Anda di halaman 1dari 6

SETEGUH KARANG

i. SINOPSIS
Novel ini mengisahkan Awanis yang belajar di ITM cawangan Arau, Perlis pulang ke
rumahnya di Ipoh. Setibanya di rumah, Awanis telah disambut oleh oleh Kak Maysarah yang
berwajah murung. Sikap Kak May berubah selepas kematian ibu dan bapanya dalam tragedi
kemalangan di jalan raya. Kak May berasa tertekan dan rasa bersalah terhadap punca
kematian kedua-dua ibu bapanya. Kak May seolah-olah terasing dalam dunianya sendiri, tanpa
mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Keadaan ini menyebabkan Anis berasa bosan
tinggal di rumah. Sewaktu mereka makan malam, Awanis memberitahu bahawa dia akan
bertolak ke Terengganu pada malam esok untuk menjalani latihan amali di ladang selama 6
minggu. Berita itu, nyata menyedihkan Anita yang kebosanan tinggal di rumah kerana Kak May
bukan sahaja tidak mengendahkannya malah sentiasa bermuram.
Semasa menjalani latihan praktikal pengurusan lading di Pertubuhan Peladang
Kawasan (PPK) Paka, Terengganu, Awanis menghadapi pelbagai tekanan dan konflik. Awanis
terpaksa berdepan dengan sikap penyelianya, Encik Johari yang bersikap prejudis terhadap
perempuan. Beliau menganggap pelatih perempuan tidak boleh diharap. Walau bagaimanapun,
Awanis sanggup menerima cabaran Encik Johari kerana dia bukannya anak manja, malah dia
mampu melakukan kerja seperti orang lelaki. Awanis telah menumpang di rumah Kak Nor,
pegawai akaun di situ. Pada hari pertama praktikal, Anis telah disuruh menunggang motosikal
oleh Encik Johari sedangkan dia tidak pernah menunggang motosikal. Anis juga terpaksa
menyesuaikan diri dengan keadaan di rumah Kak Nor. Walaupun dia berasa agak janggal untuk
melakukan kerja-kerja di dapur tetapi Awanis tetap dapat menyesuaikan dirinya.
Awanis juga telah menerima cabaran daripada En. Johari untuk menjatuhkan buah
kelapa sawit. Walau bagaimanapun, sikap En. Johari mulai berubah setelah seminggu Awanis
berada di PPK. Hubungan Awanis dengan Asri juga semakin akrab. Namun demikian,
keakraban tersebut telah disalah tafsir oleh Kak Maznah dan Kak Sofia. Budi telah meninggal
dunia akibat dipatuk ular berbisa. Kematian Budi amat menyedihkan hati Awanis.
Pada suatu petang Awanis telah menerima panggilan telefon daripada Anita. Anita
telah mengetahui identitinya yang sebenar, sebagai anak angkat dan adik angkat kepada
Awanis dan Kak May. Awanis yang bimbang akan keselamatan Anita, telah meminta keizinan
daripada En. Basri untuk pulang lebih awal sebelum tempoh praktikalnya tamat. En. Basri
membenarkan Awanis pulang walaupun tidak dipersetujui oleh En. Johari. Awanis telah pergi
berjumpa dengan Anita yang menumpang di rumah Cikgu Rushda setelah dihalau oleh Kak
May. Kemudian, Awanis dan Anita telah pergi mencari keluarga kandung Anita iaitu Puan Mary
Lee dan En. Lee. Walau bagaimanapun, mereka amat kecewa dengan sikap ibu bapa kandung
Anita yang enggan menerima Anita malah menganggap Anita adalah pembawa sial. Tindakan
Kak May yang mendedahkan identiti Anita dan menghalau Anita keluar dari rumah telah
menyebabkan tercetusnya pertengkaran antara Awanis dengan Kak May. Awanis yang kecewa
dengan sikap Kak May telah mengambil keputusan untuk pulang ke Kampus ITM di Arau.
Tidak beberapa lama selepas itu, Awanis telah menerima panggilan telefon daripada
Pak Oni yang mengatakan bahawa Kak May telah dimasukkan ke hospital kerana menelan pil
tidur secara berlebihan. Awanis bergegas pulang untuk melihat keadaan Kak May di Hospital,
Anita juga turut bersama. Akhirnya, mereka bermaaf-maafan dan menginsafi kesalahan
masing-masing.
ii. TEMA
Novel ini bertemakan keteguhan dan ketabahan hati menjalani kehidupan yang penuh dengan
cabaran dan dugaan

iii. PERSOALAN

Persoalan tentang kasih sayang


Persoalan tentang pergolakan keluarga akibat kematian kedua-dua ibu bapa
Persoalan tentang kepercayaan karut dalam masyarakat
Persoalan tentang keberanian
Persoalan tentang sikap masyarakat yang suka menjaga tepi kain orang
Persoalan tentang ketegasan pendirian
Persoalan tentang persahabatan yang ikhlas
Persoalan tentang kebolehan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran

iv. WATAK & PERWATAKAN

AWANIS
Awanis merupakan watak utama. Berusia 20 tahun. Sedang menuntut di Institusi
Teknologi MARA cawangan Arau, Perlis dalam jurusan Pengurusan Ladang. Awanis mempunyai
seorang kakak yang bernama Maysarah dan seorang adik angkat bernama Anita. Kedua-dua
ibu bapanya telah meninggal dunia dalam suatu kemalangan di jalan raya.
Dari segi fizikal Awanis bukanlah seorang gadis yang cantik. Kulitnya hitam manis,
agresif dan lasak seperti lelaki. Pak Oni selalu mengusiknya sebagai “Black Beauty”.
Awanis memiliki perwatakan yang tabah dan cekal. Walaupun menghadapi pelbagai
cabaran dan dugaan selepas kematian kedua-dua ibu bapanya, Awanis tetap tabah
mengharungi kehidupannya. Awanis juga bersikap sabar, terutamanya apabila berhadapan
dengan karenah Kak May yang memuakkannya dan Encik Johari yang bersikap prejudis
terhadapnya.
Awanis juga bersikap yakin diri, dia yakin dengan kebolehan dan kemampuannya. Hal
ini dapat kita lihat apabila Awanis menyahut cabaran Encik Johari untuk menunggang
motosikal yang tidak mempunyai brek dan cabaran Encik Johari agar dia menjatuhkan tandan
kelapa sawit.
Awanis juga bersikap berani dan pantang dicabar. Buktinya, setiap cabaran Encik
Johari tidak ditolaknya.

Kak May ( Maysarah )


Anak sulung dalam keluarga. Kakak kepada Awanis dan menjadi seorang pengurus
syarikat peninggalan ayahnya. Kak May dikatakan berwajah cantik. Kulitnya putih tanpa
jerawat. Berbadan langsing dan tinggi. Bijak dalam pelajaran dan berjaya melanjutkan
pelajaran ke luar negara. Kak May pernah menjadi ratu kampus dan juga pernah putus cinta.
Kak May seorang yang sensitif. Dia mudah tersentuh perasaan apabila menghadapi
kekecewaan. Buktinya, Kak May begitu kecewa dan putus asa apabila percintaannya dengan
Firdaus terputus di tengah jalan.
Kak May bersikap tidak rasional dan mudah merajuk. Buktinya, Kak May tidak dapat
menerima teguran daripada ayahnya sendiri iaitu apabila gagal dalam percintaannya dia telah
merajuk dan melarikan diri ke rumah nenek di Pulau Pinang apabila dimarahi oleh ayahnya.
Kak May juga bersikap terburu-buru apabila dia mendedahkan identiti Anita yang
sebenarnya. Malah Kak May juga bertindak terburu-buru apabila menghalau Anita keluar dari
rumah.
Kak May juga kurang teguh pegangan agama. Hal ini terbukti apabila dia tidak dapat
menerima hakikat kematian kedua-dua ibu bapanya telah berubah menjadi pemurung. Kak
May juga melakukan perbuatan yang ditegah oleh Tuhan apabila mencuba membunuh diri
dengan menelan pil tidur secara berlebihan.
Walau bagaimanapun, Kak May akhirnya insaf dan sedar akan kesalahan yang telah
dilakukannya. Kak May telah meminta maaf daripada Awanis dan Anita.

Anita
Anita berketurunan cina. Nama asalnya Swee Ling. Anita ialah anak angkat ayah dan
ibu Awanis dan Kak May. Ibu bapanya yang sebenar ialah Pn. Mary Lee dan Encik Lee. Dia
dianggap pembawa sial kepada keluarga oleh bapa kandungnya. Anita mempunyai rupa paras
yang cantik seperti Kak May. Dia berkulit putih dan bermata sepet.
Anita juga digambarkan sebagai seorang yang tabah dan cekal. Anita sanggup
menghadapi cabaran dan dugaan walaupun masih berusia muda. Dia dapat menerima takdir
kematian ibu bapanya dengan tabah. Anita juga tabah menghadapi cemuhan daripada bapa
kandungnya sendiri yang menganggap dirinya adalah pembawa sial.
Anita ialah seorang yang rajin dan tekun dalam pelajaran. Buktinya, dia mengikuti
kelas tuisyen untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Anita juga digambarkan sebagai
seorang yang berpendirian teguh. Anis gagal memujuk Anita supaya pulang semula ke rumah
setelah dihalau oleh Kak May. Anita juga seorang yang berdikari. Anita yang mengambil
keputusan untuk tinggal secara berasingan dengan Kak May dan Awanis kerana ingin belajar
hidup sendiri.

v. PLOT

Plot novel ini disusun secara kronologi. Peristiwa demi peristiwa disusun mengikut
urutan waktu.
Pada bahagian eksposisinya, digambarkan Awanis yang pulang ke rumahnya di Ipoh
kerana cuti semester. Dia hanya sempat tinggal satu malam sahaja di rumah kerana terpaksa
menjalani praktikum selama 6 minggu di Hulu Paka, Terengganu.
Pada bahagian perkembangan, Awanis telah melapor diri di Pejabat Pertubuhan
Peladang kawasan hulu Paka Terengganu. Awanis telah menghadapi pelbagai konflik iaitu
konflik dengan sikap Encik Johari yang ego dan bersikap prejudis terhadap kaum wanita.
Awanis dicabar menunggang motosikal tanpa brek. Awanis juga dicabar menjatuhkan tandan
kelapa sawit. Awanis juga menghadapi konflik untuk menyesuaikan diri dengan keadaan
persekitaran bagi dirinya sewaktu menumpang di rumah Kak Nor. Awanis juga menghadapi
konflik dengan sikap pekerja-pekerja di pejabat yang suka menjaga tepi kain orang.
Konflik menjadi semakin rumit apabila Anita telah mengetahui bahawa dirinya
merupakan anak angkat. Anita telah dihalau keluar dari rumah oleh Kak May. Awanis yang
pulang setelah mendapat tahu tentang perkara itu, telah bertengkar dengan Kak May dan
menyalahkan Kak May kerana membongkarkan rahsia tentang Anita yang dipendamkan selama
16 tahun.
Plot mencapai klimaks apabila Awanis menerima panggilan telefon daripada Pak Oni
yang mengatakan bahawa kak may telah dimasukkan ke hospital kerana menelan pil tidur
secara berlebihan.
Pada bahagian peleraian plot Awanis dan Anita telah pergi ke hospital untuk melawat
Kak May. Mereka saling bermaafan dan Kak May yang telah insaf kembali menerima hakikat
dan hidup ceria semula.

vi. LATAR TEMPAT


• Latar tempat meliputi beberapa buah negeri iaitu Perak, Terengganu, Pahang dan
Perlis
• Awanis berasal dari Ipoh, Perak
• Awanis menjalani praktikum di Ulu Paka, Terengganu
• Awanis belajar di kampus ITM, Arau, Perlis

vii. LATAR MASYARAKAT


• Masyarakat bandar yang terlibat dalam perniagaan dan hidup mewah
• Masyarakat yang mementingkan pendidikan
• Masyarakat buruh asing yang terpaksa berhijrah untuk mencari rezeki
• Masyarakat yang masih mempercayai amalan karut
• Masyarakat yang bersikap menjaga tepi kain orang

viii. NILAI
a) Nilai ketabahan
• Contohnya, Awanis tabah menghadapi dugaan dan cabaran setelah kematian ibu dan
bapanya.

b) Nilai kasih sayang


• Contohnya, Awanis sangat sayang akan Anita, walaupun Anita hanyalah anak angkat
bapanya.

C) Nilai Keberanian
• Contohnya, Awanis berani menyahut cabaran daripada Encik Johari untuk
menunggang motosikal tidak berbrek dan menjatuhkan tandan kelapa sawit.

d) Nilai Kegigihan
• Contohnya,

e) Nilai Berdikari
• Contohnya, Awanis dapat berdikari sejak kematian orang tuanya iaitu dia tidak
bergantung kepada orang lain. Hal ini terbukti apabila dia pergi mendaftar di kampus
ITM bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa.
f) Nilai Baik Hati
• Contohnya, Kak Nor baik hati kerana sudi menumpangkan Awanis di rumahnya,
sewaktu Awanis menjalani praktikum di Hulu Paka Terengganu.

g) Nilai yakin diri


• Contohnya, Awanis dengan punuh keyakinan menyahut cabaran Encik Johari untuk
menjatuhkan tandan kelapa sawit walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang,
akhirnya dia berjaya.

ix. MESEJ

1. kita hendaklah tabah dan cekal menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
• Contohnya, Awanis tetap tabah dan cekal dalam menghadapi kehilangan kedua-dua ibu
bapanya.

2. Kita hendaklah menyayangi antara satu sama lain lebih-lebih lagi ahli keluarga kita.
• Contohnya Awanis tetap menyayangi Kak May, walaupun Kak May bersikap
mementingkan diri sendiri dan menyusahkan orang lain.

3. Kita janganlah mudah terpengaruh dengan kepercayaan karut.


• Contohnya, Encik Lee yang menganggap Swee Ling ialah anak sial, sehingga sanggup
menyerahkan anaknya kepada Puan Azah.

4. Kita hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.


• Contohnya, Awanis dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di rumah Kak Nor serta
melakukan kerja-kerja rumah yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya.

5. Kita hendaklah berani menyahut cabaran agar tidak dipandang rendah oleh orang.
• Contohnya, Awanis yang berani menyahut cabaran daripada Encik Johari untuk
menunggang motosikal dan menjatuhkan tandan kelapa sawit.

6. Kita hendaklah bersimpati terhadap seseorang yang ditimpa nasib malang


• Contohnya, Awanis yang bersimpati terhadap nasib malang yang menimpa Budi yang
mati dipatuk ular sanggup membiayai penerbangan jenazah Budi ke Indonesia.

7. Kita hendaklah berusaha dengan gigih dan rajin untuk mencapai kejayaan
• Contohnya, Awanis gigih berusaha untuk lulus dalam peperiksaan SPM kerana dia
pernah gagal sewaktu kali pertama mendudukinya.

8 Kita hendaklah pasrah dan menerima takdir Tuhan


• Contohnya, Kak May yang menyalahkan dirinya sendiri atas kematian kedua-dua ibu
bapanya. Kak May yang tidak dapat menerima takdir Tuhan telah berubah menjadi
pemurung.