daripadanya. Pemprosesan ‘rare earth’ menghasilkan sisa radioaktif dan sisa radioaktif ini amat
berbahaya bukan sahaja kepada manusia tetapi seluruh ekosistem.
Tragedi yang menimpa penduduk-penduduk di Bukit Merah, Perak sekitar tahun 1982-87 eloklah
dijadikan teladan. Ramai yang telah meninggal dunia akibat pendedahan kepada sisa-sisa radioaktif –
leukemia, kanser, kelahiran bayi cacat dan sebagainya. Berikut adalah kronologi penetangan Asian
Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh sehingga penutupannya pada 19 Januari, 1994.
Anda rakyat prihatin. Selamatkan generasi masa depan kita. Bersuaralah dan hentikan
pemprosesan ‘rare earth’ di Kuantan sebelum terlambat.
1979
November: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak itrium ( sejenis unsur
nadir bumi) daripada monazit. Pemegang saham utamanya ialah Mitsubishi Chemical Industries
Ltd (35%), Beh Minerals (35%), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (20%) dan beberapa peniaga
bumiputera (10%). Pihak ARE telah mendapatkan pandangan dari Pusat Penyelidikan Atom Tun
Dr. Ismail (Puspati), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengenai sisa buangan
radioaktif yang dihasilkan melalui pemerosesan monazit. Adalah diputuskan, sisa buangan itu
yang menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi sebagai sumber
tenaga nuklear.
1982
Jun: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan seluas sembilan
ekar, kira-kira 6 km dari penempatan mereka untuk dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif
syarikat ARE.
30 Jun: Ekoran bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta lain-lain pertubuhan
politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan itu dan kemudian mula mencari tapak baru.
11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.
1983
November: Penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapat tahu ARE sedang mengorek
lubang berhampiran tempat kediaman mereka untuk dijadikan tapak buangan sisa radioaktif.
Tapak itu merupakan pilihan kerajaan
1984
24 Mei: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang berhampiran menandatangani
satu surat bantahan dan menghantarnya kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri
Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
31 Mei: Seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan.
Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.
5 Jun: Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil segala langkah berjaga-jaga untuk
memastikan keselamatannya dan menegaskan pembinaan tapak buangan radioaktif di Papan
akan diteruskan.
18 Jun: Kira-kira 300 penduduk Papan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai
membantah tapak buangan yang dicadangkan.
28 Jun: Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen Yong berkata, tapak
buangan Papan adalah selamat kerana dibina mengikut piawaian yang ketat. Beliau mencabar
pengkritik supaya membuktikan tapak itu boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar.
Sementara itu, ARE meneruskan operasinya dengan menimbun sisa torium di sebuah kawasan
terbuka dan kolam berhampiran kilang itu.
1 Julai: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak mengadakan tunjuk
perasaan secara aman sebagai membantah tapak buangan tersebut.
4 Julai: Seramai 2,000 orang penduduk terus mengadakan tunjuk perasaan meskipun Ketua
Polis Perak memberi arahan supaya bersurai.
18 Julai: Pembentukan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah, terdiri daripada penduduk Bukit
Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah, sebagai tanda sokongan kepada penduduk
Papan. Sahabat Alam Malaysia (SAM) menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri
memaklumkan paras radiasi yang tinggi telah dikesan dikawasan kolam terbuka berhampiran
kilang ARE di Bukit Merah. Satu bacaan yang dicatat oleh pegawai-pegawai SAM sewaktu
berkunjung ke situ ialah 43,800 milirem/tahun. Paras ini melebihi 88 kali paras maksimum yang
ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan Radiologi (ICRP) untuk orang
ramai.
19 September: Sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak buangan di Papan atas jemputan kerajaan
Malaysia. Mereka mengisytiharkan tapak buangan itu tidak selamat.
5 Oktober: Dr William Cannell, seorang ahli fizik dan penganalisis kesihatan menerima
jemputan penduduk Papan untuk melawat tapak buangan tersebut. Hasil pemerhatian beliau
mendapati kerja-kerja kejuruteraan yang dijalankan oleh syarikat terbabit sangat buruk.
21 Oktober: Seorang pakar dari Amerika dan bekas ahli jawatankuasa Akademi Sains
Kebangsaan Amerika bagi kesan-kesan Biologi Radiasi Mengion (BEIR), Dr Edward Radford,
atas jemputan penduduk Papan, membuat tinjauan di tapak buangan sisa itu. Beliau dapati tapak
itu tidak sesuai sementara lubang-lubang yang digali mempunyai dinding yang nipis atau sudah
merekah.
7 November: Seorang pakar buangan sisa industri dari Jepun, Dr. Jun Ui, menerima jemputan
penduduk Papan untuk memeriksa tapak buangan ARE. Beliau juga mendapati tapak itu tidak
sesuai dijadikan kawasan penimbunan sisa berbahaya.
9 Disember: Lebih 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar selama sehari sebagai
membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan menempatkan tapak buangan sisa
di Papan. Penduduk Bukit Merah membawa masuk seorang pakar radiasi dan genetik dari Jepun,
Profesor Sadao Ichikawa untuk mengukur paras radiasi di kawasan terbuka dan kolam
berhampiran kilang ARE. Beliau dapati paras radiasi di situ terlalu tinggi malah paras tertinggi
yang dicatatkan melebihi 800 kali paras yang dibenarkan.
12 Disember: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam menunjukkan minat secara
peribadi terhadap perkembangan isu Papan ini. Beliau mengunjungi tapak buangan tersebut.
1985
11 Januari: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri
ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa
ke Mukim Belanja di Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari
Menglembu.
1 Februari: Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan penduduk Bukit Merah
membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh menahan ARE daripada mengeluar,
menyimpan atau menimbun sisa radioaktif di sekitar kampung tersebut.
Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan pengendali bahagian
pemasangan nuklear (termasuk kerajaan) bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear. Lima
ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan perwakilan
dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
14 Oktober: Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada
penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan ARE daripada mengeluar dan
menimbun bahan sisa radioaktif sehingga langkah-langkah keselamatan yang secukupnya
diambil. Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar
keputusan itu.
1986
22 September: ARE mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk meningkatkan
langkah-langkah keselamatan (sepertimana yang dikehendaki oleh perintah mahkamah), diikuti
oleh piawaian IAEA. Ia menjemput pakar tenaga atom dari Amerika, Dr E.E. Fowler (Bekas
kakitangan IAEA) untuk mengunjungi kilang berkenaan. Menurut beliau, paras radiasi
berhampiran kawasan pembuangan yang disediakan oleh ARE memenuhi piawaian ICRP dan
beliau dapati kilang itu selamat untuk beroperasi.
5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk Bukit Merah dan kawasan sekitarnya mengadakan tunjuk
perasaan terhadap rancangan ARE untuk menimbun sisa radioaktif di tapak kekalnya di Banjaran
Kledang.
28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungan kali keduanya ke Bukit Merah
mendapati paras radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi paras yang dibenarkan. Beliau
dilarang masuk ke dalam kilang itu.
16 November: Sekumpulan penyiasat dari AELB memeriksa beberapa buah tapak buangan sisa
torium yang dilonggokkan secara haram di Bukit Merah. Mereka dibantu oleh bekas kontraktor
ARE, Ng Toong Foo yang pernah membuang sisa di situ. Bacaan di salah sebuah tapak ialah
0.05 – 0.10 milirem/jam (iaitu 438 - 876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan maksimum
0.057 milirem/jam yang ditetapkan oleh ICRP.
26 November: Perwakilan dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman Badri Shah,
Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) membentuk sebuah jawatankuasa Anti-Radioaktif
Perak (PARC).
8 Disember: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Kasitah Gadam berkata hasil
pemeriksaan AELB di dua tapak buangan haram Bukit Merah mendapati paras radiasi di situ
adalah selamat. Menurutnya, sungguhpun AELB mendapati paras radiasi di situ melebihi paras
normal, ini tidak membahayakan kerana tapak-tapak itu sangat sedikit bilangannya.
1987
6 Februari: Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya
menghentikan operasi, AELB Malaysia memberikan lesen kepada ARE supaya meneruskan
operasinya.
24 Mei: Kira-kira 300 orang penduduk diperintahkan bersurai oleh anggota Unit Simpanan
Persekutuan (FRU) berhampiran ARE. Lebih 20 orang, termasuk tiga wanita mengalami
kecederaan dalam dua pertelingkahan pada hari itu. Seramai 60 orang ditahan oleh pihak polis.
Semua kecuali enam dibebaskan kemudian selepas disoal-siasat. Keenam-enam pemuda itu
dibebaskan seminggu kemudian di mana pihak polis tidak mengenakan sebarang tuduhan.
Penduduk menghalang kerja-kerja membina jalan yang menuju ke tapak buangan kekal di
Banjaran Kledang yang dicadangkan.
23 Julai: Seorang doktor Kanada, Bernie Lau, diupah oleh PARC untuk meletakkan alat
pengesan gas radon di luar kilang ARE. Beliau berjaya mengesan sejumlah gas radon dibebaskan
daripada kilang itu.
Terdahulu dari itu, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Datuk Amar Stephen Yong
berkata, kerajaan berpuas hati dengan laporan penilaian kesan alam sekitar bagi tapak buangan
kekal yang dicadangkan itu. Penilaian itu dijalankan oleh ARE bersama beberapa orang pegawai
Kementerian.
7 September: Perbicaraan saman yang dikemukakan oleh lapan orang penduduk Bukit Merah
terhadap ARE bermula di hadapan Hakim Peh Swee Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh. Sebagai
mengetengahkan nasib mereka, para penyokong PARC berjalan sejauh 8 km dari Bukit Merah ke
Ipoh. Polis menyuraikan tunjuk perasaan mereka berhampiran Menglembu. Sembilan orang
ditahan tetapi dibebaskan setelah diikat jamin. Kira-kira 1,000 orang hadir di mahkamah sebagai
menunjukkan sokongan mereka.
11 September: Para penduduk berarak dari Bukit Merah ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari
terakhir perbicaraan. Jumlah mereka yang hadir dianggarkan 3,000 orang.
27 Oktober: Lebih 100 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di
antaranya termasuklah pengerusi PARC, Hew Yoon Tat; timbalannya, Hiew Yew Lan; (bekas)
setiausaha PARC, Lee Koon Bun; ahli jawatankuasa, Phang Kooi Yau dan peguam Pengguna
Pulau Pinang (CAP) yang mewakili plaintif Bukit Merah, Meenakshi Raman. Merek dibebaskan
selepas dua bulan.
November: ARE mula membina tapak buangan kekal sisa toksik di Banjaran Kledang.
1988
13 Februari: Perbicaraan tamat selepas berlansung selama 65 hari dan berlanjutan lebih 32
bulan.
1992
11 Julai: Penduduk Bukit Merah memenangi kes saman terhadap ARE. Mahkamah
mengarahkan penutupan kilang ARE dalam tempoh 14 hari. Pihak ARE pula mengumumkan ia
akan membuat rayuan di Mahkamah Agung.
24 Julai: Berikutan permohonan ex-parte oleh ARE, Hakim Besar Mahkamah Agung menahan
(sehingga perintah selanjutnya) perintah Mahkamah Tinggi Ipoh kepada ARE supaya
menghentikan operasinya.
3 Ogos: Lebih 2,000 orang dari Bukit Merah hadir di Mahkamah Agung untuk mendengar
rayuan ARE terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang menggantung operasinya.
Bagaimanapun, hakim-hakim Mahkamah Agung Menangguhkan perbicaraan kepada 5 Ogos
kerana ‘tekanan oleh mereka yang berpiket di luar mahkamah.’
5 Ogos: Mahkamah Agung membenarkan permohonan ARE untuk menolak perintah Mahkamah
Tinggi yang meminta ARE menghentikan operasinya berikutan rayuan syarikat berkenaan.
Menurut hakim-hakim itu, penutupan tersebut akan menyulitkan kilang dan 183 pekerjanya.
1993
15 Mac: Perbicaraan rayuan yang dikemukan oleh ARE di Mahkamah Agung ditangguhkan
pada 7 Jun.
7 Jun: Perbicaraan mendengar rayuan ARE sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan
diberitahu kelak.
1994