Anda di halaman 1dari 1

HARGA BARANGAN SEMAKIN MENINGKAT.

CADANGKAN LANGKAH-LANGKAH YANG


SESUAI DILAKSANAKAN BAGI MENGHADAPI MASALAH TERSEBUT.

Dalam meniti kehidupan marcapada, isu berkenaan kenaikan harga barang acap kali diutarakan di media
massa . Perkara yang menimbulkan pertanyaan kepada kita adalah mengapakah harga barangan di
pasaran pada masa ini meningkat dari masa ke masa? Apakah faktor yang menyumbang kepada
kenaikan harga barangan di pasaran yang begitu drastik perubahannya ini? Segala pertanyaan ini
bagaikan tergantung begitu sahaja tanpa ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, apakah langkah-langkah
yang sesuai dilaksanakan bagi menghadapi masalah ini?

Antara langkah yang boleh dijalankan bagi menghadapi masalah ini ialah para pengguna itu sendiri
perlulah bijak dalam menilai harga barangan di pasaran sewaktu berbelanja. Hal ini berlaku demikian
kerana dalam menjalani kehidupan yang berteraskan wang ringgit ini, terdapat sebilangan peniaga yang
suka menangguk di air keruh untuk kepentingan mereka sendiri. Sehubungan dengan itu, pengguna yang
bijak menilai harga barangan di pasaran akan dapat mengatasi masalah ini dengan mudah. Sebagai
contoh, seorang pengguna yang bijak akan melakukan penilaian harga sesuatu barangan di sebuah kedai
dan membandingkan harga barangan tersebut di beberapa buah kedai yang lain. Oleh itu, sikap para
pengguna dalam berbelanja itu sendiri memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah harga
barangan yang semakin meningkat ini.

Selain itu, kaedah lain yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah harga barangan yang semakin
meningkat di pasaran masa ini ialah persatuan pengguna perlulah mengadakan pemantauan harga
barangan di premis-premis perniagaan yang berada dalam kawasan tugasan mereka. Hal ini berlaku
demikian kerana para peniaga yang tidak bertanggungjawab ini akan berasa takut untuk meneruskan
sikap suka mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri. Natijahnya, para pengguna akan
dapat berbelanja dengan harga yang sepatutnya walaupun barangan tersebut tinggi nilainya. Tamsilnya,
persatuan pengguna perlulah menetapkan tarikh untuk menjalankan rondaan terhadap premis-premis
perniagaan yang berada dalam kawasan jagaan mereka. Oleh itu, pemantauan yang kerap dijalankan
oleh persatuan pengguna juga boleh membantu dalam membendung masalah kenaikan harga barangan
di pasaran pada masa ini.

Bukan itu sahaja, alternatif lain yang boleh di usulkan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan
di pasaran pada masa ini ialah kerja-kerja pengeluaran perlulah dilaksanakan seiring dengan permintaan
pengguna. Hal ini berlaku demikian kerana harga barangan tersebut akan berada pada nilai yang sama
kerana kadar pengeluaran barangan yang dilakukan dapat memenuhi permintaan pengguna. Impaknya,
isu kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini akan dapat diselesaikan dengan mudah.
Tamsilnya, harga suatu barangan akan sama nilainya apabila kadar pengeluaran dan permintaan para
pengguna seimbang. Manakala harga sesuatu barangan akan jatuh atau naik apabila pengeluaran dan
permintaan pengguna tidak berada pada tahap yang sama. Oleh itu, kenaikan harga barangan di pasaran
juga dipengaruhi oleh faktor pengeluaran serta permintaan pengguna.

Konklusinya, jelaslah bahawa terdapat berbagai-bagai kaedah yang boleh dilakukan bagi membendung
masalah kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini.Oleh itu, masyarakat perlulah sentiasa
bersikap cakna terhadap perubahan harga barangan di pasaran supaya mereka tidak mudah tertipu.
Sekiranya semua pihak mengambil langkah yang di cadangkan di atas, sudah pasti masalah kenaikan
harga barangan di pasaran kini akan dapat dikawal. Jelaslah, perhatian serta kerjasama semua pihak
amatlah diperlukan bagi menyelesaikan isu yang semakin membimbangkan ini.