Anda di halaman 1dari 3

Kepercayaan Yang Menyalahi Akidah Islam Dalam Perniagaan

Masyarakat Melayu pada hari ini masih lagi mempercayai amalan memohon bantuan kepada
bomoh atau pawang. Tulisan ini bukanlah bertujuan mengkritik institusi perbomohan yang masih
lagi mendapat tempat dan perhatian orang Melayu. Tidak dinafikan bukan semua amalan
perbomohan bertentangan dengan akidah sekiranya ia dilakukan mengikut batas-batas yang
ditentukan oleh syara`. Namun apa yang hendak ditonjolkan di sini ialah amalan perbomohan
yang berasimilasi dengan kepercayaan khurafat dan ianya masih lagi diterima oleh masyarakat
Melayu. Kepercayaan seperti inilah yang boleh memudharatkan akidah pemikiran umat Islam.

Dalam pemerhatian saya, segelintir kedai milik orang Melayu masih lagi mempercayai pelaris
yang bertujuan sama ada untuk menarik pelanggan datang berkunjung ke kedai mereka atau
untuk mendapatkan keuntungan menjana kegiatan ekonomi yang sedang dijalankan. Malah
persepsi peniaga yang mempraktikkan amalan sedemian, mereka beranggapan perniagaan yang
dijalankan akan mendapat keuntungan yang lumayan dan aktiviti perniagaan yang dijalankan
juga akan bertahan. Ada juga peniaga yang menggantung gambar tokoh di dinding kedai
kononnya dengan kekeramatan yang dimiliki oleh tokoh tersebut akan menjadi pelaris untuk
meningkatkan prestasi perniagaan mereka. Ia telah menjadi satu stigma dalam pemikiran
pengusaha, sekiranya perniagaan yang dijalankan tanpa mengambil pelaris sudah tentulah tidak
akan maju dan kurang menarik perhatian pelanggan. Atas kepercayaan inilah maka peniaga
memohon bantuan bomoh mendapatkan pelaris untuk memenuhi hajat mereka. Pelbagai jampi
serapah, azimat, tangkal dan sebagainya diberikan kepada peniaga, dengan harapan agar
pernigaan yang dijalankan akan berjaya sebagaimana yang diimpikan oleh peniaga. Akibatnya,
peniaga sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata demi untuk mendapatkan pelaris
tersebut.

Situasi yang dijelaskan tersebut bukanlah sebagai satu kisah silam namun amalan tersebut masih
lagi berlaku dalam kalangan peniaga dalam realiti dunia moden pada hari ini. Kepercayaan
sedemian masih lagi mempengaruhi mentaliti segelintir masyarakat Melayu seolah-olah ia dapat
memberi impak yang positif dalam keperluan kehidupan mereka. Sudah tentulah kepercayaan
kepada pelaris ini bertentangan dengan falsafah akidah Islam yang murni. Percanggahan
sedemikian timbul apabila timbul kepercayaan tentang persoalan rezeki ini adalah bergantung
kepada semangat yang ada dalam pelaris tersebut atau sesuatu objek lain yang digunakan seperti
rajah, azimat, wafak dan sebagainya. Pelaris ini juga mengandungi pantang larang yang perlu
dipatuhi oleh penggunanya. Apabila wujudnya `iktitiqad tersebut dalam diri seseorang sudah
tentulah ia akan mengundang kepada unsur-unsur yang boleh membuka ruang kepada elemen
syirik kepada Allah, wal`iyazubillah min zalik. Asas kepercayaan yang mengiktiraf dan
memperakui wujudnya kuasa yang dapat mempengaruhi manusia selain daripada Allah sudah
tentulah diklasifikasi sebagai syirik.

Peniaga yang menggunakan pelaris begitu yakin bahawa perniagaan yang dijalankan akan
mendapat tuah. Bagi peniaga yang begitu ta`sub kepada kepercayaan tersebut, mereka mencari
helah supaya kepercayaan tersebut dipandang sebagai satu usaha atau ikhtiar dan perbuatan
tersebut tidak bercanggah dengan Islam. Mereka mempunyai kaedah dan taklik yang tertentu
untuk mengalihkan pandangan masyarakat bagi menghalalkan perbuatan mereka. Jika dilihat
kepada perbuatan tersebut fenomena yang berlaku boleh membawa kekeliruan dan membawa
ancaman kepada akidah umat Islam.

Justeru itu, kondisi dan persekitaran yang tidak dipelihara dengan benteng keimanan yang
konkrit akan membuka ruang dan peluang kepada syaitan untuk mempengaruhi manusia ke arah
jalan yang sesat. Syaitan adalah pakar dalam melakukan penipuan ke atas manusia. Dia akan
akan datang dengan pelbagai perancangan yang strategi yang licik bagi memperdayakan
manusia. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami
adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu
menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan
yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.”
(al-Zukhruf:36-37)

Dalam surah yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.


Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh
mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar.”
(al-Nur: 21)

Allah S.W.T adalah tempat kepada manusia untuk bergantung harapan dan memohon
pertolongan. Setiap sesuatu yang direncanakannya adalah untuk kebaikan agama dan untuk
kesejahteraan golongan yang beriman di dunia dan di akhirat. Sebagi seorang mukmin kita perlu
memikul tanggungjawab sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul melalui
bimbingan dan pedoman wahyu. Kepada Allah lah tempat kita berserah dengan penuh tawadu`
dan ikhlas. Dalam al-Quran, Allah mengungkapkan satu perkara misteri yang tidak diketahui
oleh orang-orang yang ingkar. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberinya rezeki dan arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang
bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya,
Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan
ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.
(at-Talaq:2-3)

Islam bersikap positif ke atas kegiatan menjana aktiviti manusia. Malah Islam menggalakkan
penganutnya berusaha secara tekun untuk memajukan kehidupan. Meskipun begitu, setiap
transaksi urusan perniagaan yang dijalankan perlu mematuhi prinsip-prinsip yang telah
ditetapkan dalam muamalah Islam. Perlakuan dan aktiviti yang bertentangan dengan kehendak
syariat dan kemaslahatan manusia adalah bertentangan dengan prinsip murni perniagaan Islam.
Perkara-perkara negatif seperti tipu, tidak amanah, mengamalkan riba, melakukan sesuatu yang
bertentang dengan prinsip akidah dan sebagainya adalah sama sekali ditegah dalam prinsip
perniagaan Islam. Ciri-ciri keistimewaan yang ada pada konsep perniagaan menurut acuan Islam
berbeza dengan konsep perniagaan yang ditaja oleh akal fikiran manusia. Keuntungan dalam
perniagaan Islam bukan hanya dinilai dari aspek material semata-mata tetapi yang menjadi
keutamaan adalah mendapat keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T.

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, seseorang peniaga perlu memliki ilmu dan strategi
tertentu dalam usaha merangsang prestasi perniagan yang dijalankan. Akal yang kreatif juga
diperlukan bagi merancang plan perniagaan dan strategi bagi menarik perhatian pelanggan untuk
membeli produk atau perkhidmatan yang diusahakannya. Tidak salah bagi pengusaha untuk
berikhtiar untuk memajukan perniagaannya, namun bukan melalui jalan yang bertentangan
dengan falsafah perniagaan Islam. Sebaik-baiknya berusahalah dengan gigih, melakukan solat
hajat dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberkati usaha yang dijalankan. Insyaallah akan
berjaya.

Sehingga berjumpa lagi dalam siri penulisan yang seterusnya.

-Abu Rushd-

Anda mungkin juga menyukai