasa lisan.

3. Manakala poroses pemahaman pula membolehkan seseorang memahami


makna sesuatu perkataan atau makna perkataan mengikut konteks.

4. Membaca adalah proses yang kompleks yang yang terdiri daripada


gabungan beberapa proses yang kompleks, iaitu proses sensori (kederiaan),
proses pengamatan, proses bahasa (linguistik), dan proses kognitif.

5. Seseorang kanak-kanak harus mempunyai keadaan perkembangan yang


diperlukan terlebih dahulu sebelum kemahiran membaca diperkenalkan 
diajar kepadanya.

6. Faktor yang mempengaruhi bacaan terbahagi kepada dua kategori besar,


iaitu (1) faktor yang ada pada diri murid atau pembaca dan (2) faktor yang
ada pada bahan bacaan.

7. Kamarudin Hj. Husin (1988) membahagikan pengajaran bacaan kepada lima


Peringkat, iaitu menyediakan murid, mendirikan asas, melatih membaca
dan memaham, melatih membaca untuk hiburan atau mencari maklumat, dan 
peringkat membina dan mengukuhkan sikap gemar membaca.

8. Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya guru dapat mengesan
secara objektif kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh murid dalam proses 
membaca.

9. ujian bacaan nyaring merupakan langkah pertama untuk mengesan


kesukaran-kesukaran secara khusus dalam bacaan secara diagnostik.

Kata Kunci

Nyah kod
Diagnostik
Membatang

Rujukan

Abd.Aziz Talib, (1989) Pengajaran dan Pengujian Bahasa: Perspektif untuk


Perguruan.
Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Kamarudin Hj. Husin, (1998). Pedagogi Bahasa. Kuala Lumpur: Longman Malaysia
Sdn. Bhd.
Margaret A. R., Lynne K.L, Janet W.L., (1989). Reading Problems: assessment and
Teaching Strategies. New Jersey: Prentice Hall

Marohaini Yusoff (1999). Strategi Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mechado J.M., (1985). Early Childhood Experiences in Language Arts. New York. 
Delmar Publisher Inc.

Anda mungkin juga meminati:

MENDIDIK ANAK

Dicakar..?

MANUSIA BERHATI BINATANG

LinkWithin

(2) comments

Comments:
There are 2 comments for the " "
Noorefizah@Linn says... on 2009 Mei 11 10:32

Terima Kasih Tuan atas maklumat yang dikongsikan bersama. Ia sangat


membantu penambahan isi dalam kertas kerja saya berkaitan murid kelas
pemulihan bahasa. Teruskan usaha Tuan, semoga sentiasa berjaya.

Posted on: 2009 Mei 11 10:32


ahsfantasy24 says... on 2009 November 15 08:13

terima kasih atas info yang berguna..=)

Posted on: 2009 November 15 08:13


Catat Ulasan
Catatan TerbaruCatatan LamaLaman utama

Langgan: Catat Ulasan (Atom)


Labels
 NOTA KULIAH (1)

Blog Archive
 ►  2010 (15)
 ▼  2009 (36)
o ►  November (1)
o ►  Julai (1)
o ►  Jun (2)
o ►  Mei (2)
o ▼  April (9)
 Selamat Berkhemah
 Asperger Syndrome
 SPINA BIFIDA
 MASALAH MEMBACA
 TAJUK 5: KEMAHIRAN MEMBACA ...
 STRATEGI PENGAJARAN LISAN
 KEMAHIRAN LISAN
 MASALAH BAHASA DAN KOMUNIKASI

Anda mungkin juga menyukai