Sejauh mana kebenaran pendapat yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh tersebut belum dapat
dipastikan memandangkan saya sendiri tidak memiliki ilmu yang tinggi mengenai konsep yang
dibincangkan itu. Jadi adalah diharapkan melalui kajian-kajian keperpustakaan atau pembacaan
saya berkaitan tajuk yang dibincangkan, saya bukan sahaja dapat menjawab persoalan tersebut,
malah dapat menjelaskan beberapa konsep lain yang juga sinonim dengan tajuk yang
dibincangkan ini.
Konsep Perlembagaan
Hasil daripada rujukan dan pembacaan daripada beberapa sumber yang relevan, saya dapati agak
banyak definisi yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh berkaitan bagi konsep perlembagaan itu,
antaranya[1]:
1. A. S. Hornby dalam Oxford Advanced Learner’s Dictionary.
Perlembagaan dimaksudkan sebagai satu sistem berkerajaan di mana undang-undang dan
prinsip-prinsip kerajaan tersebut berpandukan bagaimanakah sesebuah negara itu diperintah.
2. Geoffrey Marshall dan Graeme C.Moodie dalam Some Problems of the Constitution.
Perlembagaan sebagai satu komposisi (gabungan) dan fungsi kepada prinsip bahagian-bahagian
tertentu sesebuah negara yang mengawal kerajaan atau badan yang dikenali sebagai rakyat.
3. C.H. Pritchett dalam International Encyclopedia of Social Sciences.
Perlembagaan sesebuah negara itu sebagai satu rangka kerja peraturan perundangan yang
menjadikan atau membuatkan sistem pemerintahan negara itu.
Pada asasnya, perlembagaan ditakrifkan sebagai prinsip asas yang mengasaskan sesebuah negara
dan memperkenalkan sistem pemerintahan seperti yang termaktub sama ada dalam undang-
undang atau adat perundangan. Perlembagaan adalah sejenis undang-undang yang mengandungi
peraturan-peraturan yang boleh dikuatkuasakan. Beberapa konsep penting yang berkaitan dengan
perlembagaan adalah:
· Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip
sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk
melaksanakan kuasa dan mentadbir negara
· Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga tidak bertulis.
Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh perlembagaan
tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom.
· Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan
kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil serta
menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara.
Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, Tanah Melayu semasa penjajahan British pada
masa itu telahpun mempunyai perlembagaannya. Perlembagaan tersebut digubal berikutan
penubuhan Malaysan Union 1946. Walau bagaimanapun Malayan Union telah mendapat
bantahan daripada penduduk Tanah Melayu memandangkan perlembagaan yang dibentuk gagal
memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Ini adalah kerana banyak perlembagaan tersebut
lebih menguntungkan pihak British berbanding rakyat negara ini. Bahkan perlembagaan tersebut
juga dikatakan telah mengetepikan nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu yang telahpun diwarisi
sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.
Bagi memenuhi tuntukan rakyat pada masa itu, pihak British telah menubuhkan satu
jawatankuasa khas bagi mengkaji dan seterusnya menggubal satu perlembagaan yang dapat
memenuhi tuntutan rakyat di negara ini, khususnya berkenaan dengan nilai-nilai tradisi
masyarakat pribuminya. Nilai-nilai tradisi yang dimaksudkan adalah: Kedudukan istimewa Raja-
raja Melayu; Hak keistimewaan orang Melayu; Agama; dan Bahasa.
Berikut adalah penjelasan bagi keempat-empat nilai tradisi yang terkandung dalam
Perlembagaan Persekutuan itu.
1. Kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong
Beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kaitan
dengan kedudukan istemewa Raja-raja Melayu ini termasuklah Perkara 32, perkara 41, perkara
42, Perkara 44, Perkara153, dan Perkara 122B, perkara 41.
Tradisi pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada masa itu sudahpun menjadi amlan sejak
zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam
masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh
sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana sudah sekian
lama orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Tambahan pula, sistem
pemerintahan beraja akan dapat meningkatkan taat setia rakyat raja dan negara ini. Ketaatan
kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan.
2. Agama Islam
Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan
tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak
seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri,
atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di
kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).
……….