Anda di halaman 1dari 3

Minda Tajdid » Print » Bukan Muslim, Masjid Dan Mainan Politik 28/09/2010 08:13

- Minda Tajdid - http://drmaza.com/home -

Bukan Muslim, Masjid Dan Mainan Politik


Posted By admin On August 29, 2010 @ 5:21 pm In Kenyataan & Penjelasan | No Comments

BUKAN MUSLIM, MASJID DAN MAINAN POLITIK


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Saya amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut
kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik
sanggup menggadaikan segalanya. Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian
dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam.

Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest),
persepsi dan prejudis. Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan
fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran,
tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak. Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi


orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu
mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil
(kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia
menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga
boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah
parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar.
Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup
mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!

Tambah Keliru

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan
kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap
pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media. ‘Juru-juru fatwa’ yang boleh
ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang
seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu,
setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil
jika ada keperluan. Ini dalam masyarakat kita ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal
yang jelas.

Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul
pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah
dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan. Jika
kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka
bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah
faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah
menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk

http://drmaza.com/home/?p=1219&print=1 Page 1 of 3
Minda Tajdid » Print » Bukan Muslim, Masjid Dan Mainan Politik 28/09/2010 08:13

mereka?!

Masuk Masjid

Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam
masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan
muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh
beberapa dalil yang kuat. Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam
mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan
sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:

Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan
Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah.
Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w
datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati
wahai Thumamah?”

Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku,


engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau
meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada
orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa
banyak yang engkau mahu”.

Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa
yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau
memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.

Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang
engkau dapati wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.

Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi,
kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada
ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.

Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi
yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi
orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku
benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku
sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu,
sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Uthal seorang tawanan perang yang
menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia
dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi
s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam.
Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari
lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan
musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh
masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i.
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):

“Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid.
Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli
kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar
al-Khair).

http://drmaza.com/home/?p=1219&print=1 Page 2 of 3
Minda Tajdid » Print » Bukan Muslim, Masjid Dan Mainan Politik 28/09/2010 08:13

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid
seperti berikut:

“Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu
kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu
yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang
berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin
Uthal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga
menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum
mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid,
antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan
membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi
masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

Luaskan Fungsi Masjid

Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’
yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak;
muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum
muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam. Jika masjid dijadikan
zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan
dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba
menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan non-muslim, ditambah lagi dengan
ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam. Masjid digambarkan musuh mereka dan
mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam
yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai
bantuan. Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang
noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju
Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?!

Article printed from Minda Tajdid: http://drmaza.com/home

URL to article: http://drmaza.com/home/?p=1219

Copyright © 2008 Minda Mufti. All rights reserved.

http://drmaza.com/home/?p=1219&print=1 Page 3 of 3

Anda mungkin juga menyukai