Anda di halaman 1dari 3

NAMPAKNYA kerajaan semakin sedar dan secara terbuka mengakui bahawa pelbagai inisiatif

untuk mengatasi masalah pencemaran sungai belum berjaya. Cogankata ‘Cintai Sungai Kita’
seolah-olah tidak berkesan.

Instrumen yang ditubuh dan ditugaskan untuk tujuan itu menerusi sistem perundangan, kawalan
pencemaran, kemudahan infrastruktur, pendidikan dan promosi alam sekitar tidak mencapai
matlamatnya. Kenyataannya, sungai utama di negara ini masih tercemar. Sampah sarap
berlonggok dan bertimbun di muara sungai.

Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid
mengumumkan inisiatif terkini kerajaan dengan memberi peruntukan RM10 juta kepada wakil
rakyat untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar di kawasan masing-masing. Dalam
ucapannya kepada Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan di Johor, Selasa minggu lalu,
Azmi turut menyebut peranan wakil rakyat dalam konteks kesedaran alam sekitar pada peringkat
akar umbi.

Dari satu segi, inisiatif seperti itu perlu dialu-alukan dan disokong. Selama ini kempen dan
promosi alam sekitar hanya dijalankan agensi awam yang berkaitan khususnya Jabatan Alam
Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di samping media massa, badan bukan
kerajaan (NGO), pihak swasta dan sekolah.

Pada hemat saya, kempen yang dijalankan selama ini sedikit sebanyak ada kesannya biarpun
tidak meluas dari segi amalan dan cara hidup. Setidak-tidaknya ketika ini lebih banyak pihak
mula sedar masalah dan cara mengatasi pencemaran alam sekitar, termasuklah sumber air seperti
sungai.

Ketika ini juga ramai penulis dan wartawan memberi tumpuan khas kepada pelbagai isu alam
sekitar sama ada menerusi media elektronik atau media cetak. Ruangan ini – Minda Lestari –
sebagai contoh, ruangan pojok pertama dalam akhbar bahasa Melayu yang bertujuan
meningkatkan kesedaran alam sekitar.

Selain itu, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian berkaitan pengurusan dan kejuruteraan alam
sekitar pada IPTA juga semakin meningkat menandakan minat dan kesedaran sudah meluas di
peringkat pengajian tinggi. Begitu juga dengan skop serta jumlah penyelidikan dan inovasi alam
sekitar menjadi antara tertinggi di kebanyakan IPTA utama.

Namun demikian, saya bersetuju jika inisiatif yang sedia ada diperluaskan supaya kesannya lebih
ketara dalam bentuk amalan dan cara hidup masyarakat. Masyarakat kita perlu dididik dan
didedahkan amalan dan kaedah untuk hidup secara mesra alam. Pemimpin dan pendidik
seharusnya membantu memberi kesedaran, bukan saja melalui lisan, bahkan teladan. Hal ini
boleh dilakukan menerusi lima peringkat yang perlu difahami dan diamalkan.

Peringkat pertama ialah memupuk pemikiran dan minda lestari menerusi kempen dan promosi
pelbagai pihak menggunakan pelbagai kaedah dan media. Penulisan, seminar, ceramah, diskusi,
soal jawab dalam media massa, sepanduk, cogan kata dan seumpamanya perlu dipergiatkan. Di
sinilah wakil rakyat, pemimpin masyarakat, pendidik dan NGO boleh berperanan dengan efektif.
Peringkat kedua ialah penghayatan amalan dan cara hidup mesra alam dalam diri setiap individu.
Penghayatan ini tidak terhad kepada larangan membuang sampah dalam longkang atau sungai,
tetapi harus diperluaskan dari setiap aspek kehidupan. Dari segi pemakanan misalnya, kita perlu
memilih makanan yang terhasil daripada kaedah pertanian mesra alam walaupun harganya
sedikit lebih mahal.

Dari segi berkenderaan pula, usaha perlu dilakukan untuk memilih kenderaan yang memberi
impak minimum kepada peningkatan suhu bumi atau pencemaran setempat. Amalan kitar semula
pula boleh diamalkan dengan mengguna semula tin dan plastik, serta menjadikan barangan
mudah reput sebagai baja.

Begitulah seterusnya dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuklah cara berpakaian, berbelanja,
berniaga, berkerja dan bermasyarakat. Semuanya ada kesan sama ada secara langsung atau tidak
langsung kepada alam sekitar.

Peringkat ketiga ialah penghayatan cara hidup mesra alam dalam konteks keluarga. Seperti
peringkat kedua, ia membabitkan seluruh aspek kehidupan termasuk penyediaan kemudahan
pembetungan dan kaedah pembuangan sampah di rumah yang sesuai dengan ketetapan
perundangan dan mesra alam.

Dalam hal ini, kita perlu membayar bil pengurusan alam sekitar seperti pembetungan, kutipan
sampah dan pembersihan kawasan. Selain itu, perlu juga dipastikan bahawa paip dari aktiviti
pembasuhan, dapur dan bilik air perlu disambung ke sistem pembetungan supaya dapat dirawat
dalam loji rawatan air sisa. Jika kita menggunakan tangki septik, ia perlu dikosongkan setiap dua
tahun sekali sebagaimana yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993.

Peringkat keempat ialah penghayatan dalam konteks berorganisasi dan bermasyarakat.


Kesedaran alam sekitar yang telah bertunas dalam diri dan keluarga itu perlu diterjemahkan di
tempat kerja, organisasi politik, sosial atau pendidikan. Di tempat kerja, misalnya inisiatif perlu
dilakukan supaya kesedaran alam sekitar berkembang pada semua peringkat dari segi kepatuhan
terhadap peruntukan perundangan dan langkah proaktif lain seperti persijilan ISO14,000,
penghasilan barangan dan perkhidmatan yang mesra alam.

Selain membantu memulihara alam sekitar, inisiatif ini membolehkan barang dan perkhidmatan
itu menembusi pasaran Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat yang ketika ini semakin terhad
kepada label mesra alam.

Peringkat kelima ialah kewujudan masyarakat mesra alam yang menjadikan bidang alam sekitar
sebagai salah satu komponen penting dalam dasar utama kerajaan. Dalam konteks ini,
masyarakat sedemikian menjadi penggerak kesedaran alam sekitar pada peringkat antarabangsa
menerusi isu seperti peningkatan suhu, perdagangan karbon, subsidi alam sekitar, pemuliharaan
biodiversiti dan segala-galanya yang berteraskan pemikiran lestari dan penghayatan cara hidup
mesra alam.

Biarpun ada kalanya fahaman ini seolah-olah satu ‘agama’ baru tetapi kesan positifnya begitu
dirasakan dalam konteks meningkatkan komitmen dan penghayatan untuk menjadikan sesebuah
negara dan masyarakat yang bersih, indah dan berseri, bebas daripada pencemaran sumber air,
udara yang nyaman dan persekitaran indah dan mempesonakan.

Secara ringkasnya, peruntukan RM10,000 kepada setiap wakil rakyat itu tidak seharusnya
digunakan untuk menjayakan majlis ceramah atau gotong royong saja. Yang lebih penting ialah
memupuk minda lestari dan penghayatan cara hidup mesra alam supaya menjadikan masyarakat
Malaysia lebih bertanggungjawab sekali gus menyahut seruan kerajaan.

Seandainya inisiatif ini gagal lagi, kita tidak mahu nanti ada yang mendakwa bahawa wakil
rakyat tidak efektif bahkan tidak boleh diteladani untuk memulihara alam sekitar.

INFO
Antara Prinsip Dasar Alam Sekitar Negara

 Memulihara ekosistem semula jadi untuk memastikan keutuhan kepelbagaian biologi dan
sistem-sistem sokongan hidup.
 Memastikan peningkatan berterusan dalam produktiviti dan kualiti alam sekitar ketika
mengejar objektif pertumbuhan ekonomi dan pembangunan manusia.
 Menguruskan penggunaan sumber asli untuk mengekalkan asas sumber dan keutuhan alam
sekitar.
 Mengintegrasikan dimensi alam sekitar ke dalam perancangan dan pelaksanaan dasar,
objektif dan mandat semua sektor.

Anda mungkin juga menyukai