Anda di halaman 1dari 1

MERAH SILU

Setelah beberapa lama berkahwin, Merah Gajah dan Puteri Betong memperoleh dua orang putera.
Putera sulung bernama Merah Silu dan putera bongsu bernama Merah Hasum. Puteri Betong mempunyai
sehelai rambut yang berwarna keemasan di tengah-tengah kepalanya. Puteri Betong memberitahu Merah
Gajah bahawa mereka berdua akan berpisah jika Merah Gajah mencabut rambut tersebut. Pada suatu
hari, ketika Puteri Betong sedang tidur Merah Gajah mencabut rambut keemasan itu walaupun telah
beberapa kali dilarang oleh isterinya. Merah Gajah menyangka tiada apa-apa perkara yang terjadi jika
mencabut rambut tersebut. Namun begitu, setelah rambut itu tercabut, darah keluar dari liang rambut dan
apabila darah berhenti mengalir, Puteri Betong mangkat.

Orang suruhan Merah Gajah telah menyampaikan berita tersebut kepada ayahanda Puteri Betong,
Raja Muhammad. Raja Muhammad yang marah itu telah telah menyerang dan membunuh Merah Gajah.
Bapa Merah Gajah, Raja Ahmad terlalu marah apabila mendapat berita tentang kematian anakandanya itu.
Peperangan antara Raja Ahmad dengan Raja Muhammad pun berlaku. Askar daripada kedua-dua belah
pihak banyak yang cedera dan mati. Raja Muhammad dan Raja Ahmad turut terkorban dalam peperangan
tersebut.

Tinggallah Merah Silu dan Merah Hasum serta saki-baki rakyat yang masih hidup. Mereka berdua
telah membuat keputusan untuk meninggalkan negeri Semerlanga itu untuk mencari tempat tinggal yang
baharu. Mereka telah tiba di sebuah negeri, iaitu Beruana dan membuka perkampungan di situ. Merah Silu
mendapati bahawa terdapat banyak ikan di dalam sungai dan menyuruh orangnya membuatkannya bubu.
Merah Silu menahan bubunya di hulu sungai itu. Keesokannya, Merah Silu melihat bubunya dipenuhi
cacing gelang-gelang. Setelah beberapa hari bubunya dipenuhi cacing gelang-gelang, Merah Silu
menganggapnya sebagai rezeki yang dikurniakan Tuhan. Cacing gelang-gelang tersebut direbus di dalam
kawah. Dengan takdir Tuhan, cacing gelang-gelang itu menjadi emas manakala buihnya menjadi perak.
Merah Silu telah menjadi orang kaya. Merah Hasum hanya mendiamkan diri apabila diberitahu orang
tentang kejadian tersebut.

Pada suatu hari, Merah Silu mengarahkan askar-askarnya untuk menangkap dan menjinakkan
kerbau jalang (kerbau liar). Merah Silu telah mengupah orang untuk membuat anderak (lubang untuk
menangkap gajah). Kerbau-kerbau liar termasuk ke dalam lubang besar tersebut dijinakkan dengan
mencucuk hidungnya. Merah Hasum telah mendapat berita tentang perbuatan Merah Silu menangkap dan
menjinakkan binatang liar yang tidak disukai oleh orang ramai itu. Merah Hasum menyuruh seorang
hamba menyampaikan nasihatnya kepada Merah Silu. Dalam nasihatnya, Merah Hasum berpendapat
bahawa perbuatan Merah Silu itu tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat di samping memalukannya.
Jika Merah Silu enggan menerima nasihatnya, Merah Silu perlu keluar dari negeri itu.

Merah Silu membuat keputusan untuk meninggalkan negeri itu dengan membawa segala hartanya
dan juga kerbau. Merah Silu sampai di hulu Sungai Pasangan dan simpang hulu Karang. Setelah
beberapa lama tinggal di situ, Merah Silu terpaksa berpindah mencari tempat baharu kerana kerbau telah
memakan tanam-tanaman penduduk di negeri itu. Merah Silu tiba di sebuah negeri yang bernama Buluh
Telang dan berjumpa dengan Megat Iskandar. Merah Silu meminta izin untuk tinggal di negeri itu. Megat
Iskandar membenarkannya dan memberitahu bahawa terdapat banyak tempat untuk kerbau
mendapatkan makanan di negeri itu. Merah Silu amat gemar menyabung ayam sehinggakan orang yang
kalah pun dibayar taruhannya. Hal ini telah menarik orang ramai untuk datang menyabung ayam dengan
Merah Silu dan apabila mereka pulang, Merah Silu memberikan seekor kerbau. Orang yang menonton
juga mendapat seekor kerbau.

Megat Iskandar dan Megat Kedah merupakan kakanda Sultan Maliku’l-Nasar, raja di Rimba Jerlun.
Megat Iskandar dan Megat Kedah dan semua rakyat menyayangi Merah Silu. Pada suatu hari, Megat
Iskandar telah berbincang dengan para pembesar dan sekalian rakyat untuk menabalkan Merah Silu
sebagai raja negeri itu kerana kekayaan dan keturunannya daripada golongan raja. Tun Aria Benong
(hulubalang Sultan Maliku’l-Nasar) tidak bersetuju dengan pertabalan tersebut. Merah Silu tetap ditabalkan
menjadi raja. Setelah Merah Silu menjadi raja, Sultan Maliku’l-Nasar datang menyerang negeri itu. Dalam
peperangan itu, Sultan Maliku’l-Nasar terpaksa berundur ke Benua. Merah Silu terus mengejar dan
menyerang Sultan Maliku’l-Nasar di Pertama Terjun, Gunung Telawas, Pekersang dan Kumat. Akhirnya,
Sultan Maliku’l-Nasar tewas di Kumat dan semua rakyat dan askarnya lari bersembunyi. Salah seorang
hulubalangnya, Tun Aria Benong telah lari ke Barus dan ditangkap oleh Raja Barus. Merah Silu ditabalkan
menjadi raja di Rimba Jerlun.

Anda mungkin juga menyukai