Anda di halaman 1dari 1

Biodata Pengarang Makmal ZNF

Shamsinor Zaman Shamsuz dilahirkan di Ipoh, Perak pada 27 Oktober 1975.


Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Rokan, Ipoh Perak.
Selepas itu, beliau meneruskan pendidikan di Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban,
Negeri Sembilan. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-undang,
Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993. Cerpen-cerpen beliau telah
diterbitkan dalam antalogi Annyss Sophillea (DBP) dan Seraut Wajah di Kanvas (DBP).

SINOPSIS (Makmal ZNF)

Zainuddin telah berjaya mencipta satu mekanisme yang membolehkan gelombang


otak seseorang manusia diselarikan dengan gelombang perisian komputer. Otak manusia
tersebut akan dapat dikawal hingga menyebabkan dia berada dalam “alam” tiruan apabila
kedua-dua gelombang itu disatukan. Norhaiza yang telah masuk ke dalam perisian
komputer ZNF gagal kembali ke dunia nyata. Zainuddin yang berasa bersalah atas
kesulitan itu telah mengambil keputusan untuk menyusul Norhaiza dan membawanya ke
luar. Dalam pencariannya itu, Zainuddin menempuh pelbagai rintangan, termasuklah
bertarung dengan seekor naga merah yang besar, iaitu serangan daripada Syarif atau Si
Botak yang berdendam dengannya. Si Botak telah menyelinap masuk ke dalam sistem
komputer ZNF tanpa dikesan. Pertarungan yang hebat telah berlaku antara mereka
berdua. Akhirnya, Zainuddin diselamatkan oleh Fauzi. Tubuh Syarif seolah-olah
mencair di dalam satu lingkaran data. Zainuddin dan Fauzi berjaya ke alam nyata dengan
bantuan Norhaiza. Makmal mini Si Botak yang terletak di dalam sebuah banglo di
pinggir bandar musnah apabila banglo tersebut didapati terbakar. Namun yang
membimbangkan Zainuddin, Fauzi dan Norhaiza ialah mayat Si Botak tidak pula ditemui
dalam kebakaran tersebut.