Anda di halaman 1dari 15

MENGURANGKAN TINGKAH LAKU NEGATIF MURID BERMASALAH

EMOSI DALAM AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DENGAN


MENGGUNAKAN KAEDAH TOKEN EKONOMI

NURUL AINA BINTI ZAKARIA


INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS ILMU KHAS

ABSTRAK Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengurangkan tingkah laku negatif responden
bermasalah kecelaruan emosi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini telah
dijalankan ke atas dua orang responden tahap tinggi yang bermasalah tingkah laku dan emosi di
sebuah sekolah sekitar Kuala Lumpur. Pendekatan token ekonomi telah digunakan dalam kajian
ini untuk membantu guru mengatasi masalah tingkah laku responden yang mengganggu
kelancaran sesebuah proses pembelajaran. Kaedah ini diaplikasikan dalam proses pembelajaran
dengan memberi ganjaran terhadap tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh responden supaya
penglibatan secara aktif semasa sesi pembelajaran dapat ditingkatkan. Berdasarkan tinjauan
awal, responden didapati kurang bermotivasi untuk melibatkan diri semasa sesi pembelajaran.
Responden didapati sering mendiamkan diri apabila disoal oleh guru dan mengasingkan diri dari
aktiviti pembelajaran. Bagi meningkatkan motivasi responden dalam sesi pembelajaran, token
ekonomi digunakan untuk mengubahsuai masalah tingkah laku responden. Dalam melaksanakan
kaedah ini, guru memberikan token bintang ke atas setiap tingkah laku positif yang ditunjukkan
oleh responden, manakala penarikan token bintang berlaku apabila wujud tingkah laku negatif.
Ganjaran yang sesuai dengan minat responden diberikan pada akhir bulan jika token bintang
berjaya dikumpulkan mengikut mata ganjaran yang disenaraikan oleh pengkaji. Hasil dapatan
kajian selama 3 minggu telah membuktikan bahawa penggunaan token ekonomi dapat
memotivasikan responden bermasalah emosi kepada perubahan positif di mana tingkah laku
negatif responden berkurang.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU


Berdasarkan pengalaman pengkaji sepanjang menjalani praktikal di Sekolah X, pengkaji
mendapati Murid X, telah banyak mempamerkan masalah tingkah laku sewaktu sesi
pembelajaran berlangsung. Berdasarkan hasil maklumat yang didapati daripada
pemerhatian dan temubual bersama guru-guru yang mengajar Murid X, pengkaji
mendapati bahawa Murid X mempunyai masalah kecelaruan emosi. Masalah kecelaruan
emosi Murid X seperti sering dalam kebimbangan dan rasa cemas, mudah menangis dan
merajuk, tidak suka berkomunikasi dan sering mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran telah mengundang ketidaklancaran proses pengajaran yang disampaikan
oleh guru. Permasalahan ini telah memberi kesan buruk ke atas Murid X, guru-guru
yang mengajar serta rakan-rakan sebayanya. Kesan buruk ke atas guru dapat dilihat
apabila proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat disampaikan dengan lancar
kerana guru terpaksa meluangkan masa yang banyak untuk menangani masalah tingkah
laku murid. Apabila perkara ini berlaku, objektif pengajaran yang telah dirancang
sebelumnya adalah sukar untuk dicapai. Selain itu, murid-murid lain yang berada dalam
bilik darjah tersebut juga turut menerima kesan buruk akibat permasalahan ini. Masalah
tingkah laku yang ditunjukkan oleh Murid X telah menyekat peluang murid-murid lain
untuk menerima pengajaran. Contohnya apabila Murid X menangis dengan kuat dalam
bilik darjah, murid-murid lain tidak dapat fokus terhadap pengajaran yang disampaikan
oleh guru. Seterusnya, minat mereka untuk mengikuti pembelajaran juga turut hilang
kerana perhatian mereka telah diganggu oleh Murid X. Disamping itu, pengkaji juga
mendapati masalah Murid X telah memberi kesan buruk terhadap dirinya sendiri.
Apabila masalah tingkah lakunya tidak dibendung oleh guru, Murid X sering
ketinggalan dalam pembelajarannya. Selain itu, rakan-rakan sebayanya juga sering
menyisihkan Murid X kerana tidak menggemari tingkah laku Murid X. Kedua-dua
perkara ini telah menyebabkan Murid X ketinggalan dari segi akademik, dan menjadi
terasing dari masyarakat.

FOKUS KAJIAN
Kajian ini berfokuskan kepada kaedah modifikasi tingkah laku untuk mengurangkan
tingkah laku negatif responden yang bermasalah emosi dengan menggunakan token
ekonomi. Kajian ini menjurus kepada strategi penyelesaian masalah untuk pengkaji yang
mengalami kesukaran dalam menguruskan responden bermasalah tingkah laku dan
emosi kerana karakter responden yang sering berubah-ubah seperti mudah marah,
mudah merajuk, sering mengasingkan diri dari guru dan rakan-rakan, tidak suka
berkomunikasi dan bersosial telah mengakibatkan proses pengajaran dan pembelajaran
sering terganggu. Masalah tingkah laku responden perlu dibendung supaya tingkah laku
responden dapat diperbaiki dan diubahsuai. Justeru itu, kajian ini menyarankan
penggunaan token ekonomi sebagai pengubahsuaian tingkah laku, supaya tingkah laku
responden yang menggangu kelancaran proses pembelajaran dapat dikurangkan serta
menambah penglibatan responden secara aktif dalam aktiviti pembelajaran di bilik
darjah.

Tinjauan dan Analisis Masalah


Terdapat tiga cara pengumpulan data digunakan dalam kajian ini. Pengumpulan data
dilakukan mengikut tiga fasa iaitu sebelum intervensi digunakan, semasa intervensi
dijalankan dan juga selepas intervensi dihentikan. Ketiga-tiga cara pengumpulan data ini
dianalisiskan seperti penerangan dibawah.

Cara Mengumpul Data Sebelum Intervensi


Tinjauan masalah melalui temubual dijalankan sebelum intervensi. Pengkaji telah
menemubual guru-guru yang mengajar responden dan Pembantu Pengurusan Murid
(PPM) yang mengenali responden. Rakaman temubual dilakukan semasa berbual dengan
guru dan juga Pembantu Pengurusan Murid. Apabila sesi temubual selesai, hasil
rakaman dicatat dalam bentuk trankripsi temubual. Selain itu, pengkaji juga telah
membuat tinjauan masalah melalui senarai semak. Untuk mengenalpasti tingkah laku
negatif responden, senarai semak telah diagihkan kepada guru-guru Pendidikan Khas
yang mengajar responden. Senarai semak diisi berdasarkan pengalaman guru tersebut
sepanjang mengajar responden (rujuk lampiran A).

Cara Mengumpul Data Semasa Intervensi dan Selepas Intervensi Dihentikan


Kaedah pengumpulan data semasa intervensi dijalankan dan selepas intervensi
dihentikan adalah sama iaitu kaedah pemerhatian. Pemerhatian dijalankan semasa
responden mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang diajar oleh pengkaji.
Pemerhatian dilakukan adalah bertujuan untuk memerhati kekerapan tingkah laku
negatif responden dalam bilik darjah semasa sesi pembelajaran serta menilai perubahan
tingkah laku responden dari minggu pertama hingga minggu ketiga. Untuk menunjukkan
hasil pemerhatian ke dalam graf, pengkaji telah menggunakan rekabentuk “A-B-A or
Reversal Design”. Rekabentuk A-B-A lebih dikenali sebagai rekabentuk pembalikan di
mana ianya melibatkan data baseline diikuti dengan intervensi dan kembali semula
kepada data baseline. Oleh itu, rekabentuk ini digelar sebagai rekabentuk pembalikan
(reversal design) di mana intervensi ditarik balik pada hujung pemerhatian (rujuk rajah 2
dan rajah 3).

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif umum
Kajian ini bertujuan untuk mengurangkan dua jenis tingkah laku negatif responden iaitu
mendiamkan diri ketika disoal oleh guru dan mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran dengan menggunakan kaedah pengubahsuaian tingkah laku iaitu token
ekonomi.

Objektif khusus
Responden melakukan aktiviti nyanyian sambil membuat pergerakan seperti haiwan
yang disebut dalam lagu.
Responden melakukan aktiviti mengeja, menaip dan menyebut nama haiwan
dengan menggunakan komputer riba.
Responden melibatkan diri dalam aktiviti soal jawab dan mengamalkan angkat
tangan sebelum menjawab soalan.
Responden menyumbangkan pendapat sendiri semasa sesi perbincangan.
Responden mengamalkan ucapan memberi salam dan terima kasih kepada guru dan
rakan-rakan.

KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran yang akan menjadi responden bagi kajian ini terdiri daripada 2 orang
responden berumur 11 tahun dan 12 tahun yang bersekolah di Sekolah X, yang terletak
sekitar kawasan Kuala Lumpur. Kedua-dua responden adalah berjantina lelaki dan
merupakan bangsa Melayu. Mereka ini menetap di kawasan sekitar Kampung Baru.
Responden tergolong dalam kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran yang
mempunyai tahap keupayaan yang tinggi iaitu berkebolehan untuk menulis, membaca
dan mengira.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN


Pengkaji menjalankan tindakan sebagaimana yang telah diaplikasikan dalam kajian
Abdul Rahim dan rakan-rakan (2009) iaitu mengaplikasikan kaedah token ekonomi
mengikut tiga fasa iaitu fasa pertama, fasa kedua dan fasa ketiga. Rajah 1 menunjukkan
proses melaksanakan sistem token ekonomi.
1. Rekodkan
2. Kenal pasti
pemerhatian tingkah
laku tingkah laku sasaran.

3. Pemilihan token 4. Peraturan Kelas Fasa 1 – Data Dasar

5. Perolehan token 6. Menu ganjaran

7. Penarikan Token
& Item Sewaan Fasa 2 – Intervensi

8. Rekodkan
perubahan tingkah
laku Fasa 3 – Susulan

Rajah 1 : Proses Melaksanakan Sistem Token Ekonomi

Fasa 1 – Data Dasar

Rekodkan Pemerhatian Tingkah Laku


Sebelum menjalankan intervensi, pengkaji telah membuat pemerhatian terhadap tingkah
laku responden terlebih dahulu. Pemerhatian dilakukan semasa responden mengikuti
pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah. Selain itu, pengkaji juga memerhatikan
gerak geri responden ketika mereka makan di kantin dan ketika responden bergaul
dengan rakan-rakan sebayanya. Pemerhatian ini bertujuan untuk melihat perwatakan
responden, serta masalah tingkah laku responden secara rawak.

Kenalpasti Tingkah Laku Sasaran


Walaupun pemerhatian ke atas responden telah dijalankan, tingkah laku negatif yang
ingin diperhatikan adalah masih belum jelas. Oleh itu, pengkaji menggunakan kaedah
temubual dan senarai semak untuk mengenalpasti tingkah laku negatif responden.
Apabila maklumat berkenaan tingkah laku negatif responden telah siap dikumpulkan,
pengkaji meneliti dan mengenalpasti tingkah laku yang paling kerap dilakukan oleh
responden dan menyenaraikan tingkah laku tersebut. Tingkah laku yang paling kerap
dan sering mengganggu kelancaran proses pembelajaran akan dianggap tingkah laku
sasaran. Berikut adalah hasil dapatan daripada senarai semak yang telah diagihkan
kepada guru-guru yang mengajar responden. Melalu dapatan ini, pengkaji telah memilih
dua jenis tingkah laku negatif yang paling kerap ditunjukkan oleh responden iaitu
tingkah laku mendiamkan diri ketika disoal dan mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran (rujuk lampiran A).
Jadual 1 :
Hasil Dapatan Melalui Senarai Semak
R Tidak Tidak Berdiam diri Mengasingkan Menangis dan
menyiapkan tumpu ketika disoal diri dari aktiviti merajuk apabila
tugasan perhatian pembelajaran dimarahi
R1 0 3 4 3 1
R2 1 2 3 3 4
JUM 1 5 7 6 5
Petunjuk : R = Responden , R1 = Responden 1, R2 = Responden 2.

Fasa 2 – Intervensi

Pemilihan Token
Pengkaji telah memilih token bintang yang dirasakan bersesuaian bagi kajian ini.
Penkaji mendapati bahawa token bintang adalah sistematik dan sesuai digunakan kerana
ianya cepat dan mudah diberikan kepada responden. Token diberikan kepada responden
dengan cara melukis simbol bintang ke atas jadual token ekonomi. Jika sebarang tingkah
laku negatif wujud, token bintang yang dilukis dengan pen marker akan dipadam oleh
pengkaji.

Peraturan Kelas
Pengkaji telah menetapkan peraturan dalam bilik darjah dan peraturan ini haruslah
dipatuhi oleh responden. Jika responden melanggar peraturan yang diberi, token bintang
akan dipadam dari jadual token ekonomi. Peraturan yang telah ditetapkan oleh pengkaji
diterangkan terlebih dahulu kepada responden demi mengelakkan kekeliruan. Pengkaji
memastikan agar semua responden faham tentang isi peraturan dan membuat
demonstrasi bagaimana responden boleh mendapatkan token bintang.

Jadual 2 :
Peraturan Dalam Bilik Darjah
Bil Peraturan dalam bilik darjah
1. Duduk di tempat sendiri semasa guru sedang mengajar.
2. Dilarang bergerak ke sana sini.
3. Dilarang bising semasa guru sedang mengajar.
4. Dilarang bermain semasa guru sedang mengajar.
5. Dilarang bertutur perkara yang tidak sopan.
6. Dilarang bergaduh dengan rakan-rakan.
7. Siapkan tugasan yang diberikan oleh guru.
8. Patuhi segala arahan yang diberikan kepada guru.
9. Beri salam kepada guru ketika mula waktu belajar.
10. Bersalaman dengan guru ketika tamat waktu belajar.
Perolehan Token
Token diberikan setiap kali responden melakukan tingkah laku positif yang disasarkan
oleh pengkaji. Pengkaji memberitahu kepada responden bahawa setiap tingkah laku
positif yang mereka tunjukan mempunyai nilai yang tersendiri. Nilai tingkah laku ini
ditetapkan sendiri oleh pengkaji dan dipamerkan di dalam bilik darjah sebagai bahan
rujukan ketika pemberian token dibuat. Dengan wujudnya nilai bagi setiap tingkah laku
ini, responden akan berusaha mengumpul token disamping melakukan sesuatu tingkah
laku yang lebih baik dari semasa ke semasa. Jadual 3 menunjukkan nilai token bagi
setiap tingkah laku positif.

Jadual 3 :
Perolehan Token
Bil Tingkah laku positif Nilai Token
1. Responden mengangkat tangan ketika menjawab soalan 5 bintang
2. Responden tidak membuat bising semasa pengkaji sedang mengajar. 5 bintang
3. Responden memberi perhatian semasa pengkaji sedang mengajar. 5 bintang
4. Responden memberi salam semasa masuk dan keluar bilik darjah. 4 bintang
5. Responden menyiapkan tugasan yang diberikan. 4 bintang
6. Responden menyumbang pendapat semasa sesi pembelajaran. 3 bintang
7. Responden dapat menjawab soalan dengan betul. 3 bintang
8. Responden bertutur dengan sopan. 2 bintang
9. Responden menunjukkan sahsiah dan contoh yang baik. 2 bintang
10. Responden patuh pada arahan yang diberikan oleh pengkaji. 2 bintang

Menu Ganjaran
Pemilihan menu ganjaran adalah berdasarkan minat responden. Responden diingatkan
supaya berusaha untuk mendapatkan ganjaran yang diidamkan dengan mengumpul
token bintang sebanyak yang mungkin. Jika responden berjaya mengumpul token seperti
jadual dibawah, responden akan mendapat ganjaran yang mereka inginkan. Jika
responden tidak berjaya mencapai sasaran tersebut, responden hanya akan mendapat
ganjaran yang kecil sahaja.

Jadual 4 :
Sasaran Untuk Mengumpul Bilangan Token
Bil. Ganjaran Jumlah token yang perlu dikumpul
Kereta mainan 50 bintang
Bola sepak 50 bintang
Kek 30 bintang
Mainan plastesin 30 bintang
Donat 20 bintang
Coklat coki-coki 10 bintang
Penarikan Token
Dendaan atau hukuman terhadap responden dikenakan dengan cara penarikan balik
token. Penarikan balik token adalah dendaan yang diberikan kepada responden jika
responden melakukan tingkah laku negatif (Abdul Rahim, 2009). Jika responden
melanggar peraturan bilik darjah, token bintang akan dipadam dari jadual token. Jumlah
penarikan token adalah bergantung kepada kehendak pengkaji.

Jadual 5 :
Cara Penarikan Token Bintang
Cara penarikan token bintang
Responden A memperoleh 5 token bintang
Pengkaji menarik token 2 token bintang
Penarikan token 5–2
Jumlah token 3 token bintang

Fasa 3 – Susulan
Rekodkan Perubahan Tingkah Laku
Dalam kajian ini, pengkaji telah membuat pemerhatian secara sistematik dengan
menggunakan borang data perekodan kekerapan atau peristiwa iaitu “event recording”.
Pemerhatian ini telah direkodkan dengan cara “tally counting”. Melalui pemerhatian ini,
pengkaji dapat mencatatkan jumlah tingkah laku yang diperhatikan dalam tempoh masa
yang telah dirancang serta melihat perubahan tingkah laku responden (rujuk lampiran
B). Selepas perlaksanaan sistem token ekonomi, pengkaji akan menilai kembali
perubahan-perubahan tingkah laku ke atas responden yang disasarkan. Berdasarkan
pemerhatian yang dijalankan ke atas responden, perubahan tingkah laku responden dapat
dilihat menerusi Rajah 2 dan Rajah 3. Melalui rajah ini, pengkaji dapat membuat
perbandingan prestasi responden sebelum, semasa dan selepas token ekonomi digunakan
ke atas responden.

ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA


Hasil pemerhatian direkodkan dalam borang “Event Recording” di mana setiap tingkah
laku negatif yang wujud dicatat kekerapannya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung dalam bilik darjah. Pemerhatian telah dilakukan sebanyak 9 kali dalam
dalam masa 3 minggu. Jangka masa bagi setiap satu sesi pembelajaran ialah 60 minit.
Rajah 2 adalah hasil pemerhatian ke atas dua jenis tingkah laku negatif yang telah
dipamerkan oleh Responden 1 dan Responden 2 sepanjang tempoh 3 minggu.
Analisis Data Tingkah Laku Negatif Responden 1

6
Tiada Intervensi Intervensi Dijalankan Intervensi Dihentikan
(baseline) (intervensi) (baseline 2)

4 TL 1 -
Mendiamkan
diri ketika
3
disoal

2 TL 2 -
Mengasingkan
diri dari aktiviti
1
pembelajaran

0
5 Julai 6 Julai 7 Julai 11 Julai 12 Julai 13 Julai 19 Julai 20 Julai 21 Julai
2010 2010 2010 2010 2010 2010 2010 2010 2010

Rajah 2 : Kekerapan Tingkah Laku Negatif Responden 1

Rajah 2 menunjukkan bahawa kekerapan tingkah laku negatif bagi Responden 1 adalah
tinggi pada minggu pertama di mana tiada intervensi dijalankan. Kekerapan tingkah laku
negatif semakin menurun pada minggu kedua apabila sistem token ekonomi dijalankan.
Manakala bagi minggu ketiga pula, tingkah laku negatif masih lagi berlaku namun
kekerapannya adalah yang rendah.

Jadual 6 :
Jumlah Tingkah Laku Negatif Responden 1
Fasa Kekerapan Tingkah Laku Negatif
TL 1 + TL 2
Minggu Pertama (Tiada intervensi) 23 kali
Minggu Kedua (Intervensi) 8 kali
Minggu ketiga (Intervensi dihentikan) 4 kali
Analisis Data Tingkah Laku Negatif Responden 2

6
Tiada Intervensi Intervensi Dijalankan Intervensi Dihentikan
(baseline) (intervensi) (baseline 2)

4
TL 1 -
Mendiamkan
3 diri ketika disoal

2 TL 2 -
Mengasingkan
diri dari aktiviti
1 pembelajaran

0
5 Julai 6 Julai 7 Julai 11 Julai 12 Julai 13 Julai 19 Julai 20 Julai 21 Julai
2010 2010 2010 2010 2010 2010 2010 2010 2010

Rajah 3 : Kekerapan Tingkah Laku Negatif Responden 2

Rajah 3 menunjukkan bahawa kekerapan tingkah laku negatif bagi Responden 2 adalah
tinggi pada minggu pertama di mana tiada intervensi dijalankan. Kekerapan tingkah laku
negatif didapati semakin menurun pada minggu kedua apabila sistem token ekonomi
dijalankan. Manakala bagi minggu ketiga pula, kekerapan tingkah laku negatif didapati
meningkat namun bilangannya masih pada kadar yang rendah.

Jadual 7 :
Jumlah Tingkah Laku Negatif Responden 2
Fasa Kekerapan Tingkah Laku Negatif
TL 1 + TL 2
Minggu Pertama (Tiada intervensi) 19 kali
Minggu Kedua (Intervensi) 5 kali
Minggu ketiga (Intervensi dihentikan) 5 kali
Analisis Data Tingkah Laku Negatif Responden 1 dan Responden 2

25

20

15
Responden 1

10 Responden 2

0
Minggu Pertama (Tiada Minggu Kedua (Token Minggu Ketiga (Token
Intervensi) Ekonomi) Ekonomi Ditarik)

Rajah 4 : Perbandingan Kekerapan Tingkah Laku Negatif Responden 1 dan Responden


2 Sepanjang 3 Minggu

Rajah 4 menunjukkan prestasi tingkah laku negatif kedua-dua responden dalam kajian
ini. Statistik menunjukkan bahawa kekerapan tingkah laku negatif responden mula
berkurang pada minggu kedua dan minggu ketiga.
Berdasarkan rajah tersebut, kadar kekerapan tingkah laku negatif adalah tinggi pada
minggu pertama semasa intervensi token ekonomi belum diaplikasikan ke atas kedua-
dua responden. Sebelum menggunakan token ekonomi pada minggu pertama, kaedah
amaran digunakan untuk mengatasi masalah tingkah laku murid. Pengkaji mendapati
bahawa kaedah amaran didapati kurang berkesan kerana kekerapan tingkah laku negatif
murid pada minggu pertama adalah tinggi.
Kekerapan tingkah laku negatif mula beransur kurang pada minggu kedua di mana
sistem token ekonomi mula dijalankan. Semasa minggu kedua, pengkaji telah berjaya
melakukan sistem token ekonomi dengan lancar kerana token ekonomi telah mendapat
sambutan yang begitu menggalakkan dari kalangan responden. Minggu kedua adalah
titik kejayaan bagi pengkaji kerana pengkaji telah berjaya menguruskan bilik darjah
dengan baik, mengawal disiplin murid, serta melibatkan responden secara aktif dalam
aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.
Seterusnya, kekerapan tingkah laku negatif pada minggu ketiga adalah tidak begitu
memuaskan. Pengkaji mengharapkan bahawa tingkah laku negatif murid kekal
berkurangan, namun sangkaan pengkaji meleset. Ini kerana, responden mula melanggar
peraturan yang perlu dpatuhi di dalam bilik darjah setelah sistem token ekonomi
dihentikan. Responden juga didapati tidak bermotivasi untuk belajar apabila token
bintang tidak lagi digunakan dalam sesi pembelajaran. Perkara ini telah menyebabkan
prestasi responden pada minggu ketiga tidak memberangsangkan.

REFLEKSI
Penyelidikan tindakan telah banyak memberi pengetahuan kepada pengkaji berkenaan
murid-murid berkeperluan khas dengan lebih mendalam. Pengkaji juga merasakan
bahawa pengetahuan dalam melaksanakan penyelidikan tindakan adalah penting dan
perlu dilaksanakan bagi individu yang bergelar guru. Pengkaji berpendapat bahawa
sesuatu permasalahan boleh dikaji dengan lebih mendalam. Malah, strategi untuk
menyelesaikan masalah tersebut juga boleh diketahui dengan melaksanakan
penyelidikan tindakan.

Kajian ini telah membuahkan kejayaan bagi pengkaji dalam mengurangkan tingkah laku
negatif responden. Kaedah token ekonomi ternyata membuatkan responden berusaha
dengan gigih untuk menunjukkan tingkah laku positif disamping mengumpul token
bintang supaya token tersebut dapat ditebus kepada ganjaran yang disukainya. Pengkaji
juga mendapati bahawa, tingkah laku responden semasa sesi pembelajaran dalam bilik
darjah semakin mudah dikawal dengan menggunakan token ekonomi.Kesan positif juga
turut dapat dilihat apabila token ekonomi dihentikan pada minggu terakhir. Ini kerana,
walaupun sistem token ekonomi telah dihentikan kadar kekerapan tingkah laku negatif
responden didapati masih berkurang. Pengkaji juga berpendapat bahawa responden mula
membiasakan diri dengan perubahan positif melalui token ekonomi, dan telah berusaha
untuk menjadikan perubahan tingkah laku itu sebagai rutin harian.
Walaubagaimanapun, pengkaji mengakui bahawa terdapat kelemahan penggunaan token
ekonomi dalam mengubahsuai tingkah laku negatif responden. Kelemahan yang ketara
dapat dilihat semasa pengkaji mengumpul data melalui pemerhatian. Semasa
pemerhatian dibuat, pengkaji terpaksa melakukan dua perkara dalam satu masa iaitu
mengajar dan memerhati tingkah laku. Perkara ini boleh menyebabkan ketidakadilan
dalam pengagihan token kepada responden kerana pengkaji mungkin terlepas pandang
akan tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh responden semasa sesi pembelajaran.
Pengkaji juga mengakui bahawa guru seharusnya konsisten dengan pemberian token
supaya responden dapat memperoleh jumlah token yang berpatutan dengan tingkah laku
positif yang mereka tunjukkan. Pengagihan token haruslah diberi dengan lebih
sistematik supaya tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh responden dihargai
sepenuhya.
CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA
Kajian ini telah membuktikan kejayaan pengkaji dalam menggunakan token ekonomi
sebagai ganjaran untuk mengubah tingkah laku bermasalah murid berkeperluan khas
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini juga didapati banyak membantu
pengkaji dalam meningkatkan tingkah laku positif responden. Terdapat beberapa
cadangan kajian yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang, iaitu :
Penggunaan buku token untuk meningkatkan nilai kendiri murid.
Keberkesanan penggunaan buku token perlu dikaji untuk melihat sejauh mana kanak-
kanak khas boleh berdikari dengan menggunakan buku token tersebut. Kajian ini boleh
dijalankan dengan memberikan buku token kepada murid supaya murid dapat belajar
mengumpul mata token tanpa bimbingan pengkaji. Setiap kali tingkah laku positif
dilakukan, murid akan menandakan buku tokennya dengan arahan pengkaji.
Pemberian ganjaran pada setiap pencapaian mengikut objektif pembelajaran.
Dalam kajian ini, pengkaji menyenaraikan objektif yang sesuai dengan tahap keupayaan
murid dan murid haruslah berusaha untuk mencapai objektif tersebut. Fokus kajian
adalah bertumpu samaada ganjaran berbentuk hadiah dapat memotivasikan murid dalam
mencapai objektif pembelajaran tersebut. Oleh itu, kajian ini haruslah menunjukkan
bahawa ganjaran berbentuk hadiah dapat meningkatkan motivasi murid untuk berusaha
dengan lebih gigih dalam bidang akademik.
Lanjutan tempoh kajian.
Kajian juga boleh diteruskan dengan melanjutkan tempoh penyelidikan tindakan kepada
dua bulan. Tempoh sebulan sahaja mungkin tidak menunjukkan perubahan tingkah laku
yang begitu ketara, namun jika tempoh kajian dilanjutkan ke bulan yang kedua
perubahan tingkah laku responden dapat dilihat dengan lebih jelas dan sahih. Kajian juga
boleh dijalankan dengan menggunakan token ekonomi sebagai intervensi pada bulan
pertama, kemudian token ekonomi diberhentikan pada bulan yang kedua. Perbandingan
prestasi responden antara bulan pertama dan bulan kedua pasti menunjukkan perbezaan
tingkah laku yang lebih jelas.

RUJUKAN
Abdul Rahim Marzuki, Amir Omar, dan Rosni Abdullah. (2006). Perlaksanaan
program ekonomi token dalam menguruskan tingkah laku bermasalah murid
pendidikan khas, 1, 22-23.

Santhi Periasamy, Lew Moi Mooi dan Jeya Velu. (2009). Institut Pendidikan Guru
Kampus Ilmu Khas. Jurnal Penyelidikan Tindakan Pelajar, 1, 1 - 83.
LAMPIRAN A

Senarai Semak Tingkah Laku Negatif Responden 1 dan Responden 2


Tingkah Laku Tingkah Laku Responden 2
Tingkah Laku Negatif Responden 1 Ya / Tidak
Ya / Tidak
Guru A
1. Tidak menyiapkan tugasan - /
2. Tidak menumpukan perhatian. / -
3. Mendiamkan diri ketika disoal. / /
4. Mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran / /
5. Menangis dan merajuk apabila dimarahi. - /
Guru B
1. Tidak menyiapkan tugasan - -
2. Tidak menumpukan perhatian. / -
3. Mendiamkan diri ketika disoal. / /
4. Mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran / /
5. Menangis dan merajuk apabila dimarahi. - /
Guru C
1. Tidak menyiapkan tugasan. - -
2. Tidak menumpukan perhatian. / /
3. Mendiamkan diri ketika disoal. / /
4. Mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran. - -
5. Menangis dan merajuk apabila dimarahi. - /
Guru D
1. Tidak menyiapkan tugasan. - -
2. Tidak menumpukan perhatian. - /
3. Mendiamkan diri ketika disoal. / -
4. Mengasingkan diri dari aktiviti
pembelajaran. / /
5. Menangis dan merajuk apabila dimarahi. / /
Senarai Semak Guru A, B, C dan Guru D

Hasil Dapatan Melalui Senarai Semak


R Tidak Tidak tumpu Berdiam diri Mengasingkan diri Menangis dan
menyiapkan perhatian ketika disoal dari aktiviti merajuk apabila
tugasan pembelajaran dimarahi

R1 0 3 4 3 1
R2 1 2 3 3 4
JUM 1 5 7 6 5
Petunjuk : R = Responden , R1 = Responden 1, R2 = Responden 2.
LAMPIRAN B
Lembaran Data Perekodan / Kekerapan (Event Recording Data Sheet)
Sasaran : Responden 1
Tingkah laku 1 : Mendiamkan diri ketika disoal
TARIKH KEKERAPAN JUMLAH
5/7/2010 /// 3
6/7/2010 ///// 5
7/7/2010 /// 3
11/7/2010 // 2
12/7/2010 / 1
13/7/2010 / 1
19/7/2010 - -
20/7/2010 / 1
21/7/2010 - -
Tingkah laku 2 : Mengasingkan diri dari aktiviti pembelajaran
TARIKH KEKERAPAN JUMLAH
5/7/2010 //// 4
6/7/2010 //// 4
7/7/2010 //// 4
11/7/2010 // 2
12/7/2010 / 2
13/7/2010 - -
19/7/2010 / 1
20/7/2010 / 1
21/7/2010 / 1
Sasaran : Responden 2
Tingkah laku 1 : Mendiamkan diri ketika disoal
TARIKH KEKERAPAN JUMLAH
5/7/2010 // 2
6/7/2010 ///// 5
7/7/2010 /// 3
11/7/2010 // 2
12/7/2010 / 1
13/7/2010 - -
19/7/2010 - -
20/7/2010 - -
21/7/2010 / 1
Tingkah laku 2 : Mengasingkan diri dari aktiviti pembelajaran
TARIKH KEKERAPAN JUMLAH
5/7/2010 /// 3
6/7/2010 //// 4
7/7/2010 // 2
11/7/2010 // 2
12/7/2010 - -
13/7/2010 - -
19/7/2010 / 1
20/7/2010 / 1
21/7/2010 // 2
Petunjuk :
Tiada intervensi

Intervensi dijalankan

Intervensi dihentikan