Anda di halaman 1dari 10

 

EKONOMI ISLAM: PERSPEKTIF DAN


CABARAN 

Profesor Dato’ Dr. Mansor Md. Isa

Pengarah, Jabatan Pengajian Malaysia, Universiti


Kaherah 

PENGENALAN

Ekonomi bukanlah persoalan baru dalam Islam.


Perancangan dan aktiviti ekonomi telah berlaku dalam zaman
Nabi Yusuf a.s yang menjadi Menteri Ekonomi pertama di
Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu Ekonomi dengan
membuat satu perancangan rapi bagi memastikan negara
mempunyai bekalan yang mencukupi apabila menghadapi
musim kemelesetan. Namun begitu kegiatan ekonomi pada
awal Islam agak terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja di
pasaran yang mudah. Mulai abad kedua Hijrah bermulalah
beberapa kajian mengenai kegiatan ekonomi secara khusus
dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai hukum riba, sistem
harga, monopoli, percukaian, zakat, kewangan kerajaan dan
sebagainya. Tulisan-tulisan ini membicarakan hukum hakam
muamalat mengikut mazhab masing-masing.1 

Dua tokoh yang sering disebut sebagai bapa Ekonomi


Islam ialah Ibni Taymiyah (1262-1328 Masehi) dan Ibn
Khaldun (1332-1406 Masehi). Ibn Taimiyah yang berpusat di
Damsyik adalah terkenal dengan pandangannya mengenai
harga setara, pasaran sempurna, kawalan harga, monopoli,
penyorokan dan spekulasi. Manakala Ibn Khaldun pula, di
dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Mukaddimah Ibn Khaldun,
menyentuh banyak perkara ekonomi seperti nilai, buruh,
sistem harga, hukum permintaan dan penawaran, penggunaan
dan pengeluaran, wang, modal, kewangan negara, dll. Beliau
yang berasal dari Haramaut dan berpindah ke Andalus
merupakan tokoh ekonomi dengan pemikiran ekonomi yang
penting yang mendahului Adam Smith dengan jarak waktu 400
tahun.  
Walaubagaimana pun momentum pengembangan ilmu
Ekonomi Islam ini mengalami kemerosotan bersama dengan
zaman kejatuhan empayar Islam yang berlaku disekitar kurun
ke 13 Masehi. Inilah zaman kegelapan Islam di mana masalah
politik dan sosial di kalangan umat Islam telah menjadi kucar-
kacir sehingga membantutkan isnstitusi keilmuan. Para ilmuan
tidak mampu lagi mengkaji dan berijtihad. Mereka hanya
mampu bertaklid dan dengan rela hati menutup pintu ijtihad.
Ilmu Ekonomi Islam yang yang di asaskan oleh Ibn Taimiyah
dan Ibn Khaldun dan yang lain sebelum mereka tidak
dikembangkan dan hanya tersimpan dalam kitab-kitab kuning
tanpa waris untuk menyambung usaha mereka.2 

Selepas dari tempoh ini penumpuan ilmu beraleh ke


Barat. Lahirlah tokokh ilmu ekonomi Barat seperti Adam
Smith (1723-1790), David Ricardo (1772-1823), J.S. Mills
(1806-1873), Irving Fisher (1867-1947), John Maynard
Keynes (1883-1946), dan lain-lain. Cendikiawan dari negara
Islam pula menghala ke Barat untuk menuntut ilmu yang
kemudiannya diterapkan amalannya di negara masing-masing.
Zaman kejatuhan kegemilangan Islam juga berganti dengan
zaman penjajahan kuasa Barat ke atas negara-negara Islam.
Maka dengan strategi serampang dua mata ini, iaitu melalui
penjajahan politik dan penjajahan ilmu, boleh dikatakan
kesemua negara Islam kini mengamalkan sistem pemerintahan
dan sistem ekonomi Barat yang dikatakan sekular itu. 

Natijah daripada sejarah pengembangan ilmu yang yang


tebantut itu, persoalan yang mendepani kita ialah apa dia dan
di mana dia Ekonomi Islam? Adakah sistem ekonomi Barat
sesuai di amalkan oleh umat, negara dan masyarakat Islam
dengan pengubahsuaian yang sewajarnya (proses Islamisasi)?
Atau, adakah Ekonomi Islam itu merupakan satu bidang ilmu
yang sama-sekali berlainan dari Ekonomi Barat sehinggakan
tidak mungkin ianya diubahsuai daripada acuan ekonomi
konvensional? Pendekatan kedua ini kurang praktikal kerana
adanya tempoh beku dalam ilmu ekonomi Islam selepas zaman
Ibn Khaldun. Pendekatan pertama lebih mudah dan lebih
praktikal memandang kepada kemantapan dari segi teori dan
amalan ekonomi konvensional. Para ilmuan Islam boleh
menggunakan ekonomi konvensional sebagai titik tolak dan
membuat penyaringan untuk mengambil perkara yang
dibenarkan Islam, mengubahsuai perkara yang tidak sesuai dan
menolak yang jelas tidak dibenarkan.  

PERSPEKTIF EKONOMI ISLAM: BEBERAPA


ISU

Teori Penggunaan

Apabila membicarakan mengenai ilmu ekonomi kita


sebenarnya membicarakan gelagat manusia untuk memenuhi
keinginannya yang tiada berbatas dengan menggunakan
sumbernya yang terbatas. Manusia (atau pengguna)
kemudiannya dikembangkan pula kepada entiti yang lebih
luas, iaitu firma dan kerajaan. Inilah definisi asas Ilmu
Ekonomi. Ekonomi Islam pula boleh diberi definisi berikut:
Satu bidang ilmu yang mengkaji gelagat pengguna yang
mempunyai keinginan yang tidak terhad menggunakan
sumbernya yang terhad bagi mendapatkan pahala yang
maksimum (kebahagian di dunia dan akhirat). 

Apabila kita membuat perbandingan di antara dua


definisi di atas, kita dapati bahawa Islam mengutamakan
pahala maksimum bukannya kepuasan maksimum. Disamping
itu Islam juga percaya bahawa setiap manusia itu
diperuntukkan rezkinya oleh Tuhan. Saya berpendapat definisi
konvensional lebih mudah kerana kita memahami proses yang
berlaku bagi seorang pengguna dalam memuaskan
kehendaknya. Kita juga boleh memodelkan apa yang
dimaksudkan dengan ”penggunaan” yang membawa kepada
pencapaian ”kepuasan” atau dalam bahasa ekonomi disebut
”utiliti”. Model ini merupakan asas kepada teori permintaan
dalam ilmu ekonomi konvensional.  

Ekonomi Islam pula menyebut objektif penggunaan


sebagai mencapai pahala maksimum (atau untuk mencpai
kebahagiaan di dunia dan di akhirat). Dalam hal ini pahala
adalah urusan Tuhan yang merupakan fungsi kepada beberapa
variable lain yang abstrak seperti keikhlasan, niat, situasi, dan
lain-lain. Bagaimanakah objektif penggunaan ini hendak
dimodelkan sehingga ia boleh membawa kepada teori
permintaan? Walaupun ada percubaan untuk memodelkan
fungsi permintaan Islam ini tetapi sehingga kini belum
diterima dengan meluas. 

Teori Pengeluaran

Unsur yang paling penting dalam menetukan teori


penawaran ialah hasrat manusia untuk mendapat untung yang
maksimum. Oleh itu firma akan menjalankan segala usahanya
untuk mencapai jumlah hasil yang maksimum dengan kos
yang minimum. Objektif memaksimumkan untung ini
merupakan idea ciptaan Adam Smith dalam bukunya The
Wealth of Nations yang diterbitkan dalam tahun 1776. Beliau
mengutarakan pandangan bahawa setiap manusia didorong
oleh ”suatu tangan yang tidak kelihatan” untuk melakukan
sesuatu perkerjaan yang pada zahirnya nampak mulia, tetapi
sebenarnya orang itu melakukannya untuk mendapat untung
bagi dirinya sendiri. Pengusaha kilang kasut, contohnya,
bukanlah berniat untuk menyediakan pakaian kepada orang
ramai, tetapi beliau membuat kasut demi mencari keuntungan
untuk dirinya sendiri. 

Lihat petikan di bawah daripada ”The Wealth Of


Nations”:

...every individual necessarily labours to render the


annual revenue of the society as great as he can. He generally,
indeed, neither intends to promote the public interest, nor
knows how much he is promoting it. By preferring the support
of domestic to that of foreign industry, he intends only his own
security; and by directing that industry in such a manner as its
produce may be of the greatest value, he intends only his own
gain, and he is in this, as in many other cases, led by an
invisible hand to promote an end which was no part of his
intention. Nor is it always the worse for the society that it was
no part of it. By pursuing his own interest he frequently
promotes that of the society more effectually than when he
really intends to promote it. I have never known much good
done by those who affected to trade for the public good.  

Ramai para ilmuan Ekonomi Islam mempertikai


objektif memaksimumkan untung ini dengan menekankan
bahawa ianya bercanggah dengan Islam. Objektif ini
digambarkan sebagai sesuatu yang tidak bermoral, malah
boleh membawa kepada amalan kegiatan haram seperti
penindasan, riba, penipuan dan sebagainya. Pengeluar Islam
boleh menjadikan keuntungan yang berpatutan sebagai
objektifnya, tetapi harus juga mengambil kira aktiviti ekonomi
sebagai suatu ibadat yang harus disertai dengan niat yang
ikhlas. Selain dari itu pengeluar Islam juga harus memenuhi
tuntutan fardhu kifayah dan mematuhi prinsip-prinsip syariah
seperti, keadilan, khidmat masyarakat, keuntungan yang
sederhana, dan sebagainya. Dapat dilihat bahawa ruanggerak
pengeluar Islam mempunyai batasan-batasan yang lebih
berbanding dengan kawannya yang konvensional. Adakah
kekangan yang banyak ini menjejaskan kemampuan pengeluar
Islam untuk bersaing dengan rakannya yang konvensional?  

Dari segi teori, Metwally (1989) telah memasukkan


factor zakat dalam analisis keluk hasil dan kos dan mendapati
titik keseimbangan pengeluar Islam adalah lebih tinggi
berbanding pengeluar konvensional. Ini bermakna jika
pengeluar Islam sememangnya mematuhi kehendak Islam
maka kesejahteraan yang dicapai oleh masyarakat Islam
seharusnya lebih baik daripada masyarakat bukan Islam.
Namun begitu kita harus ingat bahawa kebagusan sesuatu teori
harus dilandaskan keatas amalan yang berfaedah. Dan ini
memerlukan kajian empirikal yang khusus dan teliti.  

Faktor Pengeluaran

Dalam bidang agihan pendapatan Ekonomi Islam


menggariskan adanya pulangan kepada faktor pengeluaran dan
juga ada habuan untuk bukan faktor. Ekonomi Islam hanya
mengiktiraf tiga faktor pengeluaran iaitu, Manusia, Tanah dan
Pengusaha. Ini berbeza daripada Ekonomi konvensional yang
menyatakan ada empat faktor pengeluaran, iaitu Boroh, Tanah,
Modal dan Pengusaha (ada juga penulis yang menjadikan
Teknologi sebagai faktor pengeluaran kelima). Walaupun
terdapat tiga faktor yang bersamaan, namun terdapat
perbezaan yang ketara mengenai pendekatan Ekonomi
Konvensional dan Ekonomi Islam terhadap faktor-faktor ini. 

Tanah merangkumi segala kekayaan dan khazanah yang


terdapat di bumi laut dan udara. Ini adalah anugerah Tuhan
kepada manusia. Ekonomi konvensional hanya menyebut
manusia harus mengambil kekayaan bumi ini dan
menggunakannya atau memprosesnya untuk menjadikan
barang penggunaan selagi mana ada permintaan untuknya.
Islam juga menggalakkan manusia menikmati kekayaan ini,
tetapi ada batasan dan syaratnya, seperti tidak merosakkan
alam, tidak mengeluarkan barang haram, dan sebagainya.
Mengenai faktor Tanah, nampaknya tiada perbezaan yang
ketara di antara ekonomi konvensional dan ekonomi Islam. 

Bagi faktor Modal dan Pengusaha, terdapat perbezaan


yang penting di antara pendekatan ekonomi konvensional dan
ekonomi Islam yang mempunyai implikasi yang besar.
Mengenai Modal, Islam tidak tidak mengiktiraf modal
pinjaman sebagai faktor pengeluaran tetapi hanya mengiktiraf
modal ekuiti, manakala ekonomi Islam mengiktiraf hutang dan
ekuiti sebagai sumber modal yang penting. Malah terdapat
teori gelagat firma yang agak mantap mengenai campuran
modal, iaitu adanya campuran yang optimum di antara hutang
dan ekuiti. Disebabkan ilmuan ekonomi Islam kini sudah
sependapat bahawa faedah keatas pinjaman adalah riba, maka
perbincangan mengenai campuran modal dalam perniagaan
Islam tidak releven kerana kesemua pembiayaan firma adalah
melalui ekuiti. Adakah ini meletakkan firma Islam dalam
keadaan kurang berdaya saing kerana pada teorinya, kos
modal ekuiti adalah lebih tinggi daripada kos hutang.  

Seperkara yang perlu diberi perhatian oleh ilmuan


ekonomi Islam ialah amalan menyamatarafkan Modal Ekuiti
dan Pengusaha (tanpa modal) dalam tuntutan ke atas
keuntungan firma. Prinsip inilah yang mendasari amalan
mudarabah oleh perbankan Islam di mana bank akan
menyediakan wang modal dan Pengusaha akan
menyumbangkan usaha dan kemahiran pengurusanya. Kedua-
dua pihak akan berkongsi keuntungan yang terhasil, manakala
kerugian sepenuhnya ditanggung oleh bank. Ini berbeza
daripada ekonomi konvensional yang mengiktiraf
penyumbang modal ekuiti sebagai pemilik firma manakala
Pengusaha tanpa modal sebagai pekerja. 
Persoalannya di sini ialah model mudarabah dalam
pembiayaan firma telah menemui kegagalan. Ini telah
dibuktikan daripada data-data sejarah perbankan Islam di
Malaysia dan di negara lain. Kegagalan ini mudah
diterangkan: Pengusaha (Islam atau bukan Islam) akan
cenderung untuk menggunakan pembiayan mudarabah untuk
projek berisiko tinggi, dan menggunakan pembiayaan
konvensional untuk projek berisiko rendah.3  

Ekonomi Tanpa Faedah

Pada hari ini nampaknya ilmuan Islam tidak lagi


membincangkan status halal atau haramnya faedah bank,
sebaliknya telah sepakat menerima bahawa faedah bank adalah
riba dan ianya haram dalam Islam.4 Namun begitu amalan
ekonomi berasas faedah begitu meluas dan merangkumi sistem
ekonomi yang menyentuh individu, firma dan juga kerajaan.
Serentak dengan pengharaman faedah, maka banyak aspek
ilmu ekonomi perlu ditulis semula. Ini termasuklah konsep
nilai masa wang, mekanisma hutang untuk individu firma dan
kerajaan, operasi bank pusat, dan sebagainya. 

Sebagai contoh, kadar faedah digunakan sebagai sendi


untuk menerangkan gelagat manusia mengagihkan pendapatan
dan perbelanjaan mengikut masa. Kadar faedah juga amat
penting dalam analisis pelaburan, untuk mendapatkan nilai
kini dan nilai hadapan pelaburan dan membuat perancangan
pelaburan. Kadar faedah adalah penentu asas kepada kadar
diskaun dan kadar kompaun dalam pengiraan nilai masa wang
ini. Apakah kadar yang hendak digunakan jika faedah
dikeluarkan daripada kamus ekonomi kewangan Islam? 

Satu lagi implikasi penting ialah penghapusan pasaran


bon. Pasaran bon digunakan dengan meluas oleh korporat dan
kerajaan untuk mendapatkan dana bagi membiayai projek-
peojek pelaburan. Firma yang ingin menambah modal atau
membiayai projek pelaburan tiada pilihan melainkan
menerbitkan ekuiti tambahan. Ini semestinya merupakan
kekangan terhadap operasi firma. Kerajaan juga tidak lagi
dapat menerbitkan bon kerjaan bagi membiayai projek
pembangunan. Jika negara mengamalkan belanjawan
kurangan, sumber kewangan yang terbuka adalah pencetakan
wang tambahan dan ekuiti (Habibi 1987). Tapi apakah dia
ekuiti kerajaan itu, dan apakah tarikan pelabur untuk
melanggannya? 

Bank pusat menggunakan mekanisma operasi pasaran


terbuka untuk mengawal penawaran wang dalam ekonomi.
Penghapusan faedah bermakna Bank Pusat perlu mendapatkan
alternatif lain. Dalam hubungi ini para ilmuan Islam telah
mengutarakan berbagai pilihan untuk kerajaan
mengamalkannya. Berbagai pandangan telah diutarakan,
terutama oleh Siddqi (1970), Iqbal dan Khan (1981) dan
Chapra (1985). Di antara mekanisma yang dicadangkan
termasuklah Nisbah Pembiayan Semula, Nisbah Perkongsian
Untung, Nisbah Rizab dan Sijil Simpanan Pusat.  

Di Malaysia usaha memartabatkan perbankan Islam


menunjukkan kejayaan yang terhad. Ia dimulai dengan penggubalan
Akta Perbankan Islam 1983 yang menubuhkan bank Islam hinggalah
kepada beberapa pindaan akta-akta berkaitan bagi membolehkan bank-
bank konvensional turut membuka kaunter yang menawarkan
perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam. Di samping itu,
pelbagai infrastruktur dan prasarana sokongan kepada industri
perbankan Islam turut diperkenalkan seperti penubuhan syarikat
takaful dan mewujudkan pasaran modal Islam. Hingga kini terdapat 30
institusi kewangan dan perbankan menawarkan produk dan
perkhidmatan berasaskan syariat Islam. Malangnya jika diukur
daripada jumlah keseluruhan penguasaan pasaran perbankan, industri
perbankan Islam hanya menguasai sekitar 12 peratus daripada
keseluruhan pasaran dana perbankan (Laporan Tahunan Bank Negara
2005).  

Kesimpulan

Kertas ini tidak bertujuan untuk mengupas secara


menyeluruh isu mengenai perspektif dan cabaran ekonomi
Islam. Objektif kertas ini hanyalah memberi beberapa
pandangan mengenai beberap isu yang mendasari ekonomi
Islam. Persoalan pokok yang hendak diutarakan ialah sama
ada ilmu ekonomi Islam pada hari ini mampu menyediakan
satu alternatif yang lebih baik dari ekonomi konvensional.
Jawapan yang didapati adalah tidak menyakinkan. Setakat ini
ekonomi Islam masih ditahap pengkajian dan percubaan. Ini
merangkumi keseluruhan kerangka ilmu ekonomi daripada
ekonomi mikro kepada ekonomi makro, daripada teori utiliti
kepada teori ekonomi pembangunan dan kebajikan.  

Terdapat banyak cabaran yang harus dilalui oleh para


cendikiawan Islam untuk mengembangkan dan memantapkan
ilmu ekonomi Islam. Setelah menjadi mantap ia harus pula
diyakinkan kepada penggunanya, iaitu individu, negara dan
masyarakat Islam. Cabaran yang amat nyata di sini ialah
ekonomi konvensional itu sendiri telah berakar umbi
dikalangan individu dan negara, Islam dan bukan Islam, dan
diamalkan secara meluas dan menyeluruh, walaupun terdapat
beberapa kelemahan dalam perlaksanaannya. Islamisasi yang
menyeluruh hendaklah dilakukan ke atasnya. 

Satu contohnya yang khusus ialah mengenai perbankan


Islam. Kajian empirikal mengenai prestasi perbankan Islam di
Malaysia dan negara lain yang mengamalkan dwi sistem
mendapati produk perbankan Islam mempunyai tahap
kecekapan yang kurang berbanding dengan produk perbankan
konvensional. Model mudarabah dalam pembiayaan
perniagaan adalah satu kegagalan tetapi penulisan mengenai
perbankan Islam masih menekankan ianya adalah sesuatu yang
baik. Para penyokongnya mengatakan kelemahan adalah pada
perlaksanaan bukan pada modelnya. Apa baiknya sesuatu
model jika tidak dapat diamalkan? 

Seperkara yang perlu diberi pertimbangan ialah


perlunya gabungan para ilmuan dua bidang, iaitu ekonomi
konvensional dan ekonomi syariah. Ini adalah perlu kerana
bidang pengajian dewasa ini amat menekankan pengkhususan
sehingga seseorang itu menjadi pakar dalam bidang yang amat
kecil skopnya. Mana-mana satu golongan secara bersendirian
amat sukar untuk menghasilkan model ekonomi Islam yang
tahan diuji apabila berhadapan dengan ekonomi konvensional.

Rujukan

1. Sarimah Hanim Aman Shah, ”Ekonomi dari


Perpektif Islam”, Penerbit Fajar Bakti, 2006.
2. Virginia Hooker and Amin Saikal (editors),
”Islamic Perspectives on the New Millenium”, ISEAS, 2004.
3. Azlan Khalil Shamsudin dan Siti Khursiah Mohd
Mansor, “Pengantar Ekonomi Islam”, iBook, 2006.
4. Surtahman Kastin Kasan dan Sanep Ahmad,
“Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan”, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Edisi Kedua, 2005.
5. Mustafa Dakian, “Sistem Kewangan Islam”,
Utusan Publications, 2005.

http://www.pmram.org/mambo/images/stories/kertas_seminar_ekono
mi_islam%5B1%5D.doc.

Anda mungkin juga menyukai