Anda di halaman 1dari 2

Hargai orang lain dulu, baru kita dihargai

Bulan Mei ialah bulan belajar menghargai jasa dan budi orang lain. Kita sambut Hari Ibu
dan Hari Guru Begitulah dalam masyarakat kita budaya mengajar anak-anak dan remaja
melihat, menilai dan seterusnya menghargai jasa orang lain.
Biasanya dalam bulan ini banyak sekali sambutan Hari Ibu, hi-tea untuk ibu dan hadiah
untuk ibu tak lupa juga untuk guru. Sesekali elok kita para ibu dan para guru menilai diri
pula di mana perlu diperbetulkan supaya dicontohi dengan baik.

Hal ini disebut oleh Bapa Hamka dalam tafsirnya yang menyebut, (8/125) “Ijtihad ulama
supaya anak sampai memperhambakan diri untuk ibu bapa perlu diterima oleh orang tua
dengan hati-hati sebab banyak orang tua yang bersifat diktator pada anak kerana salah
faham pada pendapat ini sehingga menganiayai anak-anak”.

Betapa tingginya ibu dinobatkan oleh Islam sehingga darjatnya tidak boleh sedikit pun
disakiti anak, doanya sentiasa makbul dan syurga di bawah tapak kaki ibu. Layakkah
martabat ini diberi pada ibu yang dia sendiri tidak taat pada perintah dan suruhan Allah,
mulutnya yang sepatutnya basah dengan doa baik-baik untuk anak dinodai dengan
sumpah seranah. Pantang anak tersilap sedikit disumpah dan dimaki-hamun. Tangan
yang sentiasa dicium anak-anak, tapi tangan itulah yang melakukan maksiat pada Tuhan
dan tak pernah pula mendoakan yang baik-baik atau melakukan kebajikan bersedekah
misalnya. Patut kita renung balik diri sendiri untuk diperbaiki supaya setaraf dengan
kedudukan yang diberi Allah.

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan “Seperti mana kamu lakukan pada orang lain
begitulah kamu akan diperlakukan”. Ertinya jika ibu dan guru mahu dihormati, belajarlah
menghormati anak dan murid dulu. Jika mereka mahu diperlakukan dengan baik,
hendaklah mereka terlebih dulu berbaik dengan anak. Mana mungkin anak bercakap
lemah lembut jika ibu dan guru sendiri menggunakan bahasa kesat pada mereka.
Rasulullah s.a.w. berpesan lagi, “Hormati ibu bapamu nescaya anak-anak akan hormat
padamu, kendalikan dirimu dengan baik (para suami) nescaya isteri akan kendalikan
dirinya dengan baik pula.” Betapa apa yang kita buat adalah cerminan untuk orang lain
memperlakukan diri kita pula.

Gejala anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua, anak menyaman ibu bapa,
orang tua dianiaya dan ditinggal anak, ibu yang diperlakukan sebagai orang gaji oleh
anak selalu meraih simpati masyarakat. Namun tak kurang banyaknya anak yang
terpaksa menelan pahit dan makan hati menghadapi kerenah orang tua. Mereka ini juga
perlu diberi sokongan dan dihargai atas kesabaran mereka. Anak yang terpaksa makan
hati kerana ibu bapa campur tangan dalam kehidupan keluarga mereka sampai porak-
peranda suami isteri.

Anak yang terpaksa sabar membela orang tua yang tinggal sekali dalam rumahnya,
segala keseronokan dan rekreasi terpaksa ditolak ke tepi kerana memikirkan khidmat
untuk orang tua yang tinggal bersama. Anak yang sampai dah berkeluarga masih
dipaksa menghantar wang belanja untuk mak ayah yang sengaja tidak mahu bekerja
kerana nak merasakan duit anak-anak dan bermacam-macam lagi.

Jika Allah melanjutkan umur kita sebagai ibu bapa hingga tua biarlah kita jadi apa yang
Nabi sarankan iaitu semakin tua, semakin banyak amal kebaikan, semakin berumur,
bertambah kasih orang di sekeliling kita. Itulah petanda kebaikan. Sebagai orang tua
kudrat sudah berkurangan untuk bekerja seperti masa muda, jadi peranan sekarang
ialah menjadi tempat mengadu anak cucu, tempat memberi nasihat dan memperbaikkan
hubungan silaturahim dalam keluarga. Masa terluang basahkan mulut dengan zikir dan
membaca al-Quran atau mengajarkannya pada anak cucu.

Sayangi anak-anak dan hargailah mereka, sayangi cucu-cucu dan hargailah mereka
kerana kalau dulu mereka perlukan kita, apabila sudah tua kita pula sedikit-sebanyak
tidak dapat menolak kerbergantungan pada mereka sewaktu sakit atau kesunyian.

Anak mungkin tidak sempat membalas jasa ibu bapa kerana mereka pun menumpahkan
kasih sayang pada anak sendiri. Kalau pun ada kesempatan ia belum dapat membalas
sepenuh jasa pada ibu yang membesarkannya dengan kasih sayang sedangkan anak
yang membela ibu selalu menghitung hari, cuma sekejap saja membela ibu nanti bila tua
akan mati juga. Apa yang kita harapkan ialah apabila bertambah dewasa manusia,
bertambah jugalah keinsafan dan kasih sayang kepada ibu bapa dan kepada anak-anak.