Anda di halaman 1dari 6

WARNA-WARNI DALAM PERGERAKAN

▲Gambar ini hanya hiasan semata-mata bertujuan menyanjungi bakat dan kegigihan insan seni. Berkarya dengan penuh
penghayatan bagi mengisi jiwa yang halus dan bakat anugerah Ilahi yang tak pernah disia-siakan.

Sekali lagi unsur garisan dan warna dimain dalam pergerakan. Itulah yang diulit siang
dan malam. Diolah, digubah sepanjang lima hari lalu dalam jiwa yang resah.

Fikiran Giacinto Gigante dijentik dengan persoalan mengenai garisan dan warna
dalam pergerakan. Tak henti-henti fikirannya mencari makna perkataan pergerakan
kerana konsepnya kali ini adalah jalinan warna-warni dalam pergerakan. Adakah
pergerakan itu satu kekalutan? Bolehkah pergerakan itu melambangkan jiwa yang
resah? Adakah lukisan tidak wujud tanpa pergerakan? Semua persoalan ini
menerawang dalam fikiran Giacinto Gigante dan memaksanya mendapatkan jawapan.

Giacinto Gigante cukup berhati-hati dengan tafsiran dan makna dalam elemen seni.
Setiap karya beliau berkonsepkan elemen seni. Sekalipun nampak mudah dan senang
disebut, tetapi untuk mencari pengertiannya cukup sukar. Bagi Giacinto jika ditanya
oleh peminat, beliau spontan dapat menjawab dan memberi tafsiran. Makna dari
taksiran itu yang menyempurnakan karya-karya beliau dan membawa kepuasan bagi
Giacinto. Setiap karya yang dihasilkan sebelum ini dengan konsepnya tersendiri
kadangkala dipersoal oleh peminat. Ada yang begitu fanatik, inginkan penjelasan.
Kenapa warna merah digunakan untuk langit, kenapa tidak warna biru. Itulah ingatan
Giacinto pada pamerannya tahun lalu yang berkonsepkan warna-warni.

Dalam benak Giacinto, perkataan pergerakan dalam lukisan dapat membawa


berbagai-bagai pengertian. Sebahagiannya membawa maksud yang mudah kerana
dalam konteks hasil visual pergerakan itu sememangnya realiti dan sebahagian lagi
dianggap ilusi.

Kali ini hasil visualnya nampak segar, ada pergerakan yang menyegarkannya.
Setiap sudut dihidupkan oleh elemen pergerakan. Secara megah, hasil visual kali ini
nampak aktif yang meminta suatu perhatian. Minta diberikan suatu harapan dan elemen
pergerakan itulah yang akan memberikan segala harapan dan perhatian. Diharap
pemerhati yang menatapnya juga akan menabur janji-janji pengharapan.

“Apa yang dapat ditafsirkan sebagai pergerakan,” Sambil berus memalit warna
merah, Giacinto mencabar mindanya sendiri.
Kemampuan mata dimainkan dalam hasil visual yang berkonsepkan pergerakan.
Mata tidak ditipu tetapi dimainkan-mainkan oleh Giacinto. Percaya dan yakin tentu hasil
visualnya kali ini mendapat perhatian ramai. Semua mata akan tertumpu pada
pergerakan. Ada mata yang akan keletihan. Kali ini betul-betul mencabar mata
pemerhati. Kali ini mata pemerhati dimainkan. Kali ini bukannya untuk menipu mata
sesiapa.

Hasil visual yang sedang disiapkan ini memang suatu karya yang menguji
kemampuan mata. Hasil visual kali ini bukan hanya sekadar garisan. Ada jalur-jalur
warna yang terkeluar dari penjuru. Garisan yang menentukan arah bentuk menjadikan
mata bergerak dan warna ditonjolkan dalam dinamik pepenjuru. Bagi Giacinto dinamik
ini adalah kebiasaan yang digunakan oleh pelukis-pelukis apabila mereka mahu
menghasilkan suatu arah yang impresif dalam pergerakan.

Giacinto, cuba mencari kepercayaan dan menyemak kembali kepercayaan tentang


pergerakan, garisan dan warna. Dalam satu arah atau berbagai-bagai arah, pergerakan
itu pecah lima. Maksudnya pecah kepada lima penjuru. Pergerakan yang diyakini oleh
Giacinto sebagai suatu aksi dan boleh diperkatakan sebagai suatu gambaran yang
berputar, berlilit, berbelit dan bergerak.

Menjelang petang, tarikan nafas lega bersama pergerakan anggota badan


menunjukan Giacinto menemui jawapannya. Beliau faham setengah dari pergerakan
dalam hidup adalah pergerakan yang sama dalam lukisan. Umpama pergerakan palsu
dan berpura-pura itu menjadi mainan. Namun Giacinto ikhlas dan mengingati kembali
karya-karya pra-Renaissance umpamanya seperti lukisan pasu Greek dilihat ada
pergerakannya yang semulajadi. Beliau masih ingat ketika Tintoretto sedang melukis
“Bacchus and Ariadne” ditekankan pergerakan sebagai simbol kegembiraan.
Pergerakan dalam karya itu adalah kebebasan dalam ruang, bukan kongkongan dan
kepalsuan.

Ketika warna merah dipalit-palit pada kanvas, Giacinto teringat karya Vasarely,
“Lomblin”. Karya yang sepenuhnya menyogokkan pergerakan dan benar-benar berbeza
walaupun dalam bentuk abstrak. Vasarely menjadikan pergerakan itu bertenaga dan
kelihatan pergerakan dalam kinetik itu betul-betul menonjol. Makna yang dicari di
sebalik tafsiran pergerakan itu adalah suatu gerakan belon panas yang sedang
bergerak naik. Karya Vasarely walaupun dilihat statik dengan identiti warna hitam telah
membawa bentuk pergerakan yang nyata dan menakjubkan. Impresifnya pada bentuk
belon seperti sedang bergerak ke atas, pergerakan yang membawa sedikit variasi yang
terapung dalam ruang.

Dalam pergerakan ruang yang lebih luas, aksi yang sama menunjukkan semua imej
menjadi satu. Semuanya adalah dari mainan pergerakan yang mempermainkan mata.
Giacinto percaya serta yakin idea dan sumber rujukan selalu dieksploitasikan oleh
artis. Ilham dari karya yang pernah dilihatnya menjentik minda kreatif beliau untuk
mengeksploitasi elemen pergerakan. Sambil mindanya meronta-ronta, Giacinto
bertambah yakin karya sebegini menekan perasaan sesiapa sahaja dan turut merasai
pergerakannya. Kekuatan pergerakan kali ini dibantu dengan warna-warni yang
beralun seperti angin bertiup tanpa halangan. Sesekali dirasakan tiupan pergerakan itu
kuat dan pantas dalam bentuk-bentuk selinder, bergulung-gulung dan bergelung. Ada
imej yang berhubung antara satu sama lain. Ia bergerak dalam kelompok dan
memenuhi ruang.

Fikiran Giacinto kembali kacau dan berbalik semula pada hasil visualnya. Kali ini
hasilnya berukuran dua puluh dua kaki darab sembilan kaki begitu terserlah. Segalanya
berwarna-warni menunjukkan pergerakan dari atas ke penjuru kanan yang mahu keluar
dari bingkai. Pelik dan aneh. Mata dipermainkan sehingga nampak benar ada objek
yang mahu terlonjak keluar dari bingkai. Pergerakan yang dibawa dari arah bahu dan
lengan seperti figura yang melayang-layang. Pergerakan itu mengumpul suatu tenaga
yang menguasai mata pemerhati.

Angin kuat yang bertiup dari arah Timur menerojah masuk. Tingkap dan pintu yang
selama ini tertutup seolah Giancinto bertapa dalam gua telah tercabut. Bunyinya kuat
membangunkan Giacinto dari tidur. Angin dan pergerakan yang kuat itu menghentikan
impian dan idea Giacinto. Segala-galanya berakhir dan idea yang dicari-cari selama
lima hari itu datang dalam mimpi dan pergi meninggalkan Giacinto. Idea untuk suatu
konsep yang berkaitan warna-warni dalam pergerakan cukup untuk menjadikan
Giacinto bersemangat untuk terus berkarya. Beliau berharap dapat memanggil mimpi
itu dan mencurahkan ilham yang baru. Mana mungkin untuk Giacinto bermimpi kali
kedua. Walaupun diharap mimpi itu datang kembali bagi kali kedua, menjadikan
Giacinto percaya dan yakin semuanya tidak mustahil boleh terjadi.

Bunyi yang kuat sekali lagi menjadikan Giacinto terperanjat. Bunyi kali kedua ini
lebih kuat dan dasyat. Betul-betul bertenaga. Bunyi yang membawa bersama angin dan
pergerakan ini betul-betul menunjukkan konsep pergerakan. Angin yang sangat kuat,
kencang bersama bunyi mengumpulkan sebanyak-sebanyak pergerakan. Dasyat dan
mengkagumkan suatu gabungan bunyi bersama pergerakan yang menjadi kenyataan
telah terjadi.

Dengan kepercayaan dan penuh yakin inilah pergerakan yang sebenar-benarnya.


Suatu pergerakan yang asli bukan lagi dieksploitasi, ditiru dan dipadan dari mana-mana
karya. Berputar, berlilit dan bergerak. Pergerakan yang memukul seluruh badannya
hingga terpelanting ke dinding. Segalanya berselerak bersama berus dan warna,
tertumpah, tersimbah merata-rata.
Betul dan benar pergerakan kali ini bukan lagi suatu ilusi. Suatu pergerakan yang
berpecah tujuh. Pecah kepada tujuh penjuru alam. Dari tujuh penjuru alam itu, angin
menerojah masuk dan keluar melalui bumbung. Terangkat bumbung dan segala-
galanya berputar naik ke atas. Inilah pergerakan sebenar, pergerakan yang asli dari
Maha Kuasa. Terimalah Giacinto dengan yakin inilah karya asli Maha Agung dari Maha
Kuasa, karya yang berkonsepkan pergerakan.

Buih-buih putih keluar dari mulut Giacinto. Beliau dalam kemabukan warna. Sempat
terkeluar dari mulut Giacinto, “God’s eyes are in my art.”

Nafas Giacinto belum terhenti dan tubuhnya diusung masuk ke dalam ambulan dan
bunyi siren semakin sayup. Kenderaan ambulan terus hilang dari pandangan mata.
Namun segalanya tidak hilang di hati Giacinto. Pada tangannya tergenggam kertas
yang telah renyuk. Itulah bukti tercatatnya selama ini segala idea konsep warna-warni
dalam pergerakan.

Anda mungkin juga menyukai