Anda di halaman 1dari 3

Peranan Sebagai Anak: Sama ada BERBAKTI atau DERHAKA!

Hanya itu pilihan yang ada – tiada pilihan ketiga.

MAHU menjadi anak derhaka? Hal ini bukan suatu yang dicita dan diimpikan manusia.
Akal dan fitrah yang sihat pasti akan menolak dan minta dijauhkan daripada terjadi.
Sungguh berkesan sekali ‘kempen anti-derhaka’ melalui kisah-kisah Si Tenggang, Batu
Belah Batu Bertangkup, Anakku Sazali, Al-Qamah dan yang seumpamanya dalam
masyarakat. Akibat buruk dan tragis hidup anak-anak derhaka sudah cukup menghantui
jiwa dan perasaan agar dijadikan sempadan. Di dunia lagi Allah balas secara ‘tunai’
kederhakaan mereka. Sementara di akhirat mereka tidak berpeluang mencium bau
syurga, apatah lagi memasukinya.

Memang benar kes derhaka kepada orang tua itu amat berat. Hampir sebesar dosa
syirik. Sayidina Abu Bakar r.a. pernah menceritakan, “Suatu ketika para Sahabat sedang
duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w. Lalu baginda bertanya: “Mahukah kamu aku
khabarkan dosa yang paling besar? Iaitu dosa syirik kepada Allah dan derhaka kepada
orang tua.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebalikan daripada derhaka ialah berbakti kepada orang tua. Walaupun berlawanan,
kedua-duanya ada pertalian yang rapat. Berbakti kepada ibu bapa sebenarnya sama
besar persoalannya dengan derhaka kepada mereka. Baik dari segi manfaat mahupun
mudaratnya dalam hidup. Namun amat aneh dan mendukacitakan, betapa kurangnya
publisiti dan kempen untuk mewar-warkan kepentingan berbakti kepada ibu bapa.

Kalaupun ada, sasarannya hanya tertumpu kepada anak-anak kecil dan remaja sahaja.
Orang tua dan dewasa tidak menjadi sasaran, sedangkan mereka juga punyai ibu dan
ayah. Ketidakseimbangan ini meninggalkan kesan yan tidak seimbang di hati. Hati terasa
amat takut untuk derhaka kepada ibu bapa. Namun di waktu yang sama tidak terpanggil
untuk benar-benar berbakti kepada mereka.

Perintah Allah
Berbakti kepada orang tua ini bukan perkara kecil, remeh dan enteng. Firman Allah SWT,
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
(Al-Ahqaaf: 15)

Perintah berbakti kepada orang tua ini hukumnya wajib. Ianya sebaris dan seberat
tuntutan wajib solat lima waktu dalam sehari semalam. Malah ia lebih utama daripada
jihad di jalan Allah, taat kepada isteri dan kawan, cinta kepada anak, ibadah haji dan
umrah, menziarahi Nabi s.a.w. dan mengerjakan solat-solat sunat.

Berbakti kepada orang tua juga besar pengaruhnya kepada kualiti kehidupan di dunia.
Manfaat yang diperolehi dengan berbakti kepada orang tua itu antaranya:

1. Hidup menjadi berkat. Diberkati hidup dengan dipanjangkan umur dan dimurahkan
rezeki. Rasulullah s.a.w. ada bersabda, “Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya
dan diluaskan rezekinya, maka ia harus berbakti kepada orang tuanya dan menyambung
hubungan kerabatnya.” (Riwayat Imam Ahmad) Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi
s.a.w., “Tidak ada yang dapat mengubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang dapat
memanjangkan umur kecuali berbakti kepada orang tua.” (Riwayat Tirmizi)

2. Mendapat doa malaikat. Malaikat sentiasa mendoakan orang yang berbuat baik agar
diberi keampunan dan syurga serta dipelihara daripada kejahatan. Doa malaikat adalah
mustajab. Lafaz doa malaikat-malaikat yang memikul ‘Arasy dan yang berada di
sekeliling orang berkenaan ada dinyatakan dalam firman Allah SWT, “Ya Tuhan kami,
dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada
mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri
mereka, dan keturunan mereka semua. Sesunngguhnya Engkau maha perkasa lagi maha
bijaksana. Dan peliharalah mereka daripada kejahatan.” (Al-Mukmin: 8-9)

3. Keturunannya terpelihara. Anak keturunan orang yang berbuat baik dan berbakti
kepada orang tuanya mendapat perlindungan daripada Allah. Menurut Imam al-Qurthubi
(dalam kitabnya Hasan al-Uswah) penjagaan itu sampai kepada tujuh keturunan. Hal ini
difahamkan dari firman Allah SWT, “Sesungguhnya pelindunganku ialah Allah yang telah
menurunkan al-Kitab (al-Quran) dan Dia melindungi orang-orang yang berbuat baik
(soleh).” (Al-A‘raf: 196)

Perlindungan tersebut boleh datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin sahaja kerana
ditolong oleh Rijalul ghaib. Ini dikiaskan daripada kisah Nabi Khidir a.s. yang
membangunkan dinding bangunan yang runtuh tanpa mengambil upah. Apabila ditanya
oleh Nabi Musa a.s., Nabi Khidir a.s. menjawab, “Bapanya seorang yang soleh...” (Al-
Kahfi: 82)

4. Mendapat anak yang soleh. Bakti seseorang kepada orang tua mempunyai pengaruh
besar terhadap mutu bakti anaknya sendiri kepadanya. Pertalian ini didedahkan oleh
Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya, “Jauhkanlah dirimu dari wanita-wanita orang lain.
Nescaya wanita-wanitamu akan menjaga kesuciannya. Dan berbaktilah kepada orang
tuamu, nescaya anak-anakmu akan berbakti kepadamu.” (Riwayat Hakim daripada Abu
Hurairah r.a.)

Sementara manfaat di akhirat nanti ialah mendapat keampunan Allah dan dimasukkan ke
dalam syurga bersama kaum keluarganya. Sesungguhnya dapat berkumpul semula
bersama kaum kerabat terdekat di dalam syurga adalah satu kegembiraan. Jika pun ada
anak cucunya yang lebih rendah amalannya namun asalkan mati membawa iman
nescaya Allah SWT akan mengangkat darjat mereka. Ini ditafsirkan dari firman Allah
SWT: “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka
dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada
mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka.” (Ath-Thur: 21)

Soal Syurga & Neraka


Berbakti kepada ibu bapa itu lebih besar ertinya kerana melibatkan persoalan syurga
atau neraka di akhirat nanti. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya keredhaan
Allah itu berada dalam keredhaan ayah, dan kemurkaan-Nya itu berada pada kemarahan
ayah.” (Riwayat Tirmizi dari Abdullah Amru bin al-‘Ash r.a.)

Untuk masuk syurga dan dilepaskan daripada neraka, keredhaan Allah diperlukan. Tanpa
keredhaan orang tua maka tiadalah keredhaan Allah. Ini menjejaskan peluang mereka
memasuki syurga.

Kesan dan pengaruh orang tua kepada nasib anaknya sendiri di akhirat ini dijelaskan lagi
oleh Abu Ummamah r.a. Dia berkata, ada seorang Sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w.
tentang hak orang tua atas mereka. Nabi s.a.w. menjawab: “Bergantung kepada
merekalah syurga atau nerakamu di akhirat nanti.” (Riwayat Ibnu Majah)

Satu lagi pertalian yang tidak kurang penting bahkan menakutkan ialah adanya
hubungan antara tidak berbakti kepada orang tua dengan derhaka kepada mereka.
Sekurang-kurangnya jika berbakti kepada ibu bapa dicuaikan maka amat mudah seorang
itu jatuh derhaka pula kepada mereka. Ini dapat disimpulkan dari suatu kisah ketika
Sayidina Umar al-Khattab menjadi khalifah. Beliau didatangi seorang bapa yang
melaporkan bahawa anaknya tidak berbakti kepadanya. Sayidina Umar pun memanggil
anak itu lalu bertanya, “Kenapa engkau menderhakai bapamu?”
Anak itu menjawab dengan suatu pertanyaan, “Wahai Amirul Mukminin; apakah hak
anak atas orang tuanya?” Sayidina Umar menjawab, “Memilihkan nama yang baik,
memilihkan ibu yang baik (solehah) dan mengajarkan kitab suci.” Anak itu lalu berkata,
“Bapaku tidak pernah memenuhi satu pun daripada hak-hakku itu.” Umar pun berpaling
kepada bapa anak itu dan berkata, “Engkau telah menderhakainya sebelum ia
menderhakaimu.” (Kisah ini ada disebut dalam kitab Hayatu Umar Al-Khattab oleh
Thanthawiyan.)

Sayidina Umar telah menyifatkan kes anak tidak berbakti kepada orang tua sebagai satu
kederhakaan. Ini membawa maksud jika seseorang itu tidak berbakti kepada ibu bapa
maka bererti ia telah derhaka kepada mereka. Ijtihad Sayidina Umar r.a. ini tidak boleh
dipandang rendah. Ini kerana sebagai salah seorang Sahabat utama Nabi s.a.w., beliau
diakui sebagai seorang yang amat faham hukum dan selok-belok perlaksanaan syariah.
Sejajar dengan itu maka dapat diambil kefahaman bahawa tidak berbakti kepada ibu
bapa dan derhaka kepada mereka adalah sinonim.

Oleh itu sebagai anak kita hanya ada satu pilihan, sama ada berbakti atau derhaka
kepada ibu bapa. Pilihan itulah yang ada pada sesiapa sahaja, kerana setiap kita juga
mempunyai ayah dan ibu.

Manfaatkan Diri Untuk Mereka

Cara-cara berbakti kepada orang tua yang masih hidup.Apabila seorang anak
menghulurkan wang, pemberian atau hadiah kepada orang tuanya, ianya hanya
sebahagian dari cara berbakti kepada orang tua yang masih hidup. Ia hakikatnya adalah
memberi sesuatu yang memang mereka berhak untuk mengambilnya. Ertinya, memang
wajar seorang anak menjadikan diri dan hartanya juga sebagai milik orang tuanya.
Kerana Nabi s.a.w. bersabda: “Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, dan
sesungguhnya anak adalah hasil usaha dan perit jerih orang tua yang terbaik. Maka
orang tua berhak makan dari hasil usaha anaknya.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud
dan Ibnu Majah)

Seorang bapa juga berhak mengambil kembali sesuatu yang pernah diberikannya kepada
anaknya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak dihalalkan bagi seseorang yang telah
memberikan sesuatu kepada orang lain, untuk mengambil kembali pemberiannya itu.
Perumpamaan orang yang berbuat demikian ialah seperti anjing yang memuntahkan isi
perutnya setelah terlalu kenyang, kemudian ketika lapar ia menjilat kembali muntahnya
itu. Kecuali (yang boleh berbuat demikian) seorang bapa yang telah memberikan sesuatu
kepada anaknya. Ia berhak mengambil kembali pemberiannya.” (Riwayat Tirmizi, Nasa’i,
Ibnu Majah, Baihaqi dan Abu Daud)

Selain dari itu, banyak lagi yang boleh dan patut dilakukan kepada orang tua untuk
melayakkan diri menjadi seorang anak yang soleh. Berbakti kepada orang tua sama ada
mereka masih hidup atau telah mati, adalah sejajar dengan perintah Allah SWT, “Kami
perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” (Al-
Ahqaaf: 15)

Sekurang-kurangnya ada lapan cara lain di mana seorang anak dapat memberi khidmat
bakti kepada orang tua sewaktu mereka masih hidup. Dan terdapat lapan cara untuk
berbakti kepada orang tua yang sudah meninggal dunia.

Anda mungkin juga menyukai