Anda di halaman 1dari 2

Hari ini umurku genap 21 tahun.

Hatiku berbunga riang kerana hari ini aku akan


pulang ke tanah airku. Malaysia, tanah tumpah darahku. Setelah berhempas pulas
bertahun – tahun, kini aku telah berjaya menggenggam segulung ijazah yang bakal aku
hulurkan sebagai hadiah kepada ibuku tika bersua kelak. Telah 3 tahun aku menjadi
pendamba ilmu di negara matahari terbit ini. Tempoh yang dahulunya terasa amat lama
kini hanya dalam ingatan. Aku membelek tiket penerbanganku untuk pulang ke Malaysia
yang telah ditempah seminggu yang lalu.
Setelah melalui pelbagai pemeriksaan keselamatan di kaunter, akhirnya dapat juga
aku melampiaskan diri di kerusi empuk penerbangan yang aku naiki. Aku melihat sekilas
pada jam tangan di pergelangan kiriku. 1.50 petang. Para penumpang disekelilingku
kebanyakannya sedang bersandar dan ada yang telah hanyut dibuai mimpi. Aku cuba
melelapkan mataku tetapi tidak berjaya. Berbagai perkara bermain di dalam mindaku.
Pandanganku ke langit biru dilapisi awan gemawan menerusi cermin tingkap
mengimbaukan aku pada kenangan lalu. Aku masih ingat ketika aku baru berusia 15
tahun, peristiwa yang menjadi satu melankolik sedih yang akan terus tersemat dihati. Aku
bersekolah di sebuah sekolah yang rata – rata pelajarnya tidak mempunyai akhlak yang
baik. Sebuah sekolah kampung yang para pelajarnya hanya mahu lari dari himpitan
kesengsaraan dengan berhibur dan menjadi liar. Aku tidak terkecuali. Atas pengaruh
rakan – rakan, aku mula kerap ponteng sekolah. Pernah suatu ketika, aku termakan
pujukan temanku Amir untuk berhibur di kelab malam. Kami hanyut dalam arus kealpaan
dan lupa batasan masa dengan hirupan air setan yang mengkhayalkan. Setelah ayam
berkokok menandakan mentari kan muncul di ufuk timur, barulah terdetik untuk pulang.
Aku membonceng dan memeluk erat Amir sewaktu dia menghantar ku pulang.
Tiba di rumah, bagaikan dirasuk setan, aku menendang pintu rumahku yang berkunci.
Perlahan, pintu rumah terbuka. Ayahku terpacul dari muka pintu dengan wajah yang
merah padam. “Kau tak tahu malu ka? Anak setan ke anak apa ni?” Aku tidak berani
mengangkat muka dan cuba mengimbangkan diriku yang masih mabuk. Baru sahaja
kakiku ingin melangkah masuk, satu tamparan melekat dipipiku. Hingga kini, desingan
dan kepedihan tamparan itu masih terakam di minda ku. Aku lihat ada linangan air mata
dipipinya, mungkin kecewa dengan keadaan diriku. Dalam keadaan mabuk dan marah,
aku bangun lalu menendang perut ayahku. Lelaki separuh usia dengan kederat yang tidak
seberapa itu jatuh tersandar dan kepalanya terhempas ke tombol pintu. Ayahku pengsan
dan aku ketawa. “Biar padan dengan muka dia. Orang tua kolot.” Tanpa
memperdulikannya, aku terus mengunci pitu bilik dan merebahkan diri di tilam yang
empuk. Aku tidur mati tanpa sedar apa – apa.
Aku tersedar apabila mendengar suara - suara mengalunkan surah Yassin di
dalam rumahku. Timbul perasaan aneh dalam hatiku. Aku keluar dari bilik dan melihat
wajah sugul ibuku. Aku mendapatkan ibu tetapi ibu tidak mahu melihat wajahku apatah
lagi menjawab persoalan ku. Aku melihat di ruang tamu, sekujur tubuh berbaring
dikelilingi orang kampung yang sedang membaca Yassin. Ayahku sudah kembali ke
Rahmatullah. Akulah yang telah meyebabkan kematian ayahku. Aku telah membunuh
ayah sendiri. Setelah diselidiki, rupa – rupanya ayahku mempunyai sakit jantung yang
disembunyikan dari pengetahuan kami. Bagaikan separuh gila, aku menjerit – jerit dan
menerkam jenazah arwah ayah. Air mataku tidak dapat dibendung lagi. Aku merangkul
tubuh tua itu, mencium dan bibirku tidak putus – putus memohon ampun. Orang – orang
kampung cuba menenangkanku. Aku rasa pandanganku kabur dan rebah.
Ayahku kini berada di hadapan ku. Dengan wajah yang jernih bercahaya, ayahku
memakai jubah dan serban serba putih. “ Nak, ayah maafkan mu. Ayah sayangkan kamu.
Belajarlah bersungguh – sungguh, kelak masa depan mu cerah.” Ayahku berpaling dan
berjalan meninggalkanku. Aku terus memanggil ayah tetapi ayah tidak menoleh ke
belakang lagi. Ayah terus berjalan dan hilang dari pandangan.
Aku tersentak dari lamunan. Peristiwa yang mengubah kehidupanku itu aku
semat kemas – kemas dalam hatiku. Peristiwa ini pemangkin aku untuk terus mencari
kecemerlangan. Hingga aku mendapat keputusan cemerlang dalam SPM seterusnya
melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang kejuruteraan Robotik. Kejayaan ini adalah
perlambangan rasa cinta, kasih dan keampunan buat ayahku. Semoga Roh Arwah
ditempatkan bersama orang – orang yang beriman.

Anda mungkin juga menyukai