Anda di halaman 1dari 5

[Dari Blog] Terpedaya Dalam Beragama :: ::al-ahkam.net:: :: Siber Feqh... http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=a...

::al-ahkam.net::
Siber Feqh Anda

[Dari Blog] Terpedaya Dalam Beragama


Posted by : Humair on Saturday, July 05, 2008 - 09:15 AM CCT
Berpegang dengan agama adalah perkara yang dituntut. Menganut sesebuah agama menuntut kita untuk berpegang dengan ajaran
agama tersebut lebih-lebih lagi jika agama yang dianuti adalah agama yang benar.

Islam, sebagai sebuah agama yang benar menuntut penganutnya agar berpegang teguh dengan ajaran-ajarannya kerana Islam
bukan sekadar sebuah agama biasa yang menitikberatkan amalan mahupun upacara tertentu bahkan Islam adalah sebuah cara hidup
yang lengkap. Ibadah yang sempurna, muamalah yang mesra, pemerintahan yang saksama dan perundangan yang waja merupakan
intipati kesempurnaan, keseimbangan dan keabadian yang ditekankan oleh Islam. Justeru itu, kita sebagai umat Islam dituntut untuk
merealisasikan intipati tersebut dengan memanifestasikannya dalam kehidupan.

Namun, kadangkala di kalangan kita ada yang terpedaya dalam berpegang dengan Islam. Kita menyangka kononnya telah
beramal dengan Islam yang sebenar, rupa-rupanya kita terpedaya dengan diri sendiri. Jika tersedar, itu yang terbaik. Tetapi
yang menggusarkan ialah jika kita tidak menyedari bahawa kita telah terpedaya. Terpedaya lalu merasa bangga dengan diri
sendiri kerana kononnya telah berpegang teguh dengan Islam adalah penyakit yang menimpa umat Islam mutakhir ini. Ada
orang mendakwa dia telah beramal dengan Islam, tetapi hakikatnya pengamalan itu hanya berbentuk zahir semata-mata
atau secara mendatar tanpa menyelam ke lubuk dasar intipati Islam sebenar.

Menerusi entri kali ini, saya ingin mengajak sidang pembaca untuk kita bersama-sama memahami hakikat terpedaya dalam
beragama. Untuk lebih jelas, kita perlu memahami ciri-ciri mereka yang terpedaya dengan agama, faktor-faktor,
kesan-kesan dan penyelesaiannya.

Hakikat.

Natijah daripada sikap ini adalah buruk jika tidak dicegah. Apabila sikap ini berterusan, maka ia melahirkan penyakit hati
yang sangat berbahaya iaitu bermegah-megah dengan amalan sendiri. Kemudian setelah itu, akan muncul lagi
penyakit-penyakit hati yang lebih berbahaya sebagaimana yang akan kita lihat bersama nanti.

Dalam konteks ini, kita perlu memahami dua hakikat penting yang berkait rapat dengan sikap terpedaya dalam beragama
iaitu:

1) Jika kita berhadapan dengan individu yang pada pandangan kita adalah seorang yang kuat agama, namun kita melihat
dia terpedaya dengan kekuatan agamanya itu maka ini adalah hakikat pertama yang tidak perlu menimbulkan sebarang
kehairanan dalam diri kita. Ini adalah kerana, walau setinggi manapun kekuatan agama yang ditonjolkan oleh seseorang,
dia tetap seorang manusia biasa. Dia bukan Nabi, Rasul atau Malaikat yang dipilih oleh Allah Ta'ala dengan sifat maksum.
Kita berhadapan dengan hakikat ini bila kita mengimbau kembali sirah. Bukankah para sahabat radhiyallahu 'anhum
merupakan generasi terbaik? Generasi yang dididik oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Namun, cuba kita renung
kembali pada ayat-ayat al Quran yang menjelaskan tentang hukuman zina, mencuri, meminum arak dan sebagainya.
Apakah sebab nuzul ayat-ayat ini? Pada zaman siapakah ayat-ayat ini diturunkan? Kita boleh menjawabnya sendiri. Kalau
ini berlaku di kalangan sahabat, suatu generasi terbaik yang jikalau tanpa mereka, kita tidak mungkin menghirup udara
segar ajaran Islam, bagaimana pula dengan kita yang bukan sahabat?? Bahkan para sahabat itu telah dijanjikan rahmat
dan keampunan daripada Allah Ta'ala. Kita pula bagaimana?? Ini hakikat pertama yang perlu kita fahami.

2) Maksiat itu sama ada berbentuk zahir atau batin. Namun maksiat batin itu lebih berbahaya dan jarang-jarang di
kalangan kita yang terlepas daripada bahaya ini. Kerana itu, kita perlukan tasawuf yang berperanan untuk mendidik hati
agar berakhlak dengan akhlak-akhlak Rabbani. Tasawuf sejati adalah yang memainkan peranan untuk membersihkan hati
dan memurnikan akhlak. Bukan tasawuf yang difahami oleh sesetengah pihak, tertumpu hanya pada zikir semata-mata.
Inginkan kasyaf, ilham dan makrifat. Tetapi tasawuf yang menatijahkan akhlak yang murni. Berapa ramai yang bertarikat
tasawuf kononnya, tetapi dia juga termasuk dalam topik perbincangan kita ini: Terpedaya dengan amalannya. Oleh itu,
apabila kita meneliti al Quran kita temui perbezaan ketara antara dosa Sayyiduna Adam 'alaihissalam dan dosa Iblis
la'natullah. Dosa Sayyiduna Adam 'alaihissalam berbentuk zahir. Kerana itu Allah Ta'ala mengampunkan Baginda. Adapun
dosa Iblis, ia berpunca daripada sikap terpedaya dengan diri sendiri. Dia menyangka dirinya adalah yang terbaik kerana
dicipta daripada api. Pada pandangannya, api lebih baik daripada tanah. Lalu sikap ini menatijahkan sifat yang lebih buruk
lagi iaitu bermegah-megah dengan diri sendiri, takbur dan sombong lalu dia pun enggan sujud kepada Sayyiduna Adam
'alaihissalam. Inilah hakikat kedua.

Ciri-ciri Mereka Yang Terpedaya Dalam Beragama.

Melalui ciri-ciri ini, kita boleh mengenal pasti golongan yang telah ditimpa penyakit 'terpedaya dalam beragama'. Ciri-cirinya
ialah:

1) Kepercayaan kepada prinsip: Hanya aku sahaja yang benar.

Orang yang memiliki ciri ini melihat hanya diri sendiri yang benar, orang lain salah. Hanya dia yang bagus amalannya,
orang lain tak bagus. Bila berbicara, hanya bicaranya sahaja yang terbaik. Bila memberi pandangan, hanya ideanya saja

1 of 5 06/07/2008 05:54 AM
[Dari Blog] Terpedaya Dalam Beragama :: ::al-ahkam.net:: :: Siber Feqh... http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=a...

yang bernas. Jika dia berhadapan dengan idea orang lain yang lebih baik bahkan disokong oleh dalil dan fakta, dia
memandang kecil dan jijik idea tersebut kerana pada pandangannya, ideanya tidak mungkin mengalami sebarang
kesalahan. Maksum!

2) Mudah bergembira dengan amalan ketaatan walaupun sedikit.

Bila dia melakukan ketaatan, dia tidak melakukannya dengan perasaan bimbang dan takut jika amalan ini tidak diterima
Allah Ta'ala. Bahkan dia merasa gembira dengan amalannya walaupun sedikit. Tidak salah bergembira, tetapi yang
salahnya ialah terlalu bergembira dengan amalan kecil sehingga merasa aman daripada perasaan bimbang dan takut kalau
Allah Ta'ala tidak menerima amalan tersebut. Imam Ibnu 'Atoillah al Sakandari radhiyallahu 'anhu mengungkapkan
menerusi hikamnya:

Di antara tanda pergantunganmu pada amalan; Kurangnya harapan ketika wujudnya kecacatan (pada amalanmu). [1]

Orang yang begini sifatnya, merasa yakin dengan amalan ketaatan yang dilakukan walaupun sedikit dan mudah merasa
gembira. Dia tertipu dengan amalannya sendiri dan kerana itu apabila dia meninggalkan amalan yang biasa dilakukan
sekali-sekala, dia masih merasa biasa. Seolah-olah amalan yang biasa dilakukan sebelum ini, kesemuanya diterima oleh
Allah Ta'ala. Tiada bimbang, gusar dan takut kalau Allah Ta'ala tidak menerima amalannya sebelum ini.

3) Memandang remeh perkara maksiat.

Apabila dia melakukan maksiat walaupun kecil, dia hanya memandang remeh perkara tersebut seolah-olah ia adalah
perkara biasa. Sekadar dosa kecil yang boleh dihapuskan dengan sembahyang dua rakaat. Si miskin ini terlupa bahawa
boleh jadi sembahyangnya itu tidak diterima Allah Ta'ala. Berapa banyak pula dosa kecil yang mengundang dosa besar?!
Firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Maka janganlah kamu terpedaya dengan (keindahan) kehidupan dunia dan janganlah kamu terpedaya dengan Allah.
[Luqman: 33]

Ertinya jangan kamu terpedaya dengan maksiat sehingga kamu sering melakukannya dengan sangkaan bahawa
keampunan Allah Ta'ala akan sentiasa mengiringi kamu. Adakah kamu yakin akan terus mendapat keampunan-Nya?
Adakah kamu yakin segala amalanmu diterima sehingga mampu menebus dosa maksiat yang kamu lakukan? Yang lebih
penting, adakah kamu yakin akan terus beriman dan mati dalam keimanan?? Jangan tertipu dengan amalanmu. Jangan
tertipu dengan dosa kecil yang kamu lakukan. Jangan tertipu dengan keluasan rahmat Allah sehingga kamu memandang
remeh dosamu itu..

4) Terpedaya dengan keadaan diri sendiri.

Memandang diri sendiri sebagai yang terbaik berbanding orang lain. Orang lain sudah rosak. Akhlak rosak, hidup tiada hala
tuju dan bermacam lagi perkara yang tidak boleh diharapkan. Hanya diri sendiri yang tidak rosak. Masih boleh diharap.
Sedangkan hakikatnya, apabila dia berpandangan demikian, dia adalah orang yang binasa dengan kebinasaan sebenar!
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

Apabila kamu mendengar seseorang berkata, "Orang ramai telah rosak!"

Sebenarnya, dia yang rosak!! [2]

Hujjatul Islam al Ghazali radhiyyallahu 'anhu ketika mengulas hadith ini menyebut:

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyatakan begitu kerana perkataan yang diucapkan ini menunjukkan bahawa orang
yang mengucapkannya adalah seorang yang memandang rendah orang lain dan tertipu dengan Allah Ta'ala. Dia merasa
aman daripada rancangan Allah Ta'ala dan tidak merasa takut dengan kekuasaan-Nya. Bagaimana mungkin dia tidak
merasa takut? Bila dia memandang rendah orang lain dan merasa kagum dengan keadaannya sendiri, ini sudah memadai
untuk menunjukkan dia adalah seorang yang jahat! [3]

5) Meninggi diri ke atas pelaku maksiat dan golongan yang tidak sependapat dengannya.

Dia melihat golongan yang melakukan maksiat dengan pandangan meninggi diri. Sepatutnya dia melihat mereka dengan
perasaan kasihan dan berusaha membimbing golongan ini agar keluar dari kepompong maksiat. Namun apakan daya,
disebabkan dia memandang dirinya sahaja yang terbaik, maka sikap ini menutup pintu hatinya daripada belas kasihan.
Seolah-olah dia yakin akan terus terpelihara daripada melakukan maksiat. Begitu juga apabila berhadapan dengan
golongan yang kurang ilmunya, dia memandang mereka dengan pandangan enteng. Jika golongan ini bersalahan pendapat
dengannya walaupun ternyata pendapat tersebut disokong dengan dalil yang kuat, dia melenting kerana pada
pandangannya orang yang kurang ilmu daripadanya tidak boleh bersalahan pendapat dengannya. Seolah-olah dia lebih
tahu segala-galanya.

6) Sukar menerima nasihat.

Dia melihat dirinya tidak perlu kepada nasihat. Lebih-lebih lagi jika nasihat itu datang daripada orang yang lebih rendah
ilmu atau amalan daripadanya. Dia tidak perlukan nasihat tetapi orang lain perlukan nasihatnya seolah-olah nasihatnya
sudah memadai untuk membimbing orang lain ke jalan yang benar. Mana boleh orang yang lebih rendah martabatnya
menasihati dirinya yang lebih baik ini!

7) Suka membanding-bandingkan dirinya dalam pegangan agama dengan orang lain.

2 of 5 06/07/2008 05:54 AM
[Dari Blog] Terpedaya Dalam Beragama :: ::al-ahkam.net:: :: Siber Feqh... http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=a...

Dia suka melakukan perbandingan terhadap dirinya dari sudut ilmu, amalan dan pegangan agama dengan orang yang lebih
rendah martabat daripadanya. Lantas dia pun menyangka telah menjadi yang terbaik dan akan terus jadi yang terbaik.
Natijahnya dia akan terus merasa senang dengan apa yang ada pada dirinya dari sudut ilmu dan amalan. Tanpa perlu
merasa bimbang..

Faktor-faktor.

Secara umum, faktor-faktor yang menjadikan seseorang itu terpedaya dalam beragama ada tiga:

1) Faktor persekitaran.

Sudah menjadi kebiasaan, manusia itu mudah terkesan dengan persekitaran hidupnya. Suasana keluarga, masyarakat dan
tempat dia membesar menyumbang kepada pembentukan perwatakannya. Boleh jadi mengapa seseorang itu terpedaya
dalam beragama adalah kerana dia hidup dalam lingkungan masyarakat yang sukakan kemegahan dan ketinggian
walaupun masyarakat tersebut berpegang teguh pada agama. Kemungkinan pegangan teguh mereka pada agama
hanyalah berbentuk lahiriah dan secara mendatar. Jika mereka melakukan kebaikan, mereka akan mengungkit. Jika mereka
menabur jasa, mereka ingin disebut. Apatah lagi, jika dia lahir dari kalangan keluarga yang terkenal dengan keilmuan,
maka dia akan selalu menyebutnya dengan perasaan megah. Padahal dia tidak sealim mana pun. Hanya menumpang
populariti nenek moyangnya yang alim! Dalam suasana yang sebegini, sedikit sebanyak menyumbang kepada kelahiran
golongan yang mudah terpedaya dalam beragama.

2) Faktor ilmu.

Faktor kurangnya penguasaan terhadap ilmu syara' juga boleh menyumbang kepada sikap terpedaya dalam beragama.
Hanya sekadar baru membaca sebuah dua buku-buku agama atau memiliki sedikit ilmu dalam keadaan dia tidak
menghalusi ilmu tersebut telah menjadikannya terpedaya dengan pegangan agamanya. Sudah berani mengkritik para
ulama' berwibawa yang jelas lebih berilmu daripadanya atau tidak segan silu ingin menandingi dan berdebat dengan
mereka. Padahal buku-buku yang dibaca pun adalah terjemahan daripada bahasa Arab jika dia tidak pandai berbahasa
Arab. Terjemahan belum tentu mampu menyampaikan maksud sebenar ilmu yang ingin diutarakan oleh buku-buku
tersebut. Jika dia memahami bahasa Arab sekali pun, belum tentu dia mampu menangkap keseluruhan maksudnya
sekaligus lebih-lebih lagi hanya menatap buku tanpa berguru! Jika dia belajar sekalipun, memadai dengan silibus-silibus
yang ditetapkan tanpa ada keinginan untuk mendalami dan memperhalusi ilmu tersebut. Tapi keinginan untuk mendabik
dada masih tinggi dan dia pun terpedaya dengan ilmu yang sedikit itu.

Justeru, para ulama' menyebut bahawa ilmu itu berukuran tiga jengkal. Siapa yang hanya baru sampai di jengkal pertama,
maka dia akan memiliki sikap takbur dan bongkak. Siapa yang berjaya sampai ke jengkal yang kedua, maka dia akan
merendah diri. Siapa yang berjaya sampai ke jengkal terakhir, ketika itu dia akan menyedari bahawa banyak lagi perkara
yang tidak diketahuinya.

Mutakhir ini, kita melihat sikap sebegini menimpa segolongan muda-mudi yang baru ingin berjinak-jinak dalam arena
keilmuan dan dakwah. Hanya baru menatap sebuah dua buku (itu pun terjemahan) dan mendengar beberapa siri
pengajian, telah berani mengkritik dan menghukum para ulama' yang lebih berautoriti seolah-olah dia adalah hakim
mahkamah syariah pula! Kasihan.. Rupa-rupanya mereka terpedaya..

3) Faktor didikan.

Faktor ini biasa dilihat berlaku pada golongan ilmuwan tertentu. Dia rajin belajar, membaca dan mengkaji tetapi sekadar
untuk menambah ilmu pengetahuan sahaja. Dia tidak berhasrat untuk melakukan tarbiah jiwa dengan ilmu-ilmu tersebut.
Apabila dia menyertai badan-badan dakwah atau persatuan-persatuan tertentu, dia hanya menyertainya atas dasar
keilmuan semata-mata. Hanya ingin tahu tentang politik, ideologi, fahaman dan akidah tertentu. Adapun atas dasar
mendidik jiwa dan membersihkannya dengan ilmu-ilmu tersebut, jauh sekali. Sangkaannya, ilmu sudah memadai. Sudah
cukup untuk memasukkannya ke dalam Syurga. Dia terlupa bahawa Islam itu adalah ilmu dan amalan. Akhlak dan
penyucian jiwa.

Kita lihat bagaimana golongan salaf berinteraksi dengan ilmu mereka. Mereka menuntut ilmu kerana ingin beramal. Dengan
ilmu, mereka menyucikan jiwa dan memurnikan akhlak. Bahkan di kalangan mereka ada yang tidak berani untuk
meriwayatkan hadith atau menyampaikan pidato-pidato ilmiah dan nasihat melainkan setelah mereka yakin telah melalui
proses tarbiah dan penyucian jiwa dengan jayanya. Kerana itu, ilmu-ilmu mereka diberkati Allah Ta'ala dan orang ramai
mudah terkesan dengan ucapan-ucapan mereka. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ucapan yang mereka ungkapkan
lahir dari hati yang bersih kesan tarbiah yang murni. Siapa yang mendakwa mengikut jejak langkah salaf, sepatutnya begini
sifatnya! Jangan sekadar dakwa sahaja, tetapi tidak berbukti. Sesiapa sahaja boleh mendakwa itu dan ini, tetapi dakwaan
yang diterima adalah yang disokong oleh bukti yang kukuh. Jika tidak, diam lebih baik!!

Kesan-kesan.

Jika orang yang terpedaya dalam beragama ini tidak diberi taufiq oleh Allah Ta'ala untuk membebaskan dirinya daripada
sifat ini, maka kesannya adalah buruk di dunia mahu pun di akhirat, na'uzubillah min zalik (kami berlindung dengan
Allah Ta'ala daripada perkara itu).

1) Kesan di dunia.

Orang yang bersikap begini akan hilang keberkatan dalam amalannya. Amalannya tidak diterima Allah Ta'ala dan syaitan

3 of 5 06/07/2008 05:54 AM
[Dari Blog] Terpedaya Dalam Beragama :: ::al-ahkam.net:: :: Siber Feqh... http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=a...

pun mudah menguasainya.

Selain itu, orang ramai akan benci padanya. Merasa muak dengan sikapnya dan akhirnya dia kehilangan teman. Dakwah
pun payah untuk dilaksanakan.

2) Kesan di akhirat.

Mendapat kebinasaan dan azab daripada Allah Ta'ala. Cukuplah sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mafhumnya:

Tiga perkara yang membinasakan:

- Sikap bakhil yang dituruti

- Hawa nafsu yang diikuti

- Dan kekaguman seseorang pada dirinya sendiri. [4]

Penyelesaian.

1) Selalu mengingati kebesaran Allah Ta'ala.

Kita beriman kepada Allah Ta'ala. Kita semua meyakini bahawa Dia adalah Esa. Maka segala kemuliaan, kemegahan,
keagungan dan kebesaran adalah milik-Nya jua. Tidak ada sesiapa pun yang boleh berkongsi atau merampas sifat-sifat ini
daripada-Nya. Jika anda merasa dihinggapi penyakit 'terpedaya dalam beragama', maka ingatilah perkara ini agar anda
akan selalu merendah diri.

2) Mengambil berat urusan tarbiah jiwa.

Atas dasar inilah, bertasawuf itu penting. Jiwa perlu dididik dan disucikan selalu agar menjadi jernih. Bila hati jernih, maka
terbitlah akhlak mulia. Kita perlu memandang diri ini serba kekurangan. Jangan mudah berpuas hati dengan apa yang ada.
Bila kita berdepan dengan para ulama' yang berwibawa, sepatutnya kita beradab dengan mereka. Sedar bahawa diri kita
jauh ketinggalan berbanding diri mereka. Baik dari segi ilmu, amalan mahu pun akhlak. Sudah menjadi lumrah, diri itu
memang selalu inginkan pujian. Walaupun tiada sumbangan, tetap ingin dipuji (tak tahu malu). Oleh itu, jiwa perlu sering
disucikan. Perlu selalu rasa serba kekurangan.

3) Selalu membaca kisah-kisah golongan yang terpedaya dalam beragama.

Sejarah seringkali dijadikan iktibar. Sikap sebegini telah lama muncul sejak terciptanya ayahanda kita Adam 'alaihissalam.
Baca kisah mereka dan ambil pengajaran tentang kesudahan mereka. Kemudian buat perbandingan dengan kisah-kisah
golongan yang bersikap tawadhu'. Lihat betapa bersihnya jiwa mereka dan murninya akhlak mereka. Mudah-mudahan kita
mampu untuk mengikut jejak langkah mereka.

Penutup.

Kita sama-sama berdoa agar Allah Ta'ala memelihara kita daripada sifat tercela ini. Kita sangat mengharapkan bimbingan
taufiq, hidayah dan 'inayah daripada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Tuhan kami! Janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakan rahmat
dari sisi-Mu buat kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia. [Aali 'Imran: 8]

Bibliografi:

- Majalah al Wa'yu al Islami, bilangan 514, bulan Jamadil Akhir 1429 (Jun 2008).

- Musnad Imam Ahmad bin Hambal , jilid ketiga, cetakan kedua 1414 (1994), terbitan Darul Fikr, Beirut dengan
kerjasama al Maktabah al Tijariyyah.

- Majma' al Zawaid wal Manba' al Fawaid, al Hafiz Nuruddin Ali bin Abu Bakar al Haithami, jilid pertama, cetakan
tahun 1425/26 (2005), terbitan Darul Fikr, Beirut-Lebanon.

- Ihya' 'Ulumiddin, Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al Ghazali, jilid ketiga, cetakan
tahun 1421 (2001), terbitan Darul Kutub al 'Ilmiyyah, Beirut-Lebanon.

- Ghaithul Mawahib al 'Aliyyah fi Syarhil Hikam al 'Atoiyyah, Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin 'Ubbad al Nafari al
Rindi, bahagian pertama, cetakan tanpa tahun, terbitan Darul Ma'arif, Kaherah.

http://wwwhumair-humair.blogspot.com/2008/07/terpedaya-dalam-beragama.html

[1] Ghaithul Mawahib al 'Aliyyah fi Syarh al Hikam al 'Atoiyyah , hikmah pertama, halaman 48, bahagian pertama, Darul
Ma'arif, Kaherah.

[2] Musnad Imam Ahmad bin Hambal , 7689/3, Darul Fikr-al Maktabah al Tijariyyah.

[3] Ihya' Ulumuddin 308/3, Darul Kutub al 'Ilmiyyah, Beirut-Lebanon.

4 of 5 06/07/2008 05:54 AM
[Dari Blog] Terpedaya Dalam Beragama :: ::al-ahkam.net:: :: Siber Feqh... http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=a...

[4] Majma' al Zawaid , 1/313, Darul Fikr, Beirut.

Welcome to EZForumComments (you can change and disable this text in the admin area)
Author Comments

admin Posted:July 06, 2008 - 00:02


Maqam 3Maqam 3
Please comment this article here:

____________
Joined: Aug 14, 2005
Posts: 1467

ibrahim87 Posted:July 06, 2008 - 00:02


Martabat 2Martabat 2
Artikel yang bagus dan mudah difahami. Teruskan usaha anda untuk memerhati dan memahami!

____________
Joined: Sep 18, 2007
Posts: 19

You can comment this article here:


Options
HTML is ON
BBCode is ON
Smilies are ON

g Allow HTML
b
c
d
e
f
b Allow BBCODE
c
d
e
f
g
b Allow Smilies
c
d
e
f
g
b Add Signature
c
d
e
f
g
c Watch this thread
d
e
f
g

Submit

Page created in 0.366780 Seconds

Powered by MD-Pro

5 of 5 06/07/2008 05:54 AM