Anda di halaman 1dari 2

Ilmu Kalau Tidak Bermanfaat…

Sabda Nabi s.a.w.: "Mohonlah perlindungan kepada Allah dari ilmu yang tidak
bermanfaat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Pengajaran hadis:

1. Nabi Muhammad s.a.w. adalah rasul yang amat berbelas kasihan dan sangat
sayangkan umatnya. Kerana itu baginda s.a.w. berpesan kepada mereka agar sentiasa
memohon keredhaan dan perlindungan Allah s.w.t.. Tidak cukup dengan itu, baginda
s.a.w. mengajarkan pula kepada mereka doa-doa yang wajar mereka amal serta
istiqamahkan ketika memohon sesuatu perlindungan atau sesuatu hajat kepada Allah
s.w.t.

2. Nabi s.a.w. juga telah mengajar kepada umatnya bahawa sebaik-baik pelindung dan
pemelihara hanyalah Allah s.w.t. bukan selain dari-Nya. Allah s.w.t. sahajalah yang Maha
Berkuasa lagi Maha Berupaya memberikan 'perlindungan' dan 'pemeliharaan' yang
mutlak kepada hamba-hamba-Nya.

3. Seorang muslim yang bijaksana tidak hanya memohon perlindungan Allah dari tipu
daya iblis dan syaitan sahaja, tetapi turut memohon perlindungan-Nya dari kekufuran,
kenifakkan, ketakutan, akhlak yang keji, fitnah dunia, fitnah Dajjal Al-Masih, kemalasan,
Su-ul Khatimah, seksa kubur dan seksa api neraka. Termasuklah juga memohon
perlindungan Allah dari segala ilmu yang tidak bermanfaat berdasarkan hadis Nabi s.a.w.
yang diutarakan kali ini.

4. Islam menjelaskan bahawa tidak semua ilmu dinilai bermanfaat. Di samping ilmu yang
bermanfaat ada lawannya iaitu, ilmu yang tidak bermanfaat. Inilah yang kita takutkan.
Ilmu sebeginilah yang kita mohon kepada Allah agar dijauhkan sejauh-jauhnya. Berapa
banyak mereka yang bergelar ahli ilmu, namun mereka hakikatnya dirosakkan oleh ilmu
yang tidak bermanfaat dalam diri mereka. Berapa banyak juga orang yang berilmu tinggi
tetapi tiada dorongan (taufik) untuk mengamalkan ilmunya. Menunjukkan ilmu yang
dimilikinya itu tidak bermanfaat.

5. Apakah ciri-ciri ilmu yang tidak bermanfaat?

Antara ciri-ciri ilmu yang tidak bermanfaat itu ialah:


* Tidak menyumbang kepada kebaikan, keselamatan dan kesejahteraan dunia dan
akhirat.
* Tidak dapat menyuluh kelemahan dan keaiban diri.
* Tidak mendekatkan pemiliknya kepada Allah s.w.t.
* Tidak menambah rindu dan cinta kepada Allah s.w.t.
* Tidak dapat menyelamatkan pemiliknya dari fitnah duniawi.
* Tidak menimbulkan rasa gerun di hati pemiliknya terhadap neraka dan seksa Allah
s.w.t.
* Tidak mencetuskan rasa rindu di hati pemiliknya terhadap syurga dan segala
kenikmatannya.
* Tidak menimbulkan rasa cinta terhadap Rasulullah s.a.w. dan mengamalkan
sunnahnya.
* Tidak mendorong pemiliknya supaya rajin beramal dan berusaha menyedia
(menyiapkan) bekalan sebelum menghadapi mati.
* Tidak menyelamatkan pemiliknya dari tipuan nafsu dan syaitan.
* Tidak membawa kepada perpaduan dan kasih sayang sesama umat manusia.
* Tidak menjadikan pemiliknya beradab sopan dan berakhlak mulia sama ada kepada
Allah atau sesama manusia.

Anda mungkin juga menyukai