Anda di halaman 1dari 4

Meningkatkan Mutu Pembacaan

Teknik Membaca Berkesan


Oleh Taidin Suhaimin

Petikan Kata-Kata Motivasi Belajar:

"Kemahiran belajar disertai dengan motivasi belajar yang tinggi telah terbukti boleh
meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan." - (Gall & Rakan-Rakan, Tools for
Learning).

Pengenalan
Artikel ini menjelaskan kepentingan, pengertian, tujuan, bagaimana anda boleh
meningkatkan mutu pembacaan, kualiti pembaca yang baik serta bagaimana pembacaan
yang luas dan banyak boleh membawa kejayaan kepada anda.

Pengertian & Kepentingan Membaca


Pembacaan adalah aktiviti yang amat penting dalam proses pembelajaran. Oleh kerana itu,
bagi setiap mata pelajaran terutamanya di sekolah rendah dan menengah di negara kita
telahpun ditetapkan sekurang-kurangnya sebuah buku teks oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia sebagai bahan bacaan dan rujukan utama. 

Membaca ialah suatu proses komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca dengan penulis.
Ianya adalah suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan
teliti dan memahamkan makna kandungannya. - Kamus Dewan Edisi Baru, (1991).

Oleh itu, penekanan utama dalam proses pembacaan sebagai suatu proses komunikasi ialah
kefahaman yang mantap. Dan, oleh kerana membaca adalah suatu proses komunikasi,
pembaca mestilah menumpukan sepenuh perhatian - fikiran, pandangan, penglihatan,
persepsi serta perasaannya - terhadap apa yang dibaca agar benar-benar dapat memahami
serta menjiwai maksud yang tersurat serta yang tersirat pada apa yang dibaca.

Kurang kemahiran membaca bukan sahaja akan menyebabkan proses pembelajaran anda
menjadi sukar, malah minat anda untuk membaca juga boleh terturun atau menurun.
Namun, sekiranya anda mahir dan cekap membaca, proses pembelajaran anda bukan
sahaja akan menjadi lebih lancar, malah, anda akan lebih pantas pula faham serta
mengingati fakta-fakta penting dari bahan yang anda baca itu. Ini secara tidak langsung
pula akan meningkatkan lagi minat anda untuk membaca dan membaca. Anda juga akan
dapat menjimatkan masa anda serta membuat lebih banyak aktiviti pembelajaran.
TEKNIK MEMBACA BERKESAN

Teknik Membaca PQRST 

Sistem PQRST adalah suatu teknik membaca yang diperkenalkan oleh Thomas, Ellen
Lamar; Robinson dan H. Alan dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In
Every Class". 
Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca PQRST ini.
(a) Preview (Tinjau)
Preview. TINJAU tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan
memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses
meninjau ini adalah untuk anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting
pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang
kandungan buku itu, fikiran anda akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang
atau diutarakan pada buku tersebut. 
(b) Question (Soal)
Question. SOAL diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai
soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialah Meningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi,
bentuk soalan yang boleh anda buat ialah “Bagaimana saya dapat meningkatkan mutu
pembacaan saya?” Dengan adanya soalan itu semasa anda membaca, tumpuan fikiran anda
akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang
tertumpu pada fikiran anda pada ketika anda membaca. 
(c) Read (Baca)
Baca satu seksyen ke satu seksyen untuk mencari jawapan soalan yang anda telah bentuk
itu. Sambil MEMBACA bahan bacaan anda, tumpukan perhatian untuk mendapatkan
jawapan bagi soalan yang anda telah timbulkan itu. Ini merupakan suatu pembacaan yang
aktif. Oleh itu, carilah tempat di mana anda boleh membaca dengan sepenuh tumpuan.
Dengan berbuat demikian, anda akan dapat meningkatkan keberkesanan dan impak proses
pemahaman serta pengingatan anda terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.
(d) Self-Recitation (Menyebut Kendiri) 
MENYEBUT KENDIRI ialah suatu proses di mana anda mencuba ingat fakta-fakta utama bab
atau bahan yang anda telah baca. Adalah lebih berkesan jika anda menyebutkan fakta-fakta
kepada diri anda secara lisan. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang
anda telah baca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara
serentak.
(e) Test (Uji)
UJI diri anda setelah anda habis membaca keseluruhan bab. Fikirkan berapa banyakkah
idea-idea daripada bab yang baru anda baca itu dapat anda ingati. Pada peringkat inilah
anda harus mula menyimpan apa yang telah anda pelajari ke dalam ingatan jangka panjang
anda.

Dengan menggunakan Teknik Membaca PQRST, masalah terlalu banyak untuk dibaca akan
dapat anda atasi. Teknik Membaca PQRST ini memudah dan mempercepatkan proses
pembacaan serta pengingatan anda.

Membaca Dengan Berkesan:  Panduan Umum 

Fokuskan Kepada Isu Yang Anda Baca

Semasa membaca, tumpukan sepenuh perhatian dan fikiran anda kepada TOPIK yang anda
sedang baca.

Fahami Dahulu Baru Hafal

Tumpukan perhatian kepada MEMAHAMI dan mendapat idea-idea atau fakta-fakta utama
bacaan anda. Jangan hiraukan tahap kelajuan membaca anda. Yang penting ialah anda
faham apa yang anda sedang baca. Anda akan lebih mudah mengingati fakta-fakta atau isi-
isi utama / bahan-bahan yang anda baca jika anda memahami apa yang anda baca.
Menghafal tanpa memahami apa yang anda baca boleh menyebabkan anda cepat bosan
belajar. Jika anda faham apa yang anda baca, minat anda akan meningkat untuk membaca
seterusnya. Di samping itu, anda pula akan lebih mudah membuat nota daripada bacaan
anda. 

Perkataan yang Anda Tidak Mengerti

Sekiranya terdapat perkataan-perkataan yang anda tidak tahu ertinya semasa anda
membaca, anda tidak harus serta-merta membuka kamus jika perkataan itu tidak begitu
penting. Memberhentikan bacaan untuk mendapat pengertiannya akan mengganggu proses
pembacaan anda. Anda hendaklah tandakan dengan pensil perkataan yang anda tidak
fahami itu. Apabila selesai bacaan, barulah anda cari pengertiannya. 

Perbendaharaan Kata

Setiap perkataan baru yang terdapat dalam bahan bacaan, hendaklah anda kumpulkan ke
dalam sebuah buku khas. Di samping perkataan itu, catatkan pengertiannya serta ayat
yang sesuai bagi perkataan tersebut. Cuba gunakan perkataan-perkataan itu dalam
karangan dan percakapan anda sehari-hari. Dengan cara ini anda akan dapat
memperluaskan pengetahuan anda tentang perkataan-perkataan, baik dari segi pengertian
mahupun kegunaannya. Dengan adanya perbendaharaan kata yang luas, bukan saja
bacaan anda menjadi lancar, bahkan anda akan lebih mudah memahami semua yang
terkandung dalam buku itu.

Gambar Rajah

Anda hendaklah memberi perhatian kepada gambar-gambar atau rajah-rajah di dalam


buku. Biasanya, gambar atau rajah mengandungi maksud yang menerangkan sesuatu
dengan lebih jelas. Ini membolehkan anda memahami huraian buku tersebut dengan lebih
mudah. Ingat peribahasa Cina ini: "A picture is worth a thousand words".

KUALITI-KUALITI PEMBACA YANG BAIK

Pembaca yang baik adalah yang:

 Memahami hakikat keharusan atau kepentingan membaca.


 Memastikan semua bacaan yang dibacanya, difahami dengan sepenuhnya. 
 Boleh mengulas kembali buku yang dibaca dengan terperinci dan mampu
merealisasikan apa yang difahami ke dalam kehidupan sehariannya. 

Peringatan

 Anda mestilah membaca buku berkaitan mata pelajaran yang anda akan pelajari
sebelum ianya diajar oleh guru di kelas.
 Sewaktu membaca, garis atau catat isi-isi pentingnya.
 Sediakan soalan-soalan jika perlu.

 BIO PERSEKOLAHAN TAIDIN SUHAIMIN - PENULIS


Bekas Pelajar Terbaik Yayasan Sabah dan Pelajar Sekolah Alam Shah, KL. Pernah dianugerahkan Sijil
Penghormatan Dekan sebanyak 3 kali oleh UiTM, CGPA=3.50. Ketua Pengawas Sekolah (Sekolah Tunku
Ampuan Durah, Seremban, N. Sembilan, 1975-1976), Presiden Pelajar-Pelajar Sabah UiTM, Shah Alam,
1978-1979, Presiden Pelajar-Pelajar Malaysia University of Lancaster, UK, 1989-1990 serta Pengerusi PIBG
SK Darau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah 1998-2001. Sejak tahun 1993 - perunding dan penceramah
motivasi, kepimpinan, dan komunikasi.

Anda mungkin juga menyukai