Anda di halaman 1dari 2

JANGAN BENARKAN CHIN PENG BALIK

Saya bukanlah mangsa kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) secara langsung.
Tetapi, saya memahami kesengsaraan mereka yang hidup ketika era keganasan PKM.
Mereka hidup di dalam ketakutan di tanah air sendiri akibat ideologi komunisme yang
didukung oleh PKM. Tempoh masa di antara pengunduran Jepun dan kembalinya British
ke Tanah Melayu telah menunjukkan belang sebenar PKM yang juga dikenali dengan
gelaran Bintang Tiga. Chin Peng lah yang mula menggerakkan PKM secara radikal untuk
mencapai matlamat penubuhan sebuah Republik Komunis Malaya.

Benar bahawa PKM menentang musuh imperialis yang sama dengan arus perdana
perjuangan kemerdekaan negara dahulu. Tetapi adakah tepat untuk kita katakan bahawa
PKM menyumbang di dalam perjuangan kemerdekaan negara? Menentang musuh yang
sama tidak semesti melayakkan PKM untuk dijolokkan sebagai pejuang kemerdekaan
negara. Lebih-lebih lagi dengan perjuangan kemerdekaan ala PKM yang turut
menjadikan rakyat sebagai mangsa. Memeras dan memaksa rakyat untuk mengikut
telunjuk dan memenuhi kehendak mereka demi mengangkat idelogi komunisme yang
mereka dukung.

Arus perdana perjuangan kemerdekaan negara menyaksikan betapa tokoh-tokoh pejuang


kemederkaan negara berkorban jiwa dan raga menentang kuasa imperialis demi
mendaulatkan agama, bangsa dan tanah air tanah tumpah darah kita. Mereka tidak
dijanjikan apa-apa imbuhan dan tidak pula mengejar apa-apa gelaran. Tidak pula mereka
menjadikan rakyat sebagi korban semata di dalam mencapai matlamat perjuangan
kemerdekaan yang mereka terajui. PKM pula di bawah kepimpinan Chin Peng pula telah
melakukan yang sebaliknya.

Apa relevannya cadangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang untuk membenarkan Chin
Peng dibenarkan balik ke Malaysia? Sudah ribuan tentera dan polis Malaysia terkorban di
dalam membanteras keganasan PKM yang diterajui Chin Peng. Ribuan juga yang
menjadi janda, duda dan yatim piatu. Adapun yang bernasib baik untuk terus hidup, tetapi
terus dihantui dengan bayang-bayang PKM. Tidak kurang juga yang menjadi cacat
anggota badan akibat keganasan yang PKM lakukan.

Apakah kita tidak menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang borkorban diri demi
keamanan dan keharmonian tanah air yang dicintai? Kesanggupuan kita untuk merelakan
Chin Peng kembali ke Malaysia hanya akan menghiris perasaan mereka yang berkorban
demi negara menentang keganasan PKM. Seolah-olah pengorbanan mereka tiada makna
kerana merelakan ikon PKM yang dahulunya ditentang kerana jenayahnya terhadap
kemanusiaan di tanah air ini, dibenarkan kembali mencium tanah Malaysia ini.

Cadangan yang katanya dibuat atas dasar kemanusiaan, sebenarnya adalah tidak berasas.
Atas dasar kemanusiaanlah maka seharusnya Chin Peng dihalang daripada kembali ke
Malaysia. Dengan rekod jenayah terhadap kemanusiaan oleh Chin Peng ketika
memimpin PKM di Tanah Melayu dahulu sehingga merebak ke Borneo, apakah boleh
penjenayah sebegini dimaafkan atas dasar kemanusiaan? Dengan membuang Chin Peng
ke luar negara sudah cukup baik bagi Chin Peng yang seharusnya menerima hukuman
yang paling berat atas apa yang telah dilakukannya terhadap generasi terdahulu.

Dan alasan bahawa Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada Malaysia adalah tidak
benar. Sejauh manakah kita boleh mengukurnya? Chin Peng sebagai simbol PKM
mempunyai nilai ancaman tersendiri sekalipun PKM sudah terkubur. Kembalinya Chin
Peng ke Malaysia akan menjadikannya sebagai seorang personaliti yang ditokohkan oleh
segolongan pihak yang buta dengan sejarah Malaysia. Tidak mustahil dengan kembalinya
Chin Peng, maka fahaman komunisme akan mula bertapak dan mengukuh. Ini tentu
sahaja membahayakan keselamatan negara. Apatah lagi dengan dengan kemajuan
teknologi maklumat hari ini, generasi muda menjadi kelompok sasar yang paling mudah
terpengaruh lebih-lebih lagi dengan beberapa sudut kelemahan pengajaran dan kesan
pemebelajaran subjek sejarah Malaysia di kalangan generasi muda.

Bersyukurlah dengan kemerdekaan Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia, kita


mencipta kemerdekaan kita dengan acuan tersendiri. Tidak dengan radikalisme
komunisme Chin Peng dan tidak pula menjadi boneka British. Generasi muda harus sedar
dan insaf terhadap sejarah masa lalu. Jangan sampai model negara acuan arus perdana
perjuangan kemerdekaan yang lalu terkubur kerana buta dan kejahilan kita generasi hari
ini.

Oleh;
KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI
(840402-13-5445)
Setiausaha Agung,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,


Kampung Tengah, Batu 6 ½,
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur.
013-8950345 (Bimbit)
Emel : anwarshazali@yahoo.com
Laman Sawang : anwarshazali.blogspot.com