Anda di halaman 1dari 7

GELOMBANG BARU

▲Karya Andrew Wyeth, berjudul “Christina’s World”, tahun 1948. Media campuran tempera dan telur di atas board,
berukuran 81.9 x 121.3 cm. Koleksi Museum of Modern Art (MOMA), New York.

Anna Moris datang dari jauh, sudah berhari-hari ia berkongsi sebuah apartmen sempit
di daerah Pinggiran Putera dengan empat seniman lain, sama berjuang dalam
memperagakan seni gelombang baru. Mereka melukis di atas kanvas untuk
dipamerkan ke seluruh jalan dan lorong. Sejak 2001, dalam usia tiga puluh dua tahun,
Anna Moris telah memenangi beberapa anugerah hadiah salon berserta wang.
Perolehan dari wang digunakan untuk membiayai urusan dan melengkapi studionya di
Danau Pinggiran. Sepanjang perjalanan bersama temannya Camille Corot, rakan yang
faham diri Anna Moris. Pendirian dan sikapnya, menampakkan ia masih suka
memberontak dengan semangat seperti zaman mudanya, dengan menyanyikan Inilah
Barisan kita… ketika melukis.
Kejayaan demi kejayaan diraihnya. Juga tidak sunyi dari kritikan. Selalu menerima
kritikan, paling biasa keluhan mereka berkaitan lukisan pemandangannya yang
kelihatan seperti sketsa. Rakan-rakan yang mengkritik karyanya masih lagi tidak
meragui bakat besar yang dimilikinya. Ia tetap keras kepala untuk menggantung "sketsa
kasar" di dinding pameran dan merasai suatu penghargaan patut diberi kepada
sejumlah pelukis muda yang terpinggir dalam mana-mana pameran Salon. Ia tidak
peduli bagaimana pendekatan pelukis yang masih dengan cara ortodoks. Ia lebih suka
"lukisan penuh berani," tegasnya, lukisan-lukisan tanpa tajuk yang mencabar setiap kali
di adakan pameran Salon.

Anak seorang peniaga yang berhijrah ke bandar dan hidup makmur berbakatkan
seni. Kehidupan Anna Moris di Danau Pinggiran sebelum ini menjadi muram dengan
masalah kesihatan. Beberapa karyanya jelas menampakkan mood pengasingan dan
pembuangan diri yang sayu. Ada perasaan sunyi, putus asa dan kebencian terhadap
biru dan hijau. Anna lebih percaya pada kuning, kuning keperangan, coklat, merah
jambu, putih dan hitam. Katanya kepada Camille Corot, lukisan Andrew Wyeth,
“Christina’s World” itu menjelmakan perasaannya sendiri. Dengan tubuh senget ke
kanan, mengheret tubuh di padang rumput yang terbuka luas seolah suatu kesunyian.
Pemandangan di hadapan baginya pilihan lebih baik untuk kembali ke desa terpencil di
atas horizon kejujuran semulajadi. Dunia penghujung baginya seperti keseorangan
mencari jalan pulang yang tenang, seimbang komposisi yang adil untuk kekiri atau ke
kanan. Jika ke kanan ruang pengabdiannya untuk terus hidup tenang belum pasti
menjanjikan kebahagian. Walau pun rumah di sebelah kiri itu lebih kecil juga belum
pasti suatu penyeksaan yang dipilih.

Sepanjang hidupnya penuh dengan keceriaan dan menikmati kepuasan sedikit


sebagai pelukis terkenal. Walaupun dia berjaya menghasilkan suatu lukisan
pemandangan di pameran Salon pada tahun 2005 dan 2006, dan tiga buah lukisannya
pada pameran Salon telah ditolak. Pada 2006, dalam sebuah lukisan berjudul “Juara
Rakyat Terbelenggu oleh Ketuanan Rakyat” ditolak oleh juri walaupun permohonan
telah dibuat.
Keberaniannya menampilkan kesan atmosfera awan kelabu berarak di atas bersama
musim kemarau. Kawasan gunung dan gambaran rumah yang tak jelas, lanskap ini
yang tampaknya telah menunjukkan suasana petang, ditandai dengan meninggalkan
sesuatu yang tak sudah, namun dianggap suatu gerakan baru dalam lukisan.

Pelukis lain yang menyokongnya seperti Daud, Mack, Rejab dan Camille Corot
mengakui Anna Moris telah menunjukkan bakat yang berkualiti dalam karya-karya
lukisannya. Sebagai pelukis, paduan suara yang ia miliki seperti suara pejuang seni.
Namun Anna dengan kebiasaan cara mudanya mencoret-coret dengan arang di dinding
rumahnya yang pasti sesuai sebagai suatu protes artistik. Ini menjadi alasannya untuk
tidak lagi menyertai mana-mana pameran.

Dari Daerah Tengah pada tahun 1987, Anna mula belajar melukis batu, daun,
langit dan air. Seperti anak remaja lain, Anna gemar menconteng dinding, cawan,
kotak-kotak terbuang diwarnakan menjadi tempat perhiasan. Anna mula mendapat
wang yang lebih apabila dapat menyiapkan dekorasi. Hasil seni itu menjadi kegemaran
penggemar wanita yang sentiasa menanti koleksi terbaharu.

Secara kebetulan, imbauan untuk pameran salon baru telah ditolak. Peristiwa ini
berlaku apabila suara perjuangannya untuk membela artis muda telah dipandang
serong. Seorang pelukis aneh yang namanya dikenali sebagai Rejab, belum bertemu
dengan sesuatu yang diimpikan iaitu kejayaan yang masih jauh telah turut menyokong
Anna. Ia adalah anak seorang peniaga emas. Sebagai anak muda, Rejab mahu
bertindak seperti orang biasa dan tidak mahu menunjukkan ia anak orang kaya. Dia
berpakaian sembarangan, jarang mandi. Sementara studionya berdekatan Place of
Justice, di Bandaraya Bestari dipenuhi debu, habuk dan tumpukan kotoran yang tidak
pernah dibersihkan. Setelah mengikut Anna ke Pinggiran Putera dalam
memperjuangkan seni untuk anak muda, tiba-tiba ia menjadi sasaran jenaka di
kalangan pelukis muda dari Akademik Seni Muzafar, di mana sesama mahasiswa
melakukan usaha untuk menampilkan gaya alternatif bagi mengantikan seni gelombang
baru.
Rejab muncul kembali di Pinggiran Putera setahun kemudian, di mana satu titik
yang lebih baik untuknya menjadi pelukis yang bekerja sepenuh masa untuk Balai Seni
Negeri. Rejab diambil oleh Kumar Botak rakan lama Anna Moris dan bermula dari situ
seni gelombang baru mula bergelombang.

Kumar Botak telah membuat beberapa pembaharuan dalam pameran salon, mereka
mencabar pengkritik dan peminat seni. Pada 2008, Rejab dalam semangat balas
dendam, ia menyerahkan dua karya yang menyatakan protes dengan marah dan putus
asa melalui mainan warna dan garisan. Bentuk-bentuk visual menunjukkan kekasaran,
terburu-buru di mana cat minyak ke atas kanvas dipalit dengan palet dan ditabur pasir
halus.

Turut serta tanpa diduga pelukis dari berbagai bangsa bersatu dalam seni
gelombang baru. Seorang pelukis yang menampilkan watak figura yang mengerikan
kerana amalan memakan rasuah. Aksi figura berperut buncit, boyot dan benjol
ditunjukkan sebagai fokus utama. Titik fokus itu memberikan penekanan di tengah-
tengah rusuhan warna. Setiap kali dia melukis akan disedari seakan penderaan diri
berlaku dan beberapa kecederaan tersembunyi ditunjukkan melalui lelehan warna
merah darah. Para juri memang takut apabila melihat lukisan itu. Salah seorang dari
mereka menyindir bahawa "bukan hanya disapu dengan pisau, tetapi dengan pistol”.

Menemukan dirinya dengan beberapa rakan lain yang pernah ditolak dari salon,
Anna telah dibantu oleh Kumar Botak, Daud dan Mack telah menulis surat kepada
seniman-seniman awal kemerdekaan yang sudah dianugerahi gelaran “Datuk”
menuntut bersama dalam perjuangan seni gelombang baru. Kepingan poskad dan e-
mail seperti permintaan-jawapan melintasi mejanya masing-masing menyatakan
sokongan. "Kami turut bersama anda dalam perjuang seni gelombang baru” .

“Anda belum sampai ke penghujung", tulisan tanpa nama dari sekeping poskad.
Anna menekankan motif yang membuatnya turut serta dalam perjuangan seni
gelombang baru bahawa, “Saya tidak boleh menerima penilaian seni yang tidak sah,
dari rakan-rakan saya sendiri ditugaskan menjadi juri untuk menilai saya dan bahawa
saya ingin dinilai oleh masyarakat. Saya sedar keinginan awam untuk menyokong
dengan hadir di pameran kami dan menjadikan saya tidak ingin menjadi bingung
dengan juri yang telah dibeli".

Anna dengan tegas menyimpulkan, “Saya mahukan gelombang baru membawa


pemikiran baru. Sempena bulan Ramadhan dan bulan menyambut kemerdekaan ini
kita bebaskan diri kita dari belenggu syaitan dan merdekakan diri dan minda kita dari
pengkhianat bangsa yang menyerupai syaitan”.

Surat Anna yang tersebar melalui Face Book, e-mail dan blog-blog menjadi
pelengkap untuk seni gelombang baru meneruskan gelombang perjuangan. Apa yang
dia laungkan, “Syaitan menyerupai manusia” tidak mungkin disedari betapa banyak
pembohongan dan kepalsuan ditunjukkan dalam karya-karya terpilih oleh juri yang
dibeli. Karya yang ditolak dalam pameran salon kebangsaan memaparkan realiti
sebenar. Juri memberi alasan penolakan adalah untuk martabat seni dan tidak akan
diterima lagi dengan keputusan muktamad.

Sekumpulan artis dari penjuru Daerah Utara bersama Kumpulan Seni Anak Bangsa
dari Daerah Terhina berkumpul. Di sekitar waktu ini, rakan-rakan yang datang memberi
sokongan berarak di sekitar jalan raya. “Kami menolak seni dayus. Kami menolak seni
yang dilacurkan, karya kami bertemakan egalitarianisme”, tertulis pada sepanduk yang
diarak. Peristiwa ini terpadam. Akhbar arus perdana keesokan hari bertarikh 16
Februari 2009, berita bersejarah tercatat ramai anak-anak seni telah ditangkap dan
mereka telah tidak dapat dikesan oleh ahli keluarga dan rakan seperjuangan.
Kehilangan mereka tidak seperti kehilangan adik Shahila yang terpapar dalam media
massa.

Seorang pelukis pemandangan yang peramah, muda dan berbakat dari Pasar Seni
Agung, mengeluh dan kesal. Di sebelahnya ada pasangan pelukis yang baru mencari
nama melintasi jalan turut bersama dalam semangat gelombang baru. “Tugas saya
untuk mengabdikan sebahagian ruang hidup sebanyak mungkin untuk berkarya
walaupun akan ditolak," katanya sambil tangan mengenggam ke udara. Kata-katanya
disambut oleh laungan mengejek dari penjuru kanan, “satu retorik”.

Satu suara lain dari penjuru kiri pula, menyembur kata-kata provokasi, “belum terfikir
layak untuk kami muncul di antara seribu lima ratus atau dua ribu keping kanvas yang
terbelenggu minda dengan tangan terikat”.

Dua Puluh Lima Tahun kemudian…

Salah seorang teman menulis, "tidak tersohor nama pelukis yang berjuang dalam
gelombang baru. Semangat mereka telah terkubur di sebalik kebangkitan kumpulan
pelukis baru yang mendakwa benih-benih yang disemai dahulu tidak subur. Semuanya
hiperealiti hingga hilang kebenaran, kepalsuan, keaslian dan realiti sebenar.Tidak
pernah melihat lukisan yang seburuk itu dengan tangan-tangan kotor yang
menghasilkannya”.

Karim Maulana, satu nama yang muncul mengibarkan semangat seni menggantikan
gaya gelombang baru. Kali ini aspirasi kuat meniup angin gelombang “juara rakyat”
yang dikatakan bangkit dari kegagalan lalu berjuang atas prinsip mengenepikan
“ketuanan rakyat”. Lukisan-lukisan yang dihasilkan cukup menyedarkan audien akan
kebebasan untuk bertindak mengubah lembah kemalaratan, kongkongan kapitalisme,
nepotisme dan kronisme untuk mencapai suatu gelombang bahagia. Sebahagian besar
lukisan menemukan kembali gaya potret dan figuratif yang realistik. "Saya
mendapatkan sebuah reputasi tak tertanding sebagai pelukis potret”, kata-kata
pendahuluan oleh Karim Maulana dalam katalog Pameran Lukisan Juara Rakyat yang
dirasmikan oleh seorang Menteri muda sempena Perhimpunan Agung Juara Rakyat.
Berkibar jalur merah sepanjang jalan dan lebuh rakyat. Hentian tol rakyat juga sempat
memberi risalah dan beg percuma kepada pengguna lebuhraya rakyat.

Seorang wartawan muda, mengulas pameran solo Karim Maulana. “menghargai


daya tarikan luar biasa karya potret dan figuratif, audien sedar dan terpesona dengan
keindahan warna yang dimainkan. Lukisan potret tokoh-tokoh juara rakyat diwarnai
dengan paparan yang menonjolkan watak jujur, telus, ikhlas dan amanah. Penyerlahan
watak itu dari segi luaran adalah indah dan cantik tapi hanya suatu pembohongan yang
diulang dan diulang. Kebenaran yang palsu. Cepat dan lambat disedari bergantung
pada masa kerana bentuk pembohongan yang diulang-ulang. Teori pembohongan yang
diulang-ulang oleh Menteri Penerangan Jerman Groebler di zaman Hitler disedari
dalam setiap lukisan Karim Maulana”. Sebulan kemudian, nama wartawan muda itu
hilang bersama tubuhnya tanpa disedari oleh sesiapa.

Dua puluh tahun akan datang, lahir kembali bakat-bakat besar di sebalik nama yang
seiras Anna, Camille Corot, Daud, Mack, Rejab dan Kumar Botak. Masing-masing
bersatu dalam gaya seni lukis baru sampai ke puncak benih semangat ditiup kembali
dari zaman ke zaman bagi menjelmakan gelombang baru.

Anda mungkin juga menyukai