Anda di halaman 1dari 2

Karangan Bahasa Melayu : Globalisasi dan Kesannya

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang
sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses
ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah
negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi
pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet,media elektronik,dan teknologi siber.
Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara
yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Menurut kamus dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia
mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi
maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses
kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik,
sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia didunia ini. Ini bermakna
segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Disamping itu, ia


memberi perhatian besar kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta
teknologi. Kesungguhan Kerajaan dalam menangani tiga jenis globalisasi ini jelas kelihatan
pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti
dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis
institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan
Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi. Dalam globalisasi ekonomi, telah berlaku
peningkatan dalam kebergantungan perniagaan terhadap ekonomi. Firma-firma dan
perniagaan terus meningkat dan berlakunya peningkatan dalam pelaburan asing secara
langsung di dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara. Globalisasi ekonomi dapat di lihat
melalui perluasan perusahaan melampaui sempadan negara. Bagi globalisasi teknologi,
pengetahuan dan kemahiran pula akan berorientasikan gabungan disiplin teknikal, statistik
dan berasaskan komputer. Gabungan disiplin ini akan melengkapkan tenaga manusia masa
hadapan untuk mengendalikan teknologi baru dan yang akan muncul seperti teknologi
pembuatan berautomasi, bahan-bahan terbaru, bio-teknologi, elektronik dan teknologi
maklumat.

Pelbagai kesan yang dapat kita lihat melalui globalisasi yang berlaku kini terutamanya
terhadap golongan remaja. Golongan remaja semakin keliru terhadap konsep globalisasi dan
tujuannya kepada masyarakat sejagat. Globalisasi dilihat sebagai suatu fahaman bahawa di
dalam kehidupan ini tidak wajar lagi diiktiraf tanggapan nilai murni dan mulia secara objektif.
Akibat dari "nilai-nilai global" yang dibentuk serta didalangi dan didukungi oleh fahaman dari
pandangan hidup barat, maka kehidupan yang dilandaskan oleh nilai-nilai mutlak berdasarkan
pegangan agama tidak lagi dapat diterima.

Satu-satunya kesan globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas


adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Kesan ini adalah suatu persoalan yang sangat
kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosiobudaya sesuatu kelompok masyarakat belia
dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang-bidang yang lain akan
menjadi lebih mudah.Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses
globalisasi sosiobudaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan terus menjadi sasaran
utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional.
Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosiobudaya masyarakat muda kini sudah
dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat
ketara. Tidak dapat menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda
semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam
keghairahan untuk mengejar gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan
barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru
secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai
bentuk kehidupan golongan belia.
Selain kesan globalisasi kepada remaja, pelbagai kesan lain yang dilihat melalui proses
globalisasi seperti kebudayaan sesebuah negara seperti budaya permakanan, budaya fesyen,
budaya kerja, budaya muzik dan hiburan dan budaya bahasa. Melalui budaya permakanan,
makanan Jepun sudah ada di Amerika. Makanan Amerika pula semakin popular di Jepun.
Mc Donald mempunyai 10,500 restoran di 50 buah negara di dunia Kentucky Fried Chicken
mempunyai lebih daripada 7,750 restoran di 58 buah negara. Melalui budaya fesyen pula,
proses globalisasi telah memberi kesan terhadap penggunaan pakaian yang berjenama dan
terkenal di seluruh dunia seperti Jean Levi, Pierre Cardin, Yves Saint Laurent, pakaian sukan
Esprit dan pakaian Laura Ashley. Selain budaya permakanan dan fesyen, proses globalisasi
telah mempengaruhi budaya kerja terutamanya dalam pencampuran agama dan kaum dalam
proses pengeluaran. Di samping itu juga, budaya muzik dan hiburan banyak dipengaruhi oleh
proses globalisasi. Muzik Jazz dan disco telah menguasai dunia. Tempat hiburan seperti
Disneyland juga diadakan di negara di luar Amerika , seperti di Jepun dengan panggilan Tokyo
Disneyland (1987) dan di Marne-la-Valle di Paris dengan panggilan Euro Disneyland (1992).
Proses globalisasi banyak mempengaruhi budaya bahasa sesuatu kawasan seperti penggunaan
bahasa inggeris secara meluas dan tidak terbatas dalam bahagian pengurusan antarabangsa.

Kesimpulannya, cabaran globalisasi masa kini memerlukan pembentukan generasi


muda yang berdaya tahan melalui ilmu dan kemahiran Berdasarkan beberapa aspek
globalisasi yang telah dibicarakan dapatlah dikatakan bahawa dunia hari ini atau di abad ke-21
sedang menghadapi satu cabaran dan perubahan yang sangat hebat yang belum pernah
berlaku di abad yang lalu. Cabaran globalisasi dan implikasi terhadap ekonomi, budaya dan
teknologi adalah luas dan mempunyai kesan yang negatif dan positif. Penerimaan terhadap
perubahan haruslah difikirkan dan diterima secara positif dan membina untuk kemajuan
diri,keluarga,agama,bangsa dan negara.