Anda di halaman 1dari 2

Ramalam Karangan SPM 2 - Karangan Bergambar (Bahagian A)

Kepentingan Mempertahankan Permainan Tradisional

Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan
tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada
kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak,
guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para
penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru
rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.

Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan


tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak hilang ditelan
zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui
permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah
mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan
bermain permainan tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah
tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan
tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta.
Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi
warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang keagungan


bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan
tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa
melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat
yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun
menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing
ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan
bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan
tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa “sambil menyelam, minum air”. Hal ini
sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak


formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran
di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan
permainan tardisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan
kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak.
Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat
sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar.
Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat
perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh”.

Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi tak lapuk dek
hujan, tak lekang dek panas. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih
dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini
sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan
tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.
Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus popular dalam
carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah. Ayuh kita main
congkak!

Anda mungkin juga menyukai