Anda di halaman 1dari 9

SULIT

UNIT PENILAIAN DAN PEPERIKSAAN


SMJK CHUNG HWA, KOTA BHARU,
KELANTAN DARUL NAIM

PEPERIKSAAN PERCUBAAN
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2010 1103/2
BAHASA MELAYU
Kertas 2
Ogos
2 ½ jam Dua jam tiga puluh minit

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA DIBERITAHU

1. Kertas soalan ini mengandungi empat soalan.

2. Jawab semua soalan.

3. Jawapan bagi Soalan 2(b), Soalan 2(c), Soalan 2(d) dan Soalan 4
berdasarkan teks Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan
Tingkatan 5 .

4. Jawapan anda hendaklah ditulis dalam buku jawapan yang disediakan.


Sekiranya kertas jawapan tidak mencukupi, sila dapatkan helaian tambahan
daripada pengawas peperiksaan.

5. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi.

Kertas soalan ini mengandungi 9 halaman bercetak dan 1 halaman tidak bercetak
Lihat sebelah
1103/2  2010 Hak Cipta SMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT
SULIT 2 1103/2

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang keburukan menonton
rancangan televisyen terhadap kanak-kanak dan usaha untuk mengatasinya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini banyak rancangan televisyen disiarkan bagi memenuhi cita rasa
semua golongan masyarakat. Sejajar dengan perkembangan media massa di Malaysia, rancangan
televisyen yang kebanyakannya terdiri daripada genre aksi, komedi, cinta dan seram ditingkatkan
keluarannya. Tanpa disedari, masyarakat terutamanya kanak-kanak mula terpengaruh oleh
rancangan televisyen. Mereka dikatakan menonton kerana inginkan ketenangan jiwa dan sudah
ketagihan pada rancangan tertentu. Ada juga yang memberikan alasan dangkal seperti bosan
tinggal di rumah seorang diri atau tidak ada kerja lain yang harus dilakukan selain menonton
televisyen. Biar apa pun alasannya, mereka ini kelihatan tidak menyedari keburukan di
sebaliknya.

Kajian yang dijalankan oleh pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) menunjukkan
bahawa rancangan televisyen telah mempengaruhi kanak-kanak dalam pelbagai aspek. Salah
satu keburukannya ialah penerapan budaya barat yang turut dikenali sebagai ‘ budaya kuning’.
Belakangan ini rancangan televisyen yang dibawa masuk dari luar negara melebihi penerbitan
tempatan . Rancangan televisyen ini kebanyakannya mengandungi unsur keganasan yang tidak
sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak kerana mampu membawa keruntuhan akhlak.
Penggunaan bahasa kesat dan bahasa rojak secara berlebihan yang terdapat dalam rancangan
televisyen turut membawa keburukan kepada kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana
kanak-kanak tidak dapat membezakan antara perkara yang baik daripada yang buruk. Akibatnya,
kanak-kanak tidak akan dapat mempelajari bahasa yang betul. Hal ini juga bertentangan dengan
hasrat kerajaan untuk mewujudkan golongan masyarakat yang celik bahasa. Pelbagai kempen
kerajaan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan kita seperti “Budi Bahasa Budaya Kita” dan
“Bahasa Jiwa Bangsa” sudah pasti tidak akan kesampaian.

Menurut Dr. Kasmini Kassim, Pakar Perunding Psikiatri Keluarga dan Kanak-kanak,
Hospital Pakar Damansara, kanak-kanak suka menonton televisyen , khususnya filem dan
kartun kerana terpengaruh oleh aksi watak wira dalam filem atau rancangan kartun itu. Yang
menjadi kebimbangannya ialah mereka akan meniru watak wira sehingga menjadi agresif dan
ganas, terutamanya ketika menonton aksi watak wira menewaskan watak jahat. Sebenarnya,
menonton rancangan televisyen seperti kartun yang terlalu banyak menyebabkan minda kanak-
kanak mungkin terperangkap antara dunia realiti dengan dunia fantasi. Sebagai contohnya,
walaupun pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung dalam kelas, kanak-kanak akan
berkhayal tentang rancangan televisyen tersebut. Kesannya, fokus kanak-kanak dalam kelas
semakin berkurangan.

Ketagihan pada rancangan televisyen akan menyebabkan kanak-kanak leka dan alpa
untuk menyelesaikan kerja sekolah mereka. Kanak-kanak juga tiada lagi masa untuk menelaah
pelajaran sehingga keputusan peperiksaan yang diduduki semakin menurun. Hal ini bertambah
serius sekiranya kanak-kanak tidak insaf dan meneruskan perbuatan mereka menonton
rancangan televisyen tanpa melakukan sebarang aktiviti yang berfaedah. Secara tidak langsung,
hal ini memberikan kesan terhadap pembentukan sahsiah, rohani, intelek , emosi dan sosial
kanak-kanak. Sementara itu, rancangan televisyen juga menjejaskan kesihatan kanak-kanak
seperti kekurangan tidur yang seterusnya mengakibatkan mereka mengantuk dan pening kepala.

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 3 1103/2
Menonton rancangan televisyen yang terlalu banyak juga merosakkan penglihatan akibat mata
tidak mendapat rehat yang secukupnya. Secara keseluruhannya, kesihatan fizikal dan mental
kanak-kanak akan terjejas jika menonton televisyen secara berlebihan.

Segala keburukan televisyen terhadap kanak-kanak patut dikhuatiri, apatah lagi apabila
mereka tidak dapat menikmati keseronokan semula jadi yang dialami pada peringkat umur ini
serta akan berfikiran dan berkelakuan pasif. Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan
penting agar tabiat buruk anak-anak mereka tersebut dapat dijauhi sebelum mendatangkan kesan
yang buruk, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kanak-kanak juga haruslah
menyedari bahawa bukan semua rancangan televisyen mendatangkan kebaikan.
(Disesuaikan daripada artikel “Keburukan Televisyen kepada
Kanak-Kanak oleh Alysha Jaykant, Dewan Siswa, April 2008)

Soalan 2 : Pemahaman

[35 markah]

Soalan 2(a) — Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata “terperangkap antara dunia realiti dengan dunia fantasi”.
[2 markah]

(ii) Kenapakah kanak-kanak mudah terpengaruh oleh pelbagai rancangan yang disiarkan dalam
televisyen?
[3 markah]

(iii) Tidak semua ciptaan teknologi moden itu mendatangkan keburukan kepada masyarakat.
Pada pandangan anda, apakah kebaikan-kebaikan ciptaan teknologi moden seperti
televisyen kepada masyarakat?
[4 markah]

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 4 1103/2

Soalan 2(b) — Petikan Prosa Moden

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Akmal! Jangan!”
Bang!!!
Teriakan Annyss serentak dengan pergerakan peluru Akmal yang menemui sasarannya tepat ke dada
Strenn.
Akmal tumbang. Kesakitan yang merayap pada tubuh Strenn, entah mengapa, turut menggigit
dirinya, walaupun tidak berdarah.
“Akmal, kenapa kau buat begitu?” Annyss seakan-akan menyesali tindakannya.
“Tiada siapa yang sanggup membunuhnya. Aku juga tahu di Alstonia, siapa yang
membunuh akan mati bersama-sama orang yang dibunuh.” Nafasnya tersekat seketika. Kemudian
dia menyambung, “Dia tidak layak untuk hidup, walaupun aku galang gantinya.”
Tangan Akmal menyeluk saku kemejanya. “Malam ini hari lahir kau, bukan?” Dia menarik
nafas yang hampir sesak. “Aku ada bawakan kau kad berirama dari bumi. Ini sahaja, untuk hari
jadimu, Annyss dan kau juga Eryique.”
Titis demi titis air mata perawannya gugur. Hatinya terasa luluh. Pengorbanan Akmal terlalu
besar nilainya. Mereka berdua tidak dapat membiarkannya begitu sahaja. Annyss merenung mata
Eyrique. Kembarnya mengangguk, mengerti mesej yang dihantar oleh Annyss.
Serentak tangan mereka diletakkan ke atas dada Akmal, tempat lukanya yang tidak kelihatan itu.
Seberkas cahaya kebiruan meresap ke dalam tubuh sahabat Buminya. Perlahan-lahan mata
Akmal terpejam erat. “Betulkah tindakan kita, Eyrique?”
Kembarnya mengangguk lagi, “Sebahagian daripada nafas kita telah bersimpul di
penghujung nyawanya. Biarkan dia tidur.”

(Dipetik daripada cerpen Annyss Sophillea oleh


Nisah Haji Haron dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Kenapakah Annyss Sophillea seakan-akan menyesali tindakan Akmal selepas melihat
Akmal tumbang?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, kenapakah Akmal ”dimatikan” oleh pengarang dalam cerpen ini?
[3 markah]

(iii) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas, dan dua nilai murni lagi
daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 5 1103/2

Soalan 2 (c) Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka diambilnya bayan tua seekor yang tinggal itu hendak disembelihnya. Maka kata bayan
itu, “Hai budak, jika engkau bunuh aku, tiadalah akan kenyang engkau makan dagingku yang
sekepal ini, melainkan engkau jualkanlah aku ini dengan harga dua ribu dinar boleh engkau
makan sampai anak cucumu! Bawalah aku ini kepada raja di dalam negeri ini. Kudengar ada
penyakit sopak pada kaki raja itu dan tangannya. Aku tahu ilmu tabib. Akulah mengubati dia.”
Setelah didengar oleh budak itu, maka dibawanya bayan itu kepada raja itu. Apabila tiba ia
kepada orang penunggu pintu raja, maka kata budak itu, “Hai, penunggu pintu, tuan hamba
persembahkanlah kepada raja bahawa adalah hamba berjual seekor burung bayan, tahu ia akan
ilmu tabib! Maka harganya empat ribu dinar.
Maka oleh penunggu pintu itu dipersembahkannya kepada raja. Maka titah raja, “ bawalah ia
masuk.”
Setelah sudah budak itu masuk, maka titah raja, “Hai kanak-kanak, hendak jualkan burungmu itu?
Berapa harganya?”
Maka sembah budak itu, ”Empat ribu dinar, tuanku.”
Maka titah raja seraya tersenyum, Berapakah engkau katakan yang tiada layak? Bukan harganya
demikian itu, unggas yang sekepal ini.”
Setelah didengar oleh bayan titah raja itu, maka sahutnya, “Hai, raja besar yang berakal, sempurna
bicaranya, duli yang maha mulia, belilah juga patik ini, supaya penyakit duli syah alam ini patik
ubati! Insya-Allah Taala nescaya hilanglah penyakit tuanku itu.”
Setelah didengar oleh raja demikian itu, maka dibelilah oleh raja dengan harga empat ribu
dinar.

(Dipetik daripada Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya,


dalam antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud rangkai kata “unggas yang sekepal ini”.


[2 markah]

(ii) Mengapakah budak itu tidak membunuh bayan tua itu?


[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, kenapakah raja itu membeli bayan tua walaupun harganya agak
mahal?
[3 markah]

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 6 1103/2
Soalan 2(d) — Petikan Puisi

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku


pada setiap pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang. Sejak itu
tidak kukesal lagi
goda dan duga
di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku


pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang. Sesudah itu
tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi


adalah titipan maya
bakal kukongsikan hati
mengukir tadbir di ruang gemanya.

DHARMAWIJAYA
Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

i) Berikan maksud rangkai kata “ Telah kupahatkan lelah umurku”.


[2 markah]

ii) Pada pandangan anda, apakah yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk menghargai
sumbangan mereka yang berjasa kepada negara?
[4 markah]

iii) Nyatakan tiga persoalan yang ingin disampaikan dalam sajak di atas.
[3 markah]

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 7 1103/2

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap pasangan perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan
bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh
menambahkan imbuhan, dan menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama
khas.

(i) swasta
swalayan
swadaya

(ii) prabayar
prasekolah
pramatang
[6 markah]

(b) Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang dikemukakan .

Akhir-akhir ini masalah penyeludupan sama ada dalam bentuk barangan ataupun manusia
semakin menjadi-jadi di negara ini. Keprihatinan pihak media massa memaparkan masalah
penyeludupan yang kritikal di sempadan laluan antarabangsa seperti Kelantan, Kedah, Perlis,
Sabah dan Sarawak menunjukkan betapa pentingnya masalah ini diatasi dengan segera,
apatah lagi pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengeluarkan amaran
bahawa Malaysia merupakan negara transit untuk pemerdagangan manusia dan juga
penyeludupan dadah.
Oleh itu, kerjasama yang kukuh antara negara yang bersempadan dengan Malaysia
haruslah diperkukuh bagi mengatasi masalah ini dengan berkesan agar manfaatnya dapat
diperoleh bersama.

(i) Nyatakan dua contoh kata nama khas.

(ii) Kemukakan dua contoh kata kerja transitif.

(iii) Berikan dua contoh kata ganda.

[6 markah]

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 8 1103/2

(c) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak
boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan
imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Masalah kesesakkan lalu lintas di bandaraya merupakan fenomena yang tidak asing
lagi bagi negara kita yang begitu pesat membangun.

(ii) Di negara Jepun, pisang dijadikan laris hinggakan kedai runcit di sana sukar
menyediakan stok pisang yang diperlukan. Hal ini berlaku demikian kerana rakyat
Jepun mempercayai bahawa pisang dapat meningkatkan kadar metabolisma tubuh.

(iii) Pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan akan pupus jika kawasan yang direzabkan
sebagai Taman Negara itu tidak diawasi oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa.

[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan
satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap
ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata
atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Tanah jerumus yang berlaku pada kawasan tanah gambut di Puchong, Selangor itu
telah mengakibatkan bangunan yang tinggi retak dan runtuh.

(ii) Pelajar-pelajar dari Afrika Selatan yang terlibat dalam program pertukaran pelajar itu
akan muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira satu
setengah jam lagi.

(iii) Tun Perpatih Putih berterima kasih kepada Baginda Sultan Mansur Syah yang
menganugerahinya pangkat dan hadiah persalinan di atas jasanya memujuk dan
menggembirakan Tuan Puteri Hang Li Po yang masyghul ketika mula-mula sampai di
Melaka.
[6 markah]

(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian kemukakan peribahasa yang sesuai dengan
maksud ayat tersebut.

(i) Tuan Haji Malik telah mengamanahkan anaknya untuk dijaga oleh pembantu rumahnya
sewaktu dia dan isteri keluar bekerja tetapi pembantu rumahnya itu telah melarikan
anaknya di samping mencuri beberapa barangan berharga.

(ii) Wan Chooi suka menceritakan keburukan keluarganya sendiri kepada jiran-jirannya
tanpa memikirkan bahawa perbuatannya itu akan memalukan diri dan keluarga.

(iii) Encik Nadarajan tidak suka membeli barangan elektrik yang murah tetapi tiada jaminan
kualiti. Dia lebih suka membeli barangan yang berjenama walaupun harganya mahal
sedikit.

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT


SULIT 9 1103/2
[6 markah]

Soalan 4 : Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang berikut:

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh

(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf

(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said

(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari

(iv) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain

(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah

(vii) Julia karya Abu Hassan Morad

(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

(a) Pelbagai teknik penceritaan digunakan oleh pengarang untuk menjadikan karyanya menarik
dan berkesan, antaranya menggunakan unsur kejutan. Berdasarkan sebuah novel yang anda
kaji, huraikan dua peristiwa yang dianggap mempunyai unsur kejutan.
[7 markah]

(b) Watak antagonis merupakan watak jahat dalam sesuatu karya atau cerita. Berdasarkan dua
buah novel yang telah anda kaji, nyatakan watak antagonis pilihan anda daripada setiap
novel itu, dan gambarkan kejahatannya .
[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

 2010 Hak Cipta ganosSMJK Chung Hwa, Kota Bharu SULIT

Anda mungkin juga menyukai